Pilihan raya semakin hampir, forum bagi memperbaiki hubungan persekutuan-negeri pula ditangguhkan

Kita mesti mengutamakan semula agenda desentralisasi selepas pilihan raya umum akan datang

Dengan pembubaran Parlimen yang membuka laluan kepada pilihan raya umum, sebuah forum meja bulat yang dijadualkan pada 13 Oktober, melibatkan dua menteri besar dan seorang ketua menteri di tiga negeri Pakatan Harapan, telah ditangguhkan.

Forum ini bertujuan bagi membincangkan langkah untuk memperbaiki hubungan persekutuan-negeri dengan rancangan akhir untuk menubuhkan jawatankuasa penyelaras semua negeri. Namun, bertanding dan memenangi pilihan raya adalah keutamaan sekarang apatah lagi apabila pilihan raya umum semakin hampir.

Biar begitu pun, mengujarkan persoalan besar dan kecil tentang tadbir urus yang baik dan memastikan kepentingan rakyat patut menjadi tumpuan utama, termasuklah juga penstrukturan semula hubungan negeri dan persekutuan di Malaysia yang mesti dimasukkan ke dalam agenda selepas pilihan raya selesai.

Pejabat ketua menteri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Penang Institute, telah membuat persediaan untuk forum meja bulat selama sehari ini, sejak dua bulan lalu.

Pada awalnya, acara ini dijadualkan pada 13 Oktober, seminggu dua sebelum pembentangan Bajet tahun depan, yang biasanya pada awal November.

Selepas tarikh acara dimuktamadkan – tiba-tiba perdana menteri memutuskan untuk membentangkan Bajet lebih awal, iaitu pada 7 Oktober pula. Perubahan tarikh ini sekali gus menafikan peluang untuk kami menuntut dana tambahan untuk negeri-negeri.

Dan kini, dengan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober, kami terpaksa menangguhkan forum tersebut. Mudah-mudahan, ia akan diadakan selepas pilihan raya, barangkali dengan kerajaan baru yang berwawasan reformis dapat mentadbir.

Tiga cadangan oleh kerajaan Pulau Pinang

Forum ini merupakan susulan kepada pengumuman Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada awal Jun lalu bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah menubuhkan jawatankuasa bagi menjalankan penyelidikan mengenai hubungan persekutuan-negeri.

Jawatankuasa ini akan membuat cadangan kepada kerajaan negeri tentang cara untuk memperbaiki hubungan tersebut, yang memihak secara berat sebelah kepada pihak berkuasa persekutuan.

Jawatankuasa ini kemudiannya menerbitkan laporan interim bertajuk “Enabling Decentralisation and Improving Federal-State Relations in the Federation of Malaya”. Dapatkan di sini.

Laporan ini mempunyai tiga usul utama:

1. Menubuhkan “Suruhanjaya Siasatan Perhubungan Persekutuan-Negeri” bagi meneliti dan menyemak sepenuhnya pengaturan kerja antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang berkaitan dengan kuasa, fungsi dan tanggungjawab dalam semua perkara berkaitan perundangan, pentadbiran, kewangan dan sosioekonomi, dalam perlembagaan rangka kerja

Turut dicadangkan adalah supaya suruhanjaya itu menangani, khususnya, tuntutan lama untuk mengagih kuasa dengan lebih luas berkaitan kewangan kepada negeri dan kerajaan tempatan. Ini juga termasuklah penjanaan hasil, pemindahan fiskal, pengagihan semula dan perkongsian cukai, penarikan sekatan ke atas pinjaman oleh negeri, dan penyamaan kapasiti kewangan semua negeri bagi menangani ketidakseimbangan fiskal.

Seringkali, ini juga merupakan gesaan untuk mempertimbangkan semula peranan Majlis Kewangan Negara, yang, sehingga kini, telah bertindak berat sebelah memihak kepada pusat itu.

2. Menubuhkan “Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri Berkaitan Desentralisasi dan Meningkatkan hubungan Persekutuan-Negeri”

Barangkali, proses itu boleh dimulakan dengan menyatukan negeri-negeri pimpinan PH, yang kelihatan lebih berminat dengan penstrukturan semula sistem persekutuan itu.

Namun begitu, matlamat akhirnya adalah untuk membawa semua kerajaan negeri, tanpa mengira gabungan parti, untuk bekerjasama bagi merealisasikan sistem persekutuan yang lebih bekerjasama, yang tidak hanya ditentukan oleh pusat. Menerusi kerjasama, negeri-negeri akan dapat memajukan kepentingan wilayah dan kawasan tempatan.

Demokrasi bukan sekadar membuang undi sekali setiap empat atau lima tahun. Pengertian dan amalan demokrasi perlu diperdalam termasuklah usaha kita dalam memantau kerajaan bagi memastikan ia merancang projek pembangunan secara bertanggungjawab dan cekap; dengan fokus meningkatkan kecekapan dalam menyampaikan bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat; dan bahawa ia tidak terlibat dalam rasuah dan menyalahgunakan wang awam.

Tidak syak lagi, ahli dewan undangan negeri di negeri-negeri yang berbeza pasti mempunyai amalan terbaik yang boleh mereka kongsikan antara satu sama lain.

3. Menubuhkan jawatankuasa tetap atau jawatankuasa terpilih untuk menguruskan hubungan persekutuan-negeri di setiap negeri

READ MORE:  Desentralisasi dan pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan

Di Pulau Pinang, ketua menteri telah menubuhkan jawatankuasa sementara untuk melihat hubungan kerja antara kedua-dua peringkat – berkaitan kewangan, kesihatan, perdagangan dan industri, kebajikan sosial, pendidikan, kerja jalan raya, pengurusan bencana, tebatan banjir, perkhidmatan awam dan lain-lain.

Kerja-kerja awalan mesti dilancarkan di setiap negeri sebelum penubuhan perkara No 2, Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri.

Jelas sekali, Matlamat 1 – menubuhkan suruhanjaya siasatan – memerlukan kelulusan kerajaan persekutuan. Oleh itu, ia boleh dimasukkan ke dalam agenda hanya selepas kerajaan yang berwawasan reformasi mendapat undian; mungkin kerajaan persekutuan yang baru bakal dipimpin PH akan menyokong usaha sedemikian.

Matlamat 3, sebaliknya, boleh diterima pakai dan dilancarkan dengan mudah oleh mana-mana negeri yang berminat. Jawatankuasa sebegini harus melibatkan ahli dewan undangan gegeri masing-masing, penjawat awam di negeri-negeri yang perlu berurusan dengan rakan sejawatan di peringkat persekutuan, dan mungkin beberapa orang yang dipanggil pakar luar mengenai federalisme.

Matlamat 2, sekali gus, menjadi sebab utama dicadangkan forum meja bulat ini yang melibatkan tiga negeri pimpinan PH – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Jika forum ini berjaya diadakan…

Sekiranya forum ini diadakan, kemuncaknya merupakan dua sesi meja bulat.

Pada sebelah paginya akan menampilkan dua menteri besar dan seorang ketua menteri: Amirudin Shari dari Selangor, Aminuddin Harun dari Negri Sembilan; dan Chow Kon Yeow dari Pulau Pinang.

Masing-masing berpeluang untuk bercerita tentang cabaran mereka dengan Putrajaya. Perbincangan itu pasti berlegar tentang hal yang sama, tidak syak lagi.

Prof Ahmad Fauzi, seorang saintis politik dari Universiti Sains Malaysia, dipilih menjadi moderator. Beliau sungguh teruja untuk melakukannya pada hari tersebut.

Prof Wee Chong Hui dari UiTM, Kuching, pula dijadualkan bercakap tentang federalisme fiskal di Malaysia dan bagaimana ia sangat berat sebelah kepada kerajaan persekutuan.

Turut dijadualkan berucap juga ialah Ahli Parlimen Tuaran dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Wilfred Tangau. Bersama yang lain dari Borneo, Tangau telah menjadi penyokong utama untuk memulihkan semula bentuk autonomi di Sabah dan Sarawak, seperti yang dijanjikan di dalam perjanjian asal Perjanjian Malaysia 1963.

Meja bulat di sebelah petang pula jadualkan menampilkan beberapa ahli majlis eksekutif kerajaan negeri melibatkan tiga negeri pimpinan PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Mereka telah bersedia untuk berkongsi pandangan mereka bukan sahaja tentang kelemahan yang terpaksa mereka hadapi tetapi juga bagaimana mereka boleh belajar antara satu sama lain tentang cara mengatasi pelbagai kekangan melibatkan kerajan persekutuan dan menentang pembulian yang dilakukan Putrajaya.

Dr Francis Loh juga dijadual bercakap mengenai proses desentralisasi yang telah berlaku di negara jiran Indonesia dan Filipina. Kedua-dua negara, walaupun tidak memakai sistem persekutuan, telah memperkenalkan undang-undang untuk memindahkan kuasa, fungsi, dana dan kakitangan kepada pihak berkuasa tempatan dan wilayah mereka. Pilihan raya juga dijalankan di peringkat bawahan kerajaan.

Menariknya, Presiden Indonesia Joko Widodo juga memulakan karier politiknya dengan dipilih sebagai datuk bandar di kota Solo, Jawa tengah. Seterusnya, beliau bertanding dan menjadi gabenor Jakarta, sebelum dipilih, dan sudah pun memasuki penggal kedua beliau, sebagai Presiden Indonesia. (Bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte juga menceburi politik dengan pertama kali dipilih sebagai datuk bandar Davao City di Mindanao, selatan Filipina). Kita pastinya boleh belajar sesuatu daripada jiran-jiran kita semua.

Akhir sekali, Dr Francis Hutchinson, yang telah membuat banyak kajian tentang Johor, akan bercakap tentang hubungan Johor dengan Putrajaya. Dalam soal ini, ingatlah bahawa Sultan Johor telah bercakap secara terbuka mengenai bagaimana negerinya itu mahu menarik diri keluar dari Malaysia lebih daripada satu kali!

Saya teruja untuk mengikuti sesi meja bulat pada sebelah petang itu kerana saya menjangkakan ahli-ahli majlis eksekutif kerajaan negeri untuk bersuara dengan lebih bebas daripada pemimpin kerajaan negeri mereka.

Saling berkongsi amalan terbaik

Negeri-negeri PH berpeluang untuk berkongsi amalan terbaik juga. Misalannya, bagaimana untuk mengatasi kekangan undang-undang yang menghalang kerajaan negeri daripada mengusahakan sesuatu di luar bidang kuasa tertentu yang hanya diperuntukkan kepada kerajaan persekutuan. Contohnya, kerajaan negeri Pulau Pinang dapat meluluskan enakmen di dewan undangan negeri untuk mewujudkan beberapa perbadanan negeri.

READ MORE:  Election looms large, forum on improving federal-state relations postponed

Ini membawa kepada penubuhan beberapa syarikat negeri, yang menampung kekurangan jabatan negeri dalam soal bidang kuasa yang ‘terhad’ tersebut.

Melalui perbadanan ini, skop operasi kerajaan negeri Pulau Pinang turut diperluaskan. Perbadanan itu termasuklah George Town World Heritage Trust Incorporated, Penang Hill Corporation, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang.

Soalan mengenai usaha serupa melibatkan pihak kerajaan negeri Selangor juga mungkin ditimbulkan dalam forum yang sama. Mungkin, sesiapa juga boleh meminta mereka untuk memberitahu kita lebih lanjut tentang UniSel – kerana Selangor adalah satu-satunya negeri di negara ini yang menjalankan universiti.

Memandangkan betapa mahalnya untuk mengendalikan sebuah universiti yang tidak bersifat keuntungan, cukup mengejutkan yang UniSel tidak menghadapi masalah kewangan. Meja bulat barangkali boleh membincangkan dan mencerahkan kita tentang perkara ini.

Ahli majlis eksekutif dari Negeri Sembilan juga boleh berkongsi pengalaman mereka. Apatah lagi, sebuah persidangan penting mengenai federalisme telah diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai pada 1-2 Julai 2019, di bawah naungan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang turut merasmikan persidangan itu.

Anaknya, Tunku Ali Redhauddin, menjadi tetamu kehormat sepanjang persidangan itu dan juga berkhidmat sebagai penasihat kepada penganjur persidangan itu. Tidak dinafikan, Negeri Sembilan dan kerabatnya menyokong usaha desentralisasi. Kita juga boleh mengambil pelajaran dari negeri tersebut.

Bakal menyusul

Susulan kepada persidangan ini juga barangkali akan melibatkan persidangan yang lebih besar dihadiri semua negeri seperti Johor, Sabah dan Sarawak. Walaupun ketiga-tiga negeri ini tidak diterajui PH, mereka sudah pasti akan menghantar ahli dewan undangan negeri mereka untuk membincangkan tuntutan untuk desentralisasi yang lebih besar. Ahli parlimen Sabah dan Sarawak yang berada di barisan hadapan dalam menuntut autonomi mereka yang dijanjikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 juga perlu hadir.

Kita boleh bersetuju bahawa pembaharuan struktur, seperti pembaharuan sistem persekutuan di Malaysia, bukanlah keutamaan untuk masa depan yang terdekat.

Walaupun Aliran ada menghantar memorandum mengenai topik ini kepada jawatankuasa pembaharuan institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan PH yang baru dipilih pada 2018, namun ia tidak diendahkan. Jawatankuasa itu lebih prihatin untuk menangani masalah yang timbul daripada penyalahgunaan institusi dan agensi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan proses pelantikan untuk badan ini dan badan lain seperti badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan pasukan polis.

Syukur di atas perubahan ini, kes melibatkan SRC International dan 1MDB telah disediakan proses pendakwaan yang teliti, dan bekas PM kita akhirnya didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah. Hakim persekutuan yang baharu dilantik menunjukkan kekuatan dan integriti mereka dengan berdiri teguh menentang ancaman dan kritikan yang ditujukan kepada mereka oleh penyokong bekas PM itu.

Pun begitu, keseluruhan persoalan tentang pemusatan kuasa dan dana ini mesti dimasukkan ke dalam agenda secepat mungkin. Tanpa desentralisasi, bagaimanakah kita dapat merancakkan penglibatan dalam demokrasi kita selain daripada membuang undi sekali setiap empat atau lima tahun?

Pendesentralisasian juga membolehkan kita mendesak akan sesuatu isu, merancang dan melaksanakan projek dan program yang kita, sebagai rakyat, anggap penting dan dekat dengan masyarakat.

Desentralisasi juga akan meningkatkan peranan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan kita juga. Seperti yang ditemui oleh negara-negara di seluruh dunia, desentralisasi akan dapat menggunakan pengetahuan tempatan, meningkatkan kecekapan dan tanggungjawab terhadap pekerjaan, dan meningkatkan tadbir urus untuk rakyat.

Di mana kita perlu bermula?

Pastinya, inkuiri yang sistematik dan menyeluruh perlu dijalankan oleh sebuah suruhanjaya siasatan yang melibatkan rakyat dari pelbagai peringkat kerajaan, serta pelbagai lapisan masyarakat. Hubungan persekutuan-negeri, seperti yang dibincangkan dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan dan dihuraikan dalam Jadual Kesembilan dan Kesepuluh, mesti diteliti semula.

READ MORE:  Federalism - Do states know best?

Lebih banyak jawatankuasa antara kerajaan diperlukan untuk menggalakkan usaha sama, perundingan dan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri. Setakat ini, Perlembagaan hanya memperuntukkan tiga badan antara kerajaan – majlis kebangsaan bagi hal tanah (Perkara 91), kerajaan tempatan (Perkara 95A) dan kewangan (Perkara 108).

Kerajaan pusat telah mewujudkan beberapa majlis antara kerajaan bagi menguruskan hal-hal perhutanan, keselamatan dan perancangan pembangunan. Namun, semuanya dipengerusikan oleh PM atau menteri-menterinya dan dikuasai oleh kerajaan pusat.

Kita tidak boleh kembali kepada sistem pentadbiran berpusat seperti yang berlaku di bawah Perdana Menteri Najib Razak, yang memusatkan kira-kira lebih 10 menteri dan lima atau enam timbalan menteri di pejabat perdana menteri – di mana semuanya bertanggungjawab secara langsung kepadanya. Pejabat PM menarik begitu banyak dana daripada kementerian lain, apatah lagi dana dari negeri.

Selain daripada menubuhkan suruhanjaya penyiasatan, kita harus terlebih dahulu melakukan desentralisasi dengan menyelesaikan perkara-perkara yang mudah dahulu.

Berikutan pandemik Covid, kita tahu bahawa desentralisasi perkhidmatan kesihatan awam diperlukan. Jadi, dana dan kakitangan tambahan mesti disediakan untuk negeri dan kerajaan tempatan dalam melaksanakan fungsi ini. Mereka boleh melengkapkan usaha Kementerian Kesihatan dengan cekap.

Banjir tahun lalu juga mengakibatkan huru-hara, disebabkan oleh ketidakcekapan dan pengabaian pihak berkuasa yang berkaitan, serta bertambah buruk akibat perubahan iklim. Dalam hal ini, perkara melibatkan pengurusan bencana – seperti mengendalikan banjir dan mengawal kebakaran, misalnya perkhidmatan bomba, penyelamat dan kecemasan – juga harus didesentralisasikan kepada negeri dan pihak berkuasa tempatan juga.

Kita semua juga boleh bersetuju bahawa sudah tiba masanya bagi negeri-negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mengawal pengangkutan awam darat, terutamanya di bandar-bandar dan pekan-pekan yang lebih besar. Tiada sebab mengapa Putrajaya perlu mengawal pengeluaran lesen bas dan teksi, apatah lagi dalam soal menentukan laluan bas.

Malahan, kebanyakan fungsi ini pernah dimasukkan dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan tempatan. Di Pulau Pinang, majlis bandar raya pernah mengendalikan bas yang merentasi bandar. Orang dewasa berulang-alik ke tempat kerja menggunakan bas ini, manakala kanak-kanak menggunakannya untuk sampai ke sekolah tepat pada masanya, seperti yang pernah saya lakukan dahulu.

Kita juga bersetuju bahawa kereta api (KTM) yang merentasi semenanjung harus di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan.

Kita tidak pula mencadangkan bahawa setiap negeri perlu memulakan syarikat penerbangan mereka sendiri. Kami hanya mengatakan biarlah setiap negeri dapat menguruskan sendiri bas dan teksi.

Juga tiba masanya untuk mengembalikan pemusatan kemudahan awam. Pihak berkuasa tempatan dan negeri boleh mengendalikan bekalan dan pengagihan air, rawatan kumbahan dan pelupusan sisa pepejal dengan mudah. Tentunya, mereka boleh menjalankan perkhidmatan ini dengan lebih cekap dan berkesan daripada Putrajaya. Ini adalah pengajaran daripada pengalaman di seluruh dunia sekarang.

Namun, perkhidmatan ini juga tidaklah perlu diswastakan. Memungut sampah, merawat air kumbahan, dan melesenkan bas dan teksi bukanlah hal yang sukar. Ia boleh dilakukan oleh pihak berkuasa awam di peringkat tempatan dan negeri.

Yang jelas terjadi adalah pemusatan yang meluas melibatkan banyak bidang kuasa, dan mengakibatkan penswastaan ​​yang seringkali disalahgunakan oleh kroni kerajaan Umno-Barisan Nasional, atas nama Dasar Ekonomi Baru.

Walhal, DEB adalah sebuah dasar yang digubal untuk membantu golongan miskin tanpa mengira kaum serta berkongsi kekayaan dan kesaksamaan dengan masyarakat bumiputera.

Kita mesti menghentikan penyalahgunaan DEB oleh Umnoputra dan kroni mereka, termasuklah mereka yang Melayu dan bukan Melayu. Jadi, desentralisasi dan penstrukturan semula hubungan persekutuan-negeri ini akhirnya akan membasmikan rasuah juga.

Oleh itu, kita mesti meletakkan semula desentralisasi dalam agenda selepas pilihan raya umum akan datang.

Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
17 Oktober 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments