Covid, kegagalan sistemik, serta langkah terdesak

Kegagalan demi kegagalan, pusing-pusing situ saja, kuncitara selepas kuncitara yang gagal, serta meningkatnya kes Covid sejak perlaksanaan darurat diisytiharkan

The election losers are now ruling the nation - Photograph: Bernama/Malay Mail

Segalanya bermula dengan indah-indah belaka buat regim tidak bermoral yang mendapat kuasa menerusi pengkhianatan dan jalan belakang ini.

Aapbila pandemik mula merebak ke seluruh Malaysia pada suku pertama tahun 2020, Perikatan Nasional (PN) baru sahaja merampas kuasa. Pada ketika itu pun, para menterinya secara kolektif sudah pun menampilkan budaya tidak kompeten dengan sewenang-wenangnya.

Dua daripada menteri ini cukup diingati: menteri kesihatan, yang menyakinkan begitu ramai orang bahawa beliau tidak mengetahui apa pun ketika menyatakan bahawa coronavirus dapat dibunuh hanya dengan meminum air suam, serta menteri pengajian tinggi, yang hanya sibuk menceriakan para pelajar dengan TikTok berbanding cuba menyelesaikan masalah dihadapi pelajar, kakitangan dan institusi yang masih dan sedang dihadapi oleh mereka ketika ini.

Kedua-duanya, serta pegawai kakitangan mereka, tampaknya cukup senyap sejak sekian lama dan lebih gemar makan gaji buta berbanding membuat kerja sebenar sebagai seorang wakil yang dipilih.

Sepertinya kerajaan pintu belakang ini sudah disumpah sejak awal lagi, yang kesannya dapat kita lihat sekarang.

Pun, barangkali, nasib baik – dan kemungkinan atas kelicikan – nampaknya berada di pihak mereka. Pemimpinnya, seorang-sosok-yang-baru-dinamakan-Mahiaddin, berjaya meyakinkan Agong bahawa merekalah wakil absah kepada rakyat dan sidang Parlimen tidak diperlukan serta merbahaya kerana Covid. Barangkali, mereka ini semua tidak pernah mendengar tentang teknologi digital, webinar atau Zoom.

Dan mereka tidak melihat sebarang bahaya ketika membenarkan pilihan raya negeri Sabah untuk dijalankan tanpa penjarakan sosial, sekaligus mengakibatkan penularan besar-besaran wabak.

Sebelum itu, bilangan kes Covid secara relatifnya rendah – bahkan, begitu ramai yang memuji regim ini, dengan video ‘kejayaannya’ yang cukup gemerlapan, yang dibikin oleh seorang doktor gigi dari luar negara yang kemudiannya tular, serta kemunculan (pada ketika itu) hero negara, ketua pengarah kesihatan.

READ MORE:  Concern that Star article will worsen racist rhetoric against Rohingya refugees

Ketika nasib baik masih menyebelahi serta kelicikan PN menipu berlanjutan, beberapa bulan selepas itu, Agong memperkenan permohonan kerajaan untuk melaksanakan darurat di seluruh negara, walaupun ia ditolak pada mulanya. Kononnya, bagi memastikan kes Covid terkawal.

Namun, yang jelas, perlaksanaan darurat tidak memberikan apa-apa kesan. Ia merupakan kegagalan demi kegagalan, pusing-pusing situ saja, kuncitara selepas kuncitara yang gagal, serta meningkatnya kes Covid sejak perlaksanaan darurat diisytiharkan.

Ada yang berpendapat bahawa negara ini di ambang kehancuran struktural, saatnya regim sedia ada tidak ada hala tuju serta tidak kisah akan kesengsaraan serta kekecewaan yang dialami oleh rakyat.

Barangkali ianya benar, saatnya kita melihat bagaimana para menteri dengan gimik bodoh dan mengejek mereka, misalannya sewaktu mereka memakan ‘mee Maggi’ di dalam beberapa video yang tular.

Mungkin mereka merasakan bahawa ini cara untuk menunjukkan mereka berjiwa rakyat, namun apa yang kita lihat hanyalah segelintir ahli politik yang berkuasa sedang mengejek rakyat biasa yang sengsara.

Namun ini hanyalah sedikit dari perkara jelek yang mereka sudah lakukan sejak sekian lama.

Mereka tahu bahawa, kesengsaraan rakyat, adalah seperti ribut yang terkumpul, apatah lagi ketika rakyat semakin terdesak dan marah.

Bahkan, cukup keji para politikus ini serta balaci mereka, dalam percubaan mereka untuk mengalihkan perhatian kita dari kegagalan mereka dan mula mensasarkan golongan yang lemah, dengan harapan, mereka akan mendapat kepercayaan kita.

Pertamanya, seperti yang kita tahu sejak bermulanya pandemik hingga sekarang, adalah para pekerja migran, lebih-lebih lagi pada mereka yang tidak mempunyai dokumen. Begitu xenofobik dan perkaumannya kerajaan ini.

Para migran digambarkan sebagai ‘lintah’ yang kotor walhal, yang benarnya, kebanyakan mereka bertungkus-lumus mencari rezeki, seringkali dalam keadaan ditindas, seperti perhambaan zaman moden, membuat kerja siang malam demi sekelumit rezeki. Mereka menyumbang kepada ekonomi, melakukan kerja yang kita sendiri enggan lakukan. Untuk kerja mereka ini, seringkali mereka diancam dan diperas ugut oleh ejen dan majikan, serta, pastinya, pihak berkuasa.

READ MORE:  Rwanda’s youths rise to the challenge of curbing Covid

Mereka seringkali dipersalahkan akibat penularan wabak walhal keadaan kehidupan mereka yang tidak sihat, diakibatkan oleh para penindas mereka itu, tidak pula disentuh.

Dan mereka yang malang tanpa dokumen sekarang ditangkap oleh pihak berkuasa dalam keadaan tidak berperikemanusiaan dan dimuatkan ke dalam pusat tahanan yang tidak selamat serta sempit menanti masa dihantar pulang.

Kedua, pemahaman tentang moraliti serta agama yang sempit memainkan peranan dalam mengelakkan kerajaan ini dipandang gagal ketika ini.

Tiba-tiba, seperti mengeluarkan seekor arnab dari topi, komuniti LGBTQ pula digambarkan sebagai mereka yang berpotensi menghancurkan bukan sahaja ‘keimanan’, malah masyarakat Malaysia sendiri.

Ini sungguh mengarut, apatah lagi, melihat bagaimana tidak konfrontasional serta tidak merbahayanya golongan ini. Jika berlaku apa-apa, mereka cuba untuk mengelak dari menjadi perhatian dan menjalani kehidupan mereka dengan aman dan damai serta tidak mahu diganggu, diugut mahupun dibuli, apatah lagi oleh pihak berkuasa.

Ya, benar bahawa mereka ini adalah sasaran mudah, seperti yang pihak berkuasa tahu. Namun, mensasarkan mereka, seperti para migran yang tidak berdokumen (atau berdokumen) tidak akan menyelesaikan masalah Covid yang kita hadapi – serta regim – yang kita lalui sekarang.

Jelas, perdana menteri dengan nama baru serta lagak bodoh sombongnya ini memerlukan bantuan bagi menyelamatkan negara ini. Tidak ada jalan lain kecuali dengan membuka semula Parlimen serta mendapatkan semua wakil rakyat untuk duduk berbincang dan berdebat bagi memikirkan jalan yang ada.

Tidak ada jalan keluar yang lain dari kemelut kesihatan dan ekonomi yang membunuh begitu ramai rakyat Malaysia yang tidak bersalah ini.

Rom Nain
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Jun 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments