Malaysia ialah sebuah negara indah – permata sukar dicari, sebuah anugerah.
Tiada negara lain yang dikurniakan kekayaan hasil pertanian dan sumber galian yang begitu melimpah, serta memiliki kedudukan strategik di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
Ditambah pula dengan kepelbagaian warisan budaya yang kaya dengan rencamnya bahasa dan adat resam, Malaysia kelihatan seperti sebuah syurga yang sebenar.
Tidak hairanlah Claudius Ptolemy pernah menggelarnya sebagai Golden Chersonese atau Semenanjung Emas, sebuah pengiktirafan terhadap kedudukan wilayah ini yang memiliki sumber kekayaan yang luar biasa.
Namun, di sebalik segala kelebihan itu, Malaysia kekal sebagai negara ‘membangun’ selama berdekad-dekad, terperangkap dalam kitaran pendapatan sederhana. Jika negara kita tidak segera mengubah haluannya, awan mendung bakal menyelubungi syurga ini.
Dan awan mendung itu berpunca daripada perbuatannya sendiri.
Musuh dalam selimut
Terdapat sebuah masalah yang menjengkelkan di ‘syurga’ ini, iaitu rasuah.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Wujud golongan elit yang menyimpang terdiri daripada sosok kaya dan berpengaruh, yang sebahagiannya bergerak merentasi sektor awam dan swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan. Mereka secara terang-terangan menghakis kepercayaan orang ramai.
Ambil contoh Najib, yang akan dibebaskan di bawah ‘tahanan rumah’ tidak lama lagi. Kesannya cukup besar. Ia jelas menunjukkan kepincangan sistem, di mana seorang individu yang disabitkan kesalahan menyalahgunakan dana rakyat bernilai puluhan juta ringgit serta telah dijatuhi hukuman sewajarnya boleh menjalani hukuman tersebut dalam penuh keselesaan di rumahnya sendiri.
Golongan miskin tidak mempunyai pilihan sedemikian. Hal ini benar-benar menjijikkan.
Namun, ia berlaku di ‘Syurga’ ini.
Mungkin budaya tunduk kepada institusi inilah yang menjadi penghalang kepada keadilan. Atau mungkin terdapat faktor-faktor lain yang tidak pernah didedahkan kepada umum.
Dan sudah tentu, di ‘Syurga’ ini, semua orang memahami tentang semangat kepartian serta bagaimana pilihan raya boleh dimenangi atau dikalahkan hanya dengan keputusan mahkamah.
Selain Najib, dua bekas perdana menteri turut menghadapi pertuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan. Timbalan PM pula telah dilepaskan tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram.
Najib telah pun disabitkan kesalahan. Bekas-bekas perdana menteri yang lain pula menafikan sebarang salah laku dan kes mereka masih dalam perbicaraan, jadi adalah tidak wajar untuk membuat andaian awal terhadap mereka.
Namun, apabila dilihat secara keseluruhan, kes-kes ini menimbulkan satu persoalan yang meresahkan. Sejauh manakah kekayaan negara telah diselewengkan oleh mereka yang sepatutnya berkhidmat untuk negara, dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri?
Terdapat satu persoalan berkaitan yang jarang dibangkitkan. Bagaimanakah penyalahgunaan dana yang mencecah berbilion ringgit, sama ada yang didakwa mahupun yang telah terbukti, boleh berlaku tanpa bantuan daripada pihak dalam perkhidmatan awam?
Sama ada melibatkan Tabung Haji mahupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semuanya menunjukkan wujudnya budaya penyalahgunaan kuasa yang begitu tebal. Inilah budaya yang pernah Anwar Ibrahim sendiri ikrar untuk dihapuskan pada tahun 1998. Ketika itu, ikrar tersebut dibuat susulan skandal Perwaja Steel, Renong-UEM, dan Bumiputra Malaysia Finance (BMF).
Malangnya, rentetan peristiwa ini tidak pernah terhenti. Hampir empat dekad kemudian, kita masih dibelenggu oleh kontroversi kewangan, kes-kes mencurigakan yang diklasifikasikan sebagai ‘NFA’ (tiada tindakan lanjut), pelepasan tanpa pembebasan, penangguhan kes-kes penting di mahkamah – serta kisah tahanan di rumah yang hanya mampu diimpikan oleh kebanyakan rakyat biasa.
Masa depan negara yang diibaratkan sebagai negara syurga ini tidak lagi kelihatan terjamin sebagaimana sepatutnya – terutamanya apabila ia menjadi mangsa kerakusan golongan elit yang tamak dan gemar mengaut keuntungan mudah.
Virus yang menyebar
Setelah berdekad-dekad melanggar dan mengetepikan peraturan yang ada, sebahagian pemimpin kita telah mengajar rakyat bahawa peraturan dan undang-undang hanyalah sekadar hiasan.
Hari ini, lampu isyarat merah seolah-olah menjadi ‘jemputan’ bagi penunggang motosikal biasa untuk melanggarnya. Kesalahan jalan raya boleh menjadi peluang untuk memberi atau menerima rasuah. Mendapatkan lesen atau permit sering kali melibatkan ‘duit kopi’.
Budaya tidak mempedulikan dan tidak mengendahkan peraturan semakin menular di negara ini. Ia umpama satu virus.
Tidak kira sama ada seseorang itu berpendidikan tinggi atau tidak, berkuasa atau tidak, mahupun kaya atau tidak, pasti akan ada pihak yang cuba melangkaui batas peraturan dan undang-undang.
Malah, terdapat kes juruterbang syarikat penerbangan yang terlibat dalam penyeludupan dadah. Begitu tinggi keyakinan mereka terhadap sistem yang terus gagal dalam memastikan individu dapat bertanggungjawab atas tindakan mereka.
Bagi ramai kakitangan perkhidmatan awam, jawatan hanya dianggap sekadar satu tugas biasa tanpa semangat atau iltizam – sebuah petanda kepimpinan yang lemah.
Keputusasaan
Seorang teman memberitahu saya bahawa tiada apa lagi yang membuatkannya terkejut. Dia sering mengangkat bahu sambil mengeluh: “Sudah terlambat untuk melakukan sebarang pembaharuan yang bermakna. Kerosakan sudah terlalu parah. ‘Reformasi’ hanyalah retorik kosong, sekadar digunakan untuk meraih undi.”
Seorang lagi teman menambah: “Kepimpinan kita terlalu banyak bertolak ansur.” Dia pun turut mengeluh sambil memandang ke arah masa depan yang tidak menentu.
Saya memahami perasaan mereka. Dengan berita yang ada, mudah untuk kita menjadi lumpuh akibat sikap pesimis.
Lagu Phil Collins tahun 1989 Another Day in Paradise berkumandang menjadi latar belakang segala yang berlaku hari ini. Lagu ini mengingatkan kita bahawa terdapat kepincangan yang amat parah dalam sesebuah negara apabila pemimpinnya gagal melihat kemiskinan yang wujud, tidak menyedari ketidakadilan, atau tidak memahami kepentingan amalan yang bersih, telus, dan beretika.
Membenih harapan
Demi mengembalikan keteraturan dalam kehidupan kita, saya bertanya kepada diri sendiri: di mana harus kita mulakan?
“Dengan diri kita sendiri,” bisik fikiran saya. Dan di sinilah kita perlu bertindak.
Kita perlu memanfaatkan undang-undang dan Perlembagaan. Kita memerlukan keberanian untuk mengambil tindakan sivil bagi mencabar pemimpin yang mengeluarkan kenyataan atau melakukan perbuatan yang salah. Kita perlu menjadi pemerhati yang peka, melaporkan serta merekodkan setiap kesalahan yang kita lihat atau dengar. Malah, kita mungkin perlu turun ke jalan untuk ikut protes.
Kita tidak semestinya perlu hanya menunggu perubahan daripada pihak atasan. Kita perlu berfikir melangkaui rasa putus asa.
Kita perlu mencari pemimpin muda yang bersemangat serta mereka yang telah diuji dan berjaya mengharunginya. Mereka mungkin tidak memikat kita dengan kata-kata manis, namun mereka telah teguh berpegang pada prinsip dan nilai mereka.
Kita perlu memberi inspirasi kepada para guru untuk berfikir dan mengemukakan persoalan-persoalan penting, kerana masa depan kita terletak di tangan mereka.
Marilah kita bergerak bersama dengan masyarakat sivil untuk menyebar maklumat dan mendidik. Gunakan media yang ada untuk mempengaruhi dan meyakinkan orang ramai.
Berhentilah mengatakan bahawa segalanya sudah terlambat.
Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
21 September 2026
Diterjemahkan oleh Zikri Rahman
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


