‘Enjin kong’: Sukarnya ‘Madani’ untuk bersatu

Menggerakkan reformasi dalam kerajaan yang berpecah-belah

Anwar Ibrahim addressing top civil servants soon after he became PM - VIDEO STILL

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Apa yang kita fikirkan untuk enjin yang berfungsi baik?

Antara yang utama, enjinnya perlu berdengkur kencang seperti kucing yang senang hati dengan bahagian dalamnya berfungsi dengan lancar serta selaras antara satu sama lain. Setiap bahagian tahu fungsinya, dan semuanya bekerjasama untuk menghasilkan prestasi terbaik enjin.

Sekarang, mari kita lihat kerajaan “Madani” yang ada sekarang. Adakah ia berdengkur seperti enjin yang dikendalikan dengan baik? Adakah pelbagai kementerian dan agensi bekerjasama antara satu sama lain demi kebaikan kerajaan dan negara?

Kerajaan Madani pada masa ini jauh sekali berbunyi seperti enjin yang berfungsi dengan baik kerana ia menghantar isyarat bercampur baur serta bercanggah kepada orang ramai.

Ada kementerian dan jabatan sepertinya mempunyai cara fikir mereka sendiri. Lihat bagaimana wujudnya tentangan dari mereka untuk menyesuaikan diri dengan landskap politik pasca-Barisan Nasional.

Contoh paling jelas ialah Kementerian Dalam Negeri, yang melibatkan pihak polis. Tindakan berat kementerian terhadap mereka yang dianggap sebagai subversif seakan menyalin semula buku permainan lama BN yang sama.

Seolah-olah tiada apa yang berubah di Malaysia sejak pilihan raya umum 2018. Segalanya seperti biasa: membungkam dan menakut-nakutkan pengkritik kerajaan dan menyerbu kedai buku mencari buku terlarang.

Tentang soal pengharaman buku, siapa lagi yang melakukannya pada hari ini apabila seseorang boleh mengakses sebarang maklumat dalam talian dengan senang? Peliknya, kebanyakan buku terlarang ini adalah dalam bahasa Melayu manakala versi Inggeris masih boleh didapati secara terbuka.

Nampaknya di Bolehland, idea-idea lebih berbahaya dalam bahasa Melayu, dan oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kementerian – atau begitulah yang difikirkan mereka – untuk melindungi minda Melayu yang mudah terpengaruh daripada dicemari oleh idea-idea sedemikian. Pendekatan ini cukup menyusahkan, sebuah hal yang sia-sia – melainkan jika niat sebenar kementerian adalah untuk menakut-nakutkan dan menimbulkan ketakutan.

READ MORE:  Madani's mirage: Behind the civil facade lies a colonial ghost

Begitu juga untuk menghalang protes awam. Polis pada mulanya cukup memusuhi perhimpunan anti-rasuah baru-baru ini di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur – pendekatan yang nampaknya melanggar hak rakyat untuk berhimpun, dilindungi oleh Akta Perhimpunan Aman.

Menteri dalam negeri yang lemah, mungkin mendambakan perhatian daripada pihak polis, menentang protes yang dirancang. Menteri komunikasi turut menentang bantahan anti-rasuah itu, dengan mendakwa penganjur mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pemilik premis berhampiran tapak protes – walaupun protes itu berlaku di ruang awam.

Cukup memalukan apabila kenyataan ini datang dari dua menteri yang telah membina karier politik mereka menggunakan protes jalanan terhadap kerajaan BN ketika itu. Menteri-menteri itu juga merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan, yang berkempen mengenai pembaharuan dan memperluaskan ruang demokrasi. Jadi mengapa tiba-tiba bertukar wajah?

Siapalah yang waras akan menentang protes bagi mengecam rasuah kronik di Malaysia? Tepuk dahilah!

Dalam soal hubungan antara agama, kita mempunyai seorang menteri hal ehwal Islam yang nampaknya komited bagi menyemai lebih banyak perpecahan dalam masyarakat kita yang sudah sangat terpolarisasi. Angkara terbaru beliau ialah untuk memperkenalkan satu garis panduan di Parlimen bagi mengawal cara orang Islam untuk menghadiri upacara keagamaan orang bukan Islam.

Daripada mempromosikan usaha yang memupuk persefahaman dan merapatkan perbezaan agama, pejabatnya, yang termasuklah Jakim yang berdana cukup besar, memutuskan untuk memberi sokongan kepada orang Melayu Islam konservatif yang menghina sebarang bentuk penglibatan antara agama. Ini sekali lagi dilakukan dengan alasan untuk melindungi akidah mereka yang rapuh daripada pengaruh agama lain.

Dalam contoh di atas, perdana menteri terpaksa masuk di saat-saat akhir untuk tidak meneruskan cadangan menterinya yang seakan tidak dinasihat dengan baik dalam meredakan ketegangan.

READ MORE:  'Permintaan maaf' kosong Najib satu penghinaan, reaksi Anwar merisaukan

Adakah ini dirancang oleh PM untuk memainkan peranan sebagai penyelamat dan pendamai ketika suhu politik mula meningkat? Untuk bersikap adil, andaian ini bersifat amat jahat.

Penjelasan yang lebih masuk akal ialah PM tidak ada genggaman yang kukuh ke atas menteri kabinet dan perkhidmatan awamnya. Beliau melantik menteri berdasarkan kesetiaan parti dan percaturan bidak politik, dan bukannya berasaskan kecekapan, kemampuan dan karisma.

Tidak hairanlah kita terpaksa menghadap menteri seperti itu. Kita mempunyai menteri lemah yang hanya bersemangat untuk mengampu bos mereka dan bersujud kepada pegawai perkhidmatan awam yang hanya mahu mengekalkan status quo. Kita juga mendapat menteri yang seakan mengusahakan agenda peribadi mereka sendiri yang mungkin tidak selaras dengan keutamaan PM.

Dapat difahami yang Anwar terpaksa mengimbangi pelbagai tuntutan daripada rakan gabungan dan penyokong politiknya.

Namun Anwar tidak boleh lari daripada tanggungjawab dan memberi alasan segalanya adalah realpolitik apabila kompromi dibuat sepanjang masa. Beliau mesti berpegang pada garis prinsip yang jelas dan dengan tegas mengatakan bahawa beberapa perkara – seperti kebebasan berhimpun serta hukuman berat untuk ahli politik rasuah yang disabitkan kesalahan – tidak boleh dirundingkan.

Beberapa kes “pelepasan tanpa pembebasan”, pengguguran pertuduhan dan pendakwaan terpilih telah menyemarakkan tanggapan orang ramai terhadap kerajaan bahawa ia gagal melaksanakan agenda reformasinya – walaupun mempunyai majoriti yang kukuh di Parlimen.

Cubaan beliau untuk memenangkan hati semua dalam berdepan pelbagai tuntutan daripada banyak pihak berkepentingan serta ketidakupayaannya untuk membolehkan kabinetnya beroperasi pada nada yang sama, sekali gus telah menyebabkan PM kelihatan lemah dan tidak pasti.

Ini bukanlah isyarat yang ingin beliau tonjolkan secara luaran kepada orang ramai tetapi juga secara dalaman kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam. Apalagi, politik semuanya adalah soal tanggapan. Pemimpin yang lemah sering mengakibatkan perpecahan dan kewujudan unsur-unsur penyangak berkobar-kobar untuk merebut kuasa dalam barisan kerajaan.

READ MORE:  Memahami kelembapan reformasi 'Madani'

Apa yang ditanggapi orang ramai hanyalah seorang PM yang mengetuai kerajaan yang sangat berpecah-belah yang bahagian-bahagiannya di dalamnya bersilang fungsi di antara satu sama lain – dan beliau seakan tidak mempunyai kawalan ke atas hal yang berlaku.

Untuk menggunakan analogi terdahulu, kerajaan sekarang adalah seakan ‘enjin kong’ dan memerlukan baik pulih besar-besaran untuk membolehkan semua komponennya bekerjasama ke arah matlamat bersama untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik untuk semua orang.

Persoalannya, adakah PM mempunyai kemahuan politik untuk melakukan rombakan besar-besaran ini?

Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
4 Mac 2025

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Azmil Tayeb
Dr Azmil Tayeb, the honorary assistant secretary of Aliran, is a political science lecturer at Universiti Sains Malaysia. He is the winner of the 2019 Colleagues' Choice book prize (social science category) awarded by the International Convention of Asia Scholars for his book Islamic Education in Indonesia and Malaysia: Shaping Minds, Saving Souls
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments