Suhu semakin meningkat apabila pilihan raya negeri Johor pada 11 Julai semakin hampir.
Taruhan sangat tinggi, sekali gus menjadikan kempen semakin agresif oleh pihak berkepentingan di lapangan dan dalam talian.
Secara keseluruhannya, 172 calon bertanding di 56 kerusi di negeri ini. Mereka datang daripada tiga gabungan utama – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) – serta parti-parti yang lebih kecil.
Ini termasuk Bersama, yang meletakkan 15 calon, dan Muda, yang meletakkan empat calon. Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan parti sosialis PSM pula masing-masing bertanding satu kerusi, bersama enam calon bebas.
Rakan kongsi ‘kerajaan perpaduan’ di Putrajaya, iaitu PH dan BN, bertemu di Johor bukan sebagai sekutu tetapi sebagai pesaing yang sengit, dengan masing-masing bertanding di semua 56 kerusi DUN.
Persaingan menjadi lebih sengit apabila kedua-dua gabungan itu bersemuka di 14 kerusi dalam perebutan kuasa di Johor. Dalam pertandingan sengit ini, kedua-dua gabungan perlu membuat tawaran yang kelihatan berbeza antara satu sama lain. Masing-masing cuba mengatasi yang lain untuk memenangkan hati pengundi.
Untuk menunjukkan betapa berbezanya BN Johor dengan PH, pemimpinnya, Onn Hafiz Ghazi, menegaskan bahawa PH masih belum menunaikan janjinya kepada negeri ini. Hanya dengan menunaikannya, kata Onn Hafiz, PH boleh bercakap tentang ikrar baharu.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Beliau merujuk kepada projek-projek yang tertangguh di bawah kerajaan persekutuan pimpinan PH, seperti hospital Sultanah Aminah 2 dan hospital Pasir Gudang.
Sebaliknya, tambah Onn Hafiz, manifesto BN hanya meneruskan agenda ‘Maju Johor’ yang dilancarkan pada tahun 2022 – dalam erti kata lain, tiada janji besar yang tidak ditunaikan.
Walau bagaimanapun, dakwaan ini turut boleh melibatkan BN sendiri. Ia menunjukkan bahawa BN, rakan kongsi dalam pentadbiran ‘Madani’ di peringkat persekutuan, tidak berusaha cukup keras untuk menyiapkan kedua-dua projek tersebut.
Keadaan ini berlaku walaupun presiden Umno Zahid Hamidi merupakan Timbalan PM dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Ejek-mengejek memperparah keadaan
Kempen yang sengit boleh menjadi buruk secara politik, terutamanya apabila sindiran para pesaing semakin menyinggung perasaan.
Contohnya, dalam satu klip video, Zahid mengejek lawannya dalam pilihan raya Johor. Jika rakaman itu tulen, ia menunjukkan bagaimana Umno sanggup melanggar batas untuk menzahirkan kebangkitan semula sikap beraninya.
Zahid berkata, antara lain, partinya tidak dilahirkan di jalanan, tidak memilih jalan demonstrasi, dan tidak dipimpin oleh dinasti politik.
Ahli Umno yang mendengar ceramah itu seolah-olah tahu siapa yang dimaksudkannya, berdasarkan pecahnya ketawa yang menyusul.
Seorang ahli politik kanan DAP juga mengejek ketinggian lawan politiknya – yang didakwa menganggap dirinya ‘tinggi’.
Setiausaha agung DAP Anthony Loke menegaskan bahawa pendekatan berbaur konfrontasi tidak dapat dielakkan, terutamanya apabila berhadapan dengan “tembakan mesra”.
Walaupun ketua penerangan Umno Azalina Othman Said menegaskan bahawa kenyataan yang mengguris hati ini tidak akan mengganggu apa yang dipanggil kerajaan perpaduan, saling berbalas kecaman tetap akan meninggalkan parut luka pada lawan, dari segi politik dan psikologi.
Pergeseran ini berkemungkinan merebak ke dalam pilihan raya negeri Negeri Sembilan dan Melaka yang akan datang. Parti yang menang mungkin akan menjadi cukup berani untuk meninggalkan kesan pertempuran kecil yang bakal merosakkan pakatan persekutuan yang sedia rapuh ini.
Salah guna sumber kerajaan
Walau bagaimanapun, jika terdapat satu perkara yang dipersetujui oleh PH dan BN, maka itu adalah amalan yang meragukan dalam mengumumkan projek kerajaan untuk rakyat atau menggunakan sumber kerajaan semasa tempoh kempen.
Pastinya, PH sendiri menentang amalan ini ketika menjadi pembangkang dahulu. Mereka menganggapnya sebagai amalan yang tidak adil oleh penyandang untuk mempengaruhi pengundi.
Itulah sebabnya presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menuduh PH dan BN melakukan kesalahan pilihan raya semasa kempen dengan menggunakan sumber kerajaan untuk menarik pengundi.
Contohnya, beliau berkata setiausaha agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang juga pengerusi Mara, mengadakan program TVET (pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional) Mara ketika berkempen bersama calon BN untuk kerusi Tiram.
Pemantau pilihan raya Bersih membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan penggunaan aset kerajaan dalam kempen Johor, termasuk siaran ceramah PH di RTM.
Pengundi harus berasa risau bahawa ini menunjukkan bagaimana tujuan menghalalkan cara dalam mengejar kuasa – dan ia menjejaskan prinsip pilihan raya yang bebas dan adil.
Ketakutan sebagai alat kempen
Begitu jugalah dengan PN yang memasuki pilihan raya ini dengan menyatakan bahawa matlamatnya hanyalah untuk memastikan kepimpinan Melayu-Islam menang dalam pilihan raya ini – satu strategi yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat yang pelbagai.
Itulah sebabnya parti utama PN, Pas, terutamanya presidennya Hadi Awang, mengingatkan etnik Melayu di negeri ini bahawa mengundi adalah wajib, dan menggesa mereka untuk memilih hanya calon Melayu-Islam.
Amaran kepada orang Melayu supaya tidak mengundi PH, atas alasan ini sama seperti menyokong DAP, adalah sama seperti mendemonisasi sesebuah etnik secara tidak langsung.
Tidak mahu kalah, Dr Mahathir Mohamad turut serta dengan hujah yang serupa. Orang Melayu mesti bertindak secara kolektif untuk menyelamatkan “Tanah Melayu”, kata sosok yang pernah mempromosikan konsep inklusif ‘Bangsa Malaysia’ suatu ketika dahulu.
Dan baru-baru ini, bekas ketua sayap pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga menggunakan buku panduan yang sama, dengan mengingatkan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan untuk mengundi Umno-BN bagi melindungi kepentingannya.
Itulah politik ketakutan dan naratif kemangsaan yang membosankan sedang dijaja oleh para penghasut ketakutan di negara ini.
Anda tidak membina masyarakat yang kukuh jika hanya menanamkan ketakutan, kerana ini hanya menjadikan sebahagian masyarakat rentan terdedah kepada manipulasi oleh beberapa pemimpinnya sendiri.
PN, di bawah kepimpinan Pas, bersaing untuk 33 kerusi, sambil turut menyeru penyokong Pas untuk menyokong Umno di kawasan yang tidak ditandinginya.
Para pemimpin Umno, seperti yang dijangka, cukup gembira.
Ini adalah pakatan yang longgar dengan strategi jangka panjang.
Dalam erti tertentu, keadaan ini juga mencerminkan keinginan berterusan Pas untuk menghidupkan semula hubungannya dengan Umno, yang pernah berkembang maju di bawah pakatan Muafakat Nasional yang kini tidak lagi wujud.
Pakatan MN yang dihidupkan semula mungkin berguna jika Umno menang di Johor, dan mendapat momentum dalam persaingannya di Negeri Sembilan dan Melaka – dan juga berkemungkinan lebih jauh lagi.
Strategi ini juga sesuai dengan mantra Pas untuk menyatukan ummah, meskipun secara ironisnya mereka pernah menyeru ‘Pas untuk semua’.
Walaupun Pas secara rasmi telah memutuskan hubungan dengan Bersatu, Bersatu kekal sebagai ahli PN, dan itulah sebabnya ia masih berkempen di bawah panji-panji PN.
Walaupun Pas tidak mengambil bahagian dalam ceramah Bersatu, juru kempen Pas nampaknya memberitahu penyokong Pas untuk menyokong Bersatu di kerusi yang ditandingi oleh Bersatu.
Apa yang patut dipertimbangkan pengundi
Pengundi Johor perlu mengharung kabus naratif penuh konfrontasi, janji pilihan raya dan pakatan yang berubah-ubah dalam mengenal pasti apa yang paling penting sebelum memangkah kertas undi.
Para ahli politik telah menyuarakan pendapat mereka sepanjang berkempen. Sudah tiba masanya untuk pengundi menyuarakan pendapat mereka di peti undi.
Prinsip-prinsip yang digariskan dalam Agenda Rakyat yang sedang dibikin, serta digubal dan dikemas kini oleh Aliran, mungkin dapat membantu dalam membuat keputusan itu.

Pertama, pilih parti atau calon yang mengutamakan maruah dan kualiti hidup rakyat marhaen.
Ini bermakna mewujudkan ekonomi yang dapat menyediakan pekerjaan dan memperkasakan kumpulan berpendapatan rendah. Ini juga bermakna memastikan wujudnya sistem kesihatan yang mencukupi, perumahan mampu milik dan pendidikan berkualiti untuk semua.
Kedua, pilihlah kerajaan yang menggalakkan pembangunan yang saksama dan mampan serta dapat menangani krisis iklim. Malaysia, misalnya, harus menggalakkan lebih banyak tenaga solar berbanding nuklear.
Ketiga, sifat masyarakat Malaysia yang berbilang etnik bermakna pemimpin politik mesti meraikan kepelbagaian dan menggalakkan keterangkuman. Diskriminasi dan ucapan kebencian itulah yang meracuni masyarakat yang harmoni dan progresif.
Keempat, perlu ada kemahuan yang tulen untuk menyelamatkan demokrasi dan menegakkan kedaulatan undang-undang. Ini bermakna kita perlu mewujudkan perundangan untuk melindungi hak asasi manusia, proses sewajarnya dan kebebasan asas, dan memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan. Ia juga bermakna memansuhkan undang-undang yang menindas.
Kelima, perlu ada kemahuan politik dalam memerangi rasuah dan kronisme. Ini boleh dilakukan dengan memperbaharui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, menggubal akta pembiayaan politik, dan menghapuskan pelantikan politik.
Sila ambil bahagian untuk membantu kami memperhalusi Agenda Rakyat dengan meninggalkan komen di sini.
Di tengah-tengah perjuangan untuk kelangsungan politik, terutamanya di kalangan pelbagai gabungan dan parti, adalah wajar untuk memerhatikan apa yang dianggap paling penting oleh pengundi Johor – untuk diri mereka sendiri serta seluruh negara.
Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
8 Julai 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


