Dari ‘katak-katak’ snollygoster… ke tiga perdana menteri dalam satu tahun?

0
154
Cartoon by Zunar

Barangkali, lebih-lebih lagi kini, kita perlukan undang-undang ‘anti lompat’ diluluskan segera, tulisan Henry Loh.

Pada 26 September, rakyat Sabah keluar mengundi. Pilihan raya negeri mengejut itu telah dicetuskan oleh dakwaan Musa Aman dari Umno bahawa dia mempunyai sokongan yang cukup daripada ahli dewan undangan negeri untuk menggulingkan kerajaan yang sedia ada.

Musa telah memohon perkenan menghadap Yang di-Pertua Sabah untuk membuktikan dia mempunyai bilangan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. Bagi mengekang hal ini, mantan Ketua Menteri Shafie Apdal bertemu dengan Yang di-Pertua itu bagi menasihatinya untuk membubarkan dewan undangan negeri supaya rakyat berpeluang membuat keputusan.

Dewan Undangan Negeri Sabah ketika itu dibubarkan pada 30 Julai, dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 September untuk pencalonan dan 26 September untuk pengundian.

Apabila komplotan menentukan siapa akan jadi ketua menteri pasca pilihan raya telah reda, Hajiji Noor dari Bersatu mengangkat sumpah pada 29 September. Ketua Umno Sabah Bung Moktar memang sekian lama mahukan jawatan itu, tapi selepas beberapa rundingan serius (termasuk khabar angin ada terjadi hentak-hentak meja), dia setuju jadi Timbalan Ketua Menteri Pertama dan Menteri Kerja Raya. Banyak lagi perihal ini di bawah. 

Untuk mengesan jejak peristiwa yang membawa kepada pilihan raya negeri, kita harus kembali kepada “Langkah Sheraton” yang dahsyat pada lewat Februari, perletakkan jawatan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara sah. Turutan peristiwa itu merintis jalan kepada pembentukkan kerajaan Perikatan Nasional dengan Muhyiddin Yassin sebagai PM.

Dalam beberapa bulan berikutnya, kerajaan negeri Johor, Perak, Kedah, Melaka yang semuanya di bawah PH runtuh berikutan pembelotan dan jatuh ke bawah kawalan PN. Hanya kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang kekal di bawah kekuasaan PH. Jadinya Musa Aman di Sabah cuma mencuba untuk mengikuti rentak yang telah diatur di sebalik semua ini.

Apa yang menonjol di sini adalah pembelot-pembelot itu, yang sanggup lompat kapal dan gulingkan kerajaan yang telah sah dipilih. Beberapa pengulas telah menyatakan bahawa menggelarkan pembelot sekalian sebagai ‘katak’ adalah suatu penghinaan kepada makhluk amfibia itu. Suatu istilah yang amat jarang diguna pakai – snollygosters – untuk menggambarkan betapa tidak berprinsipnya politikus mencengkam kedudukan masing-masing mutakhir ini.

Apa yang snollygosters sekalian ini untuk menukar kem dan menggulingkan kerajaan ini semua? Pemerhati meletakkan jawapannya pada perlumbaan menghambat kuasa dan cita-cita ingin mengisi tembolok masing masing, memandangkan ramai dari kalangan mereka akan dianugerahkan dengan lantikan menteri atau jawatan bergaji besar dalam syarikat berkaitan kerajaan.

READ MORE:  Social media's impact on politics

Langkah Sheraton telah menjadi onar buat ramai rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang berarak dan mengundi demi perubahan. Mereka rasa ditipu dan dirompak. Lain nasibnya jikalau kerajaan kini memenangi hak untuk memerintah melalui pilihan raya berbanding mendapatkannya melalui pintu belakang. 

Jikalau politikus yang bertanggungjawab serius perihal membawa perubahan, mereka harus mencari ruang meluluskan perundangan ‘anti lompat’ untuk mengekang pembelotan sebegitu. Seperti mana sesuai benar disebut oleh anggota Aliran Mustafa K Anuar, kita perlukan undang-undang sedemikian “bagi menentang ketidak tentuan politik dan penodaan hak rakyat untuk memilih kerajaan mereka”. 

Acapkali kedengaran hujah bahawa akta anti lompat akan melanggar kebebasan untuk bersekutu, sepertimana diperuntukkan bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan perlu dikaji dengan menyeluruh. Lagi pun, Artikel 10(1)(c) “menjamin rakyat Malaysia hak untuk kebebasan bersekutu”.

Bagaimana pun, kebebasan ini bukan mutlak, Artikel 10(2)(c) menyatakan: “Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan – ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral…”

Bagi saya, sebagai rakyat biasa, akta anti lompat jatuh dalam kategori mempertahankan moral awam. Pakar perundangan boleh berhujah tentang huraian yang lebih halus, tapi ahli Parlimen mestilah mempunyai kesungguhan dan keazaman politik untuk menggerakkan perundangan ini bagi membendung pembelotan.

Suruhanjaya Pilihan Raya mesti mencadangkan perubahan untuk menggiatkan pilihan raya yang bebas dan adil. Ini termasuklah mengkaji kebolehlaksanaan menggantikan atau penyesuaian sistem pemenang bolot semua pilihan raya pemenang undi terbanyak (first-past-the-post) dengan sistem perwakilan berkadar keahlian campuran (mixed-member proportional representation).

Kembali kepada pilihan raya negeri Sabah. Warisan Plus, yang dipimpin Shafie Apdal, telah tanpa rasa penat lelah berusaha menggalakkan wacana kesatu paduan untuk semua rakyat yang hidup di Negeri Bawah Bayu itu. Kata-katanya yang kini tersohor ialah – “Kita di sini untuk bina negara bukan mana-mana bangsa atau agama tertentu” – diwar-warkan ke pelusuk Sabah dan bergema dengan semua yang percaya dengan Sabah untuk semua rakyat Sabah dan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

Seruan lantang kepada perpaduan itu memberi ilham kepada P Ramakrishnan dari Aliran untuk mencabar Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hadi Awang dan Najib Razak untuk mengisytiharkan pendirian mereka dalam hal ini. Rama berkata bahawa, kerana kepentingan politik, pemimpin-pemimpin yang dicabarnya tak akan cukup berani untuk menerima idea suatu nusa untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik, agama atau fahaman. Sebaliknya, kita dengarkan seruan “ketuanan Melayu” atau mengatakan yang bukan Melayu adalah “pendatang”.

READ MORE:  Deputy ministers go over the top with Veveonah

Dalam pilihan raya negeri Sabah, Warisan Plus memperolehi 43.4% undi popular dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerima 43.2%, dengan kata lain kedua-duanya hampir seri. Parti-parti lain menerima 8.4% dan calon-calon bebas pula 5.0%.

Kita tidak harus senang-senang menyimpulkan bahawa mereka yang mengundi GRS tidak percaya akan konsep perpaduan yang dibawa oleh Warisan. Tetapi, seperti mana pengulas Joe Samad melihatnya, “(isu perpaduan).. Ialah seperti berdakwah kepada yang telah pun sedia mendapat petunjuk, yang bukan jahil di Sabah di mana itu adalah hal yang tak perlu dipedulikan sangat pun….”

Jadi apakah yang mendorong 43.2% pengundi untuk menyokong parti-parti GRS? Ramai dari pengundi ini mungkin sekali menghargai perpaduan dan pembinaan negara, tetapi Warisan, bila diimbas semula, patutnya mendahulukan isu-isu periuk nasi dalam kempennya.

Joe Samad sekali lagi berkata: “Rakyat perlu makan, rakyat perlukan kerja, rakyat mahukan pembangunan prasarana dan ekonomi. Warisan sepatutnya berjanji untuk selesaikan isu-isu ini daripada hanya bercakap soal perpaduan, dapur tak berasap pun.”

Rewakan meranah virus korona telah menghentam banyak isi rumah, dan semua politkus yang bertanggungjawab perlu menumpukan perhatian dalam menghulurkan kepada mereka dalam kawasan masing-masing yang dalam kesempitan kewangan dan sedang melalui detik-detik getir.

Persoalan yang besarnya adalah, bolehkah kita percaya dan berharap kepada kerajaan negeri Sabah yang baru sahaja dilantik bagi meringankan beban rakyat dengan melaksanakan program dan aktiviti untuk menyelesaikan banyak isu sosioekonomi yang memberi kesan kepada mereka – kemiskinan, hilang kerja, kekurangan perkhidmatan kesihatan, kelemahan dalam pendidikan, lambakan migran yang masuk tanpa dokumen dan jurang pendapatan yang meruncing?

Untuk berlaku adil, baru seminggu berlalu sejak ketua menteri Sabah angkat sumpah, jadi agak terlalu awal untuk diperkatakan. Namun pergelutan di antara Bung Moktar dari Umno dengan Hajiji Noor dari Bersatu untuk dapatkan jawatan ketua menteri yang jadi rebutan tidak mendorong keyakinan itu. Setelah akhirnya mencapai kata sepakat, Hajiji telah angkat sumpah sebagai Ketua Menteri dan Bung sebagai Timbalan Ketua Menteri.

READ MORE:  Proposal to nominate a Pas represenative to Sabah state assembly sparks disquiet

Tapi lepas itu, perkelahian besar pula antara Bung dengan Masidi Manjun dari Bersatu tentang siapa yang dapat menyandang portfolio kerja raya, yang akan menyelia projek-projek prasarana besar. Tiap laporan telah menunjukkan bahawa Masidi telah pun dapat portfolio itu, tapi selepas dibantah oleh Umno dan dengan campur tangan Muhyiddin, jawatan itu diberi kepada Bung. Masidi hanya terima Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Semua perebutan serius mendapatkan jawatan membuatkan kita terfikir sama ada ia suatu cerminan keghairahan perwakilan yang dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat – atau adakah motif peribadi yang lebih jahat? Jujurnya, tingkah laku pemimpin politik yang dahulu buatkan saya ragui bahawa perjuangan meneraju kementerian kerja raya ini adalah demi budi mulia. 

Kerajaan negeri yang baharu mesti sedar bahawa ia kini sedang diperhatikan oleh rakyat. Bikin janji pilihan raya memang mudah, namun melaksanakan dan memenuhi ia semua adalah hal yang lain.

Perwakilan yang dipilih patut mengerjakan hak negeri Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963, khususnya perihal keuntungan petroleum dan royalti minyak. Ketersambungan internet yang lebih elok, jalan raya yang baik, bekalan air dan elektrik yang boleh diharapkan adalah beberapa dari banyak isu yang mesti ditangani. Bolehkah perwakilan yang dipilih melaksanakan – atau adakah rakyat Sabah perlu tunggu satu lagi pilihan raya negeri?

Pada peringkat persekutuan, Anwar Ibrahim telah mendakwa dia ada jumlah yang mencukupi daripada MP untuk membentuk kerajaan baru. Sejak 23 September, dia telah pun memohon diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agung dalam bidaan untuk menjadi Perdana Menteri yang seterusnya.

Jika dia berjaya, 2020 pastinya menjadi tahun yang mana Malaysia mempunyai tiga perdana menteri! Mungkin itu meledakkan hilai tawa – namun ia bukanlah hal ehwal yang boleh digelakkan memandangkan ia mencerminkan betapa berterabur dan berpecah belah jadinya politikus kita. Ia juga mencerminkan bagaimana tidak stabilnya kerajaan kini.

Lebih buruk lagi, jikalau semua yang boleh berubah ketaat setiaan bila dipancing dengan janji ganjaran atau keuntungan peribadi yang lain, ia bermakna kita mempunyai agak ramai perwakilan yang diundi yang sebenarnya adalah snollygoster. Itu pastinya tidak menggambarkan integriti dan kesetiaan mereka dengan cara elok.

Barangkali, lebih-lebih lagi kini, kita perlukan undang-undang ‘anti lompat’ diluluskan segera.

Henry Loh
Penyelaras dan penyunting bersama, surat berita Aliran
6 Oktober 2020

Diterjemahkan oleh Shazni Bhai

Sign Aliran's 'Save our Democracy" petition
Sign Aliran's petition calling for a review of the decision to grant Riza Aziz a DNAA
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments