Pertembungan pilihan raya 2022! Tawfik melawan Zahid – Rakyat melawan Rasuah

Ia lebih dari sebuah pertembungan peribadi; ia merupakan sebuah pertembungan sistem nilai yang berlawanan

Tawfik Ismail seorang sosok sederhana dengan tugas besar.

Namanya tidak membawa sebarang gelaran kehormatan. “Panggil saja saya Tawfik,” katanya.

Lelaki ini sebenarnya adalah anak kepada Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman – “perdana menteri terbaik yang tidak pernah dimiliki Malaysia.”

Saya telah mengenali Tawfik bertahun lamanya dan masih ingat ketika beliau telah menawarkan surat dan tulisan bapanya kepada Institut Kajian Asia Tenggara (Iseas) di Singapura, di mana saya adalah felo pelawat kanan kira-kira 16 tahun yang lalu.

Menerusi bantuan Tawfik, Dr Ooi Kee Beng, yang bersama saya di Iseas pada masa itu, menulis biografi terlaris Ismail – The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time.

NST

Ini diikuti dengan edisi Melayu yang berjudul Bukan Kerana Pangkat: Tun Dr Ismail dan Masanya. Edisi Mandarin juga akan dikeluarkan tidak lama lagi, Tawfik memberitahu saya.

Seperti bapanya, Tawfik merupakan seorang ‘ahli politik yang keberatan’ yang wujud di Malaysia kini. Beliau melihat kewajipannya untuk terjun kembali ke dalam politik sebagai menyelamatkan Malaysia daripada keadaan yang teruk. Beliau berikrar untuk menentang presiden Umno Zahid Hamidi di mana sahaja beliau berada dalam pilihan raya umum akan datang.

Tawfik seorang yang berhati mulia dengan tugas yang besar. Semua rakyat Malaysia yang berfikiran jernih mesti memberikan sokongan mereka kepada Tawfik untuk mengalahkan Zahid. Ini akan menjadi langkah penting untuk menghalau kleptokrat Malaysia ke dalam tong sampah sejarah untuk selama-lamanya!

Di bawah merupakan intipati perbualan saya dengan Tawfik pada 15 Oktober lalu di sebuah lokasi di Taman Tun Dr Ismail, yang dinamakan bersempena nama bapanya itu.

Mengapa saya keluar Umno

Johan: Beritahu kami secara ringkas tentang diri anda dan mengapa anda memulakan Gerak Independent.

Tawfik:  Saya berlatarbelakangkan bidang sejarah dan politik, tetapi cinta pertama saya adalah sejarah. Saya melihat sejarah dari sudut pandangan sebagai ‘bayi Merdeka’ (dilahirkan pada 1951) dan telah melihat peristiwa selama beberapa dekad serta mengalami keadaan di bawah perdana menteri dari Tunku (Abdul Rahman), Tun Razak (Hussein), (Dr) Mahathir (Mohamad) dan lain-lain sehingga kini.

Ia sebuah perjalanan yang agak merbahaya kerana saya menyaksikan bagaimana Malaysia semakin tenggelam dalam isu perkauman dan perihal keagamaan yang terlalu meluas – yang saya maksudkan di sini adalah bahawa kedua-dua faktor ini mewarnai pemikiran kita dalam setiap perkara yang kita lakukan di sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya di dalam negara yang kita cintai ini.

Bercakap sebagai orang Melayu, saya merasakan bahawa kita tidak boleh menganggap diri kita sebagai ‘Melayu dan mereka yang lain-lain’.

Dahulu kita berbangga dengan kepelbagaian kita.

Golongan pelampau Islam telah membuatkan kita berfikir dalam kerangka ‘Muslim dan lain-lain’ dan bukannya sebagai rakyat Malaysia. Ini adalah proses pemikiran yang sangat memundurkan yang telah diterapkan dalam minda Melayu dari sumber asing, seperti Revolusi Iran atau pengaruh dari Timur Tengah, yang sama sekali asing dengan konsep Islam Nusantara kita sendiri.

Mengapa Gerak Independent?

Saya merupakan seorang ahli parlimen selama satu penggal pada 1986-1990 dan sangat kecewa dengan cara Mahathir ‘membunuh’ Umno pada 1987. Ini berlaku apabila beliau mencipta ‘Umno Baru’, yang saya lebih suka untuk tidak memanggilnya sebagai Umno tetapi sebuah parti Frankenstein milik Mahathir.

READ MORE:  Malaysia celebrates six decades of independence with concerns and blessings

Peristiwa lain yang membuatkan saya menjauhkan diri daripada parti itu ialah ketika Najib (Razak) sedang mencari timbalan presidennya. Sewaktu itu, saya berada di bahagian Pontian, dan saya telah membantah Muhyiddin (Yassin) menjadi orang nombor dua, kerana saya mahu mempunyai seseorang yang lebih kuat untuk menyokong Najib bagi menentang Mahathir.

Saya mencadangkan Shahrir Samad sebagai timbalan; namun idea saya tidak diberi sokongan. Saya kemudian keluar Umno sekitar 2009.

Selepas berdiam diri untuk sekian lama, saya mengalihkan perhatian saya kepada isu integrasi nasional dan saya melahirkan Malaysia First. Ia sebuah pergerakan yang digerakkan menggunakan WhatsApp, di mana saya menjemput rakan dan penyokong untuk menyertai saya dalam usaha ini. Saya sangat terkejut dengan pengikut yang ramai hadir melibatkan cendekiawan awam serta ahli politik yang tidak berpuas hati.

Selepas Malaysian First dilahirkan, saya pergi meninjau pilihan raya negeri Sabah pada 2020 dan terkejut dengan tahap rasa permusuhan rakyat Sabah terhadap semenanjung. Luka kepada hal ini bertitik-tolak daripada syarat MA63 [Perjanjian Malaysia 1963] serta ahli politik semenanjung yang tidak mengiktiraf hak Sabah dan Sarawak.

Selepas itu, beberapa rakan kemudian berkumpul untuk melihat apa yang perlu dilakukan, kerana kami merasakan parti politik yang ada terlalu kaku. Idea-idea baru tidak dapat menembusi tembok parti politik kita.

Kami fikir bahawa kami harus melihat kepada idea calon bebas, dan maka itu kami tubuhkan Gerak Independent. Kami mahu orang ramai sedar bahawa terdapat alternatif kepada kepimpinan melangkaui parti politik.

Mengapa saya bertembung dengan Zahid

Tawfik vs Zahid, David vs Goliath: Semua mata tertumpu kepada pertembungan gergasi ini – SINAR HARAPAN

Mengapa anda membuat keputusan untuk menentang Zahid di kawasannya di Bagan Datuk, Perak, atau di mana-mana kawasan pilihan raya yang akan ditandinginya?

Sebelum saya membuat keputusan ini, saya agak neutral tentang apa yang akan berlaku pada pilihan raya umum nanti.

Namun kemudiannya, apabila saya melihat peristiwa semasa perbicaraan Zahid dan bagaimana kes pertamanya ditolak oleh hakim, saya menjadi sangat bimbang. Ucapan beliau di mana beliau mengenal pasti siapa timbalannya dan anggota kabinet BN yang lain sebagai sasaran penyiasatan seterusnya, jika mereka kalah dalam pilihan raya akan datang, membuatkan saya berfikir bahawa lelaki ini perlu dihentikan.

Beliau sudah menunjukkan belangnya – bahawa dia mempunyai kecenderungan sayap kanan yang melampau, dan jika BN menang, mereka akan mengubah undang-undang dan kita semua akan dilemparkan kembali ke zaman kegelapan!

Suatu hari, saya berfikir bagaimana saya boleh menghentikan hal ini. Dan keesokan paginya, saya membuat kenyataan kepada kumpulan Malaysia First bahawa saya akan menentang Zahid Hamidi di mana-mana saja kawasan pilihan raya yang beliau pilih untuk bertanding, bagi menghalangnya daripada menjadi ketua yang sangat diidamkannya dan ia akan menjadi sebuah pertarungan Rakyat lawan Rasuah.

Saya ingin melangkah lebih jauh dan mengatakan bahawa kita harus memperjuangkan Maruah Malaysia kerana ini adalah isu Malaysia keseluruhannya, bukan hanya isu Melayu.

Saya boleh faham bagaimana orang bukan Melayu berasa agak tidak berdaya melihat apa yang berlaku di negara ini; jadi kini terpulanglah kepada seorang Melayu bagi menghalang seorang Melayu yang sebegini.

Zahid juga seorang yang pandai menunggang isu Islam, walaupun gaya hidupnya sangat sekular dan mewah. Beliau bukanlah seorang yang mencari ganjaran syurga. Terdapat jurang dikotomi yang melampau dalam diri lelaki ini dan hanya pakar psikiatri yang dapat mentafsir keperibadiannya.

READ MORE:  What it takes to reset the Malay political narrative   

Apa pun, meletakkan orang sebegini di dalam kekuasaan sangat berbahaya bagi negara.

Mitos perpaduan Melayu – Yang penting Warga Malaysia Dahulu

Pertembungan sengit: Tawfik telah mencabar Zahid

Anda mengatakan bahawa perpaduan Melayu merupakan sebuah mitos. Boleh terangkan secara lanjut?

Sosok seperti Mahathir dan Muhyiddin sentiasa menunggang perpaduan Melayu sebagai agenda untuk mewajarkan penguasaan orang Melayu dalam kerajaan dan perkhidmatan awam.

Namun, ia adalah mitos kerana orang Melayu sendiri adalah kumpulan manusia yang beragam. Orang Kelantan dan Johor tidak berfikiran sama dalam soal budaya malah hal rumah tangga. Berkenaan dengan orang Melayu di rantau kita, terdapat Melayu Hindu di Bali, Melayu Katolik dan Melayu Islam di Indonesia, dan orang di Filipina juga menganggap diri mereka sebagai Melayu.

Orang Melayu Malaysia perlu berfikir lebih mendalam tentang diri mereka dan tentang keterangkuman dan keberagaman mereka sendiri. Dari segi sejarah, orang Melayu telah dipengaruhi oleh banyak budaya sama ada agama Islam, Hindu mahupun Kristian.

Budaya Melayu sentiasa bersifat terangkum dan terbuka. Ia tidak menjadikan orang Melayu kurang Melayu; sebaliknya, budaya Melayu telah diperkaya oleh pengaruh ini.

Ia merupakan kekuatan yang masih ada dan kita harus mengingatkan generasi sekarang dan generasi akan datang tentang perkara ini – keterangkuman budaya Melayu. Kita perlu mengingatkan mereka dan generasi baharu masyarakat etnik kita juga, apa ertinya menjadi rakyat Malaysia.

Agenda politik

Seluruh detik kehidupan Tawfik Ismail akan membawa kepada detik penentuan ini

Sekiranya anda memenangi kerusi bertembung dengan Zahid, apakah agenda politik anda, apa yang akan dikerjakan untuk kali pertama? Apa yang anda harap dapat capai dalam penggal sebagai ahli parlimen?

Isu pertama yang akan disentuh adalah soal harian.

Saya akan meminta kerajaan menghapuskan cukai tidak adil yang mengehadkan kuasa perbelanjaan rakyat. Harga rumah kena turun, harga makan kena turun, harga kereta pun kena turun.

Kita dikenakan cukai yang berlebihan untuk kereta kerana terpaksa melindungi polisi kereta yang bodoh. Orang ramai membayar 200% hingga 300% lebih daripada yang sepatutnya untuk sebuah kereta.

Kita harus melihat dengan teliti isu keselamatan makanan. Komoditi keperluan seperti beras jauh lebih murah di negara lain seperti Thailand.

Kita perlu mendorong usaha integrasi sosioekonomi yang lebih besar antara wilayah berlainan di semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Saya fikir perlu ada lebih banyak akses untuk orang ramai menyeberangi Laut China Selatan, dan orang ramai harus dibenarkan menetap di tempat yang memperkayakan ekonomi mereka.

Sebagai contoh, Sabah dan Sarawak mempunyai kawasan tanah yang luas, dan tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh membenarkan pertanian secara meluas dijalankan di Malaysia Timur untuk manfaat seluruh negara.

Kita juga perlu melihat dengan teliti dasar pertahanan dan luar negara kita. Kita tidak mahu menjadi sekadar sebuah negara yang akur kepada China atau mana-mana kuasa besar. Kita harus lebih menjaga jarak dalam berurusan dengan kuasa yang sedemikian.

Walaupun kita mengalu-alukan sumber pembangunan infrastruktur asing, kita juga harus melihat kos keseluruhan kepada negara. Contohnya ialah kereta api berkelajuan tinggi antara Malaysia dan Singapura – namun pada kos apakah ia akan dibina?

READ MORE:  Implications of Najib's jail term

Kita harus melihat dasar reklamasi tanah dan bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan nelayan kita, contohnya pembangunan Forest City. Terdapat perpindahan Orang Laut di selatan Johor kerana penambakan tanah ini.

Saya akan menjadi juara isu perubahan iklim dan mengekalkan alam sekitar. Malaysia harus memainkan peranan kita untuk melindungi hutan hujan dan laluan air kita.

Dari segi politik, Malaysia agak unik, dengan adanya sistem persekutuan, yang membolehkan kita ada sistem perwakilan yang baik. Ia boleh menjadi lebih demokratik jika kita mengamalkan sistem senat ala Amerika dan membenarkan negeri memilih dua atau tiga wakil setiap satu. Dengan cara itu, negeri seperti Perlis pun akan mempunyai perwakilan yang sama dengan negeri lain.

Ini akan menjadi pemeriksaan yang sangat baik terhadap penentuan sempadan kerusi pilihan raya untuk perwakilan parlimen. Dengan cara ini, kita juga dapat menangani ketidakseimbangan antara Sarawak dan Sabah dan semenanjung.

Kita juga harus mengkaji laporan Athi Nahappan yang sangat baik mengenai ahli majlis tempatan yang dipilih dan mengembalikan semula sistem pemilihan ahli majlis tempatan.

Wanita, anak muda dan Agenda Rakyat

Apakah pandangan anda tentang keperluan bagi memperkasakan wanita dan belia dalam politik?

Sudah tentu! Wanita merupakan komponen utama keseluruhan sistem kita. Peranan mereka sentiasa kurang dibicarakan namun ia biasanya lebih diakibatkan oleh tabiat budaya berbanding tindakan sedar di pihak lelaki.

Secara budayanya, wanita seringkali tidak diperkasakan, namun kini mereka secara demografi berada dalam kedudukan yang lebih baik dari segi pendapatan berbanding lelaki. Mereka tidak dapat mencapai kejayaan sepenuhnya kerana wujudnya siling kaca yang perlu mereka tembus.

Mereka perlu diberi peluang untuk bangkit, namun nampaknya diri mereka sendiri tidak mahu berganjak dan memaksa diri mereka sendiri.

Apabila bercakap mengenai anak muda, apa yang penting ialah kita seolah-olah tidak mahu memberi mereka kuasa untuk berada di barisan hadapan untuk memacu negara. Ini adalah sesuatu yang perlu kita ubah.

Apabila Malaya merdeka, Tunku adalah yang paling tua pada usia 50-an dan Tun Razak dan ayah saya berumur lewat 30-an atau awal 40-an, dan merekalah yang membina negara. Mengapa kita tidak benarkan anak muda kita melakukan apa yang pernah dibuat oleh leluhur kita?

Rancangan pergantian kuasa merupakan kegagalan terbesar kita, dan Mahathirlah yang bersalah bila kita berbicara tentang pembentukan pemimpin muda yang ada hari ini. Beliau seolah-olah akan mencantas sesiapa saja yang jujur ​​dan rajin. Anda hanya berguna kepada Mahathir jika beliau tahu mengenai kelemahan kamu yang boleh digunakan untuk melawan kamu! Dan sampai sekarang beliau masih ada pada usia 97 – mengapa?

Akhirnya, adakah anda akan menyokong Agenda Rakyat, yang dimulakan oleh Aliran dan lima kumpulan lain, dan disokong oleh 57 NGO?

Agenda Rakyat harus dipegang sebagai sebahagian daripada falsafah kita untuk menegakkan maruah dan kualiti hidup rakyat.

Kita juga harus melihatnya dari segi sejarah dan warisan budaya kita sendiri dan cuba menggabungkannya sebagai sebahagian daripada kepelbagaian dan kepelbagaian etnik kita, tanpa meninggalkan mana-mana kumpulan yang terpinggir dan minoriti dalam masyarakat kita, termasuk Orang Asli dan pekerja asing.

Pesanan terakhir Tawfik:

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
19 Oktober 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments