Gabungan berpecah-belah: Adakah Perikatan Nasional akan rebah?

Muhyiddin Yassin's coalition lacks the confidence - Photograph: Bernama/Malay Mail

Katarsis politik semasa barangkali sebuah proses penyucian yang diperlukan bagi mengusir unsur-unsur politik lama di dalam sistem, tulis Johan Saravanamuttu.

Cuba kita fahami betapa lemah dan rapuhnya gabungan kerajaan di Malaysia ketika ini serta mentafsir kemungkinan nasib gabungan pemerintahan yang ada sekarang.

Pertama, secara ringkasnya kita perlu memerhati bagaimana gabungan kerajaan yang ada sehingga hari ini. Tempoh gabungan parti pemerintah dapat dirumuskan seperti di bawah:

Gabungan persekutuan di Malaya/Malaysia pasca-kemerdekaan

Merujuk maklumat di atas, dapat dilihat bahawa dua gabungan paling kukuh dan kuat di dalam politik Malaysia adalah Perikatan serta Barisan Nasional.

Gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dibuktikan yang paling lemah serta paling kurang stabil manakala Perikatan Nasional (PN) sekarang tampaknya begitu rapuh, dalam tempoh kekuasaannya sejak sembilan bulan yang lalu.

Beriringan dengan gabungan pemerintah, perhatikan juga gabungan parti politik pembangkang yang berbilang kaum, khususnya Barisan Alternatif (1998-2001) serta Pakatan Rakyat (2008-2015), yang merupakan pendahulu kepada PH.

Perikatan dijatuhkan selepas rusuhan kaum Mei 13 pada tahun 1969, selepas golongan elit baru di dalam Umno naik ke tampuk kekuasaan.

Barisan Nasional buat julung kalinya dikalahkan oleh gabungan PH pada 2018. Pun, ianya adalah kesan dari gabungan Pakatan Rakyat yang berhasil merobek kekuasaannya pada 2008, apabila Barisan Nasional kehilangan dua-pertiga majoriti kerusi dalam Parlimen.

Gabungan PH runtuh akibat dari persengketaan dalaman yang memuncak ketika Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Kerajaan gabungan “pintu belakang” PN sekarang bukanlah kerajaan yang ‘dipilih’ serta memiliki majoriti paling tipis, dengan barangkali hanya 113 ahli di dalam 222 kerusi Parlimen.

Beberapa pengamatan

Pengamatan pertama saya tentang gabungan politik setakat ini adalah, ianya diketuai oleh parti-parti Melayu. Saya mengambil kira akan hal ini adalah kerana, walaupun mempunyai lebih ramai ahli Parlimen, PKR tidak mengetuai kerajaan PH. Sebaliknya, Bersatu-lah yang mengetuai gabungan kerajaan sehinggalah ianya jatuh.

Pemerhatian lainnya adalah kesemua gabungan politik yang memerintah Malaysia sebelum ini merangkumi parti-parti politik bukan Melayu dari semenanjung serta Borneo.

READ MORE:  How do you form a strong coalition?

Perpecahan politik Melayu, walaupun ianya pernah terjadi sebelum ini, adalah pada kemuncaknya sekarang (atau paling ‘teruk’, bergantung kepada anda).

Boleh dikatakan, parti-parti Melayu – Bersatu, Umno dan Pas – yang memastikan keutuhan gabungan politik PN. Namun, gabungan yang ada sekarang hanya berpaut antara satu sama lain dek hanya kerana kesenangan politik lebih darihal yang lain. Cita serta ideologi jauh ditinggalkan.

Lebih-lebih lagi, PN juga lemah berpandukan dua perkara:

  • Tapak serta sokongan bukan Melayu tipis serta bergantung sepenuhnya kepada parti-parti di Sarawak (Gabungan Parti Sarawak) serta Sabah (Gabungan Rakyat Sabah) bagi kelangsungannya
  • Ianya juga lemah kerana parti dengan bilangan kerusi paling besar, Umno, boleh memastikan perdana menteri serta parti Bersatu-nya itu dalam kawalan, malah boleh dijadikan ‘tebusan’. (Keadaan yang sama berlaku di dalam PH, di mana mereka menuntut peralihan kuasa bagi jawatan perdana menteri, namun akhirnya PH jatuh kerana ianya tidak dilaksanakan oleh Dr Mahathir Mohamad.)

Lebih menarik lagi, PN adalah gabungan pemerintah pertama di Malaysia yang mempunyai tiga gabungan politik lain di bawahnya: Muafakat Nasional (pakatan Umno-Pas), Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.

Kerapuhan serta pada sesetengah waktu, ketangkasan PN itu ditunjukkan secara jelas ketika bagaimana kerajaan negeri bertukar tangan selepas Langkah Sheraton di dalam percaturan politik oleh Umno dan Pas: kerajaan Kedah yang jatuh kepada Pas; Johor dan Melaka kepada Umno; serta Perak kepada Bersatu.

Selepas pilihanraya Sabah pada 26 September 2020, Muhyiddin Yassin bangkit dengan meletakkan sosoknya dari Bersatu, Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri walaupun berdepan bantahan dari Umno.

Di dalam pertelingkahan terkini, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu mengalami kekalahan 48-10 menerusi undi percaya pada 4 Disember lalu akibat dari percaturan kuasa Umno.

Menariknya, ini pertama kali parti-parti PH seperti DAP, Amanah dan PKR bekerjasama dengan Umno bagi menjatuhkan pemimpin Bersatu.

Menerusi peristiwa ini, Saarani Mohamad dilantik sebagai Menteri Besar selepas partinya iaitu Umno, Bersatu dan Pas mencapai persetujuan.

READ MORE:  Progresif Umno: Divide and conquer from within?

Langkah ini bukanlah tidak dijangka sepenuhnya. Umno sejak dari awal tidak puas hati kerana tidak memperoleh jawatan timbalan perdana menteri di peringkat persekutuan serta tercicir peluang menjawat pangkat ketua menteri di Sabah. Presiden parti, Zahid Hamidi mahukan jawatan Timbalan PM namun beliau sendiri berdepan 37 dakwaan kes rasuah – sekaligus memberi alasan kepada Muhyiddin untuk tidak melantiknya. Memastikan tidak wujudnya jawatan timbalan PM juga bermaksud Muhyiddin mempunyai kuasa penuh memberi jawatan itu kepada Azmin Ali, orang kanan ‘de facto’ merangkap pengkomplot bersama kerajaan ‘pintu belakang’ PN.

Kacau-bilau atau tangkap muat?

Malaysia sekarang berhadapan keadaan sukar: pandemik coronavirus dengan memberi kesan sosial di dalam ekonomi yang sukar, serta ditambah pula gabungan pemerintah yang goyah.

Seseorang tidak perlu mengulas panjang peristiwa penting yang berlaku sejak Muhyiddin merampas kuasa pada Mac 2020. Namun, ianya cukup mengagumkan bagaimana PN, sehingga sekarang terselamat dalam berdepan halangan: kemenangan dalam pilihanraya Sabah, penolakan sultan akan percubaannya mahu menjalankan perintah darurat bagi mengurus krisis coronavirus, serta yang paling penting, mengelak dari undi tidak percaya serta mengatasi pembangkang ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Walaupun rapuh, ramai yang masih meneka-neka apakah gabungan PN ini akan runtuh atau tidak. Ada beberapa sebab bagi mereka yang berpendapat sedemikian.

Pertama, pembangkang lemah di bawah pimpinan Anwar Ibrahim sekarang. Ianya dirundung pertelingkahan dalaman serta di antara parti yang berterusan. Pertamanya, inilah sebab yang sekaligus membawa kepada runtuhnya PH.

Sejak itu, Anwar mengukuhkan kekuatannya sendiri di dalam PKR dengan menyaksikan kem Azmin serta puak Mahathir di dalam Bersatu akhirnya keluar.

Namun, dalam keadaannya yang lemah sekarang, pembangkang gagal untuk mengalahkan usul Belanjawan 2021 oleh PN. Sebagai Ketua Pembangkang, Anwar hanya beroleh 95 undi – jauh dari bilangan yang didakwanya. Anwar kehilangan kepercayaan, tampaknya, adalah asas kepada umur panjang Muhyiddin selaku PM.

READ MORE:  Whither neutrality when civil service chief secretary briefs PN’s highest council?

Tanpa pemusatan kuasa yang kukuh serta keadaan Umno serta elitnya yang ‘cair’, Muhyiddin dapat memperkukuh kuasanya di peringkat pusat serta di dalam gabungan pemerintahan.

Kejatuhan menteri besar di dalam kerajaan Perak melalui kekalahan undi tidak percaya juga adalah percaturan kuasa Umno, namun ianya tidak cukup untuk mengganggu PN yang diketuai Bersatu. Bersatu dapat berkuasa penuh di peringkat pusat kecuali ia berdepan dengan krisis ekonomi yang cukup mencengkam. Jumlah liabiliti hutang terkini kerajaan pusat adalah pada takah RM1.3 trilion, iaitu 87% keluaran dalam negara kasar (KDNK) – sebuah keadaan ekonomi yang tidak pernah berlaku.

Malaysia berdepan tempoh peralihan politik yang penuh ragam serta kemungkinan melibatkan beberapa senario di masa hadapan:

  • PN untuk terus memerintah sehingga pilihan raya umum yang dijangka pada 2023 – Kemungkinan
  • Penuntutan Umno untuk jawatan timbalan perdana menteri diterima – Mungkin
  • Bersatu menyertai Muafakat Nasional dan membubarkan PN – Tidak berkemungkinan
  • PH mendapat sokongan individu dari ahli politik dan/atau sekutu gabungan politik yang baru untuk membentuk kerajaan – Tidak berkemungkinan
  • Kemerosotan ekonomi yang teruk atau krisis politik yang berlaku pada 2021 yang menjatuhkan kerajaan PN – Mungkin (Senario ini secara tersirat digambarkan oleh Wong Chin Huat, yang menguar-uarkan idea gabungan PH-Umno, manakala Pas tetap kekal setia bersama Bersatu.)

Selagi mana penggabungan politik ini ‘cair’ serta dilakukan di dalam kerangka demokratik dan sivil, katarsis politik yang ada sekarang barangkali diperlukan: boleh jadi ianya sebuah proses logik bagi pembersihan politik yang diperlukan dalam mengusir ‘kayu mati’ serta elemen politik tua dari sistem.

Jika ianya gagal berlaku, Malaysia akan mengulang perkara yang sama. Yang hampir pasti, senario paling teruk adalah bahawa tiada berlaku apa-apa perubahan yang jelas. Malahan, sebaliknya, kita mungkin menyaksikan letak-duduk politik yang korup dari masa lalu, walaupun terdiri kelas politik yang baharu.

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, Surat berita Aliran
9 Disember 2020

Terjemahan oleh Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.