Mengawasi polis

Tiada apa yang akan berubah jika kita tidak mendesak untuk perubahan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Cukup hingar berita tentang pihak polis semenjak baru-baru ini: tuduhan berkaitan kecurian, pembunuhan, peras ugut dan serangan seksual telah wujud terhadap beberapa pegawai polis dalam beberapa minggu lalu.

Di tengah kecamukan ini, ketua polis negara pula berkata hanya segelintir pegawai dan anggota polis – kurang daripada 2% – yang bergelut dengan isu dan terlibat dalam aktiviti jenayah. Beliau memberi jaminan bahawa orang ramai boleh mempercayai pasukan polis untuk menjalankan siasatan telus terhadap kes jenayah membabitkan anggotanya.

Benar, tindakan pantas telah diambil untuk menahan dua anggota polis yang menjadi suspek kes rogol dan peras ugut. Susulan siasatan, kedua-dua lelaki itu kemudiannya didakwa di mahkamah. Tempoh masa daripada proses pendakwaan kepada pertuduhan di mahkamah mengambil masa kurang daripada dua minggu.

Didakwa di mahkamah menunjukkan aduan itu diambil serius dan beberapa bukti salah laku memang wujud. Yang penting, ia adalah percubaan untuk memulakan proses meminta seseorang bertanggungjawab atas tindakannya.

Namun, didakwa di mahkamah tidak bermakna sabitan akan terus dijatuhkan serta-merta melainkan tertuduh mengaku bersalah. Dalam kes di atas, ia masih belum berlaku. Jadi, keputusan perbicaraan adalah perkara lain sama sekali.

Tindakan pantas polis terhadap pegawai mereka sendiri dalam kes di atas amat berbeza dengan kes Kathir Oli. Kontraktor berusia 31 tahun itu ditembak oleh seorang pegawai polis pada 2011 di luar sebuah pub di Ipoh.

Keluarga mangsa, serta dibantu oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM), telah mengambil masa selama 12 tahun untuk mendapatkan beberapa kebenaran tentang apa yang berlaku pada malam kejadian. Ia adalah perjuangan yang panjang untuk mendapatkan inkues diadakan dan merayu agar keputusan terbuka koroner dicapai.

Akhirnya, pada Januari 2024, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bahawa pembunuhan Kathir bukanlah satu tindakan mempertahankan diri seperti yang didakwa oleh polis, tetapi satu pembunuhan.

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Adakah peguam negara akan mendakwa pegawai polis itu berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi – atau adakah akan ada rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi? Apakah yang perlu diambil untuk mendapatkan kebertanggungjawaban daripada pegawai polis yang menembak Kathir?

Pegawai yang penyangak atau masalah yang mengakar?

Sementara kita mengutarakan pegawai polis yang melakukan kesalahan dalam pasukan polis, seperti yang telah dilakukan oleh segelintir orang baru-baru ini, adalah salah untuk tidak mengiktiraf wujudnya pegawai polis yang telah menunjukkan dedikasi di luar tugasan mereka.

Ramai pegawai bekerja tanpa jemu untuk melindungi orang ramai daripada jenayah dan menguatkuasakan undang-undang. Ramai yang telah mengorbankan bukan sahaja masa, malah, kadangkala nyawa mereka dalam menjalankan tugas. Negara cukup berhutang budi kepada pegawai yang berdedikasi ini.

READ MORE:  Reining in the police

Namun, kehadiran pegawai polis yang berdedikasi ini tidak dapat mengurangkan aduan salah laku polis dan salah guna kuasa.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa kejadian ini adalah disebabkan oleh beberapa pegawai penyangak yang bertindak di luar skop kuasa sah mereka. Tetapi adakah ia benar-benar kes seperti kata pepatah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga?

Ada pihak yang berpendapat sebaliknya – bahawa salah laku yang terbongkar menunjukkan masalah sistemik dalam pasukan polis yang membolehkan pegawai penyangak meneruskan cara yang mereka lakukan tanpa hukuman.

Jika ‘tembok biru yang membungkam’ itu wujud, maka pegawai polis penyangak seperti itu akan terus dilindungi daripada pengawasan awam atau daripada kebertanggungjawab atas kesalahan mereka.

Melaporkan salah laku serta penyalahgunaan kuasa polis

Kes salah laku polis atau salah guna kuasa hanya terdedah apabila orang ramai berani membuat laporan polis. Atau jika media mengambilnya – seperti yang ditunjukkan baru-baru ini apabila video seorang pegawai polis menyerang seorang lelaki menjadi tular dan mendapat perhatian umum.

Jaminan kemudiannya diberikan bahawa siasatan akan dijalankan dan tindakan diambil.

Namun, berapa ramai yang berada dalam kedudukan, apabila dihalang oleh polis ataupun apabila ditahan, sempat merakam menggunakan telefon bimbit tentang apa yang berlaku kepada mereka atau orang lain – dan itu pun, jika mereka mempunyai telefon bersama dengan mereka ketika kejadian?

Fikirkan juga perbezaan kuasa di antara pegawai polis dan orang biasa yang sedang diberhentikan atau ditahan oleh polis. Orang yang berada dalam keadaan rentan – contohnya, pelarian atau pekerja asing – akan mendapati betapa sukarnya untuk membuat laporan tentang gangguan polis.

Orang ramai juga mungkin takut akan kesan daripada membuat laporan terhadap polis. Siapa yang akan menyokong dakwaan mereka? Dan berapa ramai pegawai polis yang akan melaporkan tentang rakan sekerja mereka sendiri?

Tanpa laporan dibuat, seseorang hanya boleh tertanya-tanya sejauh mana salah laku polis. Sesuatu yang pastinya mengerikan.

Orang ramai mengharapkan standard kepolisan yang baik serta profesionalisme yang tinggi dalam pasukan.

Ya, polis hanyalah manusia dan mampu melakukan kesilapan. Namun, hakikatnya mereka memang diamanahkan dengan kuasa untuk menjaga undang-undang dan ketenteraman – dan ini menjadikan salah laku dan salah guna kuasa sama sekali tidak boleh diterima.

READ MORE:  IPCC vs IPCMC: How to effectively police the police

Tidak kiralah sama ada salah laku itu melibatkan orang yang tidak bersalah, suspek dalam kes atau penjenayah berulang. Undang-undang diwujudkan untuk memastikan perlindungan hak dan kesejahteraan suspek semasa ditahan atau dalam tahanan polis.

Namun, apabila mata ditutup dalam soal undang-undang sedia ada, apabila prosedur standard tidak dipatuhi, apabila langkah pencegahan kurang atau apabila penderaan berlaku, ia akan mengakibatkan bukan sahaja kesalahan jenayah dilakukan tetapi juga memudaratkan mangsa dan kadangkala, kematian, iaitu kematian dalam tahanan polis atau tembakan oleh anggota polis.

Mengawasi polis

Setiap kali kes salah laku polis atau salah guna kuasa terbongkar, kepercayaan orang ramai dan rasa hormat terhadap pasukan polis semakin terhakis.

Oleh itu, adalah penting, jika ada anggota polis melanggar undang-undang, mereka mesti segera dipertanggungjawabkan dan dibawa ke muka pengadilan. Ini akan membina kepercayaan orang ramai terhadap pasukan dan menetapkan standard untuk profesionalisme polis.

Namun, adakah polis sendiri boleh diawasi? Sudah 19 tahun lamanya sejak suruhanjaya bebas aduan dan salah laku polis (IPCMC) pertama kali dicadangkan oleh suruhanjaya diraja mengenai operasi polis pada 2005.

Seperti yang telah didokumenkan sebelum ini, ia mengambil masa 14 tahun sebelum Rang Undang-undang IPCMC dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan di Parlimen pada 2019. IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan pada 2011 untuk menyiasat salah laku agensi penguat kuasa undang-undang.

Rang Undang-undang IPCMC akhirnya dirujuk untuk semakan kepada jawatankuasa pilihan parlimen.

Namun, dek kerana kejatuhan kerajaan PH pada tahun 2020 dan kekurangan komitmen kepada IPCMC oleh kerajaan seterusnya pimpinan Perikatan Nasional, kita sebaliknya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Kelakuan Polis (IPCC) pada 2022.

IPCC telah digambarkan sebagai versi IPCMC yang tidak begitu kukuh – tidak mempunyai kuasa penyiasatan dan disiplin. Antara kelemahan yang disenaraikan, IPCC hanya boleh mencadangkan tindakan yang disyorkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis atau pihak berkuasa lain yang berkaitan sekiranya pegawai polis didapati melakukan kesalahan.

Soalnya, siapa yang dapat memastikan bahawa cadangan itu akan diterima dan dilaksanakan? Apakah penerimaan cadangan oleh EAIC dan Suhakam kepada polis selama ini? Betapa realistiknya untuk mengharapkan polis bagi mengawasi pihak polis itu sendiri?

Beberapa pihak telah pun menggesa agar IPCC diperkukuhkan bagi menangani salah laku polis.

Apa seterusnya?

Jadi, ke mana kita hendak pergi dari semua ini? Jawapannya ada terletak pada masyarakat sivil, media dan badan kehakiman. Tekanan daripada orang awam dan media mempunyai peranan penting dalam mendorong kebertanggungjawaban polis, profesionalisme dan perubahan dalam budaya kepolisan.

READ MORE:  Will the IPCC help the police chief cover up the Ahmet T Kuru incident? - Caged

Desakan sedemikian telah menghasilkan beberapa usaha bagi mewujudkan pasukan polis yang lebih telus dan bertanggungjawab.

Pemasangan kamera CCTV di sel polis serta penggunaan kamera yang dipakai di badan anggota polis yang bertugas di luar pejabat adalah langkah yang dialu-alukan.

Satu lagi langkah ke arah yang betul ialah pengumuman untuk menubuhkan unit jagaan perubatan di lima pusat tahanan polis berpusat dalam usaha mengurangkan kematian dalam tahanan.

Penghasilan modul hak asasi manusia oleh kedua-dua Suhakam dan polis untuk mengukuhkan latihan pegawai polis juga akan meningkatkan kesedaran tentang piawaian penting.

Semua inisiatif ini masih perlu dipantau untuk pelaksanaan yang betul, wujudnya tindakan susulan serta keberkesanan. Cukup besar harapan agar orang ramai dan media untuk bukan sahaja mengawasi tetapi juga menyerlahkan dan memantau usaha ini. Tetapi ia mesti dilakukan.

Jangan kita lupa juga peranan badan kehakiman. Orang ramai akan melihat kepada mahkamah untuk mendapatkan keadilan apabila hak dicabuli. Badan kehakiman adalah institusi utama untuk melindungi rakyat daripada pencabulan yang dilakukan oleh institusi dalam negara.

Oleh itu, mahkamah mesti terbuka kepada kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa dalam negara (dalam kes ini polis) dan bersungguh-sungguh untuk mencari kebenaran perkara itu, termasuk melalui mahkamah koroner.

Meningkatkan standard dan profesionalisme polis dalam pasukan polis adalah matlamat jangka panjang yang perlu diusahakan. Ia tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

Tetapi ia akan dibentuk oleh usaha mereka yang mahukan perubahan ke arah kebaikan. Kes mendiang Kathir Oli adalah salah satu contoh kegigihan ahli keluarga untuk mendedahkan kebenaran secara terbuka dan mendapatkan kebertanggungjawab daripada polis. Ia tidak dicapai tanpa kesakitan dan kepedihan selama bertahun-tahun.

Jadi, kita mesti terus mempertanggungjawabkan kerajaan, termasuk Kementerian Dalam Negeri, supaya piawai kepolisan dapat dipertingkatkan.

Kita mesti menggalakkan dan menyokong inisiatif yang baik untuk kepolisan yang lebih baik.

Dan kita mesti terus menyeru salah laku polis dan salah guna kuasa dan impunitas yang membenarkan penyalahgunaan itu berlaku.

Tiada apa-apa yang akan berubah melainkan kitalah yang mencipta desakan untuk perubahan itu.

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Januari 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments