Pada malam 9 Mei 2018, saya berada di rumah, terpaku di hadapan televisyen.
Saya menonton dengan penuh keterujaan yang memuncak tatkala keputusan pilihan raya umum diumumkan sedikit demi sedikit.
Menjelang akhir malam itu, pemerintahan selama lebih enam dekad oleh Barisan Nasional dan gabungan pendahulunya, Alliance atau Parti Perikatan, telah berakhir.
Buat pertama kalinya, Malaysia menukar kerajaan persekutuannya menerusi peti undi. Rakyat telah memilih kerajaan Pakatan Harapan yang menjanjikan reformasi yang sekian lama dinanti-nantikan.
Bagi ramai antara kita yang telah bertahun-tahun memperjuangkan reformasi, ia terasa seolah-olah sebuah keajaiban politik. Kita telah menyaksikan tatanan politik yang sama bertahan mengharungi pilihan raya demi pilihan raya serta protes demi protes. Kini, apa yang dahulunya dianggap mustahil, benar-benar telah berlaku.
Sebuah pintu terbuka
Perubahan itu membawa harapan. Timbul satu perasaan bahawa akhirnya sebuah pintu telah pun terbuka. Isu-isu yang sekian lama dibangkitkan oleh masyarakat sivil – kebebasan bersuara, akauntabiliti, kedaulatan undang-undang dan kebebasan institusi – tiba-tiba terasa seolah-olah boleh digapai.
Namun, jangkaan sering kali dipengaruhi oleh keterujaan pada saat segalanya berlaku. Apabila euforia kian pudar, jelaslah bahawa pertukaran kerajaan dengan sendirinya tidak akan membawa reformasi.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Undang-undang, institusi dan amalan politik yang telah terbina selama berdekad-dekad tidak akan berubah dalam sekelip mata. Reformasi memerlukan masa, kehendak politik dan tekanan berterusan daripada orang ramai.
Bulan-bulan awal kerajaan baharu itu kelihatan menjanjikan. Namun, kemajuan terbantut, dan peristiwa ‘Langkah Sheraton’ pada tahun 2020 menyebabkan kerajaan PH tumbang.
Apa yang menyusul kemudian ialah satu tempoh ketidakstabilan politik yang melelahkan. Sebahagian besar harapan pada tahun 2018 akhirnya bertukar menjadi kekecewaan.
Pilihan raya umum berikutnya pada bulan November 2022 membuka satu lagi peluang. Namun, tiada gabungan parti yang berjaya memperoleh majoriti.
Anwar Ibrahim, yang sekian lama dianggap sebagai wajah gerakan reformasi, dilantik sebagai perdana menteri. ‘Kerajaan perpaduan’ pimpinannya turut merangkumi BN – gabungan yang telah ditentang oleh golongan reformis selama berdekad-dekad.
Kembalinya PH ke tampuk kuasa disambut dengan rasa lega selepas bertahun-tahun dilanda ketidaktentuan. Walau bagaimanapun, orang ramai kekal berhati-hati, dan perasaan itu berasas.
Boleh difahami jika reformasi mengambil masa. Namun, banyak reformasi yang sekian lama dituntut oleh masyarakat sivil telah ditangguhkan, dilemahkan atau diketepikan.
Undang-undang yang bersifat menindas, seperti Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, masih terus digunakan. Kadangkala ia digunakan oleh pihak-pihak yang suatu ketika dahulu pernah berkempen menentang undang-undang tersebut.
Penahanan pemimpin Mandiri
Layanan yang diterima baru-baru ini oleh kumpulan yang diterajui golongan muda, Mandiri, menunjukkan betapa jauh lagi perjalanan yang perlu ditempuhi.
Menurut Mandiri, awal bulan ini [September], akaun bank mereka dibekukan dan larangan perjalanan dikenakan tanpa sebarang penjelasan kepada umum.
Kemudian, pada 18 September, pihak polis menyerbu pejabat yang dikongsi oleh Mandiri dengan Hayat, sebuah kumpulan yang menentang hukuman mati.
Seterusnya, pada 22 September, polis menahan pengarah eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi, dan pengarah kewangannya, Dobby Chew, di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram. Mereka telah hadir secara sukarela di hadapan pegawai penyiasat untuk memberikan keterangan. Kedua-duanya kemudian dibebaskan, namun siasatan masih diteruskan.
Walau apa pun kesudahannya, cara tindakan keras ini dilakukan menghantar mesej yang menggerunkan kepada sesiapa sahaja yang bersuara. Undang-undang yang bertujuan memerangi pengubahan wang haram tidak seharusnya digunakan untuk menakut-nakutkan masyarakat sivil.
Perkara ini tidak boleh diterima di bawah kerajaan yang pernah berjanji untuk membuka ruang demokrasi. Pihak berkuasa mesti mendedahkan asas siasatan tersebut serta menarik balik pembekuan akaun dan larangan perjalanan yang dikenakan tanpa penjelasan. Mereka juga mesti menghentikan penggunaan kuasa pencegahan pengubahan wang haram terhadap kumpulan masyarakat sivil.
Nampaknya, pertukaran pihak yang memerintah tidak menjamin perubahan dalam cara kuasa digunakan.
Itulah sebabnya detik sekarang ini penting. Tekanan terhadap masyarakat sivil bukanlah satu isu terpencil. Ia merupakan sebahagian daripada kerja reformasi demokrasi yang belum selesai.
Malah, kemajuan yang perlahan menjadikan peranan masyarakat sivil semakin penting, bukan sebaliknya. Apabila kerajaan bertukar tetapi struktur asas kekal, perlu ada pihak yang bersedia untuk mempersoalkan, meneliti dan menuntut akauntabiliti.
Hal ini telah difahami oleh Aliran sejak ditubuhkan pada tahun 1977. Ia terus membangkitkan persoalan mengenai demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan sosial di bawah setiap kerajaan yang pernah memerintah Malaysia.
Setelah terlibat dengan Aliran selama hampir dua dekad, saya sendiri telah menyaksikan beberapa perubahan tersebut. Saya juga melihat betapa mudahnya untuk berasa tawar hati apabila, selepas bertahun-tahun berjuang, kemajuan tidak sentiasa dicapai sepantas yang kita harapkan.
Harapan dalam perjuangan yang panjang
Namun, kita juga harus mengingati tahun 2018. Selama bertahun-tahun, perubahan kelihatan mustahil. Kemudian, secara tidak disangka-sangka, ia berlaku.
Perkara ini seharusnya membuatkan kita berhati-hati untuk tidak menganggap keadaan hari ini sebagai sesuatu yang kekal. Kita tidak tahu bila perubahan akan berlaku lagi, atau dalam bentuk apa ia akan muncul. Namun, masa depan tidak terikat kepada masa kini.
Itulah erti harapan dalam sebuah perjuangan yang panjang. Ia bukanlah satu kepastian bahawa segala-galanya akan menjadi seperti yang kita inginkan. Ia adalah kesedaran bahawa keadaan boleh berubah, dan bahawa apa yang kita lakukan sementara itu penting.
Václav Havel menghabiskan masa bertahun-tahun sebagai seorang disiden sebelum menjadi presiden Cekoslovakia yang bebas. Beliau mengungkapkannya begini: harapan “bukanlah keyakinan bahawa sesuatu perkara akan berakhir dengan baik, tetapi kepastian bahawa sesuatu perkara itu bermakna, tidak kira bagaimana kesudahannya nanti.”
Perjuangan demi Malaysia yang lebih demokratik sejak awal lagi tidak mungkin dimenangi hanya melalui satu pilihan raya atau satu kerajaan. Pengajaran tahun 2018 bukanlah bahawa perubahan itu mudah. Pengajarannya ialah bahawa perubahan itu boleh berlaku.
Dan apabila kemajuan kelihatan perlahan, itu sudah cukup menjadi alasan untuk kita terus melangkah.
Chris Chong
Editor bersama, surat berita Aliran
28 September 2026
Diterjemahkan oleh Zikri Rahman
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


