Perubahan perlu hadir dari bawah

Inilah masanya untuk mencari semula makna kita sebagai sebuah negara – dan diri sendiri dalam prosesnya

ANDER BURDAIN/UNSPLASH

Lebih kurang sebulan yang lalu, saya ikut bersama perjumpaan bersama keluarga dan beberapa kawan serta beramah mesra selepas beberapa bulan kuncitara.

Seperti biasa, perbualan kami seringkali menjurus kepada keadaan negara kita yang semakin tenat.

Ketika berbincang, salah seorang di antara kami melontarkan sebuah persoalan hipotetikal: “Apakah sebuah perkara yang akan kita lakukan, bagi membuat sebuah perubahan yang jelas … jika kita mempunyai kuasa eksekutif?” 

Persoalan ini mengingatkan saya kepada karangan yang perlu kita tulis ketika di bangku sekolah dulu. Cumanya sekarang, kita semua sudah dewasa, dan persoalan ini pastinya mengandungi teka-teki yang mempunyai pelbagai dimensi untuk kita terokai. Di mana kita akan bermula jika bukan pada permasalahannya, kan?

Sementara setiap seorang daripada kami yang ada ketika itu membawa pulang soalan yang sukar ini untuk direnung bersama, banjir tiba-tiba menyelubungi keseluruhan negara kita. Dalam satu malam, air deras memberi kesan kepada sebahagian tempat di Selangor – serta, dalam beberapa hari selepas itu, Pahang dan Johor turut terkesan – dan ribuan warga terpaksa dipindahkan dari rumah mereka, mengakibatkan kerugian melibatkan berbilion ringgit, serta beberapa nyawa lainnya.

Banjir ini sekaligus membongkar ‘permasalahan’ yang sedia ada wujud. Cukup mudah bagi sesiapa yang mengikuti isu banjir ini lewat media sosial untuk memahami bagaimana kerajaan kita tidak mempunyai empati, tiada komitmen terhadap integriti, serta kurang kecekapan dalam cara mereka menguruskan banjir.

Kita tahu bahawa pam air yang kritikal berada di pintu pasang surut di Shah Alam itu tidak diselenggara selama berbulan lamanya walaupun sudah beberapa kali diberikan peringatan. Nampaknya, beberapa lokasi pusat tadahan banjir turut ditanda di dalam pelan tindakan sebagai kawasan pembangunan, di mana dengan penuh misteri dan mencurigakan kemudiannya dijadikan sebagai kawasan pembinaan.

Dan lambatnya kerajaan dalam bertindak bagi menyediakan bantuan banjir cukup tidak boleh dimaafkan oleh mangsa banjir. Ironinya, orang biasa – termasuklah para migran – antara yang pertama turun membantu mangsa banjir dengan memberikan bantuan lebih cepat dari apa yang dapat dilakukan oleh kerajaan.

Saatnya kerajaan akhirnya bertindak, ia menjadi semakin jelas bahawa mereka tidak tahu caranya untuk bertindak dengan pantas, cekap dan lincah. Sebaliknya, pemimpin politik hanya tahu cara lapuk dalam menguruskan banjir dengan menganjurkan makan malam kebajikan, mencetak baju serta menangkap gambar, sementara ribuan yang lain terpaksa menanti di atas atap rumah mereka yang hampir tenggelam, menanti untuk diselamatkan.

READ MORE:  Journeying into optimism

Cerita yang dikongsi ini hanya sekelumit dari apa yang dilalui mangsa seperti begitu banyak cerita yang tular di pelantar media sosial. Setiap satunya pasti bersangkutan dengan penderitaan yang berpunca dari pemimpin politik kita, di mana kebanyakan mereka ini meneruskan budaya endemik yang melibatkan sikap ambil mudah serta senang berpuas hati dan terdedah kepada penyalahgunaan kuasa.

Pemimpin serta penguatkuasa awam jelas tidak bersedia berhadapan hal ini dan nampaknya lebih mudah menuding jari terhadap orang lain kecuali diri mereka sendiri. Terus-terang, kita mengalami krisis ketiadaan kepimpinan yang serius.

Bagaimana semua ini terjadi? Pendedahan ini – ketidakcekapan, ketidakbertanggungjawaban, ketiadaan integriti serta ketelusan – merupakan isu yang serius. Barangkali kita memerlukan perubahan kepada keseluruhan kerajaan berbanding melihat kepada satu dua perkara ajaib yang dapat melakukan perubahan.

Parti politik yang sama telah menguasai Malaysia enam dekad lamanya. Tidak dapat tidak, ia menjadi sangat tidak boleh diharap. Barangkali kerana mereka berada di tampuk kuasa terlalu lama. Barangkali garis halus di antara negara dan kerajaan menjadi semakin kabur di mana kesetiaan kepada negara sekali gus difahami sebagai kesetiaan kepada kerajaan.  

Di dalam budaya yang sebegini – mempersoal, mengkritik serta mencabar struktur politik – tidak kiralah betapa tidak beretikanya struktur ini – jarang-jarang dilakukan. Jika pun ia dilakukan, barangkali akan ditanggapi sebagai tindakan menghasut pula!

Saya juga cuba untuk memahami jika perkara ini terjadi kerana kejanggalan adat Melayu itu sendiri – melibatkan tradisi budaya serta bahasa yang halus serta tidak bersifat konfrontasi – dengan sistem demokratik, yang hidup dengan konflik, konfrontasi serta pertikaian dalam memastikan ia dapat berfungsi secara efisien.

Di dalam konteks ini, saya dapat memahami mengapa retorik Siti Kasim terhadap kepimpinan yang ada hari ini dengan mudah dapat diketepikan.

Saya juga dapat memahami mengapa dakwaan Ain Husniza Saiful Nizam terhadap gurunya tidak mendapat sambutan meluas.

Dalam hal yang sama, saya dapat memahami mengapa pegawai awam seakan-akan tampak lumpuh. Mereka seakan-akan tidak berdaya untuk memberikan pandangan sendiri serta berfikir di luar kotak, tanpa adanya arahan atau kebenaran dari mereka yang di tampuk kekuasaan.

Saya akhirnya dapat memahami mengapa sesetengah teman Melayu saya merasakan perkongsian kritikan terhadap sistem perkhidmatan awam menerusi aplikasi media sosial dilihat sebagai seakan-akan satu serangan.

READ MORE:  'More Malays must speak up!'?

Barangkali apa yang terjadi selama ini adalah keseluruhan sistem sivil yang herot sehinggakan kita turut merasa takut dengan polis jika dilihat terlalu banyak mempersoal tindakan pemimpin kita. Ataupun kita hanya menanti dengan penuh kekhuatiran setiap kali kes yang kontroversi diadili di mahkamah kerana kebanyakan dari kita tidak lagi pasti akan sistem kehakiman kita.

Sistem kita nampaknya tidak ditampung oleh nilai demokratik, apatah lagi jika ia didukung oleh sistem pendidikan yang cenderung memberat kepada pengajian agama. Debat yang terbuka dan bebas bukanlah sebahagian dari dinamika yang dianjurkan di dalam kelas keagamaan.

Jadi, apa satu perkara yang dapat kita lakukan untuk menjalankan perubahan? Bagaimana kita mahu membetulkan semula negara ini? Adakah dengan menukar sistem pendidikan? Apakah kita memaksa mereka yang di atas untuk mencapai integriti? Patutkah kita menunjukkan kuasa kita dengan menguatkuasakan undang-undang yang telah digariskan di dalam banyak tatacara serta dokumen prosedur perkhidmatan awam?

Dalam saya menimbang hal ini, Dr Edmund Terence Gomez kemudiannya meletak jawatan sebagai salah seorang anggota di dalam panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Pada masa sama, kita berhadapan dengan banjir yang cukup luar biasa.

Wajah Azam Baki sekarang berada merata di dalam pelantar media sosial bagi menunjukkan kemarahan yang jelas – serta tidak tertahan lagi! Inilah orangnya – seorang ketua pesuruhanjaya itu sendiri – yang didakwa memiliki perkongsian saham yang cukup bernilai.

Beliau bukan sahaja kononnya melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, tindakannya ini juga sekali gus menimbulkan persoalan dari mana datangnya sumber yang digunakan bagi membeli saham itu. Persoalan ini barangkali akan membongkar lebih banyak hal.

Kesangsian sebegini ada gunanya. Ia dapat membersihkan sistem dengan membuka peluang bagi mereka yang didakwa untuk mengemukakan bukti bagi membersihkan nama mereka. Yang mengejutkan, tidak ada sekelumit pun penjelasan yang diberikan oleh Azam mempunyai bukti yang kukuh untuk menyatakan yang dirinya tidak bersalah, kecuali hanyalah semata-mata penafian.

Meliputi segenap hal ini adalah bagaimana Azam didakwa dapat melepasi semua tatacara semakan di dalam sistemlah yang cukup membingungkan kita. Perkhidmatan awam di kelilingnya tidak pula mahu membetulkan apa yang terjadi; sebaliknya mereka satu-persatu menyatakan sokongan pula kepada Azam.

READ MORE:  16th death in police custody this year: What is the status of reforms?

Kenyataan bahawa beliau didakwa menyalahi peraturan serta tatacara perkhidmatan awam bukan saja tidak diendahkan, malahan tidak dipeduli. Tindakannya dalam mahu menghukum pemberi maklumat itu sendiri juga tidak dihiraukan.

Pada satu ketika, hal ini turut dijadikan isu bagi melaga-lagakan Melayu dan bukan-Melayu. Menariknya, kedua-dua Terence Gomez dan Lalitha Kunaratnam (pemberi maklumat) adalah bukan-Melayu, sekali gus mengabsahkan spekulasi awal saya mengenai budaya Melayu dan keengganannya untuk mengganggu-gugat sistem yang sedia ada, serta keyakinan penuh Azam terhadap budaya sedemikian.

Tidak kiralah jika kita merasakan Azam itu bersalah atau tidak; yang jelas adalah bahawa beliau merasakan kita semua seakan orang bodoh. Barangkali beliau salah dalam menganggap kita semua hanya akan berpaling dan memilih untuk tidak kisah. Beliau mungkin merasakan kita semua buta.  

Saya tidak lagi merasakan kita perlu bergantung harap pada mana-mana eksekutif untuk membuat sebarang perubahan signifikan dari tampuk kuasa. Sistem ini terlalu tepu dengan budaya tidak ambil kisah serta rasuah yang menggagalkan segala jalan bagi pembaharuan.

Sebaliknya, perubahan perlu hadir dari bawah. Ia perlu datang secara kolektif, dari kalian semua dan saya sendiri.

Namun, perubahan sebegini akan mengambil masa – kerana ia membentuk masa hadapan dengan mendesak tekanan dari bawah – dengan pertamanya memfokuskan kepada apa yang dapat kita persetujui bersama, tentang apa yang setiap dari kita tidak mahukan. Harapnya, sistem ini secara beransur-ansur akan dapat diperbaiki.

Ia sungguh melegakan untuk melihat begitu ramai anak muda Melayu yang bersuara di pelantar seperti TikTok dan YouTube. Mereka mula sedar dan memahami bahawa kita tidak lagi mampu untuk membutakan atau memilih untuk diam. Barangkali, inilah permulaan bagi sebuah perubahan.

Sementara itu, Azam sudah pun dipanggil untuk bertemu dengan jawatankuasa terpilih khas parlimen hasil dari tekanan yang tidak putus-putus secara kolektif, dari begitu banyak petisyen, oleh kenyataan bersama masyarakat sivil serta suara begitu ramai rakyat biasa di media sosial.

Ke mana semua ini akan menghala bergantung kepada betapa siap siaganya kita nanti. Barangkali satu hari nanti, kita mungkin dapat mencari semula makna kita sebagai sebuah negara dan mencari diri kita sendiri semula.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
18 Januari 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments