‘Konflik’ Israel-Palestin: Hentikan keganasan!

Warga Palestin dan semua yang di rantau itu berhak untuk hidup bermaruah, dilindungi dari seksaan serta bebas dari penindasan yang berterusan

EURO-MED HUMAN RIGHTS MONITOR

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Keadaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat semakin merosot dari hari ke hari dan berkemungkinan akan menjadi semakin buruk.

Resolusi PBB yang menyeru agar wujud gencatan senjata kemanusiaan segera antara Israel dan Hamas serta akses segera bagi bantuan kemanusiaan akhirnya diluluskan pada 26 Oktober, dengan sokongan padu daripada kebanyakan negara anggota (120 menyokong, 14 menentang dan 45 berkecuali).

Resolusi itu mengecam semua tindakan keganasan terhadap orang awam Palestin dan Israel, termasuk segala “serangan keganasan yang berlaku sewenang-wenangnya”. Ia menyeru pembebasan segera serta tanpa syarat melibatkan semua orang awam yang ditawan secara haram.

Resolusi itu turut menekankan kesan besar konflik bersenjata terhadap wanita, kanak-kanak dan orang awam lain yang mempunyai kerentanan khusus, termasuk orang kurang upaya, orang tua dan orang sakit.

Malangnya, resolusi itu bukanlah sesuatu yang terpakai kecuali ia dijalankan oleh Jawatankuasa Keselamatan PBB. Sehingga kini, pekara ini tidak berlaku.

Keadaan memburuk di Gaza

Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober dilaporkan mengakibatkan kematian hampir 1,400 warga terbunuh, termasuk orang awam dan askar, serta melibatkan tawanan melebihi 200 orang, termasuk kanak-kanak. Serangan ini, tentunya, cukup mengejutkan.   

Dengan tidak meminimumkan atau mewajarkan kengerian serangan yang berlaku itu, kita juga perlu mengakui bahawa permusuhan dan kekejaman dalam ‘konflik’ Israel-Palestin ini tidak hanya bermula pada 7 Oktober tetapi bermula sejak beberapa dekad yang lalu.

Gaza telah berada di bawah sekatan selama 16 tahun dan dirujuk sebagai “penjara terbuka terbesar di dunia”.

Seperti diujarkan oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, “Adalah penting untuk memahami bahawa serangan oleh Hamas tidak berlaku dalam ruang lompang. Rakyat Palestin telah mengalami 56 tahun kependudukan yang menyesakkan… namun desakan rakyat Palestin juga tidak dapat mengabsahkan serangan yang mengerikan oleh Hamas. Dan serangan yang mengerikan itu juga tidak dapat membenarkan hukuman kolektif ke atas rakyat Palestin.”

Guterres amat bimbang tentang pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang jelas di Gaza, dengan menyatakan bahawa “tiada pihak dalam konflik bersenjata yang dapat melangkaui undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.

Jelas bahawa komen-komen ini, yang ramai pihak menyifatkannya sebagai seimbang. Namun begitu, duta Israel ke PBB telah menyeru peletakan jawatan setiausaha agung selepas kenyataannya itu..

READ MORE:  Palestine - A view from Bethlehem and a Malaysian perspective

Sudah tentu, Israel dan sekutunya telah mendakwa mereka mempunyai “hak untuk mempertahankan diri” sebagai mengabsahkan penghancuran Gaza yang cukup kejam berlaku ketika ini serta serangan di Tebing Barat yang dijajah.

Dengan Gaza kini dimusnahkan oleh bom serta pencerobohan, kumpulan bantuan Oxfam menyatakan bahawa hanya kira-kira 2% daripada bantuan yang diperlukan di Gaza sampai kepada rakyatnya.

Pengarah Oxfam bagi rantau Timur Tengah itu Sally Abi Khalil menyatakan minggu lalu, “Keadaan sekarang sungguh mengerikan – di mana kemanusiaan? Berjuta-juta orang awam sedang dihukum secara kolektif dengan seluruh dunia melihatnya, tiada apa pun dapat mengabsahkan penggunaan taktik melaparkan sebagai senjata perang.”

Setiap hari, keadaan semakin merosot. Israel telah memotong bekalan air, makanan, bahan api dan elektrik di Gaza, di mana PBB menyatakannya sebagai bentuk “hukuman kolektif”.

Pengeboman Israel ke atas Gaza telah dipergiat, dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengisytiharkan bahawa inilah “waktunya untuk berperang” dan telah memberi amaran bahawa pencerobohan darat ke atas Gaza akan berlaku dengan cukup “panjang dan sukar”.

Sementara itu, serbuan dan tangkapan telah meningkat di Tebing Barat, dengan ramai orang terbunuh serta dipindahkan keluar dari sana.

Gencatan senjata kemanusiaan tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat.

Sekali gus, angka kematian juga semakin meningkat. Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa lebih 8,500 orang telah terbunuh – terutamanya wanita dan kanak-kanak – dan jumlah ini meningkat dari hari ke hari.

Kanak-kanak di dalam konflik

Kanak-kanak membentuk kira-kira separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza. Malangnya, mereka telah terperangkap dalam di tengah-tengah pertempuran – tanpa mengira dari mana senjatanya itu ditembakkan.

Menurut Save the Children, dalam tempoh 15 tahun yang lalu, kanak-kanak di Gaza telah mengalami enam detik penting – lima peningkatan dalam peristiwa keganasan dan wabak Covid – serta sekatan darat, udara dan laut yang memberi kesan kepada nyawa dikenakan oleh Israel. Sesungguhnya, ramai kanak-kanak ini tidak pernah mengenali kehidupan tanpa sekatan.

Dalam ‘konflik’ yang berterusan ini, Unicef ​​melaporkan bahawa kira-kira 40% daripada mereka yang terbunuh di Gaza adalah kanak-kanak – purata 420 kanak-kanak terbunuh atau cedera setiap hari. Jangan lupa juga kanak-kanak di kalangan orang Israel yang terbunuh dan cedera pada 7 Oktober.

READ MORE:  World court censures Israel for its genocidal war

Pengarah serantau Unicef ​​Timur Tengah dan Afrika Utara, Adele Khodr berkata, “Pembunuhan serta pencederaan kanak-kanak, penculikan kanak-kanak, serangan ke atas hospital dan sekolah, serta penafian akses kemanusiaan merupakan pencabulan besar terhadap hak kanak-kanak. Unicef ​​merayu kepada semua pihak untuk segera bersetuju dengan gencatan senjata, membenarkan akses kemanusiaan dan membebaskan semua tebusan. Peperangan sendiri bahkan mempunyai peraturan. Orang awam mesti dilindungi – terutamanya kanak-kanak – dan semua usaha mesti dilakukan untuk menyelamatkan mereka dalam semua keadaan.”

Save the Children melaporkan bahawa seorang kanak-kanak terbunuh setiap 15 minit akibat pengeboman Israel. Ini tidak boleh diterima. Kanak-kanak membayar harga yang tinggi di dalam konflik yang tidak melibatkan mereka.

Mendukung rakyat Palestin

Malaysia telah lama menjadi penyokong hak rakyat Palestin dan merupakan salah satu daripada 120 negara anggota PBB yang mengundi menyokong resolusi tersebut.

Melihat keadaan semasa ini, kerajaan telah menguruskan tabung amanah kemanusiaan bagi rakyat Palestin yang telah mengumpul jutaan ringgit untuk bantuan.

Kerajaan juga telah mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menganjurkan “Minggu Solidariti Palestin“. Malangnya, inisiatif ini menjadi kontroversi.

Program ini yang meliputi institusi pendidikan – sekolah, kolej vokasional dan matrikulasi, serta institut pendidikan guru di seluruh negara – berlangsung dari 29 Oktober hingga 3 November.

Menurut kementerian itu, program itu bertujuan “untuk menyemai dalam diri pelajar rasa mendalam tentang hak asasi manusia, budi bahasa dan belas kasihan. Ia bertujuan untuk memupuk empati dan keprihatinan terhadap nasib individu, tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial mereka.”

Mengajar nilai-nilai sebegitu nampaknya satu perkara yang baik. Namun, cabarannya ialah hanya ada beberapa orang dilatih secukupnya untuk menyampaikan program sebegini di sekolah-sekolah seluruh negara. Jadi siapa yang akan mengendalikan program ini dan bagaimana mereka akan menjalankannya bagi mencapai objektifnya?

Untuk konsisten dalam mengajar nilai kemanusiaan dan sejagat, program sebegini tidak boleh hanya terhad kepada satu situasi sahaja, dalam hal ini konflik Palestin-Israel.

Sebaliknya, tumpuan perlu dilanjutkan kepada situasi dan konflik di tempat lain di dunia, contohnya, di Myanmar, Yaman, Sudan atau Kashmir.

READ MORE:  Six day protest for Palestine

Jika tumpuan solidariti hanya diberikan kepada rakyat Palestin, kita sekali gus perlu lebih berhati-hati untuk mengelakkan situasi di mana program itu akhirnya hanya akan mempromosikan kebencian, keganasan atau perkauman. Ia tidak akan menjadi seperti yang Kementerian Pendidikan mahukan.

Lebih dekat di Malaysia

Barangkali pelajaran sebegini patut bermula lebih dekat rumah kita sendiri. Pasti lebih menarik jika anak-anak kita diajar untuk mengenali dan menghormati kemanusiaan melibatkan warga yang berbeza kepercayaan, etnik serta kewarganegaraan.

Penyelaras juga patut dapat menyoroti isu berkaitan kelompok terpinggir, termasuklah kelompok berpendapatan rendah, mereka yang tidak berumah, orang kurang upaya, Orang Asli, pekerja migran serta pelarian di Malaysia.

Pengajaran sebegini bagi memastikan pemahaman serta ihsan terhadap mereka yang lain akan menjadi lebih efektif jika anak-anak dapat melihat tindakan orang dewasa di sekeliling mereka sendiri – dalam ungkapan dan perbuatan.

Jadi bagaimana kita dapat menunjukkan kepada para murid bahawa kita perlu meraikan kemanusiaan kepada semua? Apakah naratif arus perdana serta polisi dan tindakan kerajaan mendukung nilai kemanusiaan serta kesejagatan dalam mempromosikan pemahaman dan keihsanan?

Seberapa faham kita tentang ihsan yang ditonjolkan kepada para pelarian serta pekerja migran di negara kita? Apakah pindaan perlembagaan yang mahu dijalankan nanti melibatkan soal hak terhadap kanak-kanak tanpa negara merupakan sebuah tindakan penuh ihsan bagi kita memahami hak asasi? Adakah tindakan baru-baru ini mengusir keluar petani serta penghancuran ladang mereka di Tambun, Perak, sebuah contoh baik tentang ihsan serta pemahaman kita tentang hak asasi?

Tamatkan konflik

Kontroversi yang melanda minggu solidariti Palestin sekolah baru-baru ini sepatutnya tidak mengganggu kita dari keperluan untuk menggembleng dukungan kepada rakyat Palestin.

Rakyat Palestin serta mereka yang lain di rantau itu berhak untuk hidup bermaruah, dilindungi dari seksaan serta bebas dari penindasan serta pelecehan yang berterusan. Hak asasi setiap manusia perlu dipertahankan dan dihormati.

Oleh itu, marilah kita menggandakan komitmen kita untuk mempromosikan kemanusiaan bersama dan nilai sejagat yang memupuk “empati dan keprihatinan terhadap individu, tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial mereka”.

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
1 November 2023

Terjemahan oleh Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments