Desentralisasi dan pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan

Kita juga perlu mengundi parti yang menyeru agar diperbaiki hubungan pusat dan negeri

Sejurus selepas parti pembangkang mendapat kuasa di Pulau Pinang pada 2008, kerajaan negeri yang baru terus menyatakan hasrat untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Sehinggakan, Ketua Menteri ketika itu Lim Guan Eng turut menubuhkan jawatankuasa kerja bagi melihat perkara ini.

Beliau kemudiannya dinasihatkan untuk melihat undang-undang persekutuan berkaitan pilihan raya kerajaan tempatanlah yang perlu digubal bagi mengembalikan pilihan raya tempatan.

Ahli majlis eksekutif negeri pada ketika itu, Chow Kon Yew, yang memegang portfolio kerajaan tempatan, kemudiannya menulis kepada jawatankuasa kebangsaan kerajaan tempatan pada 14 Julai 2009 dan memohon agar pilihan raya kerajaan tempatan untuk dimasukkan sebagai agenda ke dalam mesyuarat jawatankuasa kebangsaan yang seterusnya.

Namun, jawatankuasa kebangsaan kemudiannya memetik Seksyen 15(1) di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (AKT), yang menyatakan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan sudah pun dimansuhkan seiring dengan penggubalan akta tersebut. Jadi, permohonan Chow tidak diendahkan.

Chow kemudiannya membuat usul di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan, yang diluluskan sebulat suara di Dewan.

Pada bulan berikutnya, ketua menteri menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menuntut mereka menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang yang kemudiannya dibantah oleh agensi persekutuan itu, dan menyatakan bahawa AKT tidak membenarkan ia melakukannya.

Akhirnya, dewan undangan Pulau Pinang pada 9 Mei 2012 meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012, yang digazetkan pada 5 Julai 2012.

SPR sekali lagi diminta untuk menjalankan pilihan raya dalam masa 180 hari, ekoran dari pengenalan undang-undang pilihan raya kerajaan tempatan yang akan beroperasi.

Sekali lagi, SPR membantah sekali gus kerajaan negeri Pulau Pinang (bersama presiden Aliran P Ramakrishnan) menyaman kerajaan pusat dan SPR kerana tidak membenarkan pilihan raya kerajaan tempatan dari diadakan seperti yang dimohon, dan menuntut deklarasi dari Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 15 di dalam AKT, yang menyatakan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan itu, sebagai tidak sah dan tidak terpakai di Pulau Pinang.

Hampir setahun kemudiannya, pada 14 Ogos 2014, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan.

Berikutan kemenangan gabungan pembangkang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018, ramai yang berharap agar kerajaan persekutuan yang baru akan mempersetujui tuntutan kerajaan Pulau Pinang untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Apatah lagi, mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan dan menjadikan pihak berkuasa tempatan agar lebih telus merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH. Bahkan, menteri di peringkat persekutuan melibatkan perumahan dan kerajaan tempatan berjanji untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa tiga tahun.

READ MORE:  Federalism - Do states know best?

Namun, berikutan pengambilalihan kerajaan melalui Langkah Sheraton, kerajaan baru Perikatan Nasional-Bersatu kemudiannya tidak menjalankan idea untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan walaupun menteri baru yang memegang portfolio kerajaan tempatan adalah orang yang sama, sebagai menteri PH, menyatakan janji untuk mengembalikan pilihan raya tempatan dalam masa tiga tahun.

Namun begitu, usaha untuk desentralisasi kerajaan perlu diteruskan berserta dengan langkah padu untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Di mana kita hendak bermula?

Di dalam kebanyakan sistem persekutuan, bidang kuasa berkaitan kesihatan, pendidikan sekolah menengah dan rendah, perburuhan, pengurusan bencana, kebajikan sosial, kemudahan awam serta pengangkutan awam secara automatiknya diberikan kepada negeri, malahan kepada peringkat kerajaan tempatan, seperti sebab yang dijelaskan di atas.

Di Malaysia, kebanyakan perkara ini, termasuklah pengurusan bencana (misalannya melibatkan banjir, kebakaran, jerebu serta bencana alam yang lain), tertakluk kepada kerajaan pusat.

Barangkali, kita perlu mengagihkan semula kuasa pengurusan bencana kepada kerajaan negeri dan tempatan. Kerajaan ini mempunyai pengetahuan khas berkenaan kawasan tempatan – kawasan mana yang terdedah kepada banjir dan kawasan mana yang terdedah kepada risiko kebakaran.

Mengetahui warga tempatan di pelbagai peringkat kawasan tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan boleh membuat program melibatkan masyarakat, bisnes dan persatuan tempatan dalam pengurusan bencana di kawasan tempatan mereka, misalannya dalam menubuhkan jabatan bomba sukarelawan.

Kita juga kemudiannya patut desentralisasi kuasa berkenaan pengumpulan sampah, rawatan pembetungan, serta pengumpulan, rawatan dan penghantaran air. Tanggungjawab bagi memastikan kebersihan dan penjagaan jalan raya, longkang, terusan monsun, sungai dan laut juga sepatutnya didesentralisasi kuasa pengurusannya.

Pengangkutan awam darat, termasuklah soal pelesenan dan kelulusan bagi laluan teksi dan bas, juga merupakan antara perkara yang sepatutnya tertakluk kepada kerajaan tempatan dan negeri. Juga termasuklah soal kelolaan bas sekolah, pelancongan dan kilang serta feri dan pengangkutan air.

Khidmat kebajikan sosial bagi mereka yang mudah terjejas – seperti warga emas, orang kurang upaya, balu, ibu bapa tunggal dan yatim piatu – juga patut didesentralisasi pengurusannya. Juga, pengurusan wad kesihatan ibu dan juga peruntukan berkaitan khidmat kesihatan utama antara perkara yang patut dilakukan bagi memulakan proses desentralisasi.

Tidak ada sebab mengapa kerajaan pusat patut membuat keputusan bagi semua perkara di atas. Bahkan tidak ada sebab langsung bagi menswastakan semua perkhidmatan ini kepada syarikat kroni, yang selalunya tidak mempunyai kepakaran langsung dalam menguruskan perkara ini.

Pindalah undang-undang ini dan peruntukkan bidang kuasa kepada negeri atau kerajaan tempatan. Juga, berikan dana yang diperlukan bagi membiayai semua perkhidmatan dan membayar gaji semua pegawai yang diperlukan bagi menjalankan semua perkhidmatan ini.

READ MORE:  Election looms large, forum on improving federal-state relations postponed

Kuasa pengurusan sistem pendidikan juga patut didesentralisasi

Akhirnya, pengagihan kuasa ini juga mesti sampai kepada soal reformasi sistem pendidikan.

Tidak disangkal lagi, tahap akademik semakin merudum, disiplin merosot dan kurikulumnya dipolitikkan di peringkat sekolah menengah dan rendah.

Kita melihat bagaimana polisi ditukar sesuka-hati, misalnya, dengan pengenalan polisi PPSMI, iaitu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, pada tahun 2002. Namun, selepas berakhirnya had pemerintahan pertama Dr Mahathir Mohamad pada akhir 2003, bahasa Melayu kemudian dikembalikan semula sebagai bahasa pengantar bagi kedua-dua subjek.

Dan kemudiannya mereka memperkenalkan program dwi bahasa (DLP), yang secara asasnya adalah kembali kepada PPSMI kecuali mengajar di dalam bahasa Inggeris menjadi pilihan di setiap sekolah, berbanding wajib kepada semua.

Baru-baru ini, aduan muncul melibatkan pelajar yang memilih DLP di peringkat sekolah rendah mungkin tidak dapat meneruskan program di peringkat sekolah menengah, kerana tidak cukup sekolah yang menawarkan kelas DLP. Barangkali, jika pejabat pendidikan daerah yang menguruskannya, pegawai pendidikan daerah mungkin dapat menjangka permasalahan ini lebih awal berbanding pegawai yang berada nun jauh di Putrajaya.

Inilah akar permasalahannya: Kementerian Pendidikan menjadi terlalu besar dan sukar untuk diuruskan. Sebuah organisasi yang menggaji hampir 420,000 guru dan 32,000 pegawai lainnya di peringkat pusat, negeri dan daerah sukar untuk berfungsi secara cekap!

Memburukkan keadaan, dek kerana saiznya, politikus serta pegawai yang gila kuasa secara tersirat mengawalnya bagi tujuan politik. Jadi, selain dari saiz organisasinya yang terlalu besar, ia juga dipolitikkan seperti apa yang kita dapat lihat dalam polisi yang ditukar sesuka hati melibatkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu itu. Ini satu lagi sebab mengapa kita perlu proses desentralisasi!

(Diakui, antara sasaran rangka tindak pendidikan kebangsaan adalah “desentralisasi”. Namun, Kementerian Pendidikan sendiri tidak membenarkan jabatan pendidikan negeri, apatah lagi pegawai pendidikan daerah, untuk membuat keputusan sendiri berkaitan hal penting.)

Menariknya tentang soal desentralisasi ini adalah ia membuka pintu kepada ibu bapa, alumni, masyarakat tempatan, dan industri dan perniagaan tempatan untuk memainkan peranan bagi memastikan penjagaan dan pengurusan sekolah. Lebih banyak tanggungjawab boleh diberikan kepada persatuan ibu bapa dan guru juga.

Kini, lembaga pengurus sekolah di sekolah jenis kebangsaan (vernakular) dan sekolah mubaligh (mission schools) juga diberikan tanggungjawab terhad. Dan kebanyakan sekolah ini mencapai kejayaan yang baik. Tanggungjawab yang sebegini sepatutnya lebih diperluaskan.

Proses desentralisasi juga patut meliputi soal membuat keputusan berkaitan pengambilan pengetua, guru, aktiviti kurikulum, jika pun bukanlah terus berkenaan dengan kurikulum utama itu sendiri. Pegawai kerajaan di peringkat pusat, negeri dan tempatan sepatutnya bekerja rapat dengan guru dan anggota daripada persatuan ibu bapa dan guru serta lembaga sekolah. Melalui cara ini, kualiti pembelajaran, penambahbaikan sekolah serta persekitaran pengajaran juga akan diperbaiki dengan lebih efektif dari segi perbelanjaan.

READ MORE:  Enabling decentralisation and improving federal-state relations in the Federation of Malaysia

Jika dana juga didesentralisasi, dan seterusnya kuasa bagaimana untuk menggunakan dana itu juga dapat diturunkan ke peringkat bawahan, pastinya ketelusan, kebertanggungjawaban serta kecekapan berkaitan soal penggunaan dana pasti dapat ditingkatkan.

Dengan memberikan lebih banyak autonomi kepada sekolah di kawasan bandar serta sekolah yang memberikan perkhidmatan kepada kanak-kanak daripada kelas ekonomi menengah, Kementerian Pendidikan dapat menyasarkan fokus, untuk memberi lebih perhatian dan memperuntukkan dana kepada sekolah lain, terutamanya di sekolah pedalaman, yang barangkali masih belum mempunyai dukungan masyarakat dan ibu bapa yang kuat.

Apa seterusnya?

Jadi, desentralisasi bukan saja dapat membantu kita untuk menyelesaikan permasalahan harian, seperti longkang tersumbat dan lubang di jalan raya, tetapi juga hal yang lebih serius melibatkan penambahbaikan sistem pendidikan kita. Dengan cara ini, remaja di negara kita dapat menikmati sistem pendidikan yang lebih baik dan negara dapat bersaing di peringkat global semula.

Bagaimana untuk mengendalikan proses desentralisasi ini? Ketua menteri Pulau Pinang, yang disokong oleh dapatan dari laporan sementara berkaitan hubungan pusat-negeri ini, menawarkan tiga cadangan.

Pertama, beliau mendesak agar ditubuhkan sebuah jawatankuasa hubungan pusat-negeri bagi menyiasat kaedah hubungan di antara pusat-negeri.

Kedua, beliau menyeru agar kerajaan negeri lainnya untuk bersama bertukar dan berkongsi maklumat berkenaan bagaimana cara terbaik untuk berunding dengan kerajaan pusat. Apakah kaedah paling baik yang setiap negeri dapat belajar dari satu sama lain? Pastinya ia tidak perlu datang daripada atas semata-mata!

Dan yang ketiga, beliau akan mengarahkan kerajaan Pulau Pinang untuk menubuhkan jawatankuasa tetap atau terpilih di dalam dewan undangan negeri agar semua anggota dewan dapat menyiasat, mengkaji dan membuat cadangan bagi menambah baik hubungan pusat-negeri, khususnya melibatkan Pulau Pinang.

Jelas bahawa perancangan yang pertama dan ketiga ini hanya boleh berlaku jika sebuah kerajaan PH yang baru dapat kembali berkuasa pada pilihan raya akan datang.

Jadi, jika kita mahu memastikan penambahbaikan melibatkan bekalan air serta satu langkah besar bagi kemajuan sistem pendidikan kita, kita juga patut mengundi parti yang menyeru agar hubungan pusat-negeri semakin diperbaiki.

Dr Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Jun 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments