Ketidaktentuan gabungan politik dan mengapa kita perlukan kabinet bayangan

Graphic: vonyaglobal.com

Inilah masanya untuk kita memastikan wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab kepada rakyat yang mengundi mereka, ujar Azmil Tayeb.

Mungkin sekarang, kebanyakan kita sudah muak dan lelah dengan permainan kerusi berirama (musical chairs) yang berlaku di Parlimen serta beberapa dewan undangan negeri.

Wakil rakyat secara sewenang-wenangnya tidak menghormati kepercayaan dan mandat diberikan rakyat yang mengundi mereka dengan melibatkan diri dalam ‘berjual-beli’ serta segala macam kebrobokan lain semata-mata demi mengecap kekuasaan.

Gabungan politik di Malaysia berfungsi dalam bentuk yang berbeza berbanding negara lain walaupun dengan sistem parlimen yang serupa. Sistem pilihanraya kita yang mengguna pakai first-past-the-post di mana pemenang mendapat segalanya, sekaligus memaksa parti politik untuk membentuk gabungan sebelum pilihanraya, terutamanya atas alasan strategik bagi mengelakkan pemecahan undi.

Ianya membentuk cara fikir pragmatik yang diunjurkan oleh strategis ketenteraan tersohor Sun Tzu iaitu “musuh kepada musuh saya adalah teman saya”. Ini adalah ciri gabungan politik yang biasa dapat kita lihat di Malaysia sekarang.

Namun, strategi gabungan sebegini tidak mapan untuk jangka masa panjang: lihat sahaja kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang malang hanya selepas 22 bulan berkuasa serta drama politik yang berlangsung sehingga ke hari ini.

Sebuah gabungan yang terdiri dari parti-parti komponen dengan agenda dan ideologi yang rencam tidak semestinya didorong oleh kebencian kepada musuh yang sama.

Ambil contoh Grand Coalition (Große Koalition or GroKo) di Jerman misalnya. GroKo terdiri daripada parti-parti politik kanan dan kiri yang tidak mampu membentuk gabungan politik mereka sendiri. Sebaliknya, mereka bersama di atas tujuan yang sama serta menyusun perkongsian kuasa yang adil.

GroKo telah membentuk kerajaan pusat empat kali semenjak Perang Dunia Kedua; ketiga-tiga yang terakhir ini melibatkan tempoh pemerintahan Canselor yang ada sekarang, Angela Merkel. Kestabilan ini membantu Jerman menghindari kegawatan ekonomi 2008 hampir tanpa mempunyai apa-apa kesan.

READ MORE:  Just words at the moment

Diakui, Jerman mengguna pakai sistem pilihanraya dengan perwakilan berkadaran (proportional representation), yang membuka ruang rundingan di antara parti politik untuk berlaku selepas pilihan raya – tidak seperti apa yang kita ada di Malaysia.

Berbanding memfokuskannya semata-mata kepada tawar-menawar di antara parti, sebaliknya mari kita selidiki apakah sebenarnya hubungan yang mengikat parti-parti politik yang berbeza ini bersama: iaitu keterbukaan parti-parti politik ini untuk mengetepikan perbezaan mereka bagi tujuan yang sama berpaksikan kepada kesejahteraan serta kepentingan awam.

Inilah sebabnya mengapa GroKo kukuh sepanjang tempoh pemerintahan Frau Merkel. Dan inilah sebenar-benarnya apa yang gabungan politik di Malaysia, tidak kira di dalam kerajaan atau pembangkang, tidak punyai.

Sebuah gabungan yang dibentuk dengan asas kukuh, popular serta tujuan polisi yang jelas mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk berjaya berbanding semata-mata hanya mahu bermain politik dan tamak kuasa.

PH perlu berganding bahu dan menumpukan fokus kepada agenda bersama yang menguntungkan rakyat, khususnya rakyat yang miskin serta yang tidak mampu, berbanding hanya menumpukan usaha mendapatkan bilangan bagi membentuk kerajaan.

PH boleh mula dengan membentuk kabinet bayangan, serupa seperti yang digunakan di dalam pemerintahan parlimen Westminster yang lain seperti UK. Kabinet bayangan akan memaksa parti komponen di dalam PH untuk sedar bahawa mereka perlu menggagaskan sebuah kabinet yang mampu untuk mengeluarkan kritikan yang padu serta polisi alternatif terhadap apa yang ditawarkan kerajaan PN.

Berbanding tergesa-gesa untuk kembali ke tampuk kuasa melalui perjanjian di balik tabir, yang menimbulkan syak serta mengharapkan ‘cop mohor’ diraja semata-mata, PH sepatutnya mengatur strategi jangka panjang dengan meletakkan diri mereka sebagai bakal kerajaan yang kukuh serta padu bagi mengimbangi kuasa kerajaan PN, yang keabsahannya dipersoalkan itu.

READ MORE:  Speaker must schedule confidence vote at this Parliament sitting

Kabinet bayangan PH, yang berpusatkan rakyat serta berorientasikan polisi dengan mengurangkan bermain politik yang remeh-temeh, sekaligus membuatkan para pengundi senang dengan mereka, dengan tujuan untuk bersedia bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Bagaimana kita, rakyat, dapat memastikan gabungan PH untuk merubah perangai dan berganding bahu bersama?

Kita, pertamanya, perlu meletakkan tekanan kolektif kepada wakil rakyat kita. Tekanan perlu datang dari dalam dan luar parti.

Ahli parti yang biasa harus berani untuk bersuara ketika mesyuarat parti tentang perkara ini dan mendesak ianya dimasukkan ke dalam agenda parti masing-masing.

Gerakan masyarakat sivil juga boleh bersama memberi tekanan dari luar dan memperkukuhkan aktivis di dalam parti. Kelompok ini boleh menggerakkan sokongan melalui petisyen atas talian, forum awam, artikel di media nasional serta mesyuarat dengan wakil rakyat. Walaupun mobilisasi gerakan masyarakat sivil terhad ketika waktu pandemik, namun ia sepatutnya tidak menghalang kita untuk bersuara dan menuntut hak sebagai rakyat Malaysia yang kisah.

Keperluan untuk menubuhkan kabinet bayangan berpaksikan polisi harus ditonjolkan ke depan dan diketengahkan di dalam wacana politik arus perdana. Ianya harus menjadi topik yang mendominasi kedai-kedai kopi di seluruh Malaysia.

Wakil rakyat kita sudah terlalu lama bersikap acuh tidak acuh dengan kepercayaan serta mandat rakyat yang mengundi mereka ke tampuk kekuasaan.

Inilah masanya untuk kita memastikan mereka bertanggungjawab, memujuk mereka untuk menjalankan tanggungjawab secara profesional dan mengingatkan dengan keras bahawa menjadi wakil rakyat bukanlah sebuah hak peribadi.

Azmil Tayeb
Editor bersama, Surat berita Aliran
22 Disember 2020

Terjemahan oleh Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.