
Bagi sebuah negara yang mengwar-warkan keperluan demokrasi, pemilihan semula Donald Trump sebagai Presiden AS menimbulkan persoalan mendasar tentang demokrasi.
Adakah calon yang disabitkan kesalahan layak bertanding dalam pilihan raya dalam mana-mana demokrasi? Itu bukanlah kebiasaan di banyak negara demokrasi.
Kembalinya Trump
Namun hari ini kita mempunyai individu yang telah disabitkan kesalahan, yang rekod lamanya sepatutnya menghalang beliau daripada masuk politik, menjadi presiden AS.
Idealisme yang dimiliki ramai tentang sistem presiden AS dan undian yang diperoleh melalui sistem kolej pilihan raya AS telah dihancurkan.
Di sebalik sistem dua parti yang ada di negara itu serta perdebatan terbuka, kemunculan Trump sebagai calon dan kemenangan pilihan rayanya telah memperkukuh rasa sinis yang ada terhadap demokrasi AS.
Apa yang jelas, minda seorang pemimpin adalah sangat penting. Calon boleh jadi secara ideologinya di sayap paling kanan atau paling kiri. Pilihan patut diserahkan kepada pengundi.
Pengundi kemudiannya harus menghadapi akibat daripada pilihan para majoriti. Calon yang menang mungkin mempunyai pandangan kanan yang konservatif, liberal atau ekstrem atau mungkin mengamalkan politik identiti. Ini adalah akibat daripada demokrasi pilihan raya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Pengundi mesti bertanya kepada diri sendiri apa yang mereka mahu. Mereka perlu faham bahawa proses demokrasi menggalakkan pandangan majoriti.
Namun di sebalik tanggapan tentang pengasingan kuasa dan semak dan imbang, pemimpin yang dipilih dan pemikirannyalah yang akhirnya menentukan hala tuju dan dasar. Banyak hal bergantung pada bagaimana autokratik atau inklusif seseorang pemimpin dalam mengurus kuasa.
Trump, lebih daripada sesiapa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menjadi contoh dalam hal ini. Individu yang berwibawa dan mampu memimpin akan meningkatkan dan menambah nilai kepada sistem dan institusi sedia ada, manakala individu yang mempunyai latar belakang yang meragukan boleh mencemarkan malah memunahkan sistem. Sistem hanya akan menjadi baik jika orang yang bercakap atas namanya begitu juga.
Berdepan pemikiran merbahaya
Dalam keadaan itu, persoalan pemikiran pemimpin dan cara fikir majoriti pengundi menjadi faktor penting. Peristiwa di Gaza dan Ukraine menyerlahkan hal ini untuk kita. Peperangan moden dan pembunuhan beramai-ramai yang kita saksikan di depan mata kita melambangkan krisis pemikiran ini.
Kita telah kehilangan rasa kemanusiaan dan keupayaan untuk menggunakan langkah berperikemanusiaan untuk menyelesaikan konflik dan perselisihan faham. Kegagalan PBB adalah besar, baik dalam struktur dan susunannya. Ini menunjukkan kegagalan kepimpinan global yang besar.
Pengurusan krisis, penyelesaian konflik, pengantaraan dan timbang tara boleh digunakan. Tetapi kita melihat sedikit perhatian diberikan kepada undang-undang antarabangsa, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan keperluan untuk pendekatan berasaskan peraturan yang disegani.
Walaupun ramai yang mati di hadapan mata kita, yang lain seakan menjadi mayat hidup. Mereka hanya menjadi statistik. Kita menyaksikan kekejaman ganas yang tidak boleh diterima dalam zaman di mana pendidikan, maklumat dan pengetahuan yang cukup tinggi sekarang.
Kegagalan Eropah, AS dan Timur Tengah, bersama-sama dengan ketidakupayaan PBB untuk membuat perubahan, menunjukkan keadaan hubungan antarabangsa hari ini.
Pengeboman udara membawa perang ke tahap lain manakala penggunaan dron semakin merendahkan nilai kehidupan. Begitu ramai yang mati – keluarga, isteri, anak-anak – rumah mereka dirobohkan manakala masa depan mereka yang terselamat menjadi rentan. Di manakah rasa hati nurani untuk ‘yang lain’? Pastinya, mesti ada tindakan yang berkadaran apabila sesebuah negara berperang dengan wilayah yang dijajahi. Apa yang berlaku cukup tragis.
Ia menggariskan kepentingan ideologi dan cengkaman totalnya pada minda orang ramai. Sama ada Nazisme atau Zionisme, mereka yang menyokong ideologi ini melihat ‘yang lain’ sebagai kurang manusia, membenarkan dalam fikiran mereka tindakan yang diambil untuk memusnahkan mereka.
Orang yang baik terperangkap ke dalam ideologi ini melalui kecenderungan mereka sendiri. Ramai daripada latar belakang Judeo-Kristian, misalnya, berat sebelah terhadap Israel. Zionisme Kristian memegang kuasa – walaupun wujud orang Kristian di Palestin yang dijajah. Kecenderungan yang sama dapat dilihat dengan Narendra Modi dan ideologi politik Hindutva di India.
Peranan penting Menteri Aaron Ago
Itulah sebabnya kita di Malaysia harus berhati-hati terhadap mereka yang memperjuangkan idea berpuak puak dalam masyarakat berbilang etnik. Kita terperangkap dalam jaring begini. Di sebalik semua perbincangan mengenai perpaduan nasional dan Rukun Negara, kita tidak jauh beza selepas lebih enam dekad mengetengahkan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’.
Isu terkini mengenai Rang Undang-undang Mufti dan ‘garis panduan’ antara agama (yang kini ditangguhkan) adalah amaran kepada kita semua.
Salah satu kementerian yang paling penting pada masa ini ialah Kementerian Perpaduan Negara, yang diketuai oleh Aaron Ago Dagang. Menterinya perlu tegas dan jelas dalam pendirian. Di bawah kerajaan “Madani”, beliau mempunyai kuasa, tanggungjawab dan kewajipan untuk memenuhi prinsip Madani.
Menteri itu perlu memastikan Rukun Negara, yang mengawal dasar kementeriannya, dipegang teguh oleh semua, termasuk ahli parlimen dan ahli DUN. Beliau perlu bersuara secara terus terang dan cepat untuk masyarakat yang terkesan dengan isu-isu yang menjejaskan perpaduan negara.
Berasal dari Sarawak, Aaron Ago sepatutnya mempunyai pemikiran yang lebih luas dan mesti mengabsahkan kedudukannya dengan lebih kukuh. Beliau perlu memberi amaran kepada rakan-rakan menterinya bahawa perkara-perkara seperti ‘garis panduan’ itu tidak boleh dipromosikan tanpa pengetahuannya.
Menteri ini juga mesti bersuara menentang ahli parlimen yang memperkecilkan isu berkaitan etnik, agama atau bahasa. Beliau mesti didengari untuk memperjuangkan perjuangan perpaduan negara dan perlu mendapatkan dukungan kabinet di belakangnya.
Aaron Ago adalah suara untuk perpaduan dan oleh itu harus bersuara tanpa rasa takut untuk memihak. Berasal dari Sarawak, beliau sepatutnya mempunyai kekuatan moral untuk berbuat demikian. Inilah yang kita harapkan daripada seorang menteri perpaduan negara. Jika tidak, beliau hanya akan menjadi sekadar hiasan, seperti menteri-menteri terdahulu yang memegang jawatan ini.
Menteri sebegini seharusnya boleh mendidik orang seperti menteri untuk hal ehwal agama mengenai landskap pelbagai agama di Malaysia. Beliau boleh mengambil langkah segera untuk menghukum mereka yang bercakap buruk tentang komuniti atau agama lain. Semua pemimpin agama mesti memahami realiti ini di Malaysia.
Dengan mewujudkan Lembaga Perpaduan Kebangsaan, seperti yang dilakukan sebelum ini, Aaron Ago boleh mendapatkan sokongan dan maklum balas. Beliau boleh menjemput wakil daripada kumpulan G25 yang terdiri daripada bekas penjawat awam terkemuka, kumpulan antara agama MCCBCHS dan NGO seperti Aliran dan Accim untuk membantunya mengharungi isu-isu perbalahan seperti krisis ‘KK Super Mart’ dan lain-lain.
Kita perlu berhati-hati dengan pemikiran sempit yang mempromosikan ketuanan Melayu, yang tidak sesuai dengan identiti Malaysia.
Agama di Malaysia seharusnya menarik manusia ke arah semangat perpaduan dan bertujuan mengangkat kebaikan bersama. Mana-mana agama yang melemahkan matlamat sedemikian akhirnya hanya menafikan daya tarikannya sekaligus hanya akan mengecewakan kemanusiaan.
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
9 Mac 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme