
Aliran akan menyambut ulang tahunnya yang ke-48 dengan majlis makan malam bertemakan “Malaysia untuk semua: Meraikan kepelbagaian dan inklusiviti” pada 22 Februari.
Sejak penubuhannya pada 1977 sebagai gerakan reformasi yang berbilang etnik, Aliran telah menggerakkan agenda keadilan, kebebasan dan perpaduan – tanpa mengira kaum, agama, jantina atau hubungan politik.
Jadi, sejauh manakah kita sebagai sebuah negara dalam meraikan kepelbagaian dan keterangkuman pada hari ini?
Sultan Nazrin Shah dari Perak bertitah pada Ogos 2024 bahawa Malaysia telah dipuji sebagai kisah kejayaan pelbagai budaya yang ada: “Rakyat Malaysia dari semua kaum, agama dan lokasi geografi perlu percaya bahawa mereka semua mempunyai tempat di bawah sinaran mentari Malaysia.”
Baginda turut menambah bahawa “walaupun di bahagian dunia yang dikatakan inklusif, populasi dari kelompok minoriti sering mengalami kemerosotan yang mengerikan, setiap hari… Kita mesti berusaha untuk menghapuskan setiap satu daripada tindakan pencerobohan ini, daripada makro kepada mikro, kerana kesemuanya, hatta sekecil mana sekalipun ia, mewakili serangan terhadap maruah manusia itu sendiri.”
Namun, berdasarkan apa yang berlaku di Malaysia, selalunya majoriti dan penduduk Islam yang dominan – atau sekurang-kurangnya beberapa orang atau entiti yang mendakwa mewakili merekalah – yang sering menonjolkan diri mereka sebagai mangsa tindakan pencerobohan dan berasa sentiasa ditindas. Majoriti penduduk Islam digambarkan sebagai kumpulan yang perlu sentiasa dilindungi, dibimbing, diingatkan dan dipertahankan, dengan tujuan yang lantang diisytiharkan untuk “melindungi sensitiviti umat Islam”, “memelihara kesucian Islam” atau semudah untuk “mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai”.
Menariknya, mereka yang mendakwa melakukannya kerana menghormati kedudukan Islam yang telah berakar umbi dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama persekutuan dan kedudukan istimewa etnik Melayu Islam juga mudah lupa bahawa hak sah golongan minoriti – termasuk hak untuk menganuti, mengamalkan dan menyebarkan agama mereka – juga termaktub dalam Perlembagaan, walaupun dengan beberapa batasan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Bertahun yang lalu, saya telah diberi nasihat mesra oleh rakan sekerja Muslim: “Jangan sentuh tentang Islam,” apabila saya telah mengulas secara tertutup tentang isu halal/tidak halal di tempat kerja.
Sememangnya orang bukan Islam sering disuruh, dengan sopan atau sebaliknya, supaya menjauhi urusan orang Islam.
Namun, terdapat banyak keadaan di mana tindakan dan keputusan seseorang Muslim atau pihak berkuasa Islam, yang dilakukan atas nama Islam atau kononnya hanya memberi kesan kepada orang Islam, turut telah menjejaskan orang bukan Islam juga, biasanya secara negatif.
Tanyalah Indira Gandhi, yang telah menunggu selama lebih 15 tahun untuk pihak berkuasa yang berkaitan bagi melaksanakan perintah hak penjagaan yang sah dan mendapatkan kembali anak bongsu beliau agar dapat bersatu semula dengannya.
Ambil juga contoh kes ‘garis panduan’ yang diumumkan di Parlimen oleh menteri hal ehwal agama baru-baru ini. Ia menetapkan beberapa syarat dan sekatan ke atas penyertaan orang Islam dalam perayaan dan acara bukan Islam – keadaan yang secara langsung memberi kesan kepada orang bukan Islam juga.
Menteri turut menegaskan garis panduan yang dicadangkan ini, oleh Jabatan Kemajuan Islam Jakim, dirangka dengan “niat murni”. Matlamatnya adalah untuk memupuk “keharmonian sosial dan budaya” di Malaysia yang berbilang agama.
Tetapi potensi kesan negatif daripada kawalan dan sekatan terhadap kedua-dua orang Islam dan bukan-Islam ini jelas terbukti.
Yang mengejutkan, menteri itu seolah-olah tidak menyedari impak ini dan kesan yang akan berlaku akibat garis panduan itu, terutamanya terhadap aktiviti antara agama.
Ramai secara terbuka menyuarakan kemarahan dan kebimbangan terhadap kesan politik dan sosial yang wujud dari garis panduan ini.
Lebih mengecewakan, sekali lagi, menteri itu tidak membincangkan garis panduan dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan – termasuk anggota kabinet, ahli parlimen dan kelompok berlainan agama – sebelum mengumumkan rancangan itu di Parlimen.
Malah perdana menteri sendiri kelihatan tidak menyedarinya. Hanya beberapa hari sebelum itu, di rumah terbuka Tahun Baru Cina, beliau telah menegur pihak tertentu yang menjadikan isu orang Melayu yang menyambut Tahun Baru Cina dan Thaipusam. Bak kata pepatah, seakan akan wujud Nero bermain biola sewaktu Rom terbakar itulah yang terlintas di fikiran!
Namun, dalam sistem pemerintahan kabinet, semua cadangan kerajaan sepatutnya dibincangkan dalam kabinet terlebih dahulu dan hanya diumumkan secara terbuka selepas ia mendapat kelulusan kabinet, dengan perdana menteri akhirnya bertanggungjawab ke atas semua keputusan kabinet. Keputusan harus ditentukan oleh PM.
Adakah ini manifestasi tirani majoriti – di mana garis panduan yang kononnya hanya untuk orang Islam suatu hari nanti akan menjadi dasar yang memberi kesan kepada semua orang di Malaysia?
Atau adakah ia hanya satu kes tindakan melulu oleh mereka yang tidak berpengalaman atau tidak cekap dalam kerajaan “Madani”?
Mungkin ia adalah satu lagi percubaan “kerajaan perpaduan” untuk mengenepikan saingan politiknya dalam usaha untuk memenangi lebih banyak sokongan Muslim.
Atau adakah ia sesuatu yang lebih berbahaya, seperti yang telah dikemukakan sebelum ini – iaitu ‘daulah terpendam’ yang bekerja melalui pihak berkuasa agama untuk menggugat kestabilan kerajaan perpaduan?
Selepas banyak bantahan awam, PM akhirnya mengumumkan kabinet telah pun menggugurkan garis panduan kontroversi itu. Namun, kredibiliti kerajaan Madani pimpinan beliau itu turut terhakis oleh satu lagi luka yang terjadi akibat hal sebegini.
Dalam satu lagi isu baru-baru ini, pemimpin kerajaan, terutamanya menteri kabinet bukan-Islam, dilaporkan diberi amaran atau diingatkan oleh majlis ulama Umno supaya berhati-hati apabila mengulas perkara berkaitan Islam dan umat Islam.
Ini, kata majlis itu, bagi mengelak wujudnya persepsi negatif yang boleh dimanipulasi dan diprovokasi oleh pihak tertentu yang akan menjadikannya sebagai ancaman kepada Islam.
Majlis itu memetik dua lagi isu baru-baru ini – kontroversi sandwic ham-dan-keju yang melibatkan penggunaan logo halal palsu serta penjualan alkohol di kawasan majoriti Muslim di Ipoh.
Mari kita ketepikan bidang kuasa yang boleh dipersoalkan serta seakan melampaui batas oleh majlis ulama sebuah parti politik itu. Mengapa majlis ulama itu mengarahkan mesejnya itu, terutamanya kepada menteri kabinet bukan-Islam, sedangkan selalunya ahli politik Islam, terutama dari partinya sendiri dan Pas, itulah yang kelihatan sangat gemar mencurah minyak ke api?
Seolah-olah mereka yang mudah tersinggung dan berasa tersinggung – walaupun tiada apa yang diniatkan atau dilakukan dengan sengaja – adalah juga yang cepat menyinggung perasaan serta menyerang orang lain, sehingga menimbulkan keganasan tidak kiralah melalui kata-kata mahupun perbuatan.
Orang boleh mempersoalkan sama ada tindakan dan keputusan yang direstui kerajaan oleh pihak berkuasa dan entiti agama Islam ini merupakan usaha tulen untuk melindungi kesucian Islam, memelihara perpaduan nasional dan menghormati sensitiviti etnik.
Atau adakah ia sebenarnya tindakan pencerobohan yang menyerang maruah orang Islam serta bukan-Islam?
Adakah mereka, sebenarnya, serangan halus ke atas hak minoriti bukan-Islam dan menghakis lagi kebebasan bersuara orang Islam dan bukan-Islam di Malaysia?
Banyak undang-undang dan peraturan yang sedia ada bagi memastikan ketenteraman dan kestabilan awam. Kemudian terdapat fatwa dan garis panduan yang memberi panduan dan perlindungan kepada umat Islam di Malaysia.
Jelas sekali, kita memerlukan batas untuk kebebasan bersuara. Namun, penggunaan frasa seperti “perpaduan negara”, “kestabilan dan keselamatan”, “niat untuk mencetuskan provokasi”, “sensitiviti agama” atau hanya “tiga R” untuk mewajarkan kawalan dan sekatan ke atas kebebasan bersuara memberi ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan manipulasi politik.
Ini kerana istilahnya cukup samar-samar dan tidak ditakrifkan dengan jelas sama ada oleh undang-undang atau dasar. Oleh itu, ia mungkin diberi tafsiran subjektif oleh mereka yang memegang kuasa dan mengakibatkan penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih.
Masyarakat Malaysia dan penduduk Islam khususnya bukanlah entiti yang homogen, seperti yang dapat dilihat daripada pelbagai reaksi terhadap kontroversi baru-baru ini.
Ketua sayap pemuda Umno itu mempertahankan keperluan untuk lebih banyak garis panduan kerana “tidak semua orang Islam mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang sama” dan memerlukan peringatan, sambil memberitahu orang bukan-Islam supaya tidak campur tangan dalam perkara itu.
Dan seperti yang dijangka, sayap pemuda Pas turut mewajarkan keperluan untuk garis panduan kontroversi. Ia berkata garis panduan itu perlu untuk menjaga akidah umat Islam dan mengekalkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
Sayap itu juga mempersoalkan hak pemimpin pemuda DAP untuk campur tangan dalam hal orang Islam, melabel mereka sebagai “kurang ajar” – walaupun sebahagian daripada pemimpin DAP ini adalah juga wakil rakyat beragama Islam.
Apa yang lebih membimbangkan ialah ketua sayap pemuda itu seolah-olah memperjuangkan teokrasi yang menyamar, dengan kabinet dan kerajaan perlu tunduk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.
Jadi, walaupun wujud sebilangan orang Islam yang akan menyanjung Jakim dan majlis ulama Umno sebagai juara Islam, pasti ada juga yang tidak bersetuju.
Tidak semua orang mempunyai keberanian untuk menyuarakan fikiran mereka secara terbuka seperti Siti Kasim, yang, dalam celotehnya yang penuh warna-warni, mengecam tindakan ini sebagai kawalan yang keterlaluan oleh pihak berkuasa agama dan menghina kecerdasannya sebagai seorang Muslim.
Lain-lain tokoh seperti Kadir Jasin dan Rafidah Aziz turut bersuara menentang menggula-gulakan orang Islam, pencerobohan berlebihan dan kepolisan sosial.
Sungguh menyegarkan untuk mendengar beberapa ahli politik Islam dan bukan-Islam dari dalam kerajaan perpaduan menyatakan pandangan berbeza secara terbuka.
Ahli Parlimen Tapah M Saravanan menggesa agar PM campur tangan segera sambil menonjolkan betapa tidak masuk akal beberapa syarat yang dicadangkan yang boleh merosakkan perpaduan negara itu.
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan pula menegaskan bagaimana garis panduan yang dicadangkan itu akan merumitkan dan merencatkan kerja wakil rakyat.
Syerleena Abdul Rashid, Ahli Parlimen Bukit Bendera, bersuara menentang retorik perpecahan yang menggunakan ketakutan dan intimidasi. Beliau menggesa semua parti politik untuk menangani isu sensitif melalui penglibatan dan dialog yang memupuk persefahaman dan bukannya perselisihan.
Ramai yang pasti lega mendengar kenyataan sultan Selangor baru-baru ini, selaku ketua agama Islam di negeri itu, menyatakan ketidaksetujuan baginda terhadap garis panduan tersebut dan memutuskan ia bukanlah sesuatu yang tepat pada masanya.
Jadi, apakah yang boleh kita rakyat biasa lakukan untuk menahan pembungkaman hak asasi kita dan menghentikan tindakan pencerobohan yang menjatuhkan maruah kita sebagai manusia? Bagaimanakah kita boleh memastikan keterangkuman dan melindungi kepelbagaian yang ada?
Adakah kita putus asa, mengemas beg kita dan, mungkin dengan kad PR di dalam poket kita, terus pergi ke negara lain yang kita percaya akan memberi kita tempat yang lebih baik di bawah sinar mataharinya? Ramai yang sudah melakukannya. Mungkin ramai lagi yang akan ikut jika boleh.
Benar, ada orang Islam di Malaysia yang ingin tinggal di kawasan kediaman yang diasingkan, hanya untuk orang Islam, dengan kedai dobi untuk orang Islam sahaja, tiada alkohol atau babi yang kelihatan dan segala-galanya disahkan oleh logo halal.
Tetapi bagi kebanyakan kita, Malaysia adalah tanah air di mana kita mendapat tempat di bawah sinar matahari. Di sini, kita hidup bersama-sama berdampingan, dengan kita terus melakukan apa yang diperlukan untuk merebut kembali negara kita daripada golongan fanatik dan pemimpin politik yang korup yang hanya ingin memuaskan hati mereka sendiri.
Dan terdapat banyak cara untuk melakukannya hari ini, sebagai individu atau melalui kumpulan yang menggembleng tenaga. Insiden dan kontroversi baru-baru ini berkaitan hak agama dan sensitiviti menunjukkan kepada kita bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan.
Kita semua perlu mempromosikan dialog antara agama yang tulen dan membina kepercayaan di kalangan orang dari pelbagai latar belakang etnik dan agama.
Dialog boleh berlaku dalam pelbagai cara – dari peringkat individu hingga kumpulan tersusun. Syarat paling asas adalah saling menghormati dan memahami yang melampaui hanya sikap toleransi semata-mata. Kita mesti membina jambatan dan melibatkan diri dengan orang lain yang berbeza daripada kita.
Kerajaan harus menyediakan persekitaran yang membolehkan banyak kumpulan melakukan kerja terpuji dalam mempromosikan dialog antara agama di peringkat akar umbi.
Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang akan bersara nanti, terdapat salah faham yang meluas mengenai beberapa ajaran Islam, termasuk dalam kalangan orang Islam sendiri, seperti yang dilihat dalam beberapa kes baru-baru ini.
Tanggapan salah ini boleh mengaburkan persepsi awam dan mempengaruhi reaksi terhadap kes berprofil tinggi, katanya. Tanggapan ini juga boleh menjejaskan penggubalan dasar dan pelaksanaan sekiranya perkhidmatan awam yang majoritinya beragama Islam turut terperangkap dalam salah tanggapan ini, terutamanya mengenai kedudukan undang-undang Syariah dan fatwa agama dalam sistem pentadbiran yang lebih luas.
Adakah ini menjelaskan mengapa Zakir Naik, walaupun dilaporkan telah pun dikenakan larangan berucap di seluruh negara pada 2019 oleh polis, diberikan kelulusan oleh mufti negeri untuk berucap di hadapan orang ramai di Perlis, dengan komennya mendapat liputan meluas di media sosial? Kami menunggu dengan penuh sabar bagi menteri dalam negeri untuk menjelaskan perkara itu.
Oleh itu, terdapat peranan yang perlu dimainkan oleh entiti agama Islam, terutamanya berkaitan pendidikan yang penting untuk Jakim, sebagai sebuah entiti yang dibiayai dengan murah hati daripada dana awam, untuk membetulkan salah faham dan menjaga daripada penyelewengan daripada ajaran Islam yang sebenar. Mereka juga mempunyai peranan penting dalam memastikan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam sistem pemerintahan Malaysia.
Kita tidak boleh berdiam diri dan bersekongkol dalam menghadapi sebarang serangan terhadap hak asasi kita, termasuk kebebasan bersuara dan kebebasan beragama.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah melihat bagaimana kuasa rakyat telah menolak percubaan untuk menyekat hak demokrasi kita. Dalam kes garis panduan agama yang penuh kontroversi baru-baru ini, bantahan orang ramai yang meluas menyebabkan menteri mundur dan memberikan lebih banyak maklumat untuk menjelaskan proses perundingan.
Sungguh menggembirakan apabila dapat mengetahui bahawa semua isu agama kini akan dibincangkan dengan menteri perpaduan negara dan wakil semua kumpulan agama utama dalam jawatankuasa keharmonian kerajaan.
Aliran sentiasa menjelaskan bahawa kita sebagai sebuah negara mestilah menegakkan keterangkuman dan melindungi hak semua orang, terutamanya kumpulan terpinggir dan rentan.
Kita juga tidak akan membenarkan atau menggalakkan tindakan dan kritikan yang didorong oleh Islamofobia.
Kita juga akan menyuarakan pendapat jika terdapat sebarang percubaan untuk mempolitikkan dan mempersenjatai agama untuk menutup kritikan dan kebimbangan yang sah selaras dengan demokrasi.
Aliran percaya kerencaman adalah harta yang harus diraikan dan dihargai oleh pelbagai etnik Malaysia.
Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
9 Februari 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme