Kontroversi UiTM: Menentang ‘parallel pathway’ ke arah kemanusiaan bersama?

Jangan biarkan ketaksuban dan cara berpolitik pihak tertentu mengaburkan wawasan kita untuk menjadi sebuah negara yang terangkum dan demokratik

UiTM - WIKIMEDIA

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Faktor kaum di Malaysia nampaknya cukup mempengaruhi sesuatu pandangan pada satu-satu masa sehinggakan ia bukan sahaja menggugat kepentingan negara tetapi juga mengelabui rasa kemanusiaan kita bersama.

Ada pihak tertentu baru-baru ini menolak cadangan untuk membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada para doktor pelatih daripada etnik minoriti.

Pihak ini khuatir jika pintu institusi khusus untuk bumiputera ini dibiarkan terbuka, ia akan dibiarkan terbentang luas untuk pengambilan pelajar minoriti yang lebih besar pada masa hadapan.

Cadangan ini yang hanya bertujuan sebagai langkah sementara untuk menyelesaikan situasi mendesak sekarang seolah-olah tidak dipedulikan oleh mereka yang hanya melihat segala-galanya dari kaca mata perkauman.

Tidak bolehkah pengecualian dibuat kepada ‘peraturan umum’ yang ada ini demi kepentingan semua orang di Malaysia, terutamanya pesakit yang sangat memerlukan pakar pembedahan?

Majlis perwakilan pelajar UiTM, yang dianggotai seramai 214 orang, jelas dalam kenyataan mereka: mereka menggesa para pelajar untuk berpakaian hitam sebagai tanda protes terhadap cadangan itu. Jangan ganggu UiTM, mereka berkeras.

Peliknya, jawatankuasa itu kemudiannya ‘memohon maaf’ kerana telah menimbulkan kekeliruan atau salah faham melibatkan protes itu. Namun, objektif protesnya cukup jelas: para pelajar menentang pembukaan sementara program itu kepada pelatih etnik minoriti.

Naib-Canselor UiTM Shahrin Sahib kemudiannya turut terjebak di dalam isu ini dengan memberikan sokongan kepada usul pelajarnya. Beliau berkata universiti itu akan mematuhi Seksyen 1A Akta UiTM 1976, yang menyatakan universiti itu ditubuhkan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Tidak ketinggalan, naib-naib-canselor serta rektor universiti awam lainnya turut bertindak dengan menyuarakan bahawa golongan minoriti tidak patut dibenarkan memasuki UiTM.

Apakah mesej yang mahu dihantar oleh pemimpin di menara gading ini kepada pelajar mereka tentang soal kepentingan negara?

READ MORE:  Is there political will for higher education overhaul?

Menteri Pengajian Tinggi Zambry Kadir turut menyuarakan sentimen yang sama. Beliau berkata perbincangan mengenai perkara ini masih belum diadakan sama ada di peringkat kementerian mahupun di dalam kabinet.

Cukup membimbangkan bahawa perkara mendesak sebegini nampaknya tidak diutamakan.

Namun, suara yang melawan arus turut kedengaran. Bekas naib-canselor UiTM Ibrahim Shah Abu Shah menyokong cadangan supaya universiti itu dibuka sementara bagi latihan pembedahan kardiotoraks kepada pegawai perubatan daripada etnik minoriti.

Kumpulan advokasi Lawyers for Liberty berhujah bahawa menghalang kaum minoriti daripada menyertai program itu bukan sahaja tidak boleh dipertahankan tetapi ia juga melanggar semangat perlembagaan.

Melihat keadaan yang mendesak sekarang, Aliran berpendapat bahawa keperluan bagi penjagaan kesihatan yang serius bagi rakyat biasa harus mengatasi pertimbangan berasaskan etnik.

Isu ini perlu diberikan konteks lanjut. UiTM dan Institut Jantung Negara ada menjalankan program bersama untuk melahirkan pakar bedah kardiotoraks – satu-satunya kursus seumpamanya di negara ini.

Tetapi terdapat “parallel pathway” untuk latihan pakar pembedahan kardiotoraks yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan dengan kolej perubatan di luar. Malangnya, laluan ini tidak diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Empat graduan daripada program pembedahan kardiotoraks dengan Royal College of Surgeons of Edinburgh dan enam graduan Universiti Sains Malaysia dilaporkan menyaman MMC kerana enggan mendaftarkan mereka dalam daftar pakar kebangsaan.

Ramai yang bingung apa alasan di sebalik penolakan itu. 

Memandangkan keperluan mendesak untuk pakar bedah kardiotoraks, cadangan telah dikemukakan untuk membenarkan pembukaan sementara program UiTM kepada pelatih ‘parallel pathway’ ini.

Laporan oleh CodeBlue, sebuah laman web kesihatan pada 25 April mengenai perkara ini menimbulkan kebimbangan yang lebih mendalam. Prof Raja Amin Raja Mokhtar, yang merupakan ahli lembaga pengajian program UiTM-IJN, berkata ketika itu pihak universiti telah bersetuju untuk membuka program itu kepada pelatih dan graduan etnik minoriti.

READ MORE:  Pro-Palestine university rallies sweep across the globe, echoing national sentiments - experts

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas naib-canselor UiTM dan pengerusi lembaga UiTM dirujuk. Kedua-duanya tampak bersetuju dengan idea itu untuk tempoh terhad (sehingga pelancaran program serupa yang memenuhi keperluan pelajar berbeza latar belakang di Universiti Malaya).

Prof Raja Amin menyatakan perkara ini selepas kementerian kesihatan dan pengajian tinggi telah menghubungi UiTM untuk mencari penyelesaian berikutan kekurangan pakar bedah kardiotoraks yang tenat di negara kita.

Jika laporan CodeBlue adalah benar, ia menimbulkan beberapa persoalan. Mengapa universiti berundur dari keputusannya? Adakah naib-canselor UiTM dan Zambry telah tunduk kepada suara lantang para nasionalis Melayu? Adakah kepentingan jangka panjang Malaysia telah diatasi oleh kepentingan politik jangka pendek?

Semua ini terpaksa kita hadapi walaupun presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Azizan Abdul Aziz sendiri merayu kepada UiTM “untuk membuat keputusan demi kepentingan kesihatan rakyat serta menangani kekurangan pakar yang teruk”.

Sementara itu, seorang wanita yang sedang mengandung tujuh bulan dilaporkan meninggal dunia di Sabah kerana kekurangan pakar yang sedemikian. Ramai lagi pesakit mungkin menderita kerana terlalu sedikit pakar yang ada.

Jadi ini adalah sebuah isu kemanusiaan yang harus diberikan perhatian oleh orang ramai, terutamanya profesional perubatan dan pelajar.

Inilah sebabnya mengapa ia cukup membingungkan untuk melihat ketua sayap pemuda Umno Akmal Saleh, yang juga seseorang yang berlatar belakangkan perubatan, bermain isu perkauman bagi menentang permintaan bagi pembukaan sementara ini. Semua ini kononnya untuk dirinya menjadi ‘juara’ UiTM sebagai benteng terakhir bumiputera.

Bukan itu sahaja, Akmal mendapati perlu untuk membidas kolumnis Malaysiakini Andrew Sia dan membuat laporan polis terhadapnya. Dengan berbuat demikian, doktor perubatan ini secara jelas telah membuat kenyataan bahawa tentangan terhadap pembukaan sementara ini kelihatan seperti satu tindakan jenayah.

READ MORE:  UiTM controversy: Opposing a 'parallel pathway' to shared humanity?

Keangkuhan seperti ini tidak mempunyai tempat dalam profesion yang sepatutnya mematuhi sumpah Hippokratesnya. Untuk itu, sesiapa yang mementingkan kemanusiaan harus mendahulukan nyawa manusia daripada ‘bangsa’.

Akmal harus mematuhi nasihat Menteri Perhubungan Fahmi Fadzil, yang baru-baru ini mengingatkan ahli politik untuk menggunakan hak mereka untuk menjawab dengan hati-hati. Mereka perlulah terlibat dalam wacana dengan beradab dan bijak. Untuk menakut-nakutkan bukanlah alternatif kepada perbualan yang membina.

Bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin menegaskan Akmal tidak sepatutnya melibatkan polis dalam hal perbezaan pendapat yang intelektual.

Bergantung hujah kepada polis adalah sikap anti-intelektualisme, seperti yang dikatakan dengan jelas oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Rashid.

Kekecohan yang dicipta oleh orang seperti Akmal tidak seharusnya mengalihkan perhatian kita daripada melakukan perkara yang diperlukan segera: menyelesaikan dengan cepat permasalahan pendaftaran melibatkan pakar kardiotoraks dalam sistem penjagaan kesihatan awam yang tidak cukup kepakaran sedemikian.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula berkata bahawa kabinet akan membincangkan isu itu dalam mesyuarat akan datang.

Semoga para menteri dapat memberikan penyelesaian yang cepat dan praktikal demi kepentingan rakyat. Jangan biarkan ketaksuban dan kepentingan politik pihak tertentu mengaburkan wawasan kita tentang sebuah negara yang terangkum dan demokratik.

Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
27 Mei 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments