Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia 2026, yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) pada akhir April, tidak membawa banyak berita baik bagi Malaysia.
Memang dijangkakan, namun ia masih menimbulkan kebimbangan – dan sedikit rasa malu – bahawa Malaysia jatuh dari tangga ke-88 ke tangga ke-95 dalam indeks 2026. Pihak berkuasa, khususnya, sebahagian besar tidak memberikan sebarang reaksi.
Penurunan ini adalah berdasarkan analisis RSF terhadap lima petunjuk: politik, ekonomi, perundangan, sosial dan keselamatan. Kesemua empat petunjuk pertama menunjukkan kemerosotan berbanding tahun 2025.
Hanya petunjuk keselamatan yang bertambah baik dari tahun lepas. Walaupun begitu, insiden sejak enam bulan lalu menimbulkan persoalan baharu tentang keselamatan wartawan di Malaysia.
Ini termasuklah serangan terang-terangan terhadap wartawan sukan kanan dan timbalan presiden Kelab Akhbar Kebangsaan, Haresh Deol; insiden yang berlaku pada bulan Januari melibatkan seorang wartawan dan seorang pegawai syarikat berkaitan kerajaan; serta penangkapan wartawan Kalidas Subramaniam pada bulan Mac atas dakwaan menceroboh ketika membuat liputan mengenai pekerja migran tanpa dokumen di tapak pembinaan di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.
Daripada tiga individu yang terlibat dalam serangan ke atas Haresh Deol, hanya seorang yang ditangkap, didakwa di mahkamah dan didenda maksimum RM2,000. Dua suspek yang lain tidak dibawa ke muka pengadilan.
Dalam kes Kalidas, meskipun terdapat bantahan dan kecaman daripada banyak organisasi, termasuk Majlis Peguam, pihak berkuasa sebahagian besar tidak menghiraukan mereka.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Dilihat secara keseluruhan, dan diukur berdasarkan retorik rasmi mengenai kebebasan akhbar di Malaysia, ia memerlukan muhasabah diri yang serius oleh kerajaan “Madani”.
Gambaran yang muncul – daripada peristiwa, strategi dan dasar kerajaan sepanjang tahun lalu – sangat bercanggah.
Di satu sisi, kita telah melihat kemunculan Majlis Media Malaysia – undang-undang yang diluluskan dengan sebulat suara di Parlimen – yang menjanjikan pengawalseliaan kendiri media yang tulen.
Namun di sisi lain, terdapat insiden serangan dan intimidasi yang buruk, konon dilakukan oleh samseng upahan serta pegawai kerajaan sendiri, seolah-olah tanpa hukuman.
Cakap tak serupa bikin
Apa yang kita lihat – dan ini pastinya tercermin dalam penurunan Indeks RSF Malaysia – adalah kes ‘cakap tak serupa bikin’ yang berleluasa.
Ia corak yang sering berlaku: sebelah tangan tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan yang lain.
Sementara satu kementerian menggalakkan kebebasan yang lebih luas serta autonomi media, kementerian yang lain pula seakan berkeras untuk menghidupkan semula masa lalu yang lebih terkawal dan autoritarian – enggan berubah, curiga terhadap orang biasa dan tidak dapat mempercayai media.
Apa yang gagal difahami oleh mereka yang gilakan kawalan dan bersifat autoritarian itu sebenarnya mudah sahaja: semakin ketat mana-mana kerajaan mencengkam medianya dalam era digital tanpa sempadan hari ini, semakin sukar media tempatan untuk berkembang maju.
Ia menjadi situasi yang memalukan – seakan kita menconteng arang ke muka sendiri.
Kesan dari kawalan
Akibatnya, bukan sahaja Malaysia akan jatuh lebih jauh dalam Indeks Kebebasan Akhbar RSF, malah industri berita juga akan menjadi tempang – kehilangan kredibiliti dan khalayak kepada media antarabangsa serta platform digital mereka yang lebih terbuka dan telus.
Ia mengingatkan kita kepada landskap media pada tahun 1980-an hingga awal 2000-an, apabila wartawan sentiasa menghadapi ancaman penahanan dan syarikat berita menghadapi serbuan dan juga penutupan oleh kerajaan. Ini membawa kepada penapisan sendiri dan keengganan untuk membuat liputan isu-isu yang dipanggil “sensitif”.
Isu-isu “sensitif” tersebut telah kembali, walaupun di bawah kerajaan Madani yang kononnya reformis ini. Versi sekarang ini ditakrifkan oleh “tiga R”: bangsa, agama dan kerabat diraja (race, religion and royalty), istilah yang digunakan untuk mengurangkan isu-isu yang benar-benar rumit kepada hal yang mudah.
Ke mana perginya Reformasi?
Ini pastinya bukan Reformasi yang diperjuangkan oleh ramai di antara kita, dan yang kita sangkakan bermula selepas pilihan raya umum 2018. Ia merencatkan apa yang kita peroleh ketika berlakunya perubahan rejim, iaitu penolakan kerajaan Umno-Barisan Nasional pada tahun itu.
Segelintir daripada mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada gerakan reformasi itu kini memegang jawatan berkuasa sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan Madani.
Ketika Malaysia semakin menghampiri pilihan raya umum, sudah tiba masanya mereka melihat diri mereka di dalam cermin dan bertanya: apa yang telah terjadi kepada impian memerdekan media dan kebebasan lainnya?
Dan ke mana perginya Reformasi?
Rom Nain
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Mei 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


