Menjelang pilihan raya penting, anak muda Malaysia bakal menerajui agenda reformasi

Idea dan tenaga segar pastinya merangsang proses demokratik di Malaysia

Youth are the torchbearers of the future - FILE PHOTO

Kita berdepan dengan pandemik serta bencana banjir di banyak negeri. Malapetaka berganda ini sekali gus mengakibatkan banyak kelompok berada dalam keadaan rentan. Lebih memburukkan keadaan, situasi politik kita juga semakin merudum.

Tahun ini, kita berhadapan dengan lebih banyak ketidakpastian, dalam menuju pilihan raya umum yang dinanti-nantikan, yang sepatutnya diadakan selewat Julai 2023.

Kita sudah pun melalui beberapa detik penting dalam sejarah pilihan raya kita, termasuklah tsunami politik pada pilihan raya umum 2008 serta perubahan kerajaan pertama kali pada 2018.

Pilihan raya akan datang ini pastinya sebuah titik runcing di dalam sejarah negara, kerana ia akan mempengaruhi rentak pentadbiran negara bagi beberapa tahun akan datang.

Gelombang nampaknya semakin jelas: ramai, tidak kira tua atau muda, tampaknya mendukung idea bahawa kita memerlukan mandat baru bagi memastikan kestabilan politik dalam negara.

Kestabilan politik di sini tidak bermakna mengekalkan status quo. Sebaliknya, kestabilan di sini bermaksud bahawa kita perlu mempunyai kerajaan yang berfungsi secara efektif dalam menguruskan pandemik serta membaik pulih negara. Ia juga bermaksud mengutamakan keperluan rakyat dengan ketelusan serta integriti penuh bagi membawa negara ke arah yang betul.

Kebanyakan kita sudah lelah dengan rundingan kerusi oleh kebanyakan parti politik, tidak kiralah dari Perikatan Nasional, Barisan Nasional ataupun Pakatan Harapan.  

Memburukkan lagi keadaan adalah keadaan yang acapkali terjadi di mana wakil rakyat sering pula melompat parti. Parti politik yang mengumpan wakil rakyat untuk melompat tampaknya tidaklah kisah akan keperluan pengundi. Sebaliknya, lompat parti yang berlaku lebih kepada memastikan keselamatan politik serta menjaga tembolok yang melompat dan parti barunya semata-mata.

Seperti biasa, semakin dekat kita dengan pilihan raya umum, ramai yang asyik meneka-neka bila waktu yang terbaik bagi mengadakannya. Parti politik berbelah bahagi, ada yang mengatakan bahawa mereka bersedia dan ada juga yang merasakan ini bukanlah waktunya.

READ MORE:  Unnecessary elections a waste of public funds

Lebih menggusarkan adalah bahawa kita sudah pun merasai kesan negatif dari sistem yang tidak mempunyai tarikh tetap bagi pilihan raya umum.

Berdasarkan laporan media, ahli politik dari parti yang berlainan mahukan tarikh yang mengoptimumkan peluang kemenangan bagi parti serta pakatan mereka. Pendek kata, keputusan ini bergantung sepenuhnya kepada mereka di tampuk kuasa, tanpa melibatkan pandangan dari pengundi.

Menjelang pilihan raya, ramai yang bercakap tentang peranan anak muda selepas melihat kepada kemajuan dalam menggazet penurunan usia mengundi kepada umur 18 serta pendaftaran pengundi secara automatik. Pendaftaran parti berasaskan anak muda Malaysian United Democratic Alliance (Muda) pada 23 Disember 2021 merancakkan lagi keadaan.

Anak muda pastinya akan memberi cabaran kepada elit politik kita yang semakin menua. Persoalannya adalah, apakah kesan penglibatan mereka dalam suasana politik kita?

Melihat kepada sejarah pilihan raya Malaysia, kita memerhatikan parti baru seringkali terpaksa bersinggungan dengan parti politik lama atau bersama dengan ahli politik yang berpengalaman. Persoalan besarnya adalah, adakah menurunkan usia mengundi minimum ke umur 18 atau Muda akan memberi kesan kepada pilihan raya umum?

Apa yang pasti kita tidak lagi boleh mengenepikan suara anak muda. Sekurang-kurangnya, ia akan memaksa semua parti politik untuk mengambil kisah akan cara kempen baru, lebih-lebih lagi untuk cuba mengambil hati pengundi muda.

Kita juga bakal menyaksikan pilihan raya umum yang lebih rancak dengan penglibatan susuk dari masyarakat sivil. Misalannya, Siti Kasim, KJ John serta Tawfik Ismail yang berkemungkinan menjadi calon pilihan raya bagi Gerak Independent.

Pastinya ramai yang akan bersetuju bahawa anak muda sekarang lebih peka akan politik sekarang. Mereka lebih berminat dengan keadaan semasa dan semakin melibatkan diri sebanyak yang mungkin.

READ MORE:  Home minister must resolve Rohana’s case immediately

Suasana politik di Malaysia menjadi cukup terpecah di mana tiada satu parti politik pun yang cukup dominan untuk memerintah. Ia membuka peluang bagi sebuah gerakan politik segar berasaskan anak muda untuk mengetuai pentas yang boleh menarik anak muda serta memberi ruang untuk menyatakan sikap mereka. 

Ahli politik muda perlu membuktikan bagaimana mereka akan keluar dari budaya politik tidak sihat sedia ada, yang diselubungi rasuah serta naungan politik.

Cabarannya cukup banyak. Anak muda perlu mencari rentak yang betul agar dapat mencapai objektif mereka. Tujuan dan wawasan mereka perlu jelas agar dapat meneruskan agenda mereka dalam suasana politik dominan sedia ada.

Menurunnya bilangan pengundi pada pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak cukup membimbangkan. Ramai pemerhati mengesan bahawa terdapat penurunan terhadap kepercayaan awam kepada sistem, ditambah lagi keletihan berpolitik serta pandemik. Jadi, adakah kita masih bakal mendapat bilangan pengundi yang tinggi bagi menyaingi bilangan pengundi pada pilihan raya umum baru-baru ini?

Idea dan tenaga yang menyegarkan pastinya merangsang proses demokratik di Malaysia. Anak muda perlu bersedia untuk memainkan peranan menjadi pemacu bagi pembaharuan, dan mereka seharusnya bersedia untuk berdepan kritikan serta reaksi yang pelbagai dari pengundi.

Pendek kata, anak muda perlu menjadi relevan kepada masyarakat dari latar belakang yang berbeza. Perumpamaan “masa hadapan negara bergantung pada tangan anak muda” kini menjadi semakin relevan.

Khoo Ying Hooi
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Januari 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments