Perdana menteri biasanya akan meletakkan tanda kuasanya melalui dasar luar negara – yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada dasar keseluruhan bagi memenuhi kepentingan dan keperluan sesebuah negara.
Saya berunding dengan ChatGPT untuk mendapatkan beberapa petunjuk berkenaan dasar luar negara yang akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
ChatGPT menjawab bahawa Anwar pada masa lalu menyokong pendekatan dasar luar yang seimbang dan pragmatik untuk Malaysia. Ini termasuklah keperluan agar negara memainkan peranan aktif dalam menangani cabaran global, seperti perubahan iklim dan hak asasi manusia. Malaysia juga boleh dijangka mengambil “pendirian yang lebih tegas mengenai isu-isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan demokrasi, di peringkat domestik dan antarabangsa”.
Tidaklah terlalu buruk, tetapi tidak pula cukup baik untuk tujuan negara kita! Bandingkan kenyataan di atas dengan perbincangan semasa 28 Mac tentang dasar luar negara yang akan dibawakan PM, semasa saya mempengerusikan perbincangan.
Barisan ahli panel menyentuh banyak isu dan merujuk kepada persona Anwar sebagai seorang demokrat, pembaharu, penceramah yang petah, pemimpin dan pemikir intelektual, dan bagaimana semua ini akan menentukan dasar luar Malaysia.
Islam Sederhana
Timbul persoalan yang menarik. Apakah slogan Malaysia Madani oleh PM kini berbeza dengan Islam Hadhari oleh bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi dan bagaimanakah slogan ini boleh menentukan dasar luar Malaysia yang semasa?
Enam prinsip Malaysia Madani ialah kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Sepuluh prinsip Islam Hadhari ialah keimanan dan ketakwaan, kerajaan yang adil dan amanah, kebebasan dan kemerdekaan, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi yang seimbang dan menyeluruh, kualiti hidup, perlindungan hak kumpulan minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral, perlindungan terhadap alam sekitar, dan dasar pertahanan yang kukuh.
Para ahli panel bersetuju bahawa Malaysia Madani adalah faktor penting dan memberikan beberapa petunjuk bagaimana Anwar akan meneruskannya sebagai pemimpin Islam ‘sederhana’ berdasarkan prinsipnya yang umum. Seorang ahli panel mengatakan bahawa ia pada dasarnya adalah satu cara untuk menarik perhatian.
Oleh itu, dari segi dasar luar, kedua-dua Anwar dan Abdullah merupakan pendukung Islam yang sederhana dalam hubungan antarabangsa, menggunakan nilai-nilai Islam untuk mempromosikan dunia yang lebih harmoni.
Sesungguhnya, ini telah menjadi jalur dan ciri dasar luar Malaysia sejak zaman Perdana Menteri yang pertama di Malaysia, iaitu Tunku Abdul Rahman.
Dari segi dasar yang sebenarnya, setiap perdana menteri dan menteri luar negara yang seterusnya akan meneruskan tradisi dasar sederhana Malaysia ini.
Mengikut kesesuaian lwn berprinsip
Prinsip yang luhur seperti termaktub dalam Malaysia Madani dan Islam Hadhari cenderung untuk tunduk atau menjadi mangsa kepada kepentingan politik.
Misalnya, Abdullah Badawi terpaksa berhadapan dengan beberapa skandal semasa memegang jawatan, termasuk mengendalikan perbicaraan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, yang melibatkan menteri pertahanannya Najib Razak, dan penjualan komponen nuklear ke Libya oleh Scomi, sebuah syarikat yang diketuai oleh anak Abdullah.
Melihat keadaan Anwar sekarang, tiada skandal besar yang timbul setakat ini dalam tempoh singkat beliau sebagai PM. Tetapi dakwaan sekatan kunjungan bekas ketua pembangkang Kemboja, Sam Rainsy, baru-baru ini adalah cukup memalukan.
Sama ada kerajaan benar-benar menghalau Rainsy atas desakan kerajaan Hun Sen atau tidak, peristiwa itu menunjukkan betapa mudahnya prinsip belas kasihan Madani boleh dilanggar. Peristiwa itu lebih memalukan kerana Rainsy telah lama menjadi juara menolak rasuah di negaranya dan Anwar juga kini cuba menghapuskan rasuah di Malaysia.
Bagi menenang keadaan, Wong Chen, yang telah bertemu dan melayan Rainsy mengeluarkan kenyataan. Ahli Parlimen PKR itu menjelaskan bahawa tokoh pembangkang Kemboja itu berada di Malaysia bagi “lawatan peribadi“.
Satu lagi perkara yang memalukan – walaupun ini tiada kena mengena dengan prinsip Madani – adalah kesilapan dasar luar oleh Anwar ketika tiba di Arab Saudi untuk lawatan rasmi dan tidak diterima oleh Raja Saudi seperti yang dijangkakan.
Tiada usaha signifikan
Langkah dasar luar negara yang boleh dianggap utama ialah lawatan rasmi Anwar pada bulan April ke China, di mana PM diterima dengan baik dengan sambutan hangat.
Anwar telah membuat kenyataan wajib mengenai persaingan China-AS sebelum lawatan itu – bahawa Asean harus kekal berkecuali dan bebas berhubung dengan dua kuasa besar itu.
PM pulang ke tanah air selepas menandatangani 19 Memorandum Persefahaman (MoU). Sebelum lawatannya, Anwar telah menyatakan bahawa akan ada pelaburan besar dari China. Namun, setakat ini belum ada perkara yang sudah dicapai dan hanya terdapat sedikit butiran maklumat yang berharga mengenai 19 MoU tersebut.
Ini merupakan waktu yang mencabar dan berbahaya. Ramai menjangkakan Anwar, pemikir dan tokoh pembaharuan yang mahur, akan memainkan peranan yang lebih penting melalui usaha dan dasar luar negara yang baharu.
Walau bagaimanapun, seseorang dapat mengagak, bagaimana dia telah menyumbang kepada kekecewaan yang besar dalam hal ini. Paling tinggi pun, saya akan memberinya gred “B-” dalam soal dasar luar negara.
Rangka dasar luar negara berkaitan Myanmar sekarang!
Beralih pula kita kepada isu Myanmar, yang merupakan simbolik pendekatan ‘do nothing’ PM berkenaan dasar luar negara.
Sejak rampasan kuasa Februari 2021, tentera Myanmar telah melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas Rohingya, menimbulkan kesengsaraan yang tidak terperi ke atas rakyatnya, menahan dan menghukum mati mereka yang melawan kerajaan negara itu serta melakukan serangan udara ke atas etnik minoritinya.
Myanmar bukan sekadar ‘orang sakit’ di Asean, ia adalah lambang konflik yang tidak dapat diselesaikan di rantau itu.
Kerajaan Anwar telah mengumumkan dasar, yang pada asasnya adalah dasar ‘do nothing’ kepada Myanmar, seperti yang ditunjukkan oleh Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan rasminya:
Dengan menyatakan “Kita harus mengenepikan Myanmar buat masa ini”, Yang Berhormat Perdana Menteri menegaskan bahawa negara-negara anggota ASEAN yang lain tidak sepatutnya membenarkan isu Myanmar mengalihkan perhatian kita daripada meneruskan usaha sama yang lebih kukuh untuk menggalakkan keamanan, keselamatan. dan kemakmuran untuk ASEAN dan rakyatnya seperti yang dibayangkan untuk Komuniti ASEAN. – Laman web Kementerian Luar Negeri
Ini sangat berbeza dengan dasar kerajaan Malaysia sebelum ini. Bekas menteri luar, Saifuddin Abdullah, menunjukkan inisiatif untuk melibatkan diri dengan pembangkang Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan kumpulan lain.
Ironiknya, “kerajaan perpaduan” nasional Anwar tidak melakukan apa-apa perkara seperti ini dengan rakan sejawatnya dari Myanmar.
Dasar konsensus lima perkara Asean yang semasa menggesa untuk pemberhentian segera segala keganasan, dialog konstruktif melibatkan semua pihak yang berkenaan dalam mencari penyelesaian secara aman, duta khas oleh pengerusi Asean untuk memudahkan pengantaraan proses dialog, bantuan kemanusiaan, dan duta khas Asean serta delegasinya untuk bertemu dengan semua pihak.
Namun dasar ini telah menemui kegagalan.
Malaysia boleh menjadi lebih proaktif dalam membangunkan beberapa usaha untuk memajukan proses damai di Myanmar.
Pendirian kerajaan Anwar sekarang adalah jauh berbeza daripada zaman Anwar sendiri pada tahun 1997 yang mengkritik betapa pasifnya “penglibatan konstruktif” Asean dengan Myanmar dan apabila beliau sendiri menyeru dasar “campur tangan konstruktif” dijalankan.
Bagi negara anggota Asean, yang mempunyai kepentingan serta kesan yang mendalam melibatkan Myanmar, dasar luar pelbagai peringkat dan landasan adalah penting untuk menangani krisis semasa dan perang saudara melibatkan ‘orang sakit’ Asean itu.
Kerajaan pimpinan Anwar patut menyediakan beberapa usaha dan kepimpinan ke arah itu.
Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
10 Jun 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme