Pilihan raya 2022: Sampai bila mengharap ganjaran?

Formula Umno dalam memberi ganjaran dan hadiah percuma tidak banyak memberi manfaat untuk kebaikan jangka panjang masyarakat

Beberapa tahun yang lalu, semasa saya memandu di jalan belakang sekitar Sepang, tiba-tiba saya dihurungi oleh segerombolan Mat Rempit.

Hanya beberapa kilometer kemudiannya, segerombolan itu bersusun beratur di stesen minyak. Saya dapat tahu kemudiannya bahawa Najib Razak sedang memberikan petrol percuma di sana. Seperti lebah yang menghurung madu, radar segerombolan ini juga tahu bilamana adanya hadiah percuma sebegini.

Ketika itu barulah saya sedar bahawa mengekalkan lambakan pengundi muda Melayu miskin yang ketagih hadiah percuma adalah satu strategi yang menguntungkan pemimpin Umno seperti Najib Razak. Ia adalah simpanan tetap undi bagi ahli politik yang licik bila datangnya pilihan raya.

Justeru, sekarang ini, saya menjadi cemas dan resah. Apa yang disebut oleh Zahid Hamidi sebagai “ibu kepada semua pilihan raya” ini, barangkali akan diputuskan oleh undi orang Melayu sebegini, di mana para pemimpin Umno telah menyuap begitu banyak ‘makanan percuma’ – dan beberapa yang lain lagi.

Saya sering diberitahu bahawa dalam hidup, tiada benda yang percuma. Apabila seseorang menawarkan anda sesuatu secara percuma, mereka akan mengharapkan sesuatu sebagai balasan.

Dan benda percuma sebegini boleh menjadi sangat mahal, terutamanya apabila ia termasuk soal harga maruah, kebebasan dan peluang seseorang.

Namun, dapat makan percuma atau mengisi minyak percuma sebagai pertukaran dengan undi nampaknya bukanlah harga yang terlalu tinggi untuk dibayar – kan?

Ia boleh jadi sebegitu jika ia bermakna bahawa seseorang dibiarkan menjadi terlalu miskin, sehinggakan setangki petrol percuma itu yang dimahukannya. Atau jika seseorang itu terlalu ‘dipatahkan kakinya’, sehingga mereka memerlukan dasar kuota bagi mengatasi persaingan. Atau jika seseorang itu menjadi pengemis, yang hanya menunggu sisa di stesen minyak!

Selepas lima dekad dasar tindakan afirmatif, apa yang bermaruahnya dengan keadaan sebegini? Apakah yang difikirkan oleh pemimpin Umno ini?

Bukankah Dr Mahathir Mohamad sendiri yang mengatakan bahawa orang Melayulah yang masih mengemis di negara sendiri?

READ MORE:  Election 2022: One vote, two goals - Save Malaysia, destroy Umno

Namun, siapa pula yang selama ini menerajui negara dan mempunyai semua peluang bagi melakukan perubahan yang penting bagi orang Melayu, jika bukan Umno?

Jadi, saya tertanya-tanya sekarang, adakah ini ‘maruah Melayu’ versi Umno.

Saya telah tinggal dan bekerja dengan orang Melayu sepanjang hayat saya. Kebanyakan mereka adalah orang yang baik hati dan patuh kepada Tuhan. Seperti yang saya faham, Islam mengajar seseorang untuk beriman kepada rezeki, ihsan, rahmat, serta dalam soal memberi dan menerima sedekah dengan penuh keikhlasan, rendah diri dan syukur.

Ironinya, sifat-sifat ini jugalah yang menjadikan ramai orang Melayu menjadi sasaran mudah untuk para oportunis dan penipu yang tidak bertanggungjawab yang telah belajar bagaimana hanya untuk memberi ganjaran dengan harapan mendapatkan sesuatu sebagai balasan. Tiada Muslim yang baik akan selesa ‘menggigit’ tangan yang mereka percaya telah memberi mereka makan. Dan ini merupakan masalah yang serius.

Syarikat berkaitan kerajaan tertentu seperti Felcra dan Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah), yang telah ditubuhkan untuk membantu orang Melayu menjadi makmur, kini mengumumkan pemberian malah menghapuskan hutang.

Mungkin sudah tiba masanya untuk bertanya kepada pemimpin ini beberapa soalan yang sukar.

Adakah waktu pembayaran ini boleh difahami sebagai dorongan untuk mempengaruhi undi?

Atau adakah ini cubaan mereka untuk mengalih pandangan serta menenangkan ahli mereka memandangkan prestasi syarikat yang patut dipersoalkan ketika ini?

Kebanyakan syarikat berkaitan kerajaan kita telah mendapat rekod prestasi yang lemah, bahkan sebelum wabak Covid melanda lagi. Felda dan Tabung Haji merupakan syarikat yang terlintas dalam fikiran.

Malah Pos Laju juga telah gagal untuk bersaing dengan syarikat kurier swasta yang telah berkembang pesat semasa penutupan pandemik. Malaysia Airlines juga sudah terlalu banyak kali berada dalam keadaan kesesakan.

Menyelamatkan syarikat yang gagal, mengabaikan laporan audit yang buruk, dan menyalahgunakan kuasa seseorang untuk melindungi CEO dan pemimpin yang penipu telah menjadi budaya di negara ini terlalu lama.

READ MORE:  General election - 2022 or 2023? That is the question!

Kerosakan yang dilakukan oleh amalan sebegini cukup melumpuhkan. Hanya kerana 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapanlah yang membuatkan Najib masuk penjara dan ‘kelompok mahkamah’ sedang menunggu perbicaraan dan perbicaraan rayuan mereka.

Sebagai ibu bapa dan guru yang bertanggungjawab, saya tahu bahawa ‘menyelamatkan’ kanak-kanak apabila mereka menghadapi masalah atau menutup sebelah mata apabila mereka melakukan kesalahan adalah resipi sebuah kegagalan. Jadi mengapa kita menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan yang gagal ini berulang kali?

Kemiskinan di kalangan orang Melayu masih berterusan walaupun tindakan afirmatif di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar ini telah melihat bagaimana imbuhan, duit komisen, faedah dan bonus yang tidak berkesudahan selama lebih lima dekad. Namun begitu, orang Melayulah yang terus menjadi antara demografi termiskin di negara ini.

Di mana silapnya?

Setelah menjadi ibu bapa dan guru, saya boleh memberitahu anda satu atau dua perkara tentang proses pembelajaran. Saya boleh memberitahu anda bahawa seperti kanak-kanak, usahawan dan ahli perniagaan perlu belajar untuk berkembang maju dengan beberapa jenis kesukaran sebelum mereka dapat mengembangkan kekuatan, watak, ketabahan dan ketahanan.

Melakukan kesilapan adalah sebahagian daripada proses. Seperti kanak-kanak, mereka juga perlu jatuh dan menguis calar di lutut – selagi ada seseorang bagi membantu mereka bangkit semula.

Dikatakan bahawa keluli paling keras berasal dari relau yang paling panas. Terlalu banyak perlindungan dan terlalu banyak peluang mudah dalam menggunakan kuota telah gagal dalam memberikan kesukaran yang perlu diatasi oleh orang ramai, dalam mencapai potensi penuh mereka.

Oleh itu, berbanding hanya takut kepada sesetengah etnik minoriti, sudah tiba masanya untuk takut kepada ahli politik yang datang menyuakan hadiah. Saya percaya jika kita terus berusaha berdasarkan perpecahan kaum, ramai orang Melayu akan kekal miskin.

READ MORE:  Pilihan raya 2022: Menuju pilihan raya yang lebih demokratik

Mungkin sudah tiba masanya untuk melihat ahli perniagaan etnik Cina dan profesional daripada etnik India sebagai rakan kongsi dan bukannya sebagai musuh. Banyak yang boleh kita semua pelajari antara satu sama lain . 

Kita perlu meratakan padang permainan – walaupun dalam usaha untuk bersikap adil, beberapa tindakan afirmatif dan beberapa peluang pastinya amat diperlukan, pada mulanya. Mereka harus bertindak sebagai perancah untuk mengekalkan pertumbuhan dan kekuatan. Mereka diperlukan sebagai kaedah untuk mencapai matlamat.

Inilah yang pada mulanya disasarkan menerusi DEB pada tahun 1970, untuk tempoh 20 tahun sehingga 1990 – namun ia gagal! Kemudian ia dilanjutkan pula selama 30 tahun lagi sehingga 2020 – dan ia gagal sekali lagi! Hari ini, tiada lagi tempoh waktu atau matlamat; hanya jurang yang mendalam tanpa harapan dengan hadiah percuma yang tidak berkesudahan.

Apabila teknologi digital mengubah semula cara kita hidup, bekerja dan bermain, sempadan kaum dan fizikal akan menjadi semakin hilang makna. Dalam dunia sebegini, sejauh manakah orang Melayu dapat berjaya?

Sudah tiba masanya untuk lebih ramai orang Melayu biasa menyedari bahawa formula Umno bagi mendapatkan ganjaran serta pemberian percuma tidak akan memberi manfaat untuk kebaikan jangka panjang masyarakat. Sudah tiba masanya orang Melayu mengundi pemimpin muda baharu yang tidak gentar menghadapi perubahan dan berfikiran terbuka, adil, beretika, rajin, bertanggungjawab dan jujur.

Kita memerlukan pemimpin yang akan mengutamakan orang miskin dan membasmi kemiskinan, tanpa mengira kaum. Kita perlu kembali hidup dengan matlamat dan bersedia mengharung kesukaran.

Dunia berubah terlalu cepat untuk kita hidup dalam ketakutan antara satu sama lain. Sudah tiba masanya kita menghadapi dunia bersama-sama sebagai rakyat Malaysia.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
31 Oktober 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments