Bagi kebanyakan orang di Malaysia, hasil pilihan raya umum tahun 2018 merupakan sebuah peristiwa bersejarah.
Pilihan raya itu menandakan berakhirnya kerajaan yang telah menjadi semakin autoritarian selama beberapa dekad. Kemenangan ini dihasilkan oleh usaha individu dan kumpulan masyarakat sivil yang tidak terkira banyaknya dalam memperjuangkan masyarakat yang lebih demokratik.
Walau bagaimanapun, “langkah Sheraton” pada tahun 2020 melenyapkan impian demokrasi yang satu ini.
Di sebalik cabaran ini, ramai yang meneruskan perjuangan mereka untuk demokrasi, meletakkan harapan mereka kepada ketua pembangkang ketika itu, Anwar Ibrahim, yang menjanjikan pembaharuan untuk mewujudkan Malaysia yang lebih demokratik.
Pilihan raya 2022 menyaksikan Anwar akhirnya menjadi Perdana Menteri.
Namun, pembaharuan cukup lambat untuk dilaksanakan. Walaupun dapat difahami bahawa perubahan sedemikian mengambil masa, tanda-tanda yang membimbangkan menunjukkan beberapa hal berkaitan reformasi seakan diabaikan atau ditangguhkan pelaksanaannya.
Salah satu pembaharuan yang paling genting dijanjikan ialah kebebasan bersuara, yang penting agar demokrasi terus berkembang maju.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Dalam indeks kebebasan akhbar dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) 2024, kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga kepada 107.
Kejatuhan ini amat membimbangkan, terutamanya kerana Pakatan Harapan Anwar telah berkempen untuk meminda undang-undang yang menyekat kebebasan media.
Sungguh ironis di bawah kerajaan ini, undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara seakan kekal tidak berubah atau langsung tidak dimansuhkan. Undang-undang ini termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Komunikasi dan Multimedia (Seksyen 233).
Insiden baru-baru ini telah meletakkan isu ini menjadi sorotan tumpuan. Sebuah kumpulan masyarakat sivil cuba menyerahkan memorandum menuntut keadilan dalam kes Teoh Beng Hock yang tidak dapat diselesaikan. Namun, perarakan mereka ke Parlimen berakhir dengan pergelutan dengan pihak berkuasa.
Kini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan platform media sosial untuk memohon lesen mulai Ogos. Ini adalah langkah untuk mengawal selia media dalam talian, sama seperti cara media tradisional dikenakan.
Keadaan ini langsung tidak boleh diterima di bawah kerajaan yang berjanji untuk membuka ruang demokrasi. Kerajaan sepatutnya berusaha untuk mengembangkan, bukan menyempitkan atau menutup, ruang untuk mewujudkan pendapat dan wacana awam.
Kerajaan ini sepatutnya mengenakan moratorium ke atas undang-undang berkaitan media yang menyekat kebebasan bersuara.
Ia sebaliknya harus bekerjasama dengan masyarakat sivil untuk membangunkan dasar media dan perundangan berkaitan yang bersifat menggalakkan – bukannya menyekat – kebebasan bersuara.
Hanya dengan kebebasan bersuara barulah demokrasi benar-benar mengakar!
Chris Chong
Editor bersama, surat berita Aliran
29 Julai 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme