Kecoh si Timah: Sukarnya hidup di Malaysia yang beragam

Jika kita tidak berhati-hati, isu perkauman akan merencatkan – jika tidak menghentikan – kemajuan negara

608 views
How did this controversy happen? - FACEBOOK

Terdapat pengajaran yang dapat kita contohi dari cara berpolitik pemimpin pembangkang legenda Dr Tan Chee Khoon amalkan separuh abad yang lalu.

Pengajaran ini menjadi lebih relevan kepada masyarakat kita hari ini, dengan hubungan antara agama dan etnik yang semakin bergelojak sejak beberapa tahun lalu.

Lebih dikenali sebagai Tuan Pembangkang, Tan tidak pernah lupa mengejar cita-cita politik rentas etniknya, yang jelas melalui parti politik yang dibinanya.

Selepas Parti Buruh yang disertainya dibubarkan, Tan membantu membentuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang rentas etnik pada 1968, bersama beberapa tokoh terkemuka.

Namun beliau meninggalkan Gerakan pada 1972 untuk membentuk Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas) kerana tidak bersetuju dengan tindakan beberapa temannya untuk membawa Gerakan masuk ke gabungan berasaskan kaum, Perikatan, ketika itu.

Tan secara sedar dan berterusan menolak politik perkauman kerana beliau percaya kepada keterangkuman dan padanya, cara untuk Malaysia yang beragam ini untuk terus maju.

Digerakkan oleh kepercayaan kepada keadilan sosial, beliau yang merupakan seorang doktor juga turut dikenali kerana perkhidmatannya kepada warga miskin dan memerlukan, tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan. Beliau tidak mendambakan kuasa atau kekayaan, yang barangkali akan mengganggu tujuannya membantu mereka yang tak terdaya.

Kerana itulah Aliran merasakan Tan tokoh yang sesuai untuk menerima anugerah Rakyat Malaysia Cemerlang pada majlis makan malam Merdeka anjuran Aliran pada 1 September 1984.

Jalan yang dipilih Tan berbeza dengan segelintir ahli politik dan sekelompok masyarakat kita hari ini yang seringkali bertindak mengenepikan yang lain. Mereka seringkali menjadi duri dalam daging dalam perhubungan di antara komuniti berbeza etnik dan agama bagi kepentingan mereka sendiri.

Mereka menggunakan kaum dan agama sebagai ‘senjata’ bagi mengumpul sokongan politik (dan undi) dari kelompok etnik dan agama mereka sahaja. Malangnya, di dalam sesetengah keadaan, tindakan sebegini mengakibatkan sifat perkauman serta ketaksuban agama bergelojak dan semakin kuat.

READ MORE:  Here’s to the end of Timah… and confusion?

Kelompok ini tahu bagaimana caranya untuk memperbesar serta mengeksploitasi perbezaan di antara komuniti berbanding mencari titik temu untuk bekerja dan memperbaiki kualiti kehidupan rakyat. Lebih teruk, mereka menggambarkan kelompok yang disasarkan mereka sebagai ‘yang lain-lain’, sekaligus menjadi komuniti yang tidak disenangi dan hanya layak mendapat layanan kelas kedua.

Helah serta isu kotor sebegini membuang masa dan tenaga serta merencatkan kemajuan negara dan barangkali, menariknya ke zaman lampau.

Sungguh malang saatnya agama, yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan individu, warga dan masyarakat, digunakan bagi merencatkan sikap saling memahami, hormat serta kewujudan bersama di dalam masyarakat yang beragam seperti kita.

Dasar mendiskriminasi yang sedia ada sejak kemerdekaan sungguh tidak membantu. Misalnya, kemasukan ke universiti awam serta peluang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam yang hanya terhad kepada sesetengah etnik, walaupun ada etnik lain turut mempunyai kelayakan yang diperlukan.

Jika sesetengah masyarakat berdepan ketidakadilan dan kezaliman, mereka akan merasa tidak gembira dan berdendam. Sekaligus, ia menghalang pembentukan masyarakat yang harmoni.

Kerajaan bersilih ganti dan menerusi Kementerian Perpaduan Negara, banyak melancarkan program bagi mempromosi perpaduan. Namun, permasalahan akar mengapa perpaduan tidak dicapai malangnya tidak pernah diselesaikan. Justeru, adakah kita merasa musykil mengapa semuanya gagal?

Ini adalah kerana kebanyakan dasar dan program bagi mempromosi perpaduan, yang dibentuk pentadbiran ini, tidak berpijak pada dunia nyata. Mereka gagal untuk berdepan dengan politik toksik melibatkan kaum dan agama serta sesetengah dasar diskriminasi dalam masyarakat kita yang beragam.

Jelas, semua ini berlawanan dengan semangat “keluarga Malaysia” yang digembar-gembur itu, seperti yang disarankan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Apa-apa dasar perpaduan negara yang gagal mengalih halangan bagi perpaduan di akar umbi tidak akan berjaya. Jika halangan ini tidak dialihkan, tidak sukar untuk mengapi-apikan bara ketaksuban perkauman dan keagamaan.

READ MORE:  Timah decision a toast to common sense

Kekecohan berkaitan wiski jenama Timah ini adalah sebuah contoh. Kontroversi ini berlegar sekitar pendapat bahawa jenama ini tidak sensitif kepada orang Islam yang tidak minum alkohol.

Pengkritik mengatakan bahawa nama Timah itu diambil dari Fatimah, anak perempuan kepada Nabi Muhammad. Pendapat sebegini, walau bagaimanapun, mempunyai kesan yang serius: ia menggambarkan Melayu-Islam seperti tidak mempunyai kekuatan iman serta mudah tertipu.

Pendapat lainnya adalah wiski dengan nama dalam Bahasa Malaysia ini adalah bagi mengangkat khazanah timah, iaitu bijih yang menyumbang kepada pembangunan negara. Perkataan ini tidak sepatutnya mengelirukan orang Islam yang tidak minum alkohol dengan sebegitu mudah.

Warga dengan kepercayaan yang berbeza dari Islam sepatutnya tidak dilarang dari amalan atau pilihan budaya, termasuklah untuk meminum alkohol.

Barangkali mereka yang memprotes melawan penggunaan kata timah sebagai jenama wiski ini patut lebih kisah akan begitu ramai ahli politik Melayu Islam yang tampaknya mabuk dengan kuasa dan kekayaan.

Mabuknya mereka ini membuatkan mereka tidak kisah akan golongan miskin dan memerlukan, sekaligus berterusan mengkhianati kepercayaan dan mandat rakyat. Tindakan mereka melepaskan diri dari tanggungjawab perlu dikutuk dan diambil perhatian oleh kita.

Ada juga rakyat Malaysia yang berpendapat bahawa kontroversi Timah ini strategi licik untuk menarik perhatian orang ramai daripada isu kritikal seperti pembongkaran Dokumen Pandora serta skandal salah guna dan rasuah yang berlaku.

Ada juga beberapa pihak dari pembangkang yang cuba mencuit Pas di dalam kontroversi berkaitan Timah ini. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka juga turut ‘termakan’ dengan isu ini.

Jika kita tidak berhati-hati, umpan perkauman sebegini akan merencatkan – jika tidak menghentikan – kemajuan negara ini, saatnya ekonomi berdepan cabaran untuk dipulihkan. Jika ini berlaku, seperti Tan mungkin berpesan, kita semua – Melayu dan kaum etnik yang lain –  akan menanggung kesannya nanti.

READ MORE:  Down the beaten path to national unity

Mustafa K Anuar
Editor bersama, Surat berita Aliran
21 Oktober 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments