Tidak bernegara dan dilupakan: Realiti pahit menjadi warganegara tak didendang

Tidak berwarganegara bukanlah satu jenayah

MALAYSIAKINI

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Bayangkan tidak mempunyai negara untuk dipanggil rumah.

Bayangkan tidak menjadi warganegara di mana mana pun. Bayangkan dilucutkan hak asasi manusia hanya kerana kita “tidak berdokumen”.

Bayangkan kita terpaksa meninggalkan rumah nenek moyang kita dan dilabelkan sebagai “asing”. Bayangkan bangun pada suatu pagi dan mendapat tahu bahawa identiti nasional kita yang dihargai telah lenyap tak berjejak. Begitulah kita menjadi tidak bernegara.

Begitulah nasib berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Orang menjadi tidak bernegara atas pelbagai sebab. Sebahagian daripada mereka adalah kumpulan etnik minoriti yang digusur akibat konflik ganas. Mereka telah dihalau keluar dari rumah mereka oleh pogrom sistemik yang bertujuan bukan sahaja untuk melucutkan kewarganegaraan mereka tetapi juga untuk menghapuskan kewujudan mereka.

Contoh yang dekat dengan negara kita ialah pengalaman mengerikan pelarian Rohingya dari Myanmar. Bukan sahaja mereka tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar sebagai warganegara. Mereka juga terpaksa meninggalkan negara itu kerana tentera membakar kampung mereka dan membunuh mereka yang mempertahankan kawasan mereka tanpa belas.

Satu lagi golongan orang tanpa kerakyatan merupakan komuniti etnik minoriti yang mengamalkan gaya hidup nomad. Komuniti ini tidak terikat dengan konvensyen undang-undang sempadan negara bangsa. Amalan budaya mereka sudah lama mendahului sempadan negara zaman moden dan cara hidup mereka yang mengembara bertentangan dengan masyarakat pemaustatin yang biasa ditemui di dunia hari ini.

Contohnya ialah suku kaum yang tinggal di gunung yang merentasi Thailand, Laos dan Vietnam, dan masyarakat Bajau Laut di Sabah.

Orang tanpa kerakyatan adalah antara kumpulan yang paling rentan dalam masyarakat kita. Tanpa dokumen rasmi yang membuktikan kewarganegaraan mereka, mereka terdedah kepada eksploitasi, diskriminasi dan penderaan.

READ MORE:  Abang Adik: Masterclass of an activism-themed movie

Mereka sering berada di bawah belas kasihan pihak berkuasa, yang memandang mereka dengan curiga sebagai ejen asing kerana cara hidup rentas sempadan mereka.

Tidak mempunyai dokumen yang betul juga bermakna mereka tidak dapat mengakses hak asasi yang rakyat ambil mudah, seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Oleh itu, masalah sosial yang berleluasa di kalangan golongan muda tanpa kerakyatan ini adalah kerana mereka dinafikan peluang dan maruah untuk menjalani kehidupan normal seperti yang kita semua lakukan.

Itulah sebabnya apa yang berlaku baru-baru ini di Semporna, Sabah, adalah tragedi yang memalukan. Pihak berkuasa merobohkan dan membakar perkampungan Bajau Laut di tujuh pulau dan mengusir penduduk mereka, yang mungkin tidak mempunyai tempat untuk pergi.

Pihak berkuasa yang sewenang wenangnya menghapuskan komuniti ini dari wujud sesuatu yang cukup mengagumkan.

Ia membuatkan anda tertanya-tanya sama ada wujud kepentingan tertentu mahu membina pusat peranginan mewah di atas tanah yang dirampas.

Bajau Laut telah lama diabaikan dan menjadi mangsa oleh pihak berkuasa yang ada. Ramai di Sabah menganggap mereka sebagai ‘bukan rakyat Malaysia’ dan sebagai masalah sosial.

Paling teruk, mereka dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara kerana pergerakan transnasional mereka merentasi sempadan maritim Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Paling-paling, mereka adalah sekadar objek yang ingin diketahui, untuk memukau ramai pelancong yang tertarik dengan reputasi eksotik Bajau Laut sebagai “gipsi laut”.

Jadi pada satu sudut pandang, mereka kelihatan dijenayahkan dan, di sisi lain, mereka juga dieksploitasi. Semuanya kerana mereka tidak berkewarganegaraan dan tidak mempunyai cara undang-undang untuk mempertahankan komuniti mereka – tidak seperti komuniti etnik lain yang mempunyai status kewarganegaraan.

READ MORE:  Real-life 'Abang Adiks' are in grave danger!

Mujur, ada beberapa aktivis prihatin di Sabah sangat mengambil berat tentang nasib mereka yang tidak bernegara di negeri itu. Mendepani isu ini kalangan mereka ialah aktivis Borneo Komrad dan program utamanya, sekolah alternatif.

Aktivis Borneo Komrad telah bekerja tanpa jemu sejak penubuhan kumpulan itu pada 2017. Matlamat mereka? Untuk memperkasakan Bajau Laut tanpa kerakyatan melalui pendidikan dan ekonomi sara diri.

Inisiatif sekolah alternatif adalah satu usaha sedemikian, kerana kanak-kanak tanpa kerakyatan tidak dibenarkan mendaftar di sekolah awam. Penafian ini merupakan pencabulan besar hak asasi manusia sejagat dalam soal pendidikan.

Pendidikan dan ekonomi sara diri memberi orang Bajau Laut yang tidak bernegara apa yang dinafikan masyarakat: maruah dan harga diri. Ini adalah ramuan penting untuk membendung gejala sosial yang mendatangkan malapetaka kepada masyarakat.

Lebih memburukkan keadaan, polis di Semporna kemudiannya memanggil Mukmin Nantang, pengasas Borneo Komrad, untuk disoal siasat.

Sejak kampung itu dihancurkan dan penduduknya digusur, aktivis itu telah mengumpulkan sokongan kepada masyarakat Bajau Laut dengan melawat kampung-kampung yang terjejas serta menghebahkan penindasan mereka ke seluruh dunia.

Untuk ini, Mukmin telah disiasat di bawah Akta Hasutan yang lapuk – sebuah akta peninggalan penjajah yang direka untuk menindas perbezaan pendapat politik. Ia adalah salah satu daripada banyak undang-undang zalim yang banyak dijanjikan dalam kerajaan semasa untuk memansuhkannya semasa mereka menjadi pembangkang. Kewujudannya yang berterusan menjadikan agenda Reformasi menjadi sebuah ejekan.

Ramai di antara kita, sebagai warganegara kelahiran semula jadi, menganggap hak kita wujud begitu saja, kerana ia sentiasa menjadi sebahagian daripada kita. Lagipun, tidak ada ancaman yang pasti dalam menafikan kita untuk menikmati hak ini.

READ MORE:  Let's build solidarity with the many 'Abang Adik' in Malaysia

Tetapi mereka yang kurang bernasib baik terpaksa hidup dalam keadaan tidak mempunyai hak untuk dipunyai di mana-mana pun. Mereka adalah pelarian, etnik minoriti nomad, anak-anak ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Sudah tiba masanya kita mentakrifkan semula maksud menjadi warganegara. Kewarganegaraan harus merangkumi rasa kemanusiaan dan empati yang mendalam – bukan hanya untuk sesama warga negara tetapi juga untuk manusia lain.

Sungguh ironis bahawa kita boleh (dengan benarnya) bersimpati dengan rakyat Palestin yang dipindahkan dan dihapuskan secara mengerikan oleh rejim genosidal di Israel. Tetapi kemudian ramai di antara kita menutup mata terhadap apa yang berlaku dengan orang Bajau Laut tanpa kerakyatan di halaman rumah kita sendiri. Kemunafikan seperti ini tidak boleh dibiarkan.

Martin Luther King Jr pernah berkata: “Ketidakadilan di mana-mana adalah ancaman kepada keadilan di mana-mana.”

Empati terhadap orang lain amat diperlukan dalam masyarakat kita yang semakin terbahagi ini. Saya teringat slogan yang popular dengan demonstrasi pro-pelarian di Jerman: Kein mensch is illegal (tiada siapa yang tidak sah).

Kita harus berhenti melihat orang tanpa kerakyatan sebagai “tidak sah” tetapi sebagai sesama manusiawi.

Itulah, yang sepatutnya menjadi langkah pertama yang kukuh dalam menyelesaikan krisis tanpa kerakyatan.

Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Jun 2024

Terjemahah oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Azmil Tayeb
Dr Azmil Tayeb, the honorary secretary of Aliran, is a political science lecturer at Universiti Sains Malaysia. He is the winner of the 2019 Colleagues' Choice book prize (social science category) awarded by the International Convention of Asia Scholars for his book Islamic Education in Indonesia and Malaysia: Shaping Minds, Saving Souls
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments