‘Primitif’ yang sebenar bukan di Tehran

'Zaman Batu' Trump mendedahkan betapa lohongnya moral Amerika yang berkuasa

AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Ancaman baru-baru ini oleh Presiden AS Donald Trump dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth yang berikrar untuk membawa Iran “kembali ke Zaman Batu” mendedahkan betapa lohongnya moral dasar luar AS yang semasa.

Hujah balas Iran cukup pedas – bahawa Iran mempunyai tamadun yang berkembang maju jauh sebelum nenek moyang mereka yang ada di Amerika yang masih berkomunikasi dengan dengusan sebelum boleh bertutur dengan jelas â€“ adalah lebih daripada sekadar hujah sindiran sejarah yang bijak. Ia peringatan yang perlu dinyatakan bahawa kemajuan teknologi tidak sama dengan kematangan sesebuah tamadun.

Mungkin kita jangan terlalu serius dan menganggapnya sekadar retorik semata-mata dan memaafkan kejahilan Amerika di sebalik kenyataannya.

Namun untuk menangapinya sedemikian seakan mengabaikan realiti yang mengerikan: kita diperintah oleh manusia yang tidak lagi mempunyai prinsip moral atau perundangan yang dibangunkan ribuan tahun lamanya.

Dari Kod Hammurabi kuno sehinggalah penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta perjanjian besar yang menyusul, evolusi terbesar manusia bukanlah dalam mencipta alat pemusnah, tetapi dalam perjanjian kolektif yang diwujudkan bagi mencegah peperangan serta melindungi nyawa dan hak manusia.

Dibayangi Epstein

Lewat ancaman untuk menghantar Iran kembali ke Zaman Batu, Trump dan Hegseth mendedahkan bahawa mereka mungkin sudah pernah tinggal di sana.

Kandungan Kertas Epstein mendedahkan satu kebejatan yang bukanlah tidak pernah berlaku, namun ia cukup mengejutkan melihat kepada skala jenayah yang dilakukan. Jaringan Epstein didakwa dibina atas ugutan dan paksaan, di mana gadis-gadis muda menjadi mangsa. Kandungan Kertas Epstein itu mendedahkan bagaimana barisan pemimpin yang sanggup beratur untuk memuaskan nafsu mereka dalam apa yang ditanggap sesetengah pihak sebagai skala yang tidak pernah dilihat dalam sejarah sehingga sekarang.

Hanya minda yang sebegitu primitif dan ganas yang boleh membekalkan persenjataan dan hanya berdiri menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang kita lihat sekarang ini.

READ MORE:  How Iran war may accelerate fall of US empire

Bukti kebejatan sedemikian juga jelas kelihatan menerusi kerjasama mereka dengan negara penyangak Israel, yang dibentuk bagi menebus dosa golongan Yahudi Eropah dan yang melalui sejenis Sindrom Stockholm yang diputarbalikkan, seolah-olah telah mengembangkan pesonaan fetish terhadap tindakan pembunuhan yang pernah dilakukan ke atas kaumnya sendiri.

Jalan panjang peradaban

Zaman Batu, yang berlangsung selama kira-kira 3.3 juta tahun, merangkumi lebih daripada 99% sejarah manusia. Ia merupakan era yang menjadi asas bagi segala yang kita ketahui hari ini. Jauh daripada menjadi zaman gasar semata-mata, ia merupakan tempoh di mana manusia mula mengenali dirinya sendiri.

Seperti yang ditunjukkan oleh orang Iran, peralihan keluar dari era ini akhirnya ditandai dengan mercu tanda seperti Silinder Cyrus – yang sering digambarkan sebagai salah satu piagam hak asasi manusia pertama di dunia. Walaupun ia merupakan pengisytiharan diraja dan bukannya dokumen perundangan moden, ia menyokong kebebasan beragama dan perlindungan bagi sesetengah golongan awam yang tertentu.

Jika seorang pemimpin pada dua setengah milenium yang lalu dapat mengiktiraf kesucian seseorang individu, apakah yang dapat kita katakan tentang seorang pemimpin Abad ke-21 yang mengancam untuk merobohkan seluruh infrastruktur awam sebuah negara moden?

Jawapannya cukup jelas. Pemimpin sedemikian tidak mengukuhkan kuasa melalui kekuatan semata-mata tetapi juga melemahkan asas moral ketamadunan.

Bilik darjah dan bom

Sebagai seorang pendidik, saya melihat perkembangan ini sebagai sebuah kegagalan bagi ingatan kolektif kita. Kita telah menyimpang dari landasan humanistik yang mengubah sejarah kita daripada kisah pembunuhan tanpa henti kepada usaha untuk hidup bersama secara aman. Pendidikan mestilah menjadi alat utama bagi memulihkan nilai-nilai ini.

Memang wujud sesuatu yang bahaya di situ. Bukanlah sebuah kebetulan bahawa mereka yang mengancam untuk menghantar tamadun kembali ke Zaman Batu itu adalah orang sama yang berusaha untuk mengawal universiti dan institusi pendidikan lain.

READ MORE:  How Venezuela poses an 'unusual and extraordinary threat' to the US agenda

Dengan mengurangkan dana institusi penyelidikan yang penting, merobohkan kebebasan akademik kononnya atas nama mandat untuk menjadi “patriotik”, dan menyasarkan kurikulum berbentuk progresif, pentadbiran AS sekarang berusaha untuk menyempitkan minda yang mampu mencabar pandangan dunianya.

Oleh itu, adalah penting untuk mengajar pelajar kita bahawa tamadun bukanlah sebuah keadaan yang kekal, namun sebuah pencapaian rapuh yang memerlukan penyelenggaraan yang berterusan.

Apabila pemimpin kita menggunakan bahasa era “primitif” untuk mewajarkan kemusnahan Abad ke-21, mereka gagal dalam ujian kecelikan sejarah yang paling asas: memahami bahawa masa lalu kita adalah sebuah pendakian yang sukar menuju cahaya hak dan akal budi.

Bahaya yang diisyaratkan dalam ucapan Trump dan rakan subahatnya bukanlah secara harfiah, mana-mana negara akan kembali secara fizikal ke Zaman Batu. Ia tanda bahawa mereka yang mengawal persenjataan paling canggih di dunia mungkin tidak pernah berkembang melangkaui pemikiran yang lebih primitif.

Kita sedang menyaksikan paradoks yang membimbangkan: teknologi Abad ke-21 yang digunakan oleh mereka yang berfikir dalam kerangka pemikiran lama, iaitu keganasan.

‘Primitif’ yang sebenar

“Zaman Batu” yang sebenar bukanlah zaman sejarah yang ditakrifkan hanya oleh batu api dan tulang. Ia adalah keadaan di mana kuasa adalah satu-satunya bahasa yang dituturkan, dan prinsip moral yang tertanam dalam agama dan falsafah dipinggirkan.

Jika kita tidak menggunakan pendidikan untuk memberi amaran kepada pelajar kita tentang risiko ini, kita berisiko kehilangan bukan sahaja tamadun kita, tetapi juga kemanusiaan kita.

Sehingga mereka yang berkuasa itu sanggup bertutur dan bertindak pada tahap tamadun yang mereka ancam untuk musnahkan, mereka itulah, dan bukan sasaran mereka, yang kekal sebagai “primitif”.

UK Menon
Editor bersama, surat berita Aliran
20 April 2026

READ MORE:  Why the US-Israel war on Iran changes everything

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
UK Menon
UK Menon, an Aliran member, is a lawyer turned educator with fifty years in higher education as a teacher and administrator. He now leads a collective of like-minded academics and administrators offering various legal and education-related services.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted