Melihat bayangan risiko masa depan

Tiada sesiapa pun patut mengatakan bahawa mereka sudah ‘berputus asa’ dengan Malaysia sebelum mereka mula bertanya apa yang kita sudah lakukan

Kita tidak harus beralih pandangan kita dari keadaan genting masa kini - ELF-MOONDANCE/PIXABAY

Teman-teman saya ada yang berpendapat bahawa saya mungkin perlu berhenti berkongsi tentang keadaan negara kita yang semakin menyedihkan ini di ruang sosial media.

Mereka memberitahu bahawa mereka juga cukup letih dengan lagak politikus dan sangat terkesan dengan masa depan yang cukup pesimistik ini.

Saya baru menyedari bahawa teman-teman saya – seperti rakyat Malaysia lainnya – merasa kaku melihat keadaan sekarang. Saya fikir saya memahami keadaan mereka sekarang: mereka menjadi lumpuh diakibatkan oleh ketidakpercayaan serta putus harapan.

Kita berdepan dengan ketidakstabilan politik, ketidaktentuan ekonomi serta bencana iklim serta dilatari oleh penggangguran serta kadar inflasi yang semakin meningkat.

Manakala, rasuah semakin berleluasa menyelubungi kita. Usaha bagi menghentikan kematian dalam tahanan, perkahwinan bawah umur serta gangguan seksual nampaknya menjadi semakin sukar, serta cadangan akta ‘anti-lompat parti’ menjadi sesuatu yang mungkin tidak dapat digapai.

Menambahkan lagi kepada lingkaran yang merudum ini, kita seakan membuka luka lama yang sukar untuk disembuhkan melibatkan fabrik sosial kita, dengan meningkatnya sikap tidak toleransi, prejudis serta ketidakadilan terhadap warga dari kepercayaan yang berbeza, migran serta orientasi seksual lainnya. Sistem pendidikan kita pula berterusan pula ‘memperbodoh-bodohkan’ kita.

Segala pancaroba dalam negara ini sukar untuk kita nafikan saatnya pemimpin kita mula memperlekehkan bahasa Inggeris. Sebagai sebuah strategi, bahasa Inggeris sepatutnya ditanggapi dan digunakan bagi mempengaruhi komunikasi di peringkat antarabangsa serta mendapatkan ilmu dan pengetahuan. Pemimpin yang berupaya bercakap dalam bahasa Inggeris di pelantar antarabangsa sepatutnya dilihat sebagai suri teladan bagi remaja dalam negara ini.

Cadangan kerajaan negeri Kelantan yang menyeru remaja di sana untuk mula mengayuh beca bagi mengembalikan sejarah cukup memeningkan. Pastinya wujud cara lain yang lebih bijak bagi memperakui peranan beca dalam sejarah kebudayaan kita. Kita janganlah memperjudikan masa depan anak muda kita, yang sepatutnya lebih baik mengambil kursus berkaitan pengaturcaraan komputer atau bioteknologi, berbanding mengayuh beca.

READ MORE:  Seeing the writing on the wall

Tambahan pula, bolehkah kita percaya pada pemimpin kita untuk memimpin dengan integriti dan berniat baik? Seperti apa kita mahu bersangka baik dengan kerajaan kita hari ini, saatnya mereka sendiri sedang berkira-kira untuk menjual aplikasi MySejahtera kepada sektor swasta?

Saya percaya yang kita tidak lagi mempunyai kepimpinan yang bertanggungjawab. Sebaliknya, kita hanya ada sekelompok politikus yang lebih berminat untuk mengkhianati rakyat bagi memenangi pilihan raya untuk meneruskan kepentingan peribadi mereka sendiri.

Begitulah bagaimana akhirnya teman-teman saya menjadi seakan lumpuh melihat keadaan sekarang – namun, jangan pernah kita lupa, manusia tetap kan bertindak. Jadi sekarang, pada hari ini, saya mendengar lebih ramai orang yang merancang untuk meninggalkan negara ini sebelum ia karam.

Bagi mereka yang terpaksa untuk tinggal di sini, keadaan barangkali akan terus memburuk sehingga ada segelintir antara kita yang hanya dapat bayangan di mana politikus korup kelihatan seolah-olah telah dihukum.

Bagi mereka yang sudah pun dapat membaca keadaan ini barangkali terfikir adakah kita juga pada satu hari nanti akan menjadi seperti Sri Lanka – punah dan berantakan dengan korupsi yang membarah serta ketiadaan kepimpinan dan perancangan strategik dari cerdik pandai.

Atau apakah kita akan menjadi seperti Afghanistan – di mana keganasan dan penjarahan berleluasa, ditunggangi pula oleh mereka yang fanatik agama? 

Kedua-dua belah saingan politik kita pun nampaknya tidak memberikan harapan. Pakatan pembangkang kita rapuh, berdolak-dalik di antara politik tua dan muda. Pada satu sisi kita mempunyai para politikus yang sering bertelagah dan sukar untuk mengetepikan perbezaan mereka, dengan ada di antara mereka yang masih mendukung budaya feudal serta politik identiti yang menebal. Pada satu sisi lagi, kita mempunyai suara pemuda yang dinamik menyeru kepada perubahan dan liberalisme.

Namun, adakah apa yang akan berubah jika kita sering diperingatkan dari semasa ke semasa bahawa kaum Melayu perlu dilindungi oleh kepimpinan ‘Melayu’?

READ MORE:  Seeing the writing on the wall

Apa pun, bukankah ‘perlindungan’ itulah yang sudah diberikan oleh kerajaan pimpinan Umno sejak lima dekad yang lalu?

Namun, yang menyedihkan – serta paradoksnya – ramai di antara kaum Melayu itu terus menjadi bilangan tertinggi mereka yang miskin di dalam negara ini.

Cukup menyedihkan bahawa ramai yang tidak dapat melihat lebih banyak ‘perlindungan’ yang diterima oleh mereka, semakin tidak berupaya mereka sebenarnya. Hak ‘perlindungan’ yang sebegitu, menjadikan ramai di antara mereka hanya bergantung kepada bantuan dan peluang kerajaan, dan bukan menggalakkan dan memperkasa mereka bagi membangunkan kualiti dan keupayaan mereka sendiri.

Sebagai seorang pendidik dan ibu, saya sering memakai analogi rama-rama untuk memahami keadaan ini. Rama-rama perlu berusaha keluar dari kepompongnya untuk terbang. Menyelamatkan mereka dari usaha sebegini hanya akan melemahkan sayap mereka.

Parti pembangkang bukan sahaja perlu berganding bahu untuk berubah tetapi juga menjadi pesaing yang meyakinkan serta utuh bagi melawan kerajaan sedia ada. Mereka perlu memikirkan rancangan yang menyeluruh bagi menjadikan kaum Melayu serta kelompok terpinggir lainnya seperti rama-rama yang akan terbang tinggi.

Mereka yang dinafikan hak berkuasa hendaklah dibenarkan untuk mengharung ujian serta perubahan ekonomi dengan berdiri di atas kaki sendiri. Mereka tidak memerlukan perlindungan, namun apa yang mereka perlukan adalah sokongan dari pemimpin, pendidik serta pendukung yang berkelayakan dan mampu. Mereka memerlukan peluang untuk membangunkan cara fikir yang kreatif, kritikal dan inovatif. Mereka perlu mempelajari dengan gigih tentang nilai berusaha dan susah payah bagi mendapatkan ilmu, kemahiran serta selok-belok teknologi yang baharu.

Melindungi hanyalah tindakan yang melemahkan dan ia bukan sahaja pengkhianatan tetapi juga cara untuk mengekalkan mereka menjadi miskin, bergantung serta menjadi hamba sebagai pengundi yang hanya menurut kata.

Sementara kita memikirkan seperti apa arahnya pemimpin kita akan mengendalikan negara ini, jangan kita lupa bahawa negara ini juga sedang menuju ke zaman penuh ketidaktentuan. Kita akan berdepan persaingan yang sengit dari negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.

READ MORE:  Seeing the writing on the wall

Lihat bagaimana teknologi pembelajaran mesin akan mengubah sistem ekonomi global. Pengolahan genetik melibatkan teknologi CRISPR (gene-editing technology) serta penyelidikan sel dasar (stem cell research) akan membuka ruang ke dalam sains perubatan, menjadikan dunia dan kehidupan seperti apa yang kita ketahui, tidak lagi dapat dikenali.

Di mana rakyat Malaysia – dan kaum Melayu secara khususnya – berada dalam perubahan sebegitu?

Jika kita tidak memecut laju dan belajar dalam keadaan yang terbuka, kita tidak akan mampu mengharungi ketidaktentuan masa hadapan. Kita akan gagal – dengan teruknya. Begitulah, pada akhirnya, saya rasa saya memahami teman-teman saya yang memilih untuk tidak lagi peduli.

Namun kita, sebagai rakyat, tidak sepatutnya tidak peduli. Tetapi ini tidak pula bermakna kita perlu melihat kepada politikus yang mempunyai rekod buruk itu sebagai harapan. Kita sudah pun kalah saat kita tidak peduli. Kita perlu memahami kenyataan yang ada dan bertindak dalam apa cara sekali pun.

Kelompok masyarakat sivil, parti pembangkang dan calonnya perlu mengadakan perhimpunan, seminar dan webinar bagi menggalakkan interaksi dan perbincangan di peringkat yang berbeza. Kita perlu mendidik mereka yang hilang dan sedang merudum dalam jurang maklumat (information gap).

Ayuh suguhkan kenyataan ini kepada rakyat. Kita nyatakan cerita sebenar tentang isu yang memberi kesan kepada kita. Kita mulakan perbualan dari kedai kopi, pasar, pejabat, sewaktu mengeteh dan kafe siber sampailah ke jalanan.

Tiada sesiapa pun patut mengatakan bahawa mereka sudah ‘berputus asa’ dengan Malaysia sebelum mereka mula bertanya apa yang kita sudah lakukan untuk mengelakkan Malaysia dari terus jatuh merudum.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
12 April 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments