Untuk Malaysia pulih dan maju ke hadapan, 13 Mei perlu pendedahan sewajarnya

Memperingati tapak pengebumian akan menjadi langkah progresif dalam menerima kebenaran dan membuka ruang untuk dialog

Group photo of all those who attended the May 13 memorial event, including family members, survivors and guests - EDDIE CHANG/TIMES PHOTOGRAPHY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Baru-baru ini, saya diberi penghormatan dengan dijemput untuk menghadiri majlis peringatan ulang tahun ke-55 rusuhan kaum 13 Mei. Ia diadakan di tapak perkuburan Sungai Buloh.

Keganasan pada 1969 bermula di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur tiga hari selepas pilihan raya umum 10 Mei. Rumah, kedai dan kenderaan habis dibakar. Beratus-ratus, mungkin beribu-ribu, orang terbunuh.

Angka rasmi meletakkan angka kematian kurang daripada 200 nyawa. Tetapi beberapa sarjana dan ramai pengulas lain meletakkan angka yang melayang sekitar 800-1,000 orang.

Berapa ramai orang kaum Melayu, Cina dan India yang mati kekal misteri kerana dokumen rasmi Malaysia yang memperincikan keseluruhan episod itu masih tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

EDDIE CHANG/TIMES PHOTOGRAPHY

Dalam sebuah rencana oleh Dr Kua Kia Soong pada tahun 2019,  beliau menulis: “Kita masih berhutang kepada mereka yang terkorban untuk sekurang-kurangnya merekodkan kematian mereka yang malang ini dan memberikan sedikit pampasan kepada orang yang mereka sayangi. Di manakah kubur besar selain yang ada di Sungai Buloh?”

Seperti Kua, ramai lagi di Malaysia termasuk saya sendiri ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku. Siapakah yang memulakan keganasan dan mengapa, berapa ramai yang terkorban, dan apakah pecahan bilangan kaum yang mati?

EDDIE CHANG/TIMES PHOTOGRAPHY

Masa semakin berlalu dan kita semakin resah dengan mitos dan kebenaran separuh masak yang menyelubungi peristiwa yang tidak menyenangkan ini dalam sejarah negara kita.

Sikap berdiam diri yang ‘dipaksakan secara politik’ bukan sahaja menghina tetapi berbahaya untuk kita semua. Berdiam diri hanya membuatkan ketakutan terus hidup dan menimbulkan syak wasangka dan teori konspirasi yang semakin berleluasa.

Adalah menjadi kewajipan kerajaan yang dipilih untuk memimpin rakyat dalam proses kolektif agar kita sentiasa merendah diri, bersikap menerima, mendamaikan, dalam usaha untuk mendedahkan dan memperbaharui harapan untuk negara.

Ia juga amat tidak adil bahawa, sehingga kini, tiada tugu peringatan di peringkat kebangsaan yang didedikasikan untuk mereka yang mati. Tiada sebarang acara peringatan awam yang diiktiraf secara rasmi, walaupun wujudnya tapak pengebumian besar-besaran.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui perkara ini, tetapi kebanyakan, jika tidak semua yang terselamat dalam rusuhan 13 Mei cukup ingin menceritakan kisah mereka. Sehingga hari ini, mereka hidup dalam diam, ‘dipenjara’ secara mental, tidak dapat berkongsi kengerian yang mereka alami. Mereka tidak dapat meluahkan kesedihan yang masih mereka rasai terhadap orang tersayang yang sudah pun terkorban.

READ MORE:  Usher in democratic, educational reforms for a prosperous, unified Malaysia
EDDIE CHANG/TIMES PHOTOGRAPHY

Ini sebahagian besarnya diakibatkan oleh taboo yang telah berkembang sepanjang detik singkat dalam sejarah kita, yang dicetuskan terutamanya oleh elit politik. Kepimpinan kita enggan secara rasmi dan terbuka mengakui rusuhan 1969 atas kesilapan yang dilakukan oleh ‘elit politik’ dan pengajaran yang ada untuk kita.

Sebaliknya, pemimpin kita, sebahagian besarnya menerusi pelbagai dasar pendidikan, yang digariskan lewat kurikulum sekolah dan universiti, telah mencipta mitos bagi menakut-nakutkan kita tentang peristiwa bersejarah ini. Kebanyakan pemimpin menolak peranan positif yang boleh dilakukan menerusi perbincangan secara terus terang dalam proses bagi menghadapi masa lalu negara yang menyakitkan.

Sudah tiba masanya kita, sebagai sebuah bangsa, membuka wacana yang terbuka dan ikhlas. Kita perlu sembuh daripada saling mengejek tentang perbezaan dan mempersendakan masyarakat kita yang pelbagai ini hanya untuk kepentingan politik.

Pada tahun 2023, sebuah buku telah diterbitkan, terdiri daripada 20 cerita dalam bentuk sejarah lisan. Ia mendokumenkan pengalaman beberapa mangsa yang terselamat. Life After: Oral Histories of the May 13 Incident (disunting oleh ahli Kumpulan Sejarah Lisan 13 Mei) termasuklah pengisahan tentang mereka yang merentas jurang etnik yang membantu satu sama lain untuk terus hidup. Buku ini pastinya bukan tentang kebencian dan penghinaan terhadap “yang lain”.

Sejarah lisan ini juga mendedahkan bahawa keganasan 13 Mei kemungkinan besar didorong oleh faktor politik, bukannya rusuhan spontan atau perkembangan semula jadi sifat perkauman yang mendalam dalam hati dan jiwa rakyat biasa.

Sudah tiba masanya untuk kita sebagai sebuah bangsa memperingati peristiwa 13 Mei dengan membina sebuah tugu peringatan. Selain daripada mengiktiraf mangsa yang terselamat dan menunjukkan penyesalan terhadap mangsa yang terkorban, ia akan membolehkan wacana yang lebih membina di ruang awam.

Majlis peringatan yang saya hadiri baru-baru ini dianjurkan oleh jawatankuasa peringatan 13 Mei Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (The Friends of Kuala Lumpur and Selangor Heritage or Pesawa), yang ditubuhkan pada 2020.

Representatives of different faiths – Buddhists, Taoists, Catholics, Lutherans, Muslims, Hindus – say a three-minute prayer – EDDIE CHANG/TIMES PHOTOGRAPHY

Antara tugas penting lainnya, kumpulan ini juga telah memperbaharui panggilan agar suruhanjaya siasatan diraja dilakukan dan mengadakan perbincangan terbuka mengenai rusuhan kaum yang berlaku. Logiknya ialah kejahilan hanya melahirkan penghinaan; pengetahuan pula menggalakkan dialog, penerimaan dan perdamaian.

READ MORE:  'Rat route' to being Malaysian

Bersama suruhanjaya diraja, sudah tiba masanya untuk tapak perkuburan besar-besaran di Sungai Buloh dipelihara secara rasmi sebagai tanggungjawab negara dan tanda belas kasihan dan keikhlasan.

Sama ada kita hidup semasa rusuhan berlaku atau sama ada kita dilahirkan beberapa dekad kemudiannya, memang menjadi kewajipan moral kita sebagai rakyat untuk berdamai dengan masa lalu kita, mengetahui sejarah kita dan berusaha secara aktif ke arah pendedahan. Paling penting, kerajaan mesti memimpin.

Proses memorialisasi perlu menjadi dorongan kuat agar penyembuhan emosi dan intelek dapat berjalan.

Selain itu, tindakan memelihara tapak pengebumian beramai-ramai kira-kira 104 mangsa di Sungai Buloh tidak boleh dipolitikkan. Memandangkan rusuhan berkemungkinan besar berlaku kerana politik, maka proses rekonsiliasi mesti menolak politik yang sedemikian rupa.

Untuk mengabaikan tapak dan proses mengingati peristiwa ini selama-lamanya hanya mendedahkan luka terbuka yang hodoh dalam ingatan sosial kita. Tiada pendedahan untuk mangsa yang terselamat selama lebih setengah abad. Bagaimanakah kita sebagai sebuah bangsa boleh menjadi begitu tidak berperasaan? Ramai daripada mangsa yang terselamat ini seakan hidup dalam neraka yang tidak terkatakan, trauma mereka wujud setiap hari namun mereka tidak dapat meluahkan kesedihannya.

Malah, idea untuk sama ada membina monumen atau memperingati peristiwa bersejarah yang unik merupakan sebuah naluri yang wujud dalam semua tamadun, budaya dan agama. Malaysia juga sepatutnya tidak terkecuali. Dengan tekad politik, belas kasihan dan kemanusiaan, ia boleh dilakukan.

Selain itu, kerajaan “Madani” sendiri mengisytiharkan dirinya sebagai “kerajaan perpaduan”. Oleh itu, dengan semangat inilah pemimpin kita harus menunjukkan betapa mereka bersedia untuk menjadi ‘bertamadun’ dan ‘bersatu’. Negara perlu disembuhkan, dan ia boleh melakukan sebahagiannya dengan mengenang tapak pengebumian.

Memorialisasi adalah penting dalam memproses kesedihan. Ia memulihkan dan membina semula rasa komuniti. Ia membantu memupuk semangat kekitaan, keterangkuman bersama dan perdamaian di kalangan rakyat kita.

Masyarakat kita amat memerlukan ini supaya kita boleh meneruskan reformasi ekonomi, pendidikan dan sosial yang amat diperlukan oleh negara.

READ MORE:  Rafidah berkata Tanah Melayu sudah tiada dan Malaysia milik rakyat semua kaum

Tanpa pendedahan, akan sentiasa ada syak wasangka dan rungutan berbentuk perkauman yang tidak dapat diselesaikan sehingga menghalang kemajuan. Sekolah dan universiti kita harus menjadi ruang yang dinamik di mana kita sentiasa diingatkan bahawa kita bukan masyarakat ‘perkauman’ secara semula jadi.

Mengenang tapak pengebumian besar-besaran akan menjadi langkah progresif dalam menerima kebenaran dan membuka ruang untuk dialog.

Status quo tidak ideal; ramai yang sentiasa mempersoalkan kesahihan buku teks sejarah kita, sering mencurigai sejarah kita, yang sering dimanipulasi untuk kepentingan politik. Tiada masyarakat boleh berkembang maju jika ia dibina atas dasar penipuan.

Pemimpin kita mesti mendengar suara rakyat. Tunjukkan belas kasihan kepada mereka yang terselamat. Tunjukkan rasa hormat dan kerendahan hati kepada mereka yang telah pergi.

Kedua-dua proses penyahklasifikasian dan memperingati adalah langkah perlu yang mesti diambil oleh kerajaan ke arah pembinaan negara.

Kesimpulannya, sajak yang ditulis oleh ahli pengasas Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim diterbitkan semula di sini. Nasir turut hadir dalam acara memperingati Sungai Buloh dan membaca puisi ini dengan penuh semangat.

Nasir Hashim at the memorial event – EDDIE CHANG/TIMES PHOTOGRAPHY

Peristiwa Mei 13 Menghantui Wawasan Negara

Aku terpegun sepi.

Menyaksikan peristiwa 13 Mei, 1969 di kaca TV. Negara tercinta runtuh dijilat api dan darah mengalir korbankan warga ibu pertiwi

Aku keliru di hati

Mengapa musibah ngeri harus terjadi. Aku pula tidak menempuhinya di bangku sekolah dan merantau di negara orang

Mana gerangan pemimpin yang menenangkan keadaan. Ataupun asyik mengipas bara kebencian dari jarak jauh dan selamat. Tidak sedar perbuatan keji ini lekehkan keluhuran agama dan kaum sendiri

Keputusan pilihanraya Mei 1969, menggugat kuasa pemerintah. Mereka yang terkilan cuba melunakkan kelemahan, mula menuding jari pada bayangan yang tidak pasti. Tidak sedar ibu jarinya menuding diri sendiri

Kerana jiwa sudah lama di belai manja dalam pelukan budaya pautan (culture of dependency/subsidy mentality) hingga pudarkan inisiatif, pinggirkan semangat berdikari dan lumpuhkan jatidiri. Tidak berani.

Nasir Hashim, 18 Mei 2024, di acara memperingati ulangtahun ke-55 peristiwa 13 Mei 1969, di tanah perkuburan di Sungai Buloh

S Munirah Alatas
Surat berita Aliran
22 Mei 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments