Ihsan tanpa sempadan: Menguji prinsip Malaysia ‘Madani’

Sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin di luar negara mestilah dipadankan dengan layanan berperikemanusiaan terhadap warga pelarian di negara sendiri

Sometimes 20, Sometimes 30 - It’s normal for refugees to live in small flats with up to 30 people, who may all be replaced the next week. For survival, they live wherever job opportunities take them - Photograph: UNHCR

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pada 21 April, Isnin hari Paskah, umat Katolik di seluruh dunia berkabung atas kematian Pope Francis.

Terdapat 1.3 bilion penganut Katolik di dunia. Curahan simpati dan ucapan takziah oleh para pemimpin dunia dan rakyat biasa dari semua kepercayaan dan agama (atau mereka yang tiada) adalah bukti apa yang diutarakan dengan begitu ghairah oleh mendiang Paus sebelum beliau pergi. Selama sembilan hari berkabung, beribu-ribu warga dengan sabar mengunjungi kerandanya untuk memberi penghormatan terakhir.

Francis menjadi Paus selama 12 tahun. Selama itu, beliau menunjukkan kepada seluruh dunia apa yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin yang terangkum, penyayang, belas kasihan dan penuh rendah diri. Beliau seorang yang tidak takut untuk bersuara menentang ketidakadilan dan kekejaman. Beliau cukup menghargai keamanan dan mengutuk semua bentuk keganasan.

Beliau membina jambatan bagi menyatukan warga, menggalakkan persefahaman dan perpaduan yang lebih erat di kalangan warga – semua ini merangkumi ciri kepimpinan dimiliki beliau.

Walaupun kedengaran idealistik, Francis pernah berkata: “Globalisasi penuh harapan, harapan yang muncul daripada orang kebanyakan dan berakar umbi di kalangan orang miskin, mesti menggantikan globalisasi yang meminggirkan dan mengetepikan!”

Benar, mendiang Paus juga ada beberapa hal yang tidak disenangi para pengkritiknya. Malah di kalangan paderi Katolik terdapat ramai yang tidak bersetuju dengannya, melihatnya sebagai “terlalu liberal” atau tidak cukup konservatif.

Bukan itu sahaja. Pendirian Francis mengenai kemusnahan Gaza membingungkan para pemimpin Israel yang ‘lapar peperangan’.

Seawal November 2023, beliau merujuk kepada situasi di Gaza sebagai “malapetaka kemanusiaan” dan meratapi pembunuhan wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Sebulan sebelum itu, serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas wilayah Israel mengakibatkan lebih 1,100 kematian, lebih separuh daripadanya adalah orang awam Israel; 240 lagi telah dijadikan tebusan. Sejak itu, beberapa tebusan telah dibunuh, ada yang dibebaskan dan lebih 50 orang masih dalam tahanan.

Namun, sejarah tidak bermula hanya pada 7 Oktober 2023. Rakyat Palestin telah mengalami malapetaka yang lebih besar, Nakba, penghapusan etnik dan pemindahan orang Arab Palestin pada tahun 1948. Pada masa itu lebih 80% penduduk tanah itu – 750,000 rakyat Palestin – telah diusir atau terpaksa meninggalkan rumah mereka. Sebelas bandar dan lebih 500 kampung telah musnah.

Walau apa pun, Israel telah membalas dengan penuh dendam terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023. Sejak itu, lebih 50,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza manakala kematian Israel meningkat kepada lebih 1,700. Angka korban yang berat sebelah menunjukkan betapa tidak simetrinya ‘perang’ itu.

READ MORE:  Anti-Zionist rabbi discusses standing with Palestine

Tentera Israel telah mengebom hospital dan tempat perlindungan di Gaza yang, mereka dakwa, melindungi pengganas dan penyokong Hamas. Hasilnya: berpuluh-puluh ribu orang awam yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah dibunuh beramai-ramai.

Sejak dua bulan lalu juga, Israel juga telah menyekat trak bantuan makanan dan ubat daripada memasuki Palestin. Rakyat Palestin kini kelaparan di Gaza, dengan begitu ramai yang tidak dapat makan lebih daripada satu hidangan sehari.

Dilaporkan ada kanak-kanak telah mati akibat kekurangan zat makanan akibat kekejaman yang keterlaluan sekali gus membangkitkan hati nurani ramai golongan yang mempunyai anak lelaki, anak perempuan, saudara lelaki dan perempuan mereka sendiri. Masyarakat dunia perlu bersuara menentang ‘persenjataan’ makanan dan ubat-ubatan ini.

Sehingga April 2025, 147 daripada 193 negara anggota PBB – lebih 75% – telah mengiktiraf negara Palestin dan haknya untuk wujud sebagai negara berdaulat.

Namun Israel tetap berperang. Melalui tindakan ketenteraan yang terang-terangan agresif, ia kelihatan bersedia untuk menghapuskan seluruh rakyat Palestin atau memindahkan mereka dari tanah mereka.

Sungguh memalukan pemimpin dunia hanya duduk diam sambil menyaksikan kemusnahan Gaza dan pembunuhan serta kecederaan dialami rakyat biasa.

Bukan rahsia lagi bahawa Israel cukup mendambakan seluruh jalur Gaza dan membenarkan penempatan haram untuk berkembang di Tebing Barat yang diduduki.

Soalnya, di manakah Israel harapkan 5.5 juta rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat untuk tinggal kemudiannya?

Penyelesaian praktikal adalah untuk mempunyai penyelesaian dua negara dengan sempadan yang sesuai untuk Palestin dan Israel. Komuniti antarabangsa, yang bertindak melalui PBB, mesti mencari penyelesaian kekal supaya keamanan akhirnya boleh berlaku di rantau ini.

Malaysia, bagi pihaknya, telah menyokong penuh perjuangan Palestin dan hak rakyat Palestin untuk membina sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Negara kita telah menyediakan sokongan perubatan, pendidikan dan kewangan.

Sebelum genosida, MyCare, sebuah NGO Malaysia, mengendalikan hospital di Gaza dan turut memberikan bantuan kecemasan. Di tengah-tengah pembunuhan beramai-ramai yang berterusan, Malaysia telah menghantar pasukan perubatan, bekalan perubatan dan bantuan makanan. Kami juga telah menyeru gencatan senjata sepenuhnya dan menamatkan perang secara kekal.

Sudah tentu, pendirian berprinsip Malaysia dalam isu Palestin wajar dipuji.

READ MORE:  Refugee interceptions and detentions: A call for action and reform

Tetapi, di peringkat politik tempatan, adakah kerajaan “Madani” cukup melakukan sesuatu dalam pelbagai isu untuk menunjukkan keprihatinan dan belas kasihannya kepada rakyat biasa yang ada di sini?

Dalam pertemuan dengan beberapa wakil komuniti pelarian baru-baru ini, beberapa ahli Aliran cukup terganggu untuk mengetahui tentang insiden xenofobia yang dihadapi oleh pelarian.

Pelarian di Malaysia berasal dari beberapa negara seperti Syria, Somalia, Pakistan, Yaman dan Myanmar. Majoriti pelarian yang berdaftar, lebih 170,000 (90%), berasal dari Myanmar. Daripada jumlah ini, jumlah komuniti Rohingya melebihi 115,000. Jika bilangan pelarian yang tidak berdaftar turut dimasukkan, komuniti Rohingya di Malaysia boleh mencapai sehingga 200,000 orang.

Setelah menilai keadaan dan latar belakang pelarian, agensi pelarian PBB di Malaysia mengeluarkan kad UNHCR kepada kes yang layak. Pemegang kad ini dibenarkan tinggal di negara ini sementara sambil memohon suaka di negara ketiga. Secara rasmi, pelarian, termasuk pemegang kad, masih tidak dibenarkan bekerja di Malaysia.

Tetapi seperti yang diketengahkan oleh pelarian kepada kami, mereka perlukannya untuk bertahan hidup. Ramai daripada mereka akhirnya menjadi pekerja tanpa izin di restoran, kedai kopi, ladang dan tapak pembinaan.

Majikan sering mengeksploitasi keadaan pekerja pelarian yang sebegini, kerana mengetahui bahawa pelarian tidak dibenarkan bekerja di Malaysia secara sah. Kami diberitahu bahawa di beberapa tapak pembinaan, jika pekerja tempatan dibayar RM100 sehari, pelarian hanya boleh dibayar RM50 untuk melakukan kerja yang sama. Tidak banyak yang dilakukan untuk membendung eksploitasi seperti ini.

Anak-anak pelarian juga tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan formal Malaysia. Syukurlah terdapat pusat pembelajaran tidak formal dan alternatif yang disokong NGO yang cuba mengisi kekosongan keperluan pembelajaran kanak-kanak ini. Tetapi pusat pembelajaran tidak formal berasaskan komuniti ini mempunyai sumber yang terhad dan tidak dapat memenuhi sepenuhnya keperluan komuniti pelarian. Hasilnya: ramai anak pelarian akhirnya tidak mendapat pendidikan formal.

Penjagaan kesihatan adalah masalah lain. Seorang ibu pelarian yang melahirkan bayi di hospital kerajaan perlu membayar lebih daripada seorang wanita tempatan.

Warga asing dikenakan bayaran RM4,800 untuk bersalin normal, dengan caj akan meningkat jika terdapat sebarang komplikasi. Pemegang kad PBB nampaknya berhak mendapat diskaun pada kadar ini. Tetapi walaupun dengan diskaun 50%, pelarian ini sukar untuk mendapatkan bayaran minimum RM2,400 yang diperlukan. (Hospital swasta sama sekali tidak mampu dimasuki oleh pelarian kerana kos bersalin mungkin melibatkan kos dari RM3,000 hingga RM20,000.)

READ MORE:  US federal agents raid Columbia dorm rooms as university expels students

Wakil pelarian juga telah memberitahu kami tentang kecaman sewenang-wenangnya yang didakwa diterima oleh sesetengah daripada mereka tanpa sebab yang jelas selain mereka adalah Rohingya dan mudah menjadi mangsa. Lebih membimbangkan, mereka mendakwa bahawa di satu kawasan yang dahulunya terdapat sekitar 100 keluarga Rohingya, lebih separuh telah berpindah kerana mereka takut menjadi sasaran atau menjadi mangsa.

Ada video juga turut tersebar tentang orang-orang tempatan yang bertindak sendirian untuk mengganggu dan menggugut pelarian yang cuba mencari rezeki di jalanan atau perniagaan kecil lainnya. Perbuatan kebencian ini malah tidak dihukum, dan kekurangan tindakan yang jelas oleh pihak berkuasa menjadikan pelaku lebih berani.

Kerajaan Madani sepatutnya boleh bertindak dengan lebih baik.

Benarkan pelarian mendapat pekerjaan yang bermaruah.

Biarkan anak-anak pelarian yang sudah memasuki usia sekolah mendaftar di sekolah kita.

Jalankan penilaian pendapatan bagi memastikan semua pelarian miskin boleh dirawat di hospital kerajaan dan klinik kesihatan dengan membayar caj yang dikenakan kepada rakyat Malaysia. Mereka miskin dan tidak sepatutnya digabungkan dengan warga asing lain yang berada di sini sebagai ekspatriat atau di bawah skim MM2H.

Malaysia juga harus mempertimbangkan untuk meratifikasi Konvensyen PBB 1951 Berkaitan Status Pelarian.

Tidak cukup sekadar berprinsip tentang apa yang berlaku di Palestin. Kita juga perlu mengingati pelarian yang terlantar yang tinggal di tanah kita yang sedang dieksploitasi dan didiskriminasi.

Jangan kita lupa juga bahawa kita turut mempunyai pekerja Malaysia yang miskin yang berjuang untuk mencari rezeki semata-mata untuk menyediakan makanan untuk keluarga mereka.

Kita perlu menjadi lebih manusiawi dan inklusif dalam dasar kita. Kerajaan Madani wajib menunjukkan belas kasihan dan keprihatinan, terutamanya kepada golongan miskin dan tertindas.

Kemanusiaan adalah universal dan seseorang individu tidak seharusnya dinilai berdasarkan sama ada mereka mempunyai kad pendaftaran negara atau tidak.

Marilah kita benar-benar merangkumi semua: tiada siapa yang harus ditinggalkan. Bantuan mesti dihulurkan kepada semua orang yang paling memerlukan.

Kami menggesa kerajaan Madani untuk berusaha ke arah matlamat menjalankan Agenda Rakyat:

  • Tegakkan maruah dan kualiti kehidupan rakyat
  • Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  • Raikan kerencaman dan keterangkuman
  • Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  • Lawan rasuah dan kronisme

Henry Loh
Koordinator, surat berita Aliran
16 Mei 2025

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments