Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Consider This kerana mengatur temu bual Astro Awani beberapa bulan yang lalu mengenai pengehadan tempoh perkhidmatan perdana menteri. Temu bual itu menampilkan Profesor Wong Chin Huat dan Profesor Emeritus Shad Saleem Faruqi.
Amat malang bahawa rang undang-undang ini gagal diluluskan di Parlimen. Apa yang lebih mengecewakan ialah mendengar bagaimana beberapa Ahli Parlimen menentang rang undang-undang tersebut sambil mendakwa mereka tidak memahaminya secara sepenuhnya – dan kemudian menyalahkan AP kerajaan kerana tidak menjelaskannya dengan cukup baik.
Tingkah laku mereka sebenarnya boleh diramalkan. Tetapi apa yang akan lebih mengejutkan dan melucukan ialah jika AP ini dapat meluangkan masa untuk menonton episod Consider This kami, yang hanya sekitar 25 hingga 30 minit lamanya.
Jelas sekali, mereka tidak melakukannya. Mungkin rang undang-undang itu tidak selaras dengan cita-cita politik masa depan mereka sekiranya suatu hari nanti mereka kembali berkuasa.
Seperti yang dikatakan oleh Prof Shad:
Jika kuasa tertumpu pada seorang pemimpin dalam tempoh masa yang panjang, wujud bahaya bahawa kuasa ini menjadi peribadi. Saya tahu pada satu ketika di India, mereka pernah berkata, Indira adalah India, dan India adalah Indira. Jadi semuanya sangat peribadi.
Jadi terdapat bahaya bahawa kuasa diperibadikan, sekali gus mengakibatkan berlakunya salah guna kuasa, bukan sahaja oleh perdana menteri, tetapi oleh keluarganya, puaknya, serta oleh parti politiknya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Jadi sebarang perubahan atau pembaharuan menjadi sukar di negara seperti ini, melainkan perdana menteri, yang bersikap autoritarian, menginginkannya.
Kita hidup dalam realiti bahawa kuasa telah menjadi sangat peribadi. Tidak kira sama ada sesebuah negara demokratik atau tidak, politik kini berasaskan personaliti. Pilihan raya telah menjadi pertandingan siapa yang boleh bersuara paling lantang sambil mendakwa membawa kestabilan.
Ini menimbulkan persoalan: jika kestabilan adalah cabaran politik utama hari ini, maka kerajaan dan rakyat mesti menyedari bahawa ia tidak dapat dicapai hanya dengan mengadakan lebih banyak pilihan raya.
Kestabilan telah menjadi objektif politik, dibentangkan sebagai penyelesaian buatan kepada masalah sosial dan ekonomi yang berakar umbi pada era sebelumnya. Ini adalah zaman ketika kerajaan dapat menjalankan kuasa dengan kekangan yang jauh lebih sedikit dan kekal memegang jawatan selama-lamanya.
Perkara yang sama berlaku untuk krisis global yang sedang berlaku sekarang. Ketidakpastian dihasilkan secara sengaja supaya pihak dan individu tertentu dapat memperoleh banyak manfaat daripadanya.
Inilah sebabnya pemerhatian Prof Shad kekal relevan hari ini: “Banyak masalah yang kita hadapi hari ini sebenarnya disebabkan oleh salah penilaian pada masa lalu. Namun kerana para pemimpin ketika itu amat berkuasa dan tempoh perkhidmatan mereka benar-benar terjamin, perubahan tidak dapat dibuat.”
Ketika politik menjadi peribadi
Kita harus ingat bahawa menjelang pilihan raya umum 2018, gabungan pembangkang Pakatan Harapan telah menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menggerakkan sokongan orang ramai. Mereka merapatkan barisan untuk menentang skandal 1MDB, salah satu skandal rasuah terbesar dalam sejarah moden.
Ia mengambil masa hampir sedekad bagi membina gabungan sokongan yang luas untuk menentang rasuah, dengan PH, yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad, berjaya menyingkirkan Barisan Nasional daripada kuasa ketika pilihan raya umum 2018. Sewaktu itu, ramai di Malaysia, tanpa mengira etnik atau agama, bersatu padu atas tujuan yang sama.
Tetapi selepas PH kehilangan kuasa dua tahun kemudian, Mahathir seolah-olah sekali lagi melihat politik melalui lensa perkauman.
Sejak itu, saya tidak melihat usaha bersungguh yang sama daripada pemimpin politik untuk meneruskan perubahan seperti yang muncul pada tahun 2018.
Seperti yang dinyatakan oleh Prof Shad, kuasa akhirnya menjadi sangat peribadi. Malah dalam parti politik, pemimpin sering menjadi sinonim dengan parti yang mereka pimpin kerana mereka secara sedar menampilkan diri mereka sedemikian rupa.
Lama-kelamaan, garis pemisah antara pemimpin, institusi dan parti mereka menjadi kabur. Seseorang boleh dengan mudah membayangkan naratif seperti “Anwar adalah Malaysia, dan Malaysia adalah Anwar”, sama seperti naratif serupa yang mungkin muncul terhadap mana-mana perdana menteri masa depan.
Reformasi atau hanya berpolitik?
Kadangkala, pilihan raya hari ini terasa seolah-olah kurang tentang menyelesaikan cabaran negara dan lebih tentang memastikan kelangsungan parti politik dan ahli politik itu sendiri.
Kerajaan sekarang tidak sepatutnya bercakap tentang pembaharuan atau tadbir urus yang betul ketika ia menghabiskan begitu banyak masa hanya membuat persediaan menuju pilihan raya. Orang ramai sepatutnya dapat mencium gembar-gembur yang menyelubungi niat sebenar di sebalik pilihan raya awal. Tetapi kita terlalu sibuk, saya fikir.
Akhir sekali, saya tidak tahu siapa, jika ada, yang akan mendengar nasihat ini: kurangkan masa mengikuti semua ulasan yang tidak berkesudahan daripada ahli politik dan penganalisis politik ‘acah-acah’ di media sosial. Kebanyakan orang tidak perlu mengikuti setiap hujah ahli politik.
Sebaliknya, fokus pada aspek kehidupan yang boleh anda kawal, pada masalah peribadi yang mungkin telah anda tangguhkan atau elakkan, dan pada perubahan yang boleh anda bawa kepada dunia ini.
Jika anda percaya bahawa anda telah mencapai potensi penuh atau tiada apa yang buruk boleh berlaku dalam hidup anda, sila abaikan nasihat ini dan teruskan kehidupan. Itu sendiri sebenarnya adalah satu bentuk keistimewaan.
John Fong
Editor bersama, surat berita Aliran
10 Jun 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


