Runtuhnya Pakatan dan harapan rakyat? – Bahagian I

0
268
Flashback(From left) Lim Guan Eng (Penang), Nik Aziz Nik Mat (Kelantan), Khalid Ibrahim (Selangor) and Azizan Abdul Razak (Kedah)

Bibit perpecahan dalam Pakatan Rakyat bukan didorong oleh kemelut Selangor semata-mata, ujar Faisal S Hazis. Artikel ini juga mempersoalkan dakwaan Khalid Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Adun.

(From left) Lim Guan Eng (Penang), Nik Aziz Nik Mat (Kelantan), Khalid Ibrahim (Selangor) and Azizan Abdul Razak (Kedah)
(From left) Lim Guan Eng (Penang), Nik Aziz Nik Mat (Kelantan), Khalid Ibrahim (Selangor) and Azizan Abdul Razak (Kedah)

Selepas 6 tahun, 4 bulan dan 12 hari, gabungan parti yang telah membawa dimensi baharu dalam politik Malaysia sedang menanti belah kerana gagal mencapai kesepakatan dalam menangani kemelut di Selangor.

Pemecatan Khalid Ibrahim daripada PKR meningkatkan lagi suhu perpecahan dalam kalangan pembangkang apabila Dewan Ulama Pas secara terbuka menyatakan kesediaan parti Islam tersebut untuk keluar daripada Pakatan berikutan isu kedudukan Menteri Besar Selangor ini.

Terdahulu, presiden Pas Hadi Awang menentang semangat kesepakatan dalam Pakatan Rakyat apabila beliau menolak keputusan PKR untuk menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. ‘Langkah Hadi’ ini jelas bertentangan dengan kesefahaman yang telah terbentuk dalam Pakatan di mana parti yang telah diamanahkan untuk menerajui sesebuah negeri mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan calon Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Sumber perpecahan

Bibit perpecahan Pakatan Rakyat, walau bagaimanapun, bukan didorong oleh isu peralihan kuasa di Selangor semata-mata. Ia sebenarnya berpunca daripada dua faktor yang lebih besar iaitu kerapuhan kerangka politik yang mengikat kerjasama parti komponen Pakatan Rakyat dan kedangkalan pemimpin yang mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan parti dan khalayak umum.

READ MORE:  Wan Azizah - belas kasihan dan tanggungjawab dalam politik

Pakatan Rakyat, sepertimana gabungan pembangkang sebelum ini, adalah sebuah pakatan pilihan raya yang bertujuan untuk mencabar dominasi BN. Kerjasama antara tiga parti pembangkang utama iaitu PKR, Pas dan DAP dibentuk menjelang PRU12 bagi memastikan pertandingan dua penjuru antara BN dan pembangkang.

Walaupun kerjasama ini diperkukuhkan dengan pembentukan gabungan rasmi yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat selepas PRU12, ia tidak mempunyai kerangka ideologi atau aturan kerjasama yang kukuh serta jelas untuk memastikan kesinambungannya. Isu rasuah, kenaikan harga barang, kadar jenayah yang meningkat dan pelbagai isu pro-rakyat lain yang diperjuangkan Pakatan tidak cukup utuh untuk merapatkan jurang ideologi yang berbeza antara DAP dan Pas. PKR pula tidak mempunyai sebarang ideologi yang dapat mengikat displin dan kesetiaan ahlinya.

Pengkritik mungkin berhujah bahawa BN juga tidak mempunyai kerangka ideologi yang menyatukan 13 parti komponennya; justeru bagaimana kerjasama politik ini dapat dikekalkan? BN sebenarnya diikat oleh aturan politik yang meletakkan Umno sebagai parti dominon manakala parti-parti komponen lain memainkan peranan sokongan. Kesemua kerusi Menteri Besar dan Ketua Menteri ditentukan oleh Presiden Umno kecuali Sarawak di mana peneraju BN negeri iaitu PBB mempunyai kata putus dalam pemilihan ketua kerajaan negeri. Politik permuafakatan BN memberi kuasa yang lebih besar kepada Umno untuk membuat keputusan-keputusan penting yang berkaitan dengan gabungan parti, isu pemerintahan dan dasar-dasar negara.

Selain itu, BN juga diikat oleh pendekatan ‘carrot and stick’ di mana penyokong akan diberi habuan manakala penentang akan dihukum. Sebagai sebuah gabungan pembangkang, Pakatan tidak mempunyai sumber untuk melaksanakan pendekatan ‘carrot and stick’ ini. Tambahan pula, Pakatan perlu menolak kerangka permuafakatan politik BN yang tidak demokratik, telus dan inklusif. Atas faktor inilah, Pakatan memerlukan kerangka ideologi untuk mengikat gabungan partinya. Tanpanya, kesinambungan Pakatan Rakyat sukar dicapai seperti yang dimanifestasikan dalam keretakan gabungan ini berikutan kemelut di Selangor.

READ MORE:  Barisan Nasional’s sinking 60-year legacy

Personaliti tertentu dalam Pakatan Rakyat turut menyumbang kepada kerapuhan gabungan parti ini. Khalid yang diangkat oleh partinya untuk menjadi Menteri Besar enggan menuruti kehendak partinya untuk melepaskan jawatan sehingga membawa kepada krisis kepimpinan di Selangor.

Di pihak Pas pula, Hadi Awang dan segelintir pimpinan ulama yang tidak menghormati kesepakatan dalam Pakatan turut menyumbang kepada perpecahan yang berlaku dalam gabungan parti ini.

Tindakan Anwar menamakan isterinya sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Khalid juga dikecam ramai pihak sebagai mengamalkan nepotisme, suatu budaya BN yang ditentang kuat oleh pemimpin Pakatan.

Personaliti-personaliti ini gagal mengutamakan displin parti, kepentingan Pakatan dan harapan rakyat yang diwakili dalam membuat keputusan dan tindakan. Sebaliknya, kepentingan peribadi, pertimbangan singkat dan sikap ego yang tinggi menjadikan pemimpin Pakatan ini menjadi dalang perpecahan dalam Pakatan.

Kerusi Menteri Besar dan sokongan majoriti Adun

Dengan pemecatan Khalid daripada PKR, genggaman Pakatan terhadap negeri yang diwar-warkan akan menjadi batu loncatan ke Putrajaya mulai semakin longgar. Pemecatan Khalid ini bertujuan untuk menambah tekanan terhadap mantan tokoh korporat ini untuk melepaskan jawatannya tetapi beliau tetap berkeras. Malah, Khalid menyatakan bahawa Sultan memberi perkenan kepada beliau untuk meneruskan khidmat sebagai Menteri Besar.

Kini, kerusi milik Pakatan dalam DUN Selangor menyusut sedikit daripada 44 ke 43 kerusi (Pas 15, DAP 15 dan PKR 13). Manakala BN pula kekal dengan 12 kerusi (semuanya Umno) dengan diikuti seorang calon bebas (Khalid Ibrahim). Justeru, dakwaan Khalid bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti Adun adalah salah sekiranya Adun PKR, Pas dan DAP berdiri teguh di belakang keputusan PKR.

Setakat ini, hanya Umno menyatakan sokongan terbukanya terhadap Menteri Besar Selangor ini. Tetapi dengan hanya 12 Adun, Khalid masih tidak mempunyai sokongan majoriti Dun.

READ MORE:  Bersatu’s acceptance of Umno turncoats harms political stability, Mahathir’s legacy

Justeru, apakah penjelasan yang diberikan Khalid kepada Baginda Sultan bagi meyakinkan baginda bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti? Adakah Khalid menyatakan bahawa beliau turut mendapat sokongan Adun PAS di samping Adun UMNO?

Dengan sokongan Adun Pas sekalipun, Khalid masih tidak mempunyai majoriti mudah untuk mengekalkan kuasa. Umno dan Pas hanya mempunyai 27 Adun (Pas 15 dan Umno 12) sahaja, iaitu dua Adun kurang daripada majoriti mudah. Malah, dengan penyertaan Khalid sekalipun, gabungan Umno-Pas masih tidak mempunyai majoriti mudah untuk mencalonkan seorang Menteri Besar.

Satu-satunya cara yang membolehkan Khalid kekal sebagai Menteri Besar ialah dengan membentuk kerajaan campuran Pas-Umno dengan beberapa orang Adun PKR atau DAP yang berpaling tadah. ‘Langkah Pas’ untuk membentuk kerajaan campuran dengan Umno, jika berlaku, sudah pasti akan meruntuhkan gabungan Pakatan yang terbentuk sejak 2008.

Thanks for dropping by! Apart from the views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed, the opinions in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation of whatever amount you can afford to sustain Aliran. Please make payments to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

And why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of