Iltizam 2020, gandakan usaha menuju Malaysia baru

0
83

Masih ada sinar harapan jika ramai orang berganding bahu melawan ketidakadilan, rasuah, diskriminasi, ketaksuban dan ekstrimisme, tulis Prema Devaraj.

Apakah azam tahun baru kita? Bagaimanakah kita mahu mencorakkan jalan perubahan menuju Malaysia baru yang mengiktiraf peranan setiap warganya?

Penelitian-penelitian sepanjang tahun lalu memperlihatkan beberapa pencapaian penting kerajaan Pakatan Harapan dalam melakukan perubahan. 

Namun, ia juga tidak terlepas daripada kritikan khususnya berkenaan kekurangan-kekurangan yang sepatutnya dapat diselesaikan dengan segera atau tidak sepatutnya berlaku.

Pada masa yang sama, kita juga mendapati bahawa wujudnya peningkatan ketegangan dalam soal kaum dan agama, yang selanjutnya semakin memisahkan masyarakat.

Tahun 2020 yang baru membuka tirai ini menuntut kita untuk berfikir dengan lebih serius akan perubahan-perubahan yang terbaik buat negara dan masyarakat. Sudah tentu, wujudnya pelbagai aspirasi tentang bentuk Malaysia baru yang diidamkan.

Justeru, timbul beberapa persoalan penting yang perlu diangkat dalam perbahasan seputar Malaysia baru.

Adakah wawasan ini akan menolak penekanan terhadap keunggulan satu-satu etnik atau kepercayaan berbanding yang lainnya? Adakah kita dapat menghapuskan sikap cauvinisme budaya dan bahasa serta mengembalikan rasa hormat terhadap nilai-nilai pelbagai yang wujud dalam masyarakat?

Adakah Malaysia baru yang kita idamkan ini akan membuka ruang-ruang rundingan dan perbahasan yang sebenar-benarnya? Mampukah kita untuk selesa berbeza pendapat, berdamai dengan pemahaman yang berbeza, dan berkompromi? Mampukah kita untuk melangkaui perbezaan-perbezaan kepercayaan, pemikiran, dan amalan, serta meraikan kepelbagaian ini?

Bagaimanakah kita dapat menyingkirkan rasa kebimbangan dan mula mengiktiraf ‘kemanusiaan’ yang ada pada setiap warga tanpa mengira latar belakang mereka?

Adakah wawasan yang cuba kita angkat ini dapat mendedahkan kebobrokan dasar-dasar yang mengutamakan ketamakan berbanding kepentingan masyarakat dan pemeliharaan ekosistem selama puluhan tahun ini? Bagaimanakah kita dapat memasukkan pembangunan mampan serta isu perubahan iklim, dengan turut mengambil kira faktor global, ke dalam gagasan Malaysia baru yang diidamkan?

READ MORE:  Twists and turns of coalition politics in Timor-Leste and Malaysia

Adakah wujudnya jaminan kepada rakyat terbanyak dalam soal perumahan mampu milik dan kos penjagaan kesihatan yang berpatutan? Adakah segenap golongan pekerja dapat menikmati gaji minima serta pemeliharaan hak-hak mereka selaku pekerja?

Adakah gagasan Malaysia baru ini mempunyai iltizam untuk mengiktiraf kedudukan orang asal, di samping memelihara kebajikan golongan terpinggir dan pelarian di Malaysia, timur dan barat?

Mampukah kita untuk berlaku adil dan jujur dengan masa lalu kita? Mampukah kita untuk mengiktiraf dan menerima naratif-naratif pelbagai yang wujud dalam sejarah negara kita?

Adakah seluruh warga, terutamanya anak muda, akan mempunyai kebebasan (dan digalakkan) untuk berfikir secara kritis di sekolah dan universiti?

Adakah jalan menuju perubahan kita turut memikirkan cara untuk mengurangkan sikap toksik di laman-laman media? Adakah siaran-siaran berbaur menghasut, tidak bertanggungjawab, dan penyelewengan maklumat akan berkurangan? Bagaimanakah kita dapat mendidik masyarakat untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan peka dalam soal perkongsian mesej dan maklumat di laman media?

Adakah kata ‘integriti’ akan beroleh makna sebenarnya dalam Malaysia baru? Akan wujudkah junjungan terhadap profesionalisme dan rasa bangga dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, baik dalam perkhidmatan asas kepada masyarakat mahupun pembangunan industri dan projek? Justeru, apa pula kayu ukur yang akan digunakan untuk memantau satu-satu projek tersebut?

Mampukah kita untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengadakan agensi-agensi penguatkuasa yang dapat dipercayai dan dihormati?

Jika kesemua ini menjadi harapan kita terhadap Malaysia baru, maka kita selaku warga harus turut serta menggalas tanggungjawab dalam membentuk dan mencitrakan gagasan Malaysia baru yang kita idamkan. Benar, tugas ini maha berat dan mencabar, lebih-lebih lagi dalam keadaan politik semasa.

Namun, kita tidak boleh terus berpeluk tubuh dan terus dipesongkan oleh drama-drama politik yang dimainkan oleh individu-individu berkepentingan. Sebaliknya, kita harus lebih tegas dan menumpukan kepada perubahan-perubahan yang signifikan.

READ MORE:  What kind of government does Perikatan Nasional want to be?

Kerja-kerja mengkritik sememangnya mudah. Namun, penting untuk menggalas tanggungjawab yang sukar ini bagi memperbetulkan penyelewengan yang sudah berlaku berdekad lamanya. Hal ini termasuklah menyumbang secara konstruktif kepada prinsip-prinsip tadbir urus yang baik, memastikan wujudnya semak dan imbang, mempertemukan kumpulan-kumpulan yang berseberangan pendapat, dan membina masa depan yang mampan untuk Malaysia.

Walaupun sukar, kita tidak harus cepat mengalah dengan cabaran yang maha besar ini. Masih ada ramai individu yang benar-benar peka dan berhasrat untuk melaksanakan perubahan demi melihat Malaysia baru yang lebih makmur dan mengiktiraf kesemua warganya. Apatah lagi dalam keadaan politik semasa yang tebal dengan unsur-unsur perpecahan, maka penting untuk kita yang datang daripada pelbagai latar belakang untuk bekerjasama dalam melawan ketidakadilan, rasuah, diskriminasi, ketaksuban, dan ekstrimisme.

Tahun 2020 ini menjanjikan harapan untuk kita terus membina gagasan Malaysia baru yang dapat dikongsi secara bersama. Justeru, kita haruslah berganding bahu dalam menggalas tugas perubahan bagi mencapai Malaysia idaman kita semua.

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
1 Januari 2020

Diterjemahkan oleh Razan Rose

(Visited 84 times, 1 visits today)
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of