#BreaktheBias – Berani bermimpikan sebuah dunia yang adil bagi wanita

Kita mesti terus bermimpi dan mempercayai sebuah dunia yang adil dan terangkum buat semua

Shariffa Sabrina and Lalitha

Pada 8 Mac, ramai warga di seluruh dunia akan meraikan Hari Wanita Sedunia.

Tema tahun ini adalah #BreakTheBias. Di laman web kempennya ada dinyatakan:

“Bayangkan sebuah dunia yang gendernya setara

Sebuah dunia bebas prasangka, tanggapan, dan diskriminasi.

Sebuah dunia yang rencam, saksama, dan terangkum.

Sebuah dunia di mana perbezaan dihargai dan diraikan.

Bersama kita mengikat kesetaraan wanita.

Bersama kita akan #BreakTheBias.”

Terlalu banyak untuk kita bayangkan. Namun itulah apa yang perlu kita lakukan jika kita mahu menetapkan sasaran bagi menjadikan masyarakat kita yang lebih terangkum. Lebih penting lagi adalah tindakan konkrit yang dilakukan bagi mengiringi sasaran supaya perubahan jelas dapat berlaku melibatkan kehidupan wanita di peringkat akar umbi.

Jadi bagaimana kita mahu meraikan Hari Wanita Sedunia di Malaysia? Apa peristiwa penting yang dapat kita raikan bagi wanita di Malaysia tahun ini?

Peristiwa penting yang berlaku baru-baru ini adalah keputusan Mahkamah Tinggi pada September 2021 yang membenarkan ibu berwarganegara Malaysia yang mengahwini warga asing, secara automatik akan menjadikan anak mereka yang lahir di luar negara sebagai warganegara Malaysia – sebuah hak yang sudah pun ditetapkan kepada para ayah warganegara Malaysia yang mengahwini warga asing. Sebuah berita yang cukup menggembirakan!

Pada awal Disember 2021, kerajaan sekali lagi mengulang niatnya bagi mencadangkan pindaan perlembagaan bagi membenarkan ibu berwarganegara Malaysia dengan pasangan warga asing mereka dianugerahkan kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan di luar negara serta mahu mendapatkan perkenan pindaan dari Majlis Raja-Raja sebelum pindaan perlembagaan dibentangkan.

Keadaan semakin membaik.

Namun, kita juga menyaksikan bagaimana kerajaan pusat telah memohon penangguhan perlaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi – sebuah tindakan yang sudah pun diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember 2021.

Pada 23 Mac, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan dari kerajaan pusat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Jadi, walaupun kita sedang meraikan hasil dari keputusan Mahkamah Tinggi itu, keadaan tidak semuanya indah bagi wanita di akar umbi. Tampaknya masih ada kekurangan dari segi kejelasan prosedural melibatkan cawangan Jabatan Pendaftaran Negara dan kedutaan atau suruhanjaya tinggi.

Kita hanya boleh meneka mengapa kerajaan kita cukup bersungguh mahu menentang keputusan ini.

Ingat, Artikel 8(2) di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan diskriminasi berasaskan gender.

Bukan itu sahaja. Pada 1995, kerajaan turut meratifikasi Konvensyen PBB mengenai Penghapusan semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Cedaw), walaupun tidak setuju dengan penuh.

READ MORE:  Persetujuan kedua ibu bapa adalah perlu dalam menentukan agama anak - Suhakam (Malay/English)

Dan kini Malaysia turut mempunyai kerusi di Majlis Hak Asasi PBB. Bagi mendukung pencalonannya bagi tempoh 2022–24, kerajaan bertekad bagi “memperkuat usaha bagi mencapai kesetaraan gender, pemerkasaan wanita dan menghapuskan keganasan terhadap wanita”.

Apa yang terjadi sebenarnya? Adakah ia disebabkan patriarki yang berleluasa, yang dengan bijak (atau sebenarnya tidak bijak) menyamar di balik budaya dan/atau tafsiran agama dan dalam pelaksanaan tugas pentadbiran? Atau ada hal lain sebenarnya?

Jelas, perjuangan masih belum berakhir.

Saatnya kita meraikan Hari Wanita Sedunia serta membayangkan sebuah dunia yang terangkum buat semua, ayuh ambil tahu akan keberanian para wanita yag berterusan berjuang bagi keadilan dan hak asasi.

Jangan pernah kita lupakan Susanna Liew, isteri kepada Pastor Raymond Koh, dan Norhayati Mohd Ariffin, isteri kepada Amri Che Mat, serta keluarga mereka.

Laporan Suhakam 2019 melibatkan inkuiri awam tentang kehilangan kedua-dua lelaki ini diputuskan sebagai kehilangan paksa telah pun berlaku.

Namun, kerajaan Malaysia enggan untuk berkongsi laporan jawatankuasa istimewa melibatkan kehilangan kedua-dua lelaki ini, di mana laporan itu kemudiannya diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Nampaknya, perkongsian umum laporan ini berlawanan dengan ‘kepentingan negara’.

Susanna kini sedang menyaman kerajaan serta 12 defendan lainnya (termasuklah ketua polis sekarang dan yang terdahulu) bagi memaksa mereka mengenal pasti dan membongkar keberadaan suaminya.  

Sedang usaha bagi memastikan pihak polis bertanggungjawab, jangan kita lupa akan isteri dan keluarga para tahanan lelaki yang meninggal – dan terus akan meninggal – di dalam sel tahanan polis, pusat imigresen serta penjara. Tahun ini sahaja sudah 10 tahanan lelaki meninggal dalam tahanan polis dalam masa dua bulan.

Adakah kehidupan mereka ini langusng tidak berharga? Berapa ramai lagi wanita dan keluarga mereka harus merana saatnya pasangan, adik-beradik, anak lelaki dan anggota keluarga mereka akan mati dalam tahanan? Bila dan di mana suara mereka akan didengari?

Pada Hari Wanita Sedunia ini, kita perlu ingat keazaman yang ditunjukkan M Indira Gandhi melibatkan tindakan undang-undangnya yang berjaya bagi mencabar pertukaran agama sepihak melibatkan tiga anaknya. Keputusan penting oleh Mahkamah Persekutuan pada 2018 dengan jelas menunjukkan bahawa pertukaran agama anak kecil ke Islam memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapanya.

Perjuangan Indira, walaubagaimanapun, berterusan kerana beliau masih belum disatukan dengan anak perempuannya yang ‘diculik’, Prasana Diksa, melebihi 12 tahun lamanya. Indira yang pemberani ini sudah memulakan tindakan guaman (misalnya, tindakan salah laku) terhadap pihak polis, Kementerian Dalam Negeri serta kerajaan.

READ MORE:  Aliran welcomes court ruling granting Loh Siew Hong custody of her children

Juga perlu kita ingati bagaimana mangsa keganasan rumah tangga, Loh Siew Hong, yang mengharungi perjalannnya bagi disatukan bersama tiga anaknya selepas tiga tahun dipisahkan.

Beliau kini berkemungkinan akan memulakan semakan kehakiman terhadap isu pertukaran agama sepihak melibatkan tiga anaknya jika ia benar-benar berlaku, yang didakwa dilakukan ketika ketiadaannya serta tanpa kebenarannya.

Di Hari Wanita Sedunia ini, saat kita memperingati keberanian para wanita yang bersuara terhadap ketidakadilan di seluruh dunia, jangan kita lupa akan wanita yang berani menyatakan kebenaran di Malaysia namun berdepan tindakan saman.

Kita mengingati Ain Husniza Saiful Nizam, berumur 17 tahun itu yang berani bersuara terhadap mereka yang membuat komen tidak bersesuain tentang isu rogol di sekolahnya.

Ada juga wanita bernama Lalita Kunaratnam, yang mengetengahkan dakwaan berkenaan wujudnya percanggahan kepentingan melibatkan ketua Pesuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Shariffa Sabrina Syed Akil juga berdepan ancaman kerana bersuara tentang aktiviti pembalakan, penilaian kesan alam sekitar serta perlindungan hutan.

Ia bukan pertama kali kita dapat melihat bagaimana tindakan saman digunakan secara strategik terhadap penglibatan awam, khususnya  kepada pembela serta aktivis hak asasi. Tindakan saman secara strategik ini bertujuan mengugut dan akhirnya akan mempengaruhi kebebasan berpendapat dan ekspresi, serta hak asasi manusia dan kebebasan.

Pada Hari Wanita Sedunia ini, saat isu kemiskinan haid di dalam negara ini diketengahkan, jangan kita lupa perjuangan yang berterusan melibatkan hak dan kesihatan reproduktif yang begitu ramai wanita menghadapinya. Juga jangan kita lupakan seorang remaja berumur 15 tahun yang kini sedang didakwa kerana membunuh anaknya yang baru lahir dan sekarang ditahan reman di Terengganu.

Walau kita barangkali terkejut dengan peristiwa sebegini dan kehilangan nyawa yang berlaku, kita juga perlu memikirkan keadaan yang membuatkan wanita serta remaja wanita yang mengandung dan belum berkahwin sukar untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan mereka. Diakibatkan oleh rasa takut, malu serta segan, ruang bagi pemikiran dan tindakan rasional juga semakin sukar.

Pada Hari Wanita Sedunia ini, saat kita melihat Belanjawan 2022 serta peruntukan khusus melibatkan keselamatan wanita, jangan kita lupa akan wanita yang berterusan terpaksa mengharungi keganasan rumah tangga dan seksual.

Penting bagi kerajaan untuk mengambil sikap yang jelas terhadap segala bentuk keganasan terhadap wanita. Sepatutnya tidak wujud pengnormalan keganasan terhadap wanita di rumah atau di mana sahaja.

READ MORE:  Respect Loh Siew Hong’s right to seek justice

Perlu ada desakan bagi pemerkasaan wanita dan menolak kepatuhan oleh pihak wanita. Ia merupakan sebuah waktu yang merbahaya bagi wanita di dalam negara ini saatnya kepimpinan di Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat menonjolkan kegagalan dalam memahami isu-isu penting yang berkaitan.

Dengan cara fikir yang sebegini menghurungi mereka di tampuk kuasa, nampaknya hanya perubahan di peringkat kepimpinanlah yang bakal menyaksikan kesetaraan gender dan hak asasi wanita akan menjadi lebih dihormati dan diutamakan.

Usaha memartabatkan hak wanita – sebagai sebahagian dari perjuangan untuk menyetarakan gender – merupakan sebuah usaha serius yang tidakkan putus.

Jangan pernah dibodohkan oleh imej wanita tersenyum yang difemininkan secara berlebihan yang bercakap di dalam (atau pun tidak) menggunakan suara ‘Doraemon’.

Jangan terpengaruh dengan nasihat di mana keharmonian keluarga memerlukan kepatuhan isteri kepada suaminya.

Jangan mudah dipesongkan dengan penciptaan imej yang menggunakan warna merah jambu atau warna pastel.

Dan jangan terdetik sekali pun berfikir bahawa penggunaan ‘terminologi gender’ (misalnya kesetaraan gender, pengarusperdanaan gender, belanjawan berdasarkan gender dan lain-lain) di dalam laporan atau ucapan rasmi bermakna terdapat kefahaman terminologi tersebut serta komitmen terhadap pelaksanaannya nanti.

Eh? Bangunlah! Usaha memartabatkan hak wanita cukup sukar serta berliku jalannya, apatah lagi bagi mereka yang rentan dan dipinggirkan dalam masyarakat.

Dan jalan menuju kesetaraan gender? Ia kekal menjadi usaha yang cukup sukar.

Setiap Hari Wanita Sedunia menandakan peristiwa bagi kita menuju sasaran bagi kesetaraan gender.

Kita perlu kekal membayangkan dan percaya bagi sebuah masa depan yang adil dan terangkum bagi semua. Kita sudah ada kemajuan, dan inilah yang perlu kita rai dan semaikan.

Namun, kita masih jauh perjalanannya dan, antara suka atau tidak, kita pastinya akan berdepan halangan. Di negara kita, halangan tersebut sudah tentu saling bertautan dengan budaya partriarki, polisi neoliberal, politisasi agama dan etnik, rasuah yang berleluasa, kemiskinan serta pemimpin yang lemah serta tak boleh diharap.

Saatnya kita meraikan Hari Wanita Sedunia tahun ini, kita perlu mempunyai wawasan dan kepercayaan bagi kemungkinan masa depan yang lebih baik – dan kita perlu sanggup untuk menggapainya.

Selamat Hari Wanita Sedunia. Berani bermimpi. Berani percaya. #BreaktheBias

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
28 Februari 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments