Saatnya rakyat berdepan kesukaran, pemimpin bercakaran merebut kuasa dan jawatan

Saat pentadbiran yang baik dihakis, tanda-tanda kemiskinan dan keterdesakan semakin jelas

Sebuah set arkib terbitan Aliran dijual kepada MP Kangar Amin Ahmad (tengah)

Minggu lalu, Anil dan saya memandu ke Kangar, Perlis untuk menyampaikan salinan terbitan bulanan Aliran kepada MP Kangar, Noor Amin Ahmad.

Amin membeli sebuah set lengkap majalah kami yang diarkibkan. (Kami masih mempunyai dua lagi set untuk dijual.)

Sebelum menemui beliau, kami menikmati nasi kerabu daging, sekaligus melengkapkan lagi perjalanan kami ke sana!

Usai perjalanan ini, saya merenung semula betapa ‘kayanya’ data pensejarahan, analisis serta informasi di dalam artikel dan ulasan Aliran yang meliputi tempoh 1980 hingga 2013.

Ramai di antara mereka yang menyumbang artikel ke Aliran Monthly lama dahulu, masih lagi aktif di dalam gerakan masyarakat sivil, namun ada beberapa yang sudah meninggal dunia. Kami bersyukur terdapat beberapa penulis baru yang menghantar tulisan, bagi memastikan Aliran untuk terus menyediakan analisis serta pandangan alternatif terhadap perkembangan terkini di dalam negara.

Apakah wujud tali yang mengikat ribuan penulisan ini? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu melihat mengapa Aliran ditubuhkan. Peraturan pertubuhannya ada dinyatakan bahawa “Tujuan Aliran adalah untuk menggalakkan denyut nadi kenegaraan serta pemahaman yang luhur tentang pembangunan mengikut aspirasi Rukun Negara.”

Tidak terlalu banyak perkataan di dalam tujuan yang dinyatakan, namun kata kunci “denyut nadi kenegaraan” serta “pembangunan mengikut aspirasi Rukun Negara” sungguh bermakna.

Rukun Negara menggalakkan kesatuan, demokrasi, kebebasan dan keadilan. Rakyat Malaysia didorong agar “membina sebuah masyarakat adil di mana kemakmuran negara dapat dikongsi bersama di dalam suasana adil dan saksama.”

Kita juga digalakkan untuk menjunjung “pendekatan liberal terhadap tradisi kebudayaan kita yang kaya dan pelbagai” serta “membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden”.

Aliran menganggap entitinya sebagai sebuah gerakan reformasi sosial yang dipandu oleh prinsip yang jelas. Berdasarkan aspirasi Rukun Negara serta prinsip moral yang asas, kami di Aliran menggalakkan nilai seperti “keadilan, kesaksamaan, kebebasan, setiakawan, keamanan, kenuranian, maruah kemanusiaan, kebenaran, saling menghormati, keberanian dan demokrasi”.

Inilah tali yang mengikat kesemua penulisan yang dinaikkan di dalam laman web kami. Para penulisnya dipandu oleh nilai serta prinsip yang kami percayai.

READ MORE:  Pandemik Covid tingkat kadar kemiskinan di Asean

Sebaliknya, Aliran jelas menolak ketidakadilan, salah guna kuasa, rasuah, ketamakan atau apa-apa pelanggaran terhadap hukum perundangan.

Melewati sistem demokratik kita, pemisahan kuasa di antara perundangan, legislatif serta badan eksekutif kerajaan adalah asas kepada proses semak imbang. Namun, ada segelintir pemimpin yang sewenang-wenangnya melangkaui sempadan kuasa mereka dan masuk ke wilayah institusi lainnya.

Seorang ahli politik terkemuka baru-baru ini menyatakan bahawa antara rungutan utama dari partinya kepada kerajaan Perikatan Nasional adalah bagaimana mereka boleh membuat keputusan bagi membenarkan kes mahkamah terhadap sesetengah parti politik dan pemimpinnya dapat diteruskan. Amaran dari Majlis Peguam adalah tepat pada waktu – saatnya ahli politik ini seakan-akan tidak memikirkan langsung tentang kebebasan proses perundangan. 

Penyumbang baru kami, R Murali, mengesali bagaimana pentadbiran yang semakin terhakis di dalam negara kita. Beliau menyoroti ciri-ciri sebuah pentadbiran yang baik: kebertanggungjawapan, ketelusan, inklusiviti, keadilan dan kesaksamaan, kejujuran, keluhuran serta ketidakberpihakan.

Malangnya, kerajaan sekarang tampaknya terlalu mahu mengekalkan kuasa (rujuk kenyataan Aliran berkenaan pengisytiharan darurat) sekaligus sanggup berkompromi dengan ciri-ciri pentadbiran yang baik, termasuklah sistem semak dan imbang. Hasilnya: retorik yang memecahbelahkan mengikut etnik dan agama seringkali ditolenrasi dan dibenarkan untuk membarah.

Sebuah contoh yang lucu adalah di mana orang Islam tidak dibenarkan untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Krismas’. Contoh lain adalah di mana Jakim menyatakan bahawa kedai kek atau bakeri yang mempunyai logo halal supaya tidak mempamerkan kek dengan ucapan ‘Selamat Hari Krismas’ di atasnya. Nanti apa lagi?

Perkembangan politik yang dominan sejak ‘Langkah Sheraton’ serta pembentukan kerajaan PN adalah pertembungan di antara parti politik yang mana dapat lebih mewakili masyarakat Melayu-Islam. Secara tersiratnya, masyarakat bukan-Melayu dan bukan-Islam hampir atau tidak mempunyai apa-apa bahagian di dalamnya.

Seorang lagi penulis, Jem, melontarkan cabaran kepada generasi muda: untuk ke hadapan dan membentang bentuk politik yang lebih inklusif. Beliau mendesak agar mereka untuk mengambil kira warga rencam etnik dan agama di tanah air ini.

Kita perlu merangkul kerencaman, memuliakan dan menghormati kepelbagaian, serta membina jambatan perpaduan. Inilah yang selaras dengan aspirasi yang digalakkan oleh Rukun Negara.

READ MORE:  Pandemik Covid tingkat kadar kemiskinan di Asean

Rukun Negara menyatakan bahawa rakyat perlu “membina sebuah masyarakat adil di mana kemakmuran sesebuah negara dapat dinikmati bersama di secara adil dan saksama”.

Adakah negara kita sudah mencapainya? Tidak. Malahan, pandemik coronavirus meluaskan lagi kesenjangan di antara mereka yang berada dengan yang tidak mempunyai apa-apa.

Peristiwa keluarga Proton Iswara menerima liputan meluas: seorang pengawal keselamatan, pencari nafkah tunggal keluarganya yang menerima gaji RM 1,200 per bulan, telah kehilangan rumahnya di dalam sebuah kebakaran pada April 2020 serta tidak mampu untuk menyewa rumah yang lain. Jadi, beliau, isteri serta tiga anaknya tidur di dalam kereta keluarganya dan menggunakan tandas awam untuk membersihkan diri.

Selepas media menyoroti penderitaan mereka, dermawan serta pendakwah Muslim, Ustaz Ebit, yang membantu semua warga tanpa mengira kaum dan agama, langsung bergegas dari Johor ke Pulau Pinang sewaktu Krismas bagi menyediakan bantuan serta menyewakan penginapan sementara. Majlis Bandaraya Pulau Pinang kemudiannya terus memproses permohonan dan memperuntukkan flat kos rendah kepada mereka.

Keluarga ini beruntung untuk menerima bantuan selepas media menyoroti penderitaan mereka. Namun, bagaimana pula dengan keluarga lain yang kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang setiap hari?

Mustafa, di dalam artikelnya, menyatakan bahawa bilangan penggangguran pada Oktober meningkat sebanyak 1.5% berbanding bulan lalu dan mencapai bilangan 748,200 orang. Dengan meningkatnya kes Covid saban minggu, keadaan boleh bertambah buruk. Kerajaan perlu segera fokus untuk meringankan beban mereka yang menderita berbanding bermain politik untuk bergayut di tampuk kekuasaan.

Prof Philip Alston, bekas pelapor khas PBB tentang kemiskinan tegar serta hak asasi, mengeluarkan laporan akhirnya berdasarkan lawatan 11 harinya pada 2019 ke beberapa lokasi dan negeri di Malaysia: Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Sarawak serta Kelantan.

Laporannya menunjukkan bahawa kadar kemiskinan rasmi di Malaysia yang dicatatkan hanya 0.4% – terendah di dunia – adalah “tidak realistik dan terlalu rendah serta mengelirukan”. Beliau percaya bahawa kadar kemiskinan sebenar boleh jadi setinggi 15% (diingatkan, ini adalah sebelum pandemik).

READ MORE:  Pandemik Covid tingkat kadar kemiskinan di Asean

Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, cepat-cepat menafikan statistik itu sebagai tidak tepat.

Berbanding menjadi defensif, bukankah lebih baik jika kerajaan kemudiannya mencari jalan untuk meredakan penderitaan mereka yang miskin dan terpinggir di kawasan bandar serta pedalaman itu? Orang Asli, warga migran yang mempunyai dokumen atau tidak, pekerja dengan gaji harian, pengganggur, ibu bapa tunggal, mereka yang kelainan upaya – mereka ini semua memerlukan bantuan dan perhatian istimewa.

Ingat, tugas dan cabaran kita adalah untuk memastikan semua warga menerima pengagihan kemakmuran yang adil di dalam negara ini. Bagaimana ianya mungkin terjadi saat kita masih mempunyai keluarga yang terpaksa tidur di dalam kereta atau mereka yang tidak mempunyai rumah dan tidur di kaki lima serta bergantung kepada belas ihsan untuk makan sekali dalam sehari?

Pada waktu yang sama, kita mempunyai ahli politik angkuh yang memberi keterangan di dalam mahkamah bahawa RM 2j itu hanyalah ‘duit poket’ atau seperti duit baki kepada mereka. Inilah ketidakadilan yang memeranjatkan yang wujud di negara kita.

Pandemik coronavirus telah memberi rakyat Malaysia peluang untuk mengetik ‘butang mula semula’ serta mengutamakan apa yang penting di dalam kehidupan kita. Kita semua patut menjadi lebih sensitif kepada pentingnya untuk menjadi mapan serta manusiawi. Kita perlu melawan prasangka dan belajar menerima.

Pemimpin politik di kedua-dua belah pihak gagal untuk menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka tampaknya lebih berminat merampas kuasa berbanding menjaga kebajikan rakyat.

Selepas kejatuhan pemerintahan PH serta perebutan kuasa oleh ahli politik di kedua-dua belah pihak, kita sebagai rakyat perlu berwaspada dengan siapa yang kita pilih untuk mewakili kita pada pilihanraya akan datang.

Kita hanya perlu mendukung calon yang melepasi ujian ketelusan, inklusif serta yang benar-benar kisah kepada semua, tanpa mengira kaum atau agama mereka. Ayuh bersama menolak ahli politik yang berahi kuasa, tamak, perasuah serta perkauman.

Henry Loh
Koordinator serta editor bersama, surat berita Aliran
13 Januari 2021

Terjemahan oleh Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments