Krisis simpanan persaraan Malaysia mendedahkan masalah yang lebih mendalam

Cabaran struktural menghalang wujudnya perlindungan sosial untuk rakyat

Photograph: mole.my

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Krisis kewangan Asia pada tahun 1997 mendedahkan kelemahan yang cukup kritikal melibatkan jaringan keselamatan sosial di negara kita. Namun, kelemahan itu seolah-olah dilupakan sehinggalah wabak Covid baru-baru ini yang sekali lagi mendedahkan kelemahan negara kita.

Walaupun terdapat pelbagai bentuk sokongan, termasuk bantuan kerajaan, bantuan swasta dan inisiatif komuniti, wabak itu memburukkan lagi kesenjangan yang ada.

Contoh paling ketara ialah apabila berlakunya lonjakan pengeluaran simpanan persaraan yang pramatang melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini sekali gus menghakis simpanan persaraan pekerja, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

Pelancaran akaun 3 KWSP, yang membenarkan pengeluaran pramatang sebanyak 10%, telah mencetuskan semula kebimbangan mengenai jaminan persaraan yang tidak mencukupi.

Sepanjang dekad yang lalu, KWSP telah melaraskan penanda aras untuk simpanan asas, yang disasarkan kepada individu berumur 55 tahun, sebanyak tiga kali. Pada mulanya ia ditetapkan pada RM196,800 pada 2014, kemudian dinaikkan kepada RM228,000 pada 2017, dan meningkat kepada RM240,000 pada 2019.

Sepanjang tempoh ini, terdapat usaha bersepadu untuk menggalakkan pekerja meningkatkan simpanan persaraan mereka. Dorongan ini semakin mendesak dengan wujudnya ekonomi gig dan pasaran pekerjaan yang semakin tidak menentu.

Pada tahun 2021, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan (yang kemudian dilantik sebagai timbalan menteri kewangan pada Disember 2023) berkata: “Di KWSP, kami telah memulakan program dialog dan perkongsian dengan Grab untuk memberi insentif kepada komuniti pemandu dan rakan kongsi penghantaran Grab untuk membina simpanan persaraan mereka melalui program i-Saraan KWSP.”

“Kerjasama ini berjaya menarik lebih ramai pemandu e-hailing untuk menabung bagi persaraan mereka, dan setakat ini, 10,000 rakan kongsi telah mendaftar untuk program itu. Kami percaya bahawa menggembleng sumber dan usaha bersama adalah sangat penting untuk mengatasi masalah negara yang mendesak.”

READ MORE:  Potong pencen, bagaimana warga emas boleh hidup dengan bermaruah?

Usaha kerajaan dan syarikat untuk menggalakkan pekerja mendaftar dan mencarum ke akaun KWSP adalah penting.

Bagaimanapun, mereka juga meletakkan beban simpanan persaraan ke atas pekerja semata-mata. Usaha sedemikian mengabaikan keperluan untuk menangani dasar gaji yang sentiasa rendah serta cabaran struktural lain.

Tidak seperti penerima pencen perkhidmatan awam di bawah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, ahli KWSP tidak menerima faedah pencen. Simpanan persaraan mereka bergantung sepenuhnya kepada gaji yang diperolehi sepanjang tahun bekerja mereka.

Ini menyukarkan ramai pekerja untuk menabung secukupnya, lebih-lebih lagi memandangkan gaji minimum semasa hanya RM 1,500 sebulan. Jadi, hanya kira-kira 18% ahli KWSP mempunyai “simpanan yang mencukupi” dalam akaun KWSP mereka. (Simpanan yang mencukupi ditakrifkan sebagai mempunyai “sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan sepanjang umur persaraan 20 tahun”.)

Walaupun wujud desakan baru-baru ini untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,600 sebulan, jumlah yang lebih tinggi ini masih kurang daripada ‘gaji untuk sara hidup’, yang dianggarkan RM2,700.

Tenaga kerja migran yang besar merumitkan cabaran ekonomi Malaysia. Walaupun Malaysia berstatus negara berpendapatan sederhana, negara kita ini banyak bergantung kepada buruh migran, yang sering dicirikan sebagai golongan “rentan” dan “boleh ditukar ganti” dan dengan kadar berhenti kerja yang tinggi, dalam mengekalkan sektor komersial dan perindustriannya.

Angka rasmi dari 2019 menunjukkan bahawa golongan migran berjumlah lebih 3.1 juta, merangkumi lebih 10% daripada jumlah penduduk tempatan (Jabatan Perangkaan, 2021).

Tetapi pakar mengatakan angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi, sehingga 15%, jika pekerja asing tanpa izin turut dimasukkan (Lee Hwok Aun dan Khor Yu Leng, 2018).

Sejak bermulanya wabak Covid, pihak berkuasa telah menghantar pulang beribu-ribu pekerja asing. Ramai lagi yang telah meninggalkan negara kerana kelembapan ekonomi. Menjelang 2021, tenaga kerja migran telah menurun kepada 2.7 juta, mewakili kurang daripada 9% jumlah keseluruhan penduduk tempatan. Lebih setengah juta pekerja tempatan kekal menganggur.

READ MORE:  Malaysia's retirement savings crisis exposes deeper problems

Namun, Persekutuan Majikan Malaysia dan Persekutuan Pekilang Malaysia menggesa kerajaan meluluskan pengambilan lebih ramai pekerja asing.

Bank Negara menyifatkan ekonomi Malaysia beroperasi pada “model pengeluaran kos rendah” yang banyak bergantung kepada buruh asing berkemahiran rendah. Bank Negara berkata keadaan ini menyukarkan untuk wujudnya peningkatan produktiviti, mengekalkan gaji rendah dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran rendah.

Pekerja migran menyumbang pendapatan yang besar kepada kerajaan Malaysia. Setiap pekerja yang didokumenkan tertakluk kepada levi tahunan antara RM640 hingga RM1,850, bergantung kepada sektor.

Tanggapan bahawa pekerja asing menurunkan kadar gaji bukanlah perkara baru, kerana ia berlaku jauh sebelum adanya wabak.

Pekerja tempatan secara tidak adil menyalahkan pekerja asing kerana menjejaskan pasaran buruh dengan menerima gaji yang tidak memuaskan. Majikan berpendapat bahawa kenaikan gaji minimum untuk pekerja asing akan membawa kepada peningkatan aliran keluar kiriman wang.

Paradoks di mana ada penduduk tempatan yang menganggur serta wujudnya kekurangan sumber buruh mungkin kelihatan pelik. Ia perlu difahami dari sudut pandang di mana wujudnya dasar gaji rendah dan ketegangan di antara pekerja-majikan.

Kepercayaan yang berleluasa bahawa rakyat Malaysia enggan mengambil pekerjaan di sektor “tiga D” – kotor, berbahaya dan sukar (dirty, dangerous and difficult) – dengan mudah mengalihkan perbincangan tentang keperluan untuk menaikkan gaji minimum dan meningkatkan perlindungan sosial. Sebaliknya, kesalahan ditujukan secara tidak adil kepada kedua-dua golongan pekerja asing dan tempatan.

Krisis dana persaraan ini bukanlah sebuah fenomena baru. Cabaran itu wujud lama sebelum Covid, yang cukup berkait dengan isu struktural yang lebih luas.

Pendukung perlindungan sosial perlu menangani pelbagai cabaran yang saling berkaitan. Ini termasuklah soal simpanan persaraan yang tidak mencukupi, dasar gaji rendah, kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah, dan sifat buruh migran yang rentan.

READ MORE:  Review of ex-service personnel's pensions long overdue

Pembaharuan yang lebih menyeluruh diperlukan, selain daripada hanya mencadangkan kenaikan gaji minimum dan mengukuhkan simpanan berasaskan gaji.

Perubahan utama perlu melibatkan peralihan daripada skim bantuan sedia ada melibatkan kumpulan umur tertentu kepada skim pencen sosial sejagat yang dibiayai oleh cukai.

Tidak jelas sejauh mana cadangan sedemikian akan mendorong perubahan polisi khususnya melibatkan golongan berfahaman fiskal konservatif serta penggubal dasar, memandangkan asas percukaian (tax base) yang terhad di negara kita.

Sepanjang dua dekad yang lalu, hasil cukai Malaysia telah melonjak hampir empat kali ganda, mencecah RM180.6bn pada 2019 daripada RM49.1bn pada 1996. Namun, di sebalik pertumbuhan ini, nisbah cukai kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara telah menjunam daripada 19.4% pada 1996 kepada 12.0% pada 2019, menandakan asas percukaian (tax base) yang semakin mengecil.

Malaysia menduduki tempat ketiga dalam KDNK per kapita di kalangan negara Asia Tenggara di belakang Singapura dan Brunei. Tetapi nisbah cukai kepada KDNKnya adalah yang paling rendah di rantau ini, di belakang Kemboja, Thailand, Filipina dan Singapura, serta banyak lagi negara berpendapatan sederhana dan tinggi (data dari Bank Dunia).

Ini bermakna bahawa pelaksanaan skim pencen sosial sejagat yang dibiayai cukai memerlukan asas percukaian yang lebih luas (daripada menjadikannya semakin mengecil) serta sistem percukaian yang lebih progresif.

Soalnya adakah pemimpin di Malaysia mempunyai tekad politik untuk mewujudkannya?

Por Heong Hong
Editor bersama, surat berita Aliran
23 April 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments