Kembalikan pilihan raya tempatan: Beri kuasa kepada rakyat

Ia adalah bahagian yang hilang dalam demokrasi Malaysia yang boleh mengubah cara bandar dan pekan kita ditadbir

Voters casting their ballots enthusiastically at Penang Forum 3's experimental local council poll in 2010

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Selama hampir 50 tahun, rakyat Malaysia tidak mempunyai hak untuk menentukan siapa yang mengendalikan majlis tempatan mereka.

Sejak kerajaan membatalkan pilihan raya tempatan pada tahun 1976, majlis tempatan hanya diisi oleh lantikan politik. Ahli majlis ini hanya dipilih oleh kerajaan negeri dan bukannya dipilih oleh rakyat.

Hasilnya? Kehilangan akauntabiliti, penyampaian perkhidmatan yang lemah, dan ahli majlis yang melayani kepentingan politik berbanding keperluan awam.

Mengapa pilihan raya tempatan penting

Majlis tempatan bertanggungjawab ke atas perkara yang kita hadapi setiap hari – kutipan sisa, pengurusan trafik, permit perniagaan, perancangan bandar dan kemudahan awam.

Secara teorinya, majlis-majlis ini sepatutnya menjadi peringkat kerajaan yang paling responsif. Tetapi tiada pilihan raya tempatan bermakna tiada tekanan untuk berfungsi dengan baik.

Pada masa ini, ahli majlis tidak mempunyai akauntabiliti kepada rakyat. Kegagalan untuk menangani hal jalan berlubang, longkang tersumbat atau pengangkutan awam yang tidak cekap, tidak akan menjejaskan kedudukan mereka.

Sebaliknya, kesetiaan ahli majlis terletak pada ahli politik yang melantik mereka. Sistem ini menggalakkan naungan politik, kerana jawatan tersebut diberikan sebagai ganjaran dan bukannya berdasarkan kecekapan.

Jika pemimpin tempatan terpaksa memenangi undi dan bukannya hanya dengan sokongan politik, mereka akan dipaksa untuk mendengar, melibatkan diri dan memastikan hasil sebenar.

Manfaat mengembalikan pilihan raya tempatan

Mari kita lihat bagaimana pilihan raya tempatan boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Pertama, apabila orang ramai boleh mengundi pemimpin tempatan mereka, pemimpin tersebut akan mempunyai sebab untuk mengambil berat tentang keperluan orang ramai.

Pilihan raya memberi pengundi kuasa untuk menyingkirkan ahli majlis yang tidak cekap dan memberi ganjaran kepada mereka yang benar-benar melakukan tugas mereka.

Pada masa ini, kita tidak mempunyai pilihan sedemikian. Jika seseorang ahli majlis gagal, penduduk akan ‘tersekat’ dengan ahli majlis sehingga pilihan raya seterusnya berdasarkan pelantikan politik.

Bandar-bandar di Malaysia menghadapi masalah dengan lalu lintas, pengangkutan awam, pengurusan sisa dan pembangunan. Ia adalah masalah tempatan yang memerlukan penyelesaian tempatan, tetapi majlis yang dilantik sering tidak mempunyai wawasan untuk menyelesaikan dengan cepat.

Lihatlah Jakarta dan Surabaya di Indonesia. Kedua-dua bandar menyaksikan peningkatan besar selepas desentralisasi yang memberikan pemimpin peringkat tempatan lebih kuasa.

Apabila datuk bandar dan ahli majlis dipilih, mereka cenderung untuk menjadi lebih inovatif, responsif dan lebih bersedia untuk melibatkan diri dengan orang ramai.

Ketiga, demokrasi tidak terhenti hanya dengan pilihan raya umum. Orang ramai harus mempunyai suara bagaimana bandar dan pekan mereka dikendalikan. Pemulihan pilihan raya tempatan akan menggalakkan lebih banyak penyertaan sivik, menjadikan penduduk lebih terlibat dalam komuniti mereka.

Apabila pengundi mempunyai kepentingan dalam kerajaan tempatan, mereka lebih cenderung untuk menghadiri mesyuarat dewan bandaran, memberi maklum balas dan meminta pegawai bertanggungjawab. Dari masa ke masa, ini membina masyarakat yang lebih sedar politik dan aktif.

Akhirnya, di bawah sistem sedia ada, kerajaan negeri mengawal majlis tempatan. Ini bermakna keputusan selalunya berdasarkan kepentingan politik dan bukannya kepentingan orang awam. Keputusan mengenai tanah, pembangunan dan belanjawan majlis sering dibuat secara tertutup, dengan sedikit ketelusan.

Kerajaan tempatan yang dipilih akan mengurangkan campur tangan  sebegini. Rakyat – bukan ahli politik negeri – yang akan memilih ahli majlis mereka. Ahli majlis kemudiannya boleh memberi tumpuan kepada tadbir urus sebenar dan bukannya menjadi boneka parti politik.

Maju ke hadapan

Memulihkan pilihan raya tempatan memerlukan kemahuan politik. Malangnya, ramai ahli politik mendapat manfaat daripada sistem semasa dan tidak mempunyai banyak insentif untuk mengubahnya.

Itulah sebabnya tekanan awam adalah penting. Kumpulan masyarakat sivil, ahli akademik dan rakyat biasa mesti mendesak agar wujud reformasi.

Sistem yang benar-benar demokrasi bukan sahaja patut wujud di peringkat nasional – ia mesti ada di pekan dan bandar kita juga. Kita layak mempunyai pemimpin tempatan yang dipilih oleh rakyat, bukan dilantik secara tertutup.

Pilihan raya tempatan sepatutnya sudah lama dijalankan. Ia akan menambah baik tadbir urus, mewujudkan lebih ramai pemimpin yang bertanggungjawab dan memberi rakyat Malaysia suara sebenar tentang cara komuniti mereka dikendalikan. Sistem sekarang menguntungkan ahli politik, bukan rakyat.

Ia adalah masa untuk perubahan. Sudah tiba masanya untuk mengembalikan pilihan raya tempatan.

Chris Chong
Editor bersama, surat berita Aliran
9 April 2025

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Christopher Chong
Dr Christopher Chong, an academic and Aliran executive committee member, is co-editor of Aliran's weekly newsletter. He has a doctrate in political science from Universiti Sains Malaysia and currently lectures on mass media and society in a non-profit private research university.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments