Kehidupan selepas coronavirus: Segalanya sudah berubah!

Parlimen perlu bersidang semula dan tubuhkan pasukan tugas berkemampuan terdiri dari individu berkelayakan bagi memerangi virus ini

Come gather ‘round people
Wherever you roam
And admit that the waters
Around you have grown
And accept it that soon
You’ll be drenched to the bone
If your time to you is worth savin’
And you better start swimmin’
Or you’ll sink like a stone
For the times they are a-changin’

– Bob Dylan

Di waktu yang mencabar ini, bolehlah dimaafkan jika kita sering membayangkan senario akhir zaman seperti yang digambarkan di dalam filem. Gambaran masa hadapan yang penuh dengan makhluk persis zombie kerap kali melintas fikiran saya, walau benar ianya senario yang sungguh ekstrem.

Kendati pun, masa hadapan di mana homo sapiens terpaksa mengharung ombak pandemik yang berterusan sudah pun berlaku sekarang. Siapa yang tahu jika kita dapat menghadapi semuanya dengan lebih baik di masa hadapan berbanding apa yang kita sedang lakukan sekarang dengan Covid-19? Kita pun bukanlah berada dalam keadaan yang begitu baik sekarang!

Baru sekejap sahaja ketika epidemik Severe Acute Respiratory Syndrome (Sars) menyebar ke beberapa rantau. Gambar-gambar doktor dan jururawat yang meninggal dalam sekelip mata kerana dijangkiti Sars pada 2003 cukup menakutkan. Syukur, Sars datang dan pergi dalam tempoh lapan bulan dengan hanya 774 kematian.

Sehinggalah Disember 2019, dan dunia berhempas-pulas pula dengan penularan saudara dekat Sars, Covid-19. Selepas 17 bulan, pandemik ini nampaknya tidak mereda sedikit pun dengan angka 3.5 juta kematian.

Jika kita membenarkan imaginasi kita untuk melepas bebas, ianya tidaklah sukar untuk kita membayangkan masa hadapan dengan wujudnya ‘busa komuniti’ seperti digambarkan di dalam filem sci-fi Elysium.

Busa tampaknya seperti metafora yang baik untuk menggambarkan senario Covid. Terdapat rundingan yang berterusan serta beberapa tindakan bagi “busa perjalanan” atau koridor perjalanan di antara negara yang secara relatifnya bebas dari virus. Pada masa hadapan, apakah mungkin wujud zona global yang secara harfiahnya dibusakan agar tidak dapat dimasuki orang asing?

READ MORE:  Jangan halang penelitian terhadap perbelanjaan kerajaan; Parlimen, dewan undangan negeri perlu bersidang semula sekarang!

Di dalam Elysium, pada 2154, dunia akan mempunyai populasi berlebihan, dengan kebanyakan adalah warga yang miskin. Hanya mereka yang benar-benar kaya dapat hidup di dalam habitat utopia, yang mengorbit mengeliling bumi, bebas dari pertelingkahan dan penyakit.

Filem ini menggambarkan perjuangan serta pencarian yang biasa sebenarnya bagi massa yang sering dipinggirkan dalam mencari jalan dan cara bagi menggapai syurga utopia yang sepertinya sia-sia.

Filem ini mempunyai pengakhiran cukup optimis, sebuah pemberontakan terjadi yang mengakibatkan teras nuklear Elysium dihidupkan semula bagi membenarkan semua orang menjadi warga Elysium.

Namun, deus ex machina sebegini tidaklah menyelesaikan persoalan asas bagaimana semua orang di Bumi dapat menyimpan harapan untuk menduduki Elysium, kecuali, di dalam sekuel filemnya, kita akan melihat penambahan kepada busa utopia yang lain.

Elysium secara langsung menggambarkan permasalahan tentang kemanusiaan hari ini. Di dalam pandemik semasa, negara kaya memvaksinasi warganya dengan bilangan yang cukup ramai berbanding negara miskin,

Adakah kita akan menyaksikan zona dan busa selamat yang didominasi wilayah mereka yang lebih kaya, di mana warganya dalam menikmati suasana yang relatifnya bebas pandemik?

Jika dibandingkan, adakah akan wujud pula zon merbahaya terdiri oleh warga miskin, di mana pandemik tidak terurus serta dalam keadaan yang dahsyat.

Secara alaminya, penguatkuasaan undang-undang menindas pastinya akan digunakan bagi menghalang mereka yang dari zon yang diselubungi pandemik untuk ke busa bebas pandemik. Binaan tembok Trump yang tersohor itulah yang sebenarnya saya dapat bayangkan!

Bagi Malaysia, yang kini terperangkap dalam busa kelas menengah, bila pula pandemik akan mereda agar rakyatnya dapat kembali kepada kehidupan dan pekerjaan mereka? Bilakah kenormalan ini dapat dikembalikan bagi memastikan kehidupan biasa dapat diteruskan?

READ MORE:  Will there ever be an end to this pandemic?

Perdana menteri mengumumkan kuncitara penuh bagi negara selama dua minggu bermula 1 Jun. Kes baru mendadak naik setinggi 9,020 hari ini, dengan 2,650 kematian setakat ini.

Awalnya, ketua pengarah kesihatan memberi nama situasi terkini ini sebagai “gelora menegak” (vertical surge) dengan kebarangkalian keadaan semakin memburuk, lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian yang lebih melemahkan seperti B1351 dan B1617.

Sementara itu, Malaysia masih lembab dalam proses vaksinasi. Kadar penvaksinan dengan 3.3% bagi orang dewasa sungguh rendah dan merupakan sebuah tamparan kepada ketidakupayaan kerajaan.

Bandingkan kadar yang menyedihkan itu dengan UK pada kadar 36.1% serta Singapura pada 28.3%, mengikut angka dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sungguh sia-sia untuk mengulang cerita tentang kesilapan langkah kerajaan di dalam menguruskan pandemik ini sejak bermulanya ombak ketiga.

Dan begitulah bagaimana pandemik terus mengucar-kacir kehidupan seharian kita, dan barangkali merubah kehidupan serta gaya hidup kita untuk selamanya,

Yang menakjubkan, perdana menteri, sebelum beliau mengumumkan kuncitara penuh ini, secara terus-terang mengaku yang beliau tidak berdaya untuk meredakan pandemik ini, walaupun beliau mempunyai belanjawan separuh trilion ringgit! “Kita dapat tutup (semua sektor ekonomi), tetapi bila kita buka semula, sistem mungkin runtuh kerana kita terpaksa buka i-sinar, menyediakan bantuan Prihatin, moratorium dan lain-lain,” katanya. “Adakah kerajaan dapat menanggung ini? Boleh, namun tak banyak. Saya tidak mahu rakyat hilang kehidupan mereka kerana saya atau mereka sendiri berpuas hati. Saya juga tidak mahu ekonomi kita jatuh.”

Ke hadapan perdana menteri, saya bersyukur yang kamu menjalankan kuncitara penuh, namun inilah masanya untuk memikirkan dengan jelas serta tindakan bagi polisi yang lebih efektif.

Parlimen perlu bersidang semula, dan tubuhkan pasukan tugas berkemampuan terdiri dari individu berkelayakan bagi memerangi virus ini

READ MORE:  That 'elusive' vote in Parliament

Berikut sedikit sebanyak idea bagi kerajaan kamu:

  • Vaksinasi, vaksinasi, vaksinasi!
  • Tambah bilangan unit ICU di kemudahan sedia ada
  • Tambah baik hospital, klinik dan kemudahan kesihatan mudah alih
  • Sediakan semua warga dengan gaya hidup lebih sihat serta kesihatan pada semua
  • Pastikan tenaga kerja asing tidak dipinggirkan dari polisi kesihatan
  • Rangkakan polisi pencegahan lebih baik bagi menghadapi epidemik serta pandemik pada masa hadapan

Selain dari apa yang perlu dilakukan negara seperti Malaysia, pandemik ini juga menyeru agar perubahan tata urus di peringkat global, khususnya berkaitan dengan kawal selia antarabangsa yang lebih efektif.

WHO perlu diberikan tanggungjawab, kapasiti serta pembiayaan sepenuhnya bagi memainkan peranan penting di peringkat global bagi mengelakkan serta meredakan pandemik hari ini dan pada masa hadapan. Sekiranya gagal, sukar untuk kita ketahui bagaimana gelap dan sukarnya generasi kita pada masa hadapan jika kita sekali lagi bergelut dengan planet yang diselubungi permasalahan kesihatan ini.

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, Surat berita Aliran
29 Mei 2021

Terjemahan oleh Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments