Walaupun saya akan menjadi orang pertama yang mengakui bahawa tiada orang yang sempurna di alam semesta ini, namun tidak dinafikan bahawa ramai yang mencuba sedaya upaya.
Mereka mungkin tidak mencari kesempurnaan semata-mata tetapi juga kemajuan, secara bertahap, dalam cara mereka bertindak.
Bagaimanakah jika dibandingkan dengan pemimpin global sekarang? Mereka berdepan dengan media, bersorak dan bermegah tentang kebaikan mereka. Ada juga yang menyeru agar ada ‘perang yang adil’.
Sosok sedemkian kemudiannya mengangkat cermin untuk kita semua lihat. Adakah kita menyukai apa yang kita lihat dan dengar?
Cerminan kuasa
Dua nama melintas di fikiran: Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Seorang telah disabitkan kesalahan di mahkamah domestik manakala seorang lagi mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza, serta tuduhan rasuah domestik yang berasingan di Israel.
Untuk mengatakan bahawa kedua-duanya popular hari ini adalah suatu keterlaluan. Walau bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai impak yang besar terhadap masyarakat yang jauh berada di luar sempadan mereka.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Pertimbangkan juga pemimpin UK seperti Boris Johnson dan Keir Starmer. Adakah mereka memberi inspirasi? Adakah mereka mencerminkan kualiti kepimpinan yang orang ramai ingin contohi? Adakah keadaan ini sesuatu yang hanya ketara di Barat?
Lebih dekat dengan negara kita, kita ada Narendra Modi, yang menghadapi kritikan hebat berkenaan rusuhan di Gujarat dan banyak kontroversi lain, termasuk perubahan pada suruhanjaya pilihan raya India. Di bawah undang-undang yang diluluskan pada tahun 2023, ketua hakim telah disingkirkan daripada panel pemilihan pesuruhjaya pilihan raya dan digantikan dengan seorang menteri kabinet.
Jawatankuasa pemilihan kini terdiri daripada perdana menteri India, ketua pembangkang dan seorang menteri kabinet yang dicalonkan oleh kerajaan. Maka bermulalah apa yang dilihat oleh pengkritik sebagai penghakisan proses pilihan raya yang sepatutnya.
Lebih dekat dengan negara kita, pemimpin kita sendiri tidaklah sepenuhnya suci. Mereka bercakap tentang Islam tetapi juga banyak mencemarkan agama mereka sendiri. Kita kekurangan pemimpin yang ikhlas dan berhati nurani, dan hanya sedikit yang sanggup menganggap semua ini sebagai sesuatu yang tidak penting.
Ketika sistem menggagalkan kita
Nampaknya terdapat kekurangan kualiti kepimpinan yang serius dalam kalangan negara-negara besar tersebut. Mereka semua terperangkap dalam usaha mengimbangi kepentingan negara tanpa pertimbangan etika.
Kita juga menyaksikan bagaimana kelemahan manusia boleh dieksploitasi untuk mendapatkan pengaruh. Fail Jeffrey Epstein menunjukkan betapa rapuhnya kepimpinan hari ini. Betapa lemah dan rentannya sosok terkemuka serta permainan mereka dengan kuasa dan kawalan terdedah dalam fail tersebut.
Ditambah pula dengan kawalan media dan saluran komunikasi yang dipengaruhi oleh gabungan korporat serta sogokan oleh penyokong setia kerajaan pada ketika itu.
Akhirnya, rakyat marhaen menanggung akibat yang besar.
Apa pun sistem tadbir urusnya, ia boleh dimanipulasi. Dalam kerangka demokrasi, autokrasi boleh berlaku, terutamanya apabila parti yang berkuasa menguasai lebih daripada dua-pertiga majoriti.
Singapura adalah contoh yang sangat baik untuk ini. Namun, ia adalah bentuk demokrasi yang bolehlah dikatakan baik diketuai oleh pemerintah yang, pada dasarnya, mematuhi peraturan dan memastikan kepentingan rakyat, sebahagian besarnya, dipenuhi. Singapura memerlukan ini bagi kelangsungan politik mereka sendiri.
Terdapat juga negara di mana autokrasi memerintah dan rasuah menjadi suatu wabak.
Semua ini menekankan hakikat bahawa kepimpinan amat penting, dan apa yang membimbingnya mempunyai kesan jangka panjang kepada rakyat.
Jika ideologi sayap kanan mempengaruhi seorang pemimpin, masyarakat minoriti dan pendatang pasti menghadapi cabaran yang besar. Sama ada anda konservatif, liberal, progresif atau radikal, pandangan anda akan membentuk kepimpinan anda jika kuasa berada di tangan anda.
Akhirnya, apa yang penting ialah sama ada kepimpinan dapat memastikan pembangunan dan keadilan untuk rakyat.
Keupayaan pemimpin untuk memotivasi, berkhidmat dan memberikan yang terbaik, dengan menunjukkan keperibadian dan integriti, memberi inspirasi kepada dasar serta pendekatan dalam memenuhi keperluan dalam masyarakat.
Individu atau parti yang didorong oleh sesebuah tujuan untuk berkhidmat kepada sesama manusia boleh membuat perubahan.
Hari ini, kita dapat menyaksikan negara-negara tertentu yang diperintah oleh kerajaan berhaluan kiri dan komunis turut membantu ramai rakyat mereka keluar dari kemiskinan. Dalam tempoh satu dekad, mereka telah mencapai banyak perkara dan, sementara perdebatan tentang hak asasi manusia dan keadilan berterusan, buktinya ada untuk dilihat oleh semua orang.
Apa pun sistemnya, keupayaan manusia untuk menjayakan dan merosakkan kekal. Malah negara-negara komunis turut bergelut dengan rasuah.
Perkara yang sama boleh dikatakan tentang agama. Ketamakan, nafsu, kebencian dan iri hati kekal sebagai sesuatu yang melalaikan sekali gus melemahkan usaha menuju keadilan dan kesaksamaan.
Oleh itu, apa yang mendorong pemimpin menrupakan faktor penting.
Kesan ditanggung jika pemimpinnya buruk
Jadi, kualiti individu yang memegang kuasa juga penting.
Pertama, mereka mesti mempunyai tahap pendidikan yang cukup untuk memahami sifat kuasa, kualiti perkhidmatan, disiplin fiskal dan ekonomi negara, serta kekuatan dan kelemahan mereka.
Malangnya, di banyak negara demokrasi, keperluan asas ini tidak dipenuhi. Anda tidak memerlukan sebarang kelayakan untuk menjadi seorang ahli politik.
Benar, kemahiran berpidato dan keupayaan untuk mengeksploitasi ketakutan dan rasa tidak selamat rakyat boleh menjadikan seseorang pemimpin atau parti berkuasa. Dengan media, publisiti dan gembar-gembur, seseorang hari ini boleh mencipta wira ‘tin kosong’.
Namun, kebolehan ini tidak mencukupi untuk mengurus sebuah negara bangsa moden.
Ambil Trump, sebagai contoh. Kenyataan bahawa dia boleh dipilih dua kali adalah petunjuk tentang keadaan di AS.
Ada yang mendakwa, berdasarkan dakwaan yang tidak disahkan dalam dokumen berkaitan Epstein yang baru dikeluarkan, bahawa dia mungkin hanya bertindak sebagai boneka kepada rejim Zionis di Israel.
Dia menggalakkan tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan telah melakukan serangan ke atas negara berdaulat. Baginya, kekuatan adalah segalanya, jadi dia bekerjasama dengan Israel untuk memulakan perang ke atas Iran.
Berikutan serangan AS ke atas Venezuela, Trump berasa cukup berani untuk menyertai kempen Israel menentang Iran, yakin bahawa dia boleh memusnahkan negara itu dalam beberapa hari. Ini mencerminkan tanggapan sama bahawa Amerika boleh melakukan apa yang telah dibuat oleh Rusia terhadap Ukraine selepas pengambilalihan Crimea yang mudah.
Walau bagaimanapun, Iran telah bersedia dan memberikan tentangan yang jauh lebih kuat daripada yang dijangkakan. Apa yang patut dipuji ialah Iran cukup berdisplin dan berkadaran dalam tindak balasnya.
Namun, harga yang dibayar oleh dunia adalah tinggi. Harga barang melambung tinggi, keluarga terjejas akibat kekurangan gas memasak, logistik terganggu, ubat-ubatan kekurangan bekalan, apatah lagi kenaikan harga yang berikutnya. Negara-negara menghadapi inflasi yang semakin meningkat, kejatuhan nilai mata wang mereka dan gangguan kepada kehidupan seperti yang kita lihat sekarang.
Apabila keangkuhan dan ego menguasai dan pemimpin hilang kompas moral, kita rakyat hanya menjadi statistik – lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terbunuh dan cedera; bangunan diratakan, dengan harapan yang memudar dan keputusasaan yang semakin meningkat.
Negara-negara yang terdedah kepada cabaran ekonomi yang teruk – antaranya Pakistan, Sri Lanka, Argentina, Myanmar serta negara-negara Afrika seperti Sudan dan Mali – menghadapi bencana yang besar dan amat tragis buat umat manusia.
Apabila pemimpin kehilangan kompas moral mereka, mereka juga kehilangan pandangan mereka terhadap undang-undang antarabangsa dan pendekatan berasaskan peraturan. Kompromi menjadi kebiasaan. Tafsiran terpilih menjadi kebiasaan. Malah mereka yang menjuarakan demokrasi juga jelas berkompromi.
Oleh itu, kualiti kepimpinan, tujuan yang mendorong seseorang pemimpin, dan keperibadian yang mereka tampilkan merupakan faktor penting.
Kita sebagai rakyat mesti peka terhadap ketulinan kepimpinan yang sebenar dan memastikan pemimpin kita menunjukkan teladan kebaikan bagi berkhidmat kepada kemanusiaan.
Pemikiran negatif tidak akan dapat menyumbang kepada kehidupan yang positif. Kehidupan yang baik bermula dengan cara pemikiran seseorang, dan oleh itu, adalah penting bagi pemimpin kita untuk menginspirasi semangat keterangkuman dan melayan semua orang dengan adil dan saksama.
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
1 Mei 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


