1MDB dan skandal lain: Apabila malu hilang maknanya di Malaysia

Apabila sifat malu meninggalkan negara kita, kita sudah tidak punya apa lagi

Bossku? Pengembaliannya ke puncak kuasa akan memberi kesan pada negara kita

Sifat malu bolehlah diterangkan sebagai sebuah perasaan aib yang terpaksa ditanggung atau menyedihkan diakibatkan oleh kesedaran akan tindakan salah atau bodoh.

Sifat malu menjelma dalam minda manusia sekali gus meninggalkan rasa kesal yang mendalam ke atas sesebuah keadaan atau tindakan.

Kitab agama kebanyakan agama utama dunia memberi begitu banyak pengajaran dan menekankan sifat malu. Kajian psikologi yang meluas juga banyak menyentuh tentang sifat malu. Ahli falsafah juga memberikan buah fikiran mereka tentang hal ini sepanjang peradaban manusia.

Sejak bermulanya kes 1MDB di bilik mahkamah New York, tak seorang patut dipersalah jika ada yang merasakan bahawa perasaan malu itu sudah lenyap maknanya di Malaysia.

Begitu ramai yang merasa tidak malu melihat bagaimana perincian kes dikongsikan di bilik mahkamah serta dipampang di kolum akhbar seluruh dunia. Mereka langsung tidak malu bahawa ada seseorang itu walaupun sudah dijatuhkan hukuman di mahkamah negaranya sendiri masih kekal bebas seperti seekor burung kononnya kerana sedang “menantikan keputusan rayuan”.

Mereka langsung tidak malu berarak dengan penuh bangga sambil berkumpul beramai-ramai dan meneriakkan, “Malu apa, bossku?!”

Mereka langsung tidak malu bahawa ada seorang lagi yang masih bebas, yang pihak berkuasa tidak berupaya langsung untuk menangkap dan menyerahkannya kembali ke Malaysia untuk dibicarakan.

Bukan itu saja. Mereka juga seakan-akan tidak malu dengan gelaran kehormat yang diberikan dengan niat baik serta penuh maruah masih tidak ditarik balik, walhal seluruh dunia tahu bagaimana dosa sosok yang terlibat dengan kebrobokan dana 1MDB.

Terdapat beberapa hal lain juga yang patut diperhatikan di mana sikap malu kita sebagai sebuah negara dengan jelas seperti menanggung biawak hidup.

READ MORE:  The Najib Razak 1MDB Trial Ep 81: Following blindly

Perniagaan di Malaysia tidak merasa malu apabila mereka didenda dengan berat oleh pihak berkuasa asing kerana melanggar hak asasi manusia serta perundangan berkaitan dengan buruh paksa. Mereka hanya berbasa-basi menggunakan taktik perhubungan awam (public relations tactics) bagi menyalut kelakuan mereka yang memalukan itu.

Beberapa penjawat awam berpangkat tinggi juga menjadi tajuk utama akhbar kerana tindakan yang cukup meragukan. Namun, bagi mereka, dimalukan di ruang awam sedikit pun tidak memberi kesan kepada mereka.

Kita juga mendengar bagaimana wujudnya kartel yang bergerak dalam pihak polis kita. Kita juga tahu tentang ‘kluster mahkamah’ di negara kita. Mana rasa malu kita semua?

Paling memalukan, dosa menyonglap dan salah guna kekayaan negara kita ini sekali gus mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat Malaysia – dulu, kini dan masa hadapan.

Kita mungkin tidak berupaya mengubah Malaysia menjadi syurga di bumi. Namun, adakah kita hanya mahu membiarkan saja perkara  yang memalukan ini untuk berterusan?

Bahkan tentang hal penyebaran dan perlindungan agama, kita melihat bagaimana tangan mereka yang tidak tahu malu itu bergerak. Kes melibatkan pertukaran agama sepihak melibatkan konflik bidang kuasa pusat dan negeri juga menunjukkan bagaimana kita semakin tidak malu sebagai sebuah masyarakat.

Kegagalan paling jelas dalam menghentikan pencabulan hutan simpan serta penjarahan hasil bumi menjadi satu penanda jelas tentang betapa berleluasa hilangnya sifat malu kita – dari mereka yang di tampuk kuasa sehinggalah para usahawan tamak yang bebas melakukan apa saja sampailah kepada mereka yang tidak kisah sedikit pun.

Adakah kita tidak tahu tentang kes penderaan pekerja domestik yang tidak dibayar gaji mereka selama bertahun lamanya? Adakah kita tidak tahu ramai warga Malaysia – termasuklah majikan kaya-raya – masih mengeksploitasi pekerja asing menggunakan pelbagai cara yang licik serta menindas?

READ MORE:  Treat all migrants, whether documented or not, with respect and dignity

Ramai di antara kita yang mentah-mentah menolak berita ini tanpa rasa malu dengan mengatakan “Aiya, jangan salahkan semua orang kalau yang buat hanya sedikit” atau pun “Ala, korang tahu tak ada pekerja migran dan pembantu rumah asing yang jahat juga?”

Perasaan tidak malu kita sebagai sebuah negara juga semakin jelas bila begitu ramai yang hanya melepaskan tangan dan mengatakan “Apa boleh buat?”

Saatnya rasa malu itu sudah meninggalkan negara ini, itulah saatnya kita sudah menjual jiwa negara. Saatnya rasa malu itu bukan lagi hal yang perlu diperkiraan bagi mengukur kemajuan serta kejayaan kita, kita sudah memajak negara kita ke sebuah ruang rentan sekaligus menjadikan negara kita mudah untuk dieksploitasi oleh negara penyangak lainnya.

Persoalannya, mengapa kita semakin menjadi tidak malu?

Kita mendengar bagaimana di negara lain, ada pemimpinnya yang letak jawatan bagi menebus rasa malu mereka serta menyelamatkan negara mereka dari dimalukan.

Kita juga mendengar bagaimana para usahawan di seluruh dunia yang mengakui dan menyesal akan salah laku mereka, lalu meletak jawatan dari kedudukan mereka.

Kita juga membaca bagaimana selebriti antarabangsa yang cepat-cepat memulangkan hadiah dari duit haram yang diterima mereka ketika awal-awal skandal 1MDB dibongkar. Namun tidak ada seorang pun yang terlibat menunjukkan rasa malu di Malaysia.

Ramai di antara kita yang tidak merasa malu untuk menipu atau bergelumang dengan tindakan tidak beretika, bagi membuat untung melihat kepada sekelumit peluang yang ada, untuk membuang sisa toksik ke dalam sungai kita berulang kali, untuk menayang kekayaan yang cukup meragukan itu.

Ramai yang tidak malu untuk membuang prinsip, falsafah dan ajaran agama asalkan semua kepentingan sendiri beres.

READ MORE:  Who will save Malaysia from the slippery slope of corruption?

Tengoklah, ada juga yang membenarkan Langkah Sheraton yang sebegitu jahat bagi mencantas demokrasi pilihan raya kita. Takkan tiada seorang pun di antara kita yang boleh menghentikan semua rentetan yang memalukan ini?

Alangkah malunya kita semua!

Terjemahan oleh: Zikri Rahman



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
SasiVenderson
SasiVenderson
27 Feb 2022 5.13am

It is a national disgrace – … this coming elections in JB, UMNO the corrupted party will win again-thanks to voting not on merit but religion and race (Muslim Malays). A total disgrace-not a single institution in Malaysia purportedly safeguarding Malaysia is not tainted by corruption-even the Anti-Corruption Agency.