Menjelang pilihan raya umum: Masanya untuk tuntut semula negara kita

Rakyat dahulu; dan kami tuntut demokrasi sekarang!

Pilihan raya umum Malaysia yang ke-15 perlu sepatutnya diadakan selewatnya pada September 2023, lima tahun selepas pilihan raya umum pada 2018 yang lalu.

Namun, nampaknya pilihan raya akan diadakan lebih awal.

Dalam sidang akhbar pada 25 April lalu, Aliran berkongsi Agenda Rakyat yang disediakan oleh mereka. Selain dari Aliran, lima penaja bersama yang lain adalah Gerak, Suaram, Pacos Trust (Sabah), Save Rivers (Sarawak) dan Undi18.

Juga diumumkan bahawa terdapat 53 NGO di Malaysia, termasuk enam penaja bersama, mendukung Agenda Rakyat setakat itu.

Presiden Aliran, Anil Netto juga menjemput NGO lain untuk menyokong dokumen ini, di mana beliau turut menyatakan bahawa ia akan dibentang kepada parti politik pada akhir April (dan juga sebelum pilihan raya umum).

Asasnya, kami berharap agar parti politik akan memasukkan nilai dan keutamaan yang dirumuskan di dalam Agenda Rakyat ke dalam manifesto parti politik mereka. Ataupun lebih baik, jika mereka terus mengambil agenda ini sebagai manifesto mereka!

Jika itulah yang dilakukan mereka, kita mempunyai peluang yang lebih besar bagi menekankan kepentingan rakyat dan paling utama, untuk memastikan Malaysia yang lebih bebas dan demokratik, serta dalam menuntut negara kita, yang lebih terangkum dan mempunyai belas ihsan pada semua serta bersetiakawan di antara satu sama lain.

Ikuti pengumuman berkenaan webinar Agenda Rakyat dalam bulan-bulan akan datang. Dengan pilihan raya yang makin dekat, mari kita tinjauan berkenaan perkembangan politik sekarang.

‘Kluster mahkamah’ mahu pilihan raya secepat mungkin

Sewaktu meraikan Umno yang memenangi pilihan raya negeri di Johor, terdapat penyokong mereka yang meneriak “Bubar, bubar!” bagi mendesak Parlimen untuk dibubarkan.

Jika begitulah kehendaknya, Umno, yang kini didalangi oleh “kluster mahkamah” (beberapa tokoh penting di dalam parti yang terlibat dalam kes mahkamah), pasti mahu pilihan raya umum untuk diadakan secepat mungkin. Mereka percaya bahawa momentum sudah bersama mereka, dan mereka mempunyai kemampuan untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan pusat yang seterusnya.

Jika inilah yang bakal berlaku, tugas pertama bagi kerajaan baru Umno-Barisan Nasional ini adalah untuk menasihati Sultan bagi mengampunkan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang dijatuhkan hukuman bersalah pada tahun 2020 dengan hukuman penjara selama 12 tahun serta didenda sebanyak RM210 juta kerana penglibatannya dengan rasuah.

Namun Najib sehingga hari ini masih bebas! Bahkan, bekas PM yang tidak tahu malu ini juga terus berani untuk terlibat dalam kempen pilihan raya.

Juga ada di dalam kluster mahkamah ini adalah presiden Umno sekarang, Zahid Hamidi, di mana kes mahkamahnya akan disebut nanti. Ada beberapa pemimpin Umno juga yang mempunyai kes mahkamah serta beberapa pemimpin Umno lain seperti bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, yang diberikan keputusan “dilepas tapi tidak dibebaskan” (discharge not amounting to acquittal).

Kluster mahkamah ini berbeza dengan sebuah lagi pecahan pemimpin di dalam Umno – seperti Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin – yang kini berkhidmat menjadi menteri di dalam gabungan kerajaan pusat melibatkan Bersatu-Umno-Barisan Nasional diketuai oleh Ismail Sabri Yaakob, PM sekarang.

Wajar diberikan pujian, ada beberapa menteri ini yang bekerja dengan pembangkang serta secara sementara, meletakkan perbezaan politik mereka bagi menggempur pandemik Covid serta ekonomi yang semakin merudum, yang mengakibatkan penurunan besar dalam aktiviti perniagaan, kehilangan pekerjaan, serta penutupan kilang, pusat beli-belah, kolej serta sekolah.

Usaha bersama ini sekali gus memberi ruang kepada kita untuk membuka semula negara semenjak 1 April. Dan juga usaha untuk kembali dengan ‘norma baharu’ juga sedang berjalan.

Pun, undang-undang draf melibatkan ‘lompat parti’ masih belum dilaksanakan di dalam persidangan sekarang. Pindaan perlembagaan yang akan membenarkan undang-undang yang dicadangkan untuk dienakmen ini kemudiannya dirujuk ke jawatankuasa terpilih parlimen, selepas wujud beberapa kebimbangan dari kedua-dua belah pihak melibatkan makna terma yang cukup luas yang akan memberi kesan terhadap Artikel 10 dalam Perlembagaan.

Jangkakan lebih ramai akan mengumpan dengan isu etnik-agama

Hati-hati: Zahid pun sudah berjanji, ketika kempen pilihan raya negeri Johor yang lalu, di mana jika Umno kembali berkuasa di peringkat pusat, mereka akan melaksanakan lebih banyak undang-undang syariah.

Dalam hal ini, ia cukup memalukan bahawa timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri sekarang, yang daripada parti yang berlainan, juga turut menegaskan bahawa undang-undang di peringkat negeri melibatkan penukaran agama sepatutnya dihormati, walaupun, tidak kiralah apa yang dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan.

READ MORE:  Tuntut semula negara: 53 NGO mendukung Agenda Rakyat bagi pilihan raya umum

Beliau ketika ini mengulas tentang keputusan mahkamah di mana terdapat anak di bawah umur yang menukar agama ke Islam untuk dikembalikan kepada hak penjagaan ibunya, Loh Siew Hong. Loh sudah memohon kepada mahkamah sivil untuk mencabar penukaran agama anak-anaknya tanpa melibatkan persetujuannya.

Aduhai, sebagai seorang timbalan menteri, sepatutnya beliau lebih sedar akan kenyataannya ini apabila mengatakan bahawa undang-undang negeri lebih tinggi darjatnya dari – atau mempunyai darjat yang sama sepertimana – Perlembagaan Persekutuan.

Tampaknya beliau sekarang tidak sedar akan sebuah keputusan Mahkamah Persekutuan yang cukup penting pada 2018 di mana dinyatakan semua undang-undang negeri perlu tunduk kepada keputusan ini melibatkan penukaran agama kanak-kanak perlu mendapatkan persetujuan kedua-dua ibu-bapa. 

Jangan kita lupa juga, jika kita mempunyai pilihan raya umum sekarang: kerajaan yang ada sekarang cukup bangkrap idea, apatah lagi mempunyai dasar yang menyeluruh. Apa yang mahu dilakukan mereka hanyalah memasarkan bahasa kebangsaan ke seluruh dunia berbanding memperkukuh dagangan, mengekang kenaikan harga dan minyak, membina peluang pekerjaan serta membantu ibu-bapa untuk berdepan dengan cabaran sekembalinya anak-anak mereka ke sekolah, saatnya kita sedang membuka semula sempadan.

Kembalinya Rafizi, Nurul dan yang lain

Kalian mungkin perasan kemasukan semula Rafizi Ramli ke pentas politik negara baru-baru ini. Bekas naib-presiden PKR serta pendiri Invoke ini, yang memainkan peranan penting sewaktu pilihan raya umum 2018, mengumumkan bahawa beliau akan bertanding timbalan presiden pada pilihan raya PKR yang akan datang.

Anggota lain yang menjadi sebahagian dari pasukannya termasuklah Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang, bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Rafizi bersama yang lain melancarkan ‘Projek Ayuh’, disasarkan kepada pengundi atas pagar. Sekelompok pengundi atas pagar ini mendakwa mereka kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan yang diundi mereka pada tahun 2018 akhirnya tumbang selepas beberapa tahun kemudiannya.

Pokok pangkalnya mengapa kerajaan ini tumbang adalah keengganan Dr Mahathir Mohamad untuk memberi kuasa kepada Anwar Ibrahim, serta pertelingkahan dalaman serta di antara parti di dalam Pakatan Harapan.

Tanpa adanya khalayak yang besar yang keluar mengundi pada pilihan raya akan datang, lebih-lebih lagi melibatkan orang muda, pakatan pembangkang tidak akan mempunyai peluang, seperti yang diduga oleh Rafizi serta mereka yang bersamanya itu.

Ya, kemasukan semula Rafizi dan Nurul memberi PKR, serta parti pembangkang secara khususnya, sebuah peluang baru. Sebelum itu, hampir setiap laporan berita berkenaan parti pembangkang cukup negatif – atau sekurangnya digambarkan begitu.

Lihat semula bagaimana keputusan PKR untuk menandingi pilihan raya negeri Johor di bawah bendera parti sendiri, berbanding bendera PH. Lebih memburukkan, nampaknya tidak wujud koordinasi strategi di antara parti pembangkang. Juga tidak ada usaha bagaimana parti pembangkang untuk menggunakan peluang terhadap keretakan yang wujud di dalam Umno.

Kekurangan strategi serta koordinasi ini membingungkan pengundi. Ketua pembangkang Anwar Ibrahim dilaporkan goyah ketika berkempen. Beberapa kolumnis melaporkan bahawa PKR gagal untuk membawa isu tempatan ketika kempen, seperti mereka awal lagi sudah berputus asa.

Pendek kata, langsung tiada keinginan! Jadi, peratusan yang keluar mengundi juga menurun. Apa lagi dengan pengundi muda yang langsung tidak keluar.

Dengan kembaliknya Rafizi dan Nurul Izzah sekarang, kita melihat bagaimana PKR mencabar Najib berkenaan cadangannya untuk menyelamatkan Sapura Energy yang berdepan kemungkinan bangkrap. Rafizi dan pasukannya mengatakan, cukuplah, memberi jaminan kepada Sapura Energy!

Kita mendengar wujud usaha untuk menyusun debat perdana di antara Najib dan Anwar. (Patutnya, tiada sesiapa pun yang patut berdebat dengan penjenayah sebenarnya. Sebelum apa-apa hal, Najib mungkin cuba menunda perbicaraan 1MDB-nya supaya beliau dapat terlibat dengan ‘acara penting negara’ ini, iaitu debat perdana!)

Apa pun, kini PKR menjadi hidup semula. Rafizi sendiri mengakui bahawa sekarang beliau cukup tergesa-gesa – kerana beliau percaya bahawa pilihan raya akan dijalankan dalam masa empat bulan.

READ MORE:  GE15: Civil society sets the People’s Agenda?

Sebelum itu, pilihan raya parti PKR perlu diadakan sebelum pertengahan Mei. Diharapkan, persaingan di antara Rafizi dan Saifuddin Nasution Ismail, setiausaha agung PKR yang sekarang, bagi jawatan timbalan presiden, serta pertembungan di antara Fahmi Zainol dan Adam Adli bagi kepimpinan anak muda tidak bertukar menjadi perbalahan yang mengakibatkan parti terpecah lagi – seperti apa yang berlaku ketika pilihan raya parti yang terdahulu ketika Rafizi mencabar Azmin Ali, yang ketika itu merupakan timbalan presiden.

Satu cara jelas bagi mengelakkan berlakunya pertembungan sosok adalah dengan memfokuskan kepada polisi yang dibentangkan oleh mereka. Undilah pemimpin yang bersama dengan kepentingan rakyat – bagi sebuah demokrasi yang berfungsi, bagi keterangkuman, bagi pembangunan yang  adil dan mampan.

Kita masih belum tahu apa polisi yang dibentang oleh para calon. Bahkan, belum ada perbincangan tentang isu yang bermakna yang sekaligus membezakan mereka.

Apa yang ada, hanyalah celoteh tentang siapa yang lebih setia kepada Anwar sebagai presiden parti. Dan di mana Rafizi, Nurul dan yang lain menyorok selama dua tahun yang lepas. Benar, kita belum mendengar lagi apa perbezaan polisi di antara pesaing ini.

Bertukarnya tampuk kepimpinan DAP

Persediaan menghadapi pilihan raya umum juga menjadi tema bagi kongres DAP yang diadakan pada 13-14 Mac lalu di Kuala Lumpur. 

Namun, tema ini juga dibayangi oleh pengumuman persaraan Lim Kit Siang dari politik selepas 56 tahun serta keputusan oleh anaknya, Lim Guan Eng, 61, untuk mengundurkan diri sebagai setiausaha agung parti dan untuk menduduki jawatan pengerusi parti, yang dikosongkan oleh Kit Siang.

Anthony Loke, 44, kemudiannya dilantik oleh ahli jawatankuasa eksekutif pusat sebagai setiausaha agung yang baru.

Suasana bagi menuntut perubahan boleh dirasa. Beberapa tokoh besar DAP juga tidak diundi semula ke jawatankuasa pusat. Jawatankuasa juga mempunyai beberapa wajah baru, termasuklah lebih ramai wanita melibatkan kuota gender yang dilaksanakan oleh parti. Tahniah kepada DAP bagi langkah ke hadapan ini.

Di dalam sebuah sidang akhbar selepas pilihan raya parti, Loke memperjelaskan bahawa parti akan membenarkan “ahli muda yang berbakat” untuk memainkan peranan lebih besar. Sekali lagi, tahniah kepada DAP jika benar ia berlaku.

Namun, ia cukup mengecewakan bahawa dua bumiputera yang dilantik ke jawatankuasa eksekutif pusat, iaitu Young Syefura dan ahli dewan negeri untuk Kapayan, Jannie Lasimbang, hanya berjaya memasukinya menerusi kuota gender.

Beberapa pengulas menyatakan bahawa perubahan tampuk kepimpinan ini merupakan peluang baik bagi parti untuk mengetepikan imej pro-kaum Cima dan menggerakkan imej pelbagai kaumnya.

Bagi saya, DAP perlu melakukan lebih dari itu! Benar, ia perlu berdamping dengan masyarakat pelbagai etnik. Namun, yang paling utama, ia juga perlu berani bersama dengan rakyat biasa dan memperjuangkan keadaan sosioekonomi mereka. Apatah lagi, ia sendiri mengaku sebagai sebuah parti berideologi sosial demokrat.

Dalam hal ini, ia perlu mengetepikan polisi neoliberal yang diambilnya ketika PH berkuasa secara sementara itu. Antaranya, subsidi yang dilakukan bagi membantu kaum miskin ditarik semula atas sebab kononnya subsidi akan mengganggu bagaimana pasaran bergerak.

Menyantuni masyarakat menjadi cabaran penting bagi DAP, serta PH secara keseluruhannya, serta mana-mana parti yang berada di tampuk kuasa.

Tidak disangkal lagi, memang wujud kesatuan dan kestabilan di dalam DAP berbanding PKR. Tiada seorang pun dari 42 Ahli Parlimen DAP terlibat di dalam aktiviti lompat parti.

Ini sesuatu yang patut dipuji namun ia tidak mencukupi. Sepatutnya parti yang lebih senior seperti DAP harus lebih berani untuk meneruskan agenda pro-rakyat dan bersedia untuk menanggung kesannya.

Tinjauan Aliran

Di tengah-tengah perkembangan dan pergulatan menghadapi pilihan raya serta kurangnya debat melibatkan perkara berkaitan polisi, Aliran menganjurkan tinjauan selama dua hari.

Ia merupakan tinjauan pertama selepas dua tahun. Ia juga pertama kali kami menggunakan Zoom (untuk tinjauan seperti ini), berbanding menjalankannya secara berdepan.

Pada malam pertama tinjauan, kami menjemput Prof Jomo Kwame Sundaram, bekas penolong setiausaha agung PBB serta pernah menjadi profesor bidang ekonomii di Universiti Malaya, untuk berkongsi pemahamannya tentang “keadaan negara, ekonomi dan masyarakat”.

Jomo juga diminta untuk berkongsi pandangannya tentang pilihan raya akan datang serta bagaimana Aliran dan organisasi masyarakat sivil lain boleh memainkan peranan mereka.

READ MORE:  What is the 'big tent' ideology?

Enam puluh ahli Aliran menghadiri sesi Zoom ini.

Hari berikutnya, kami juga mempunyai perbincangan lanjutan melibatkan ahli kami bagi memahami keadaan ekonomi, politik dan sosio-budaya di Malaysia.

Ia memberi peluang kepada kami untuk meninjau kekuatan dan kelemahan pentadbiran sedia ada Aliran, kakitangan serta kemampuan kewangan serta aktiviti lanjutan kami, terutamanya berkisar soal komunikasi dan pendidikan dalam talian.

Di dalam sesi ini, kami membincangkan bagaimana Aliran boleh melakukannya, melihat kepada kekuatan dan kemampuan kami, saatnya kita menuju pilihan raya umum nanti. Kira-kira 50 ahli terlibat di dalam perbincangan sepanjang hari ini.

Perkongsian oleh Jomo sangat mencerahkan. Beliau menyoroti bagaimana ekonomi sudah pun berhenti berkembang pada kadar yang sama semenjak dekad lalu, jauh sebelum pandemik Covid serta perang dagang China-US muncul.

Perkembangan ekonomi sebelum ini juga sangat bergantung kepada pengembangan sektor perkhidmatan, yang sangat terikat kepada sumber tenaga kerja asing yang murah, yang kini sudah membentuk satu pertiga daya perburuhan di negara kita!

Manakala, sektor pembuatan juga memegun sejak dekad lalu, tanpa wujudnya pelaburan atau nilai tambah di dalam penggunaan dan pembangunan teknologi yang lebih canggih.

Mengapa? Ia semua akibat dari kegagalan menguruskan pembangunan sumber manusia. Kita mungkin mempunyai lebih banyak universiti dan mahasiswa, termasuklah dari luar. Namun, tahap pendidikan kita turut menjunam. Universiti kita tidak dapat bersaing dengan universiti terbaik di Asia, apatah lagi di peringkat global.

Jomo juga berkongsi statistik yang menunjukkan bahawa jurang inter-etnik sudah pun berkurangan dan merata sejak 1990-an. Namun, jurang intra-etnik menjadi semakin luas. Terdapat jurang kelas yang membesar tanpa mengira latar belakang etnik. Lebih menakutkan lagi, pemegangan ekuiti asing juga meningkat ke tahap baru semenjak 10 tahun yang lalu, sekali gus menterbalikkan aliran yang berlaku sebelumnya.

Silakan menonton video pembentangannya yang sangat menyeluruh ini, yang mengandungi begitu banyak maklumat serta data menarik.

Menuju ke akhir pembentangan, Jomo sekali lagi menegaskan bahawa kita perlu menggerakkan rakyat Malaysia untuk sekali lagi merubah kerajaan pada pilihan raya akan datang, seperti yang pernah dilakukan pada 2018.

Risikonya adalah begitu ramai pengundi menjadi sinikal dan tidak percaya selepas melihat perkembangan politik yang ada sekarang, mungkin akan kekal di rumah, berbanding keluar untuk mengundi. Namun, untuk memboikot pilihan raya adalah kerugian pada kita sendiri – kerana apa yang akan terjadi selepas itu pastinya lebih buruk saatnya para kleptokrat kembali berkuasa!

Ahli Aliran bersetuju dengan Jomo ketika kami membincangkan pilihan raya yang akan tiba di dalam sesi tinjauan pada hari yang kedua. Ya, kita perlu menggerakkan rakyat Malaysia untuk keluar mengundi.

Selain itu, kami juga mengambil keputusan untuk menyediakan Agenda Rakyat yang padat bersama beberapa NGO. Ini akan menjadi sumbangan penting bagi menyuntik perbincangan berkaitan polisi menuju ke pilihan raya akan datang.

NGO kemudiannya akan mengambil nilai dan cadangan yang diangkat di dalam Agenda Rakyat terus kepada parti politik dan memberi tekanan kepada mereka untuk memasukkan atau mengambil nilai dan maklumatnya. Dan kita juga perlulah mengelakkan parti politik dari menjadikan kempen pilihan raya hanya seputar soal kaum dan agama.

Kita perlu memastikan pilihan raya kepada ruang bagi membincangkan polisi dan mencari ruang terhadap kemelesetan sosioekonomi yang ada sekarang.

Ia sepatutnya menjadi ruang untuk kita bermimpi semula untuk menjadi Malaysia yang lebih demokratik, terangkum dan penuh belas ihsan.

Jika ada di antara kalian yang belum melihat Agenda Rakyat, dengan senarai penuh yang mendukungnya, jemputlah semak di sini. Jika anda merupakan ahli mana-mana NGO yang ingin mendukung agenda ini, boleh dapatkan mereka untuk mengisi borang sokongan secara dalam talian.

Dan juga perhatikan ruangan Webinars di dalam laman web Aliran: pada minggu akan datang, kami akan menaikkan klip video pembentangan oleh enam pemimpin NGO yang mendukung Agenda Rakyat secara bersama dengan kami.

Sila kongsikan tulisan ini bersama teman kalian semuanya. Ayuh, Tuntut Semula Negara Kita pada pilihan raya akan datang!

Dr Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
26 April 2022

Terjemahah oleh: Zikri Rahman



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Dr Francis Loh served as honorary secretary of Aliran for 20 years and then president of Aliran for five years from 2011 to 2016. He obtained a doctorate in political science and Southeast Asian studies from Cornell University and retired as professor of politics in Universiti Sains Malaysia. He continues to serve on the Aliran executive committee
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments