Jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan akses kanak-kanak kepada keadilan dalam sistem pengadilan jenayah kekal menjadi kebimbangan orang ramai.
Meluluskan rang undang-undang pindaan
Dalam sidang parlimen baru-baru ini, Rang Undang-undang Pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak telah diluluskan. Pindaan ini termasuk beberapa peruntukan yang berkaitan dengan:
- Keupayaan kanak-kanak untuk memberi keterangan: Keterangan kanak-kanak akan dinilai sama seperti saksi lain tanpa dinilai sebagai tidak boleh dipercayai hanya disebabkan oleh umur mereka
- Mengalih keperluan undang-undang untuk pembenaran: Hakim tidak lagi perlu memberi amaran kepada diri mereka sendiri tentang bahaya menyabitkan kesalahan berdasarkan bukti daripada kanak-kanak semata-mata. Sebaliknya, peraturan dan amalan yang cermat akan dilaksanakan seperti yang dilakukan melibatkan saksi dewasa
- Pengurusan kes pra-perbicaraan: Ia kini meliputi arahan tentang cara kanak-kanak memberikan keterangan dan jenis sokongan yang mungkin diperlukan oleh saksi kanak-kanak semasa memberi keterangan. Mahkamah boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memastikan persekitaran yang lebih baik di mana kanak-kanak dapat memberikan keterangan penuh tanpa rasa takut dan dengan sokongan
Pindaan ini akan membantu meningkatkan akses keadilan untuk kanak-kanak. Mereka akan membantu memberi kanak-kanak peluang yang saksama untuk didengari sepenuhnya apabila mereka memberikan keterangan dalam sistem pengadilan jenayah yang direka untuk orang dewasa.
Sama pentingnya, tiada satu pun daripada pindaan ini mengambil sebarang hak daripada tertuduh. Anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan dan hak untuk perbicaraan yang adil terhadap tertuduh masih terus dipastikan dalam sistem keadilan jenayah.
Cabaran dalam melaksanakan reformasi
Pujian harus diberikan kepada menteri undang-undang dan reformasi institusi, Jabatan Peguam Negara dan agensi lain bagi pembaharuan ini. Syabas juga kepada Kumpulan Advokasi Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan Bukti Saksi Kanak-kanak (SOAC dan EWCA) atas usaha mereka.
Mendapatkan kelulusan untuk reformasi perundangan adalah satu pencapaian. Cabaran kini untuk kerajaan “Madani” ialah pelaksanaan dan pemantauan keberkesanannya.
Perjalanan seorang mangsa kanak-kanak melalui sistem keadilan jenayah adalah cukup sukar. Ia kekal sebagai ranjau yang cukup mencabar bagi kebanyakan orang, selalunya mengambil masa berbulan-bulan jika tidak bertahun-tahun, dan tanpa hasil yang boleh dijamin.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Laporan perlu dibuat. Mangsa kanak-kanak perlu bertahan dengan proses soal siasat semasa penyiasatan jenayah itu. Sekiranya tertuduh akhirnya didakwa, kanak-kanak itu kemudiannya perlu memberikan keterangan sewaktu perbicaraan. Semua ini adalah satu usaha yang besar, bukan sahaja untuk kanak-kanak dan keluarganya tetapi juga untuk kakitangan agensi sistem keadilan jenayah, yang cukup ramai.
Ramai daripada mereka yang terlibat dalam proses keadilan jenayah memerlukan latihan untuk memastikan mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran yang mencukupi. Mereka termasuk penyiasat polis, pegawai kebajikan, pekerja sosial perubatan, doktor, timbalan pendakwa raya dan hakim. Turut diperlukan ialah kakitangan, kemudahan dan peralatan yang mencukupi untuk memastikan kerja dilakukan dengan cekap dan berkesan. Semua ini memerlukan dana yang mencukupi.
Kekangan kewangan dan rasuah
Kita cukup berharap agar kerajaan Madani mempunyai wang yang mencukupi! Namun, ia tidak akan berlaku. Dari segi kewangan, negara tidak berada dalam keadaan sihat. Sebahagian daripada ini adalah kerana rasuah dan salah urus dana awam yang kita warisi.
Malangnya, ini akan menjejaskan sebarang pelan tindakan untuk pembaharuan, termasuk rancangan untuk memastikan akses yang lebih baik kepada keadilan untuk kanak-kanak. Ini cukup memalukan kerana kita tahu yang kita boleh mencapai prestasi yang lebih baik.
Pada Mei, pada pelancaran strategi anti-rasuah nasional untuk 2024-2028, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki berkata negara telah kerugian lebih RM277bn kerana rasuah dari 2019 hingga 2023.
Strategi baharu itu nampaknya merupakan kesinambungan pelan anti-rasuah nasional untuk 2019-2023. Pelan itu dibangunkan untuk menyepadukan usaha dalam menangani isu berkaitan tadbir urus, integriti dan anti-rasuah.
Bab 2 berkenaan strategi baharu (The State of Corruption – muka surat 18) menyatakan: “Ketirisan berterusan dalam kementerian, jabatan Kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan, dan badan berkanun, memerlukan pembetulan segera. Ini penting untuk memastikan penggunaan wang rakyat dapat digunakan secara optimum.”
Pada awal Julai, kita mendengar – sekali lagi – tentang salah urus dana dan tadbir urus yang lemah. Kegagalan ini, yang diketengahkan dalam laporan juruaudit negara terbaharu (2/2024), termasuk masalah dengan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) dan Majlis Profesor Negara.
Adakah kita benar-benar terkejut apabila mengetahui yang wang telah disalahuruskan atau ada prinsip tadbir urus korporat yang tidak diamalkan sepenuhnya? Mengapa ini berlaku tahun demi tahun? Sampai bila negara akan mengalami ketirisan sebegini? Dan apa yang diperlukan untuk menghentikan ini?
Menurut laman web SPRM, suruhanjaya itu membuat 719 tangkapan antara Januari hingga Jun – 44% daripadanya melibatkan pegawai awam.
Tetapi tangkapan tidak secara automatik menghasilkan sabitan. Kita semua telah melihat betapa sukarnya perjuangan untuk menangkap suspek kerana rasuah, mendapatkan bukti yang mencukupi untuk mendakwa dan mensabitkan mereka dan, baru-baru ini, untuk memastikan mereka menjalani hukuman penjara penuh dan membayar denda penuh!
Malah ada pihak yang menganggap tindakan SPRM sebagai pendakwaan politik. Persoalan juga telah dibangkitkan mengenai pelantikan semula dan pelanjutan penggal kedua ketua SPRM.
Sudah terlalu jelas bahawa memerangi rasuah dalam pelbagai bentuk memerlukan tekad politik, integriti dan keberanian yang besar.
Walaupun terdapat sedikit kemajuan dalam pembaharuan undang-undang, kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan Madani untuk melaksanakan pembaharuan yang anti-rasuah serta tadbir urus yang baik yang dijanjikan mereka semakin merosot.
Satu lagi kebimbangan yang dibangkitkan baru-baru ini ialah spekulasi mengenai kemungkinan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan kemungkinan seterusnya beliau dilantik sebagai ketua hakim Malaya.
Ini boleh membawa kepada persepsi bahawa wujud campur tangan kerajaan dalam pelantikan hakim kanan dan menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman, seperti yang ditonjolkan oleh Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek Sama).
Pelantikan pesuruhjaya baharu pada Mei dan pengerusi baharu Suruhanjaya Pilihan Raya pada Jun juga mencetuskan kebimbangan. Tindakan ini dibuat tanpa wujud semakan parlimen, bercanggah dengan pembaharuan yang dijanjikan untuk menegakkan ketelusan dan akauntabiliti.
Dan kini kita mempunyai satu lagi punca kebimbangan: keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerusi enam bekas ahli parlimen Bersatu yang telah menyokong kerajaan Madani.
Sekali lagi, ini juga tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada kerajaan dari segi persepsi orang ramai. Sebaliknya, ia telah menyoroti beberapa isu lain.
Ini termasuk kegagalan melaksanakan peruntukan yang adil kepada semua kawasan pilihan raya. Ini mengakibatkan kemungkinan ahli parlimen pembangkang terpikat dengan prospek peruntukan yang lebih tinggi untuk kawasan mereka.
Kepincangan dalam “undang-undang anti-lompat” untuk mengelakkan pembelotan politik (Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan) juga jelas. Ini termasuk tafsiran perkataan dan peranan Speaker. Jika itu tidak mencukupi, cabaran di mahkamah oleh ahli parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman terhadap pemecatan oleh partinya mungkin boleh melambatkan keputusan Speaker sama ada kerusi parlimennya boleh dikosongkan.
Kerajaan Madani sejak hari itu berkata mereka bersedia untuk membincangkan soal mengetatkan undang-undang anti-lompat parti. Selain itu, terdapat pendapat bahawa keputusan Speaker adalah keputusan bebas.
Bagaimanapun, semua pelaku yang terlibat dalam ‘permainan’ ini perlu mengingatkan diri mereka tentang tujuan undang-undang anti-lompat parti dan kesan keadaan sekarang terhadap keyakinan dan kepercayaan pengundi terhadap sistem demokrasi.
Kita semua bersetuju bahawa negara memerlukan pembaharuan segera dalam pelbagai bidang. Tiada siapa yang meragui wujudnya jalan sukar di hadapan bagi kerajaan Madani kerana pembaharuan memerlukan masa dan ‘pertembungan’ memang ada.
Namun sebahagian daripada mendorong pembaharuan ke hadapan ialah untuk mempunyai pemimpin yang berintegriti, pemimpin yang menimbulkan keyakinan dan kepercayaan kepada orang ramai. Kita memerlukan pemimpin yang boleh mengikuti prinsip yang mereka anuti di ruang awam dan tidak menyalahgunakan sistem yang ada untuk kekal berkuasa. Pemimpin yang boleh berfikir dan membahaskan dasar untuk negara. Pemimpin yang boleh dipercayai untuk melakukan perkara yang betul untuk negara dan rakyatnya. Atau apakah segalanya seakan mimpi?
Kita nampaknya ketandusan pemimpin seperti itu, sama ada dalam kerajaan Madani atau pembangkang hari ini. Apabila terdapat defisit dalam kepercayaan dan integriti dalam kerajaan serta tadbir urus di pelbagai peringkat, jalan menuju reformasi akan menjadi lebih panjang.
Oleh itu, apa lagi sekarang, kita memerlukan masyarakat sivil untuk meneruskan tekanan untuk adanya pembaharuan, bagi menonjolkan jurang dan kelemahan yang ada, tidak kiralah betapa sakit dan mengecewakan. Kita perlu memastikan bahawa janji-janji untuk pembaharuan akan ditepati dan perubahan yang diperlukan oleh negara dan yang kita dambakan akan datang – perlahan-lahan, namun pasti.
Ia adalah tindakan, bukan hasilnya tindakan, yang penting. Anda perlu melakukan perkara yang betul. Mungkin ia bukan dalam kuasa anda, mungkin bukan ketika waktu anda hidup, bahawa akan ada apa-apa hasilnya. Namun, itu tidak bermakna anda berhenti daripada melakukan perkara yang betul. Anda mungkin tidak tahu apa hasilnya daripada tindakan anda. Tetapi jika anda tidak melakukan apa-apa, pasti tidak akan ada hasilnya. – Mahatma Gandhi
Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
21 Julai 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme