Ayuh perkasakan rakyat melalui demokrasi keterlibatan

Enam pilihan raya negeri yang cukup dinantikan serta banyak dianalisis akhirnya selesai.

Ramai pengulas politik telah membahaskan sama ada ia merupakan referendum kepada “kerajaan perpaduan” atau sebuah “gelombang hijau” yang semakin mendapat tarikan.

Namun, banyak media yang melaporkan bahawa keputusan pilihan raya kali ini sebagai mengekalkan “status quo”.

Adakah ia benar-benar status quo? Dan adakah kita harus berpuas hati jika benar ia merupakan status quo?

Ketika hari pengundian pada 12 Ogos lalu, beberapa calon serta parti berasa cemas apabila peratusan keluar mengundi pada waktu tengah hari lebih rendah daripada jangkaan. Ada yang mengaitkannya dengan rasa ambil mudah di kalangan pengundi.

Namun, di banyak kawasan pilihan raya di dalam bandar, ia mungkin lebih daripada itu. Ia merupakan sebuah manifestasi rasa tidak puas hati yang mendalam, malah kemarahan, terhadap wakil rakyat serta kerajaan sedia ada. Bukan sedikit yang merasakan para penyandangnya sudah terlalu leka dan tidak mewakili kehendak dan kepentingan pengundi.

Sultan Selangor dengan tepat menyampaikan rasa tidak puas hati ini. Beliau berkata sesebuah negeri tidak boleh hanya berbangga dengan mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan merekodkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tertinggi di negara ini sekiranya keperluan asas rakyat sendiri tidak dapat dipenuhi.

Beberapa hari selepas pilihan raya negeri, saya terserempak dengan seorang rakan dari kejiranan saya di Subang Jaya. Penduduk yang sudah tinggal lama di sana, beliau seorang yang cukup teliti dan bijak.

Kami bersembang tentang keputusan pilihan raya, dan saya berkata penduduk Subang Jaya harus bersyukur kerana penyandangnya, ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Michelle Ng, berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti besar. Ia sesuatu yang dijangka: Ng seorang yang rajin, rendah hati, bijak dan mudah dihubungi, seperti Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen.

Cukup mengejutkan yang kawan saya itu memberikan reaksi yang penuh kemarahan serta rungutan tentang ahli dewan negeri saya. Ia seolah-olah kami berdua hidup di alam semesta yang berlainan, di dunia yang berbeza sama sekali!

READ MORE:  Short campaign periods make it hard to return postal ballots in time

Saya terkejut namun memberitahunya bahawa saya akan menghantar kepadanya ‘kad laporan’ serta manifesto Ng, yang telah diedarkannya sebelum pilihan raya – yang cukup mengejutkan di mana teman saya itu tidak mengetahui akannya.

Bagi saya, sistem pilihan raya first-past-the-post di Malaysia, yang sepatutnya memanifestasikan demokrasi perwakilan atau tidak langsung ini, telah menjadi kurang berkesan dalam mengangkat suara perwakilan.

Walaupun pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mampu melaksanakan reformasi pilihan raya yang diperlukan ini, ia tidak akan mencukupi. Agenda politik akan kekal dipergunakan oleh mereka yang paling berkuasa serta mereka yang mempunyai akses kepada tampuk kekuasaan.

Dengan kelangsungan riwayat kerajaan perpaduan dicabar setiap masa, adakah agenda rakyat akan diberi perhatian secukupnya?

Itulah sebabnya, sebaik sahaja pilihan raya negeri selesai, Aliran menggesa kerajaan persekutuan dan negeri untuk memberi tumpuan kepada Agenda Rakyat yang digerakkan oleh masyarakat sivil ini.

Kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan masih mempunyai majoriti dua pertiga parlimen. Serta undang-undang ‘anti-lompat’ parti menghalang wakil rakyat daripada saling menukar parti.

Namun, sejauh manakah keyakinan kita bahawa para wakil rakyat ini akan menunaikan janji mereka sebelum pilihan raya?

Dengan kebanyakan kerajaan negeri sejajar partinya dengan kerajaan persekutuan, adakah dapat kita harap untuk melihat hubungan persekutuan-negeri yang lebih kukuh serta pembangunan yang lebih bermakna di peringkat negeri?

Adakah dengan wujudnya pilihan raya kerajaan tempatan menjadikan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan lebih responsif terhadap kepentingan pengundi? Atau adakah ia akan menjadi lebih sama?

Adakah ahli majlis tempatan yang dipilih serta dicalonkan oleh parti politik akan terkekang untuk mengikut disiplin partinya? Atau adakah mereka akan lebih responsif dan bertanggungjawab kepada pembayar cukai yang mengundi mereka?

READ MORE:  Kembalikan pilihan raya tempatan

Ramai di antara kita kini menyedari bahawa demokrasi perwakilan ada hadnya. Keupayaan wakil rakyat untuk berkhidmat kepada pengundi mereka juga terhad. Mereka dikekang oleh banyak faktor: kesesuaian suasana politik, survival politik, sumber kewangan serta sumber manusia, disiplin parti dan manusia yang ada batasnya.

Ia tetap berlaku hatta kepada wakil rakyat yang paling rajin, jujur ​​dan bijak sekalipun. Ini juga berlaku dalam demokrasi perwakilan dan wakil rakyat di semua peringkat – kerajaan persekutuan, negeri mahupun tempatan.

Syarahan umum baru-baru ini di Pulau Pinang, yang dianjurkan oleh Agora Society, Aliran dan Forum Pulau Pinang, menampilkan Dr Fernando Casal Bertoa yang membincangkan tentang keterbatasan demokrasi perwakilan.

Beliau bercakap tentang kewujudan arus global di mana ada rakyat yang tidak mahu menyertai pilihan raya kerana krisis yang dihadapi oleh parti politik tradisional. Beliau juga mencadangkan beberapa ramuan kepada parti politik untuk mengatasi krisis demokrasi perwakilan ini.

Namun ini hanyalah sebahagian daripada keseluruhan ceritanya: suasana politik ada aktor serta pemegang taruh utama lain yang berkepentingan selain parti politik.

Jadi, di manakah tempatnya bagi orang biasa? Bagaimanakah kita merawat ‘defisit demokrasi’ ini?

Jawapannya bukan dengan membakar kelambu kerana marahkan nyamuk! Seperti yang pernah diungkap oleh seseorang, “Demokrasi barangkali bentuk kerajaan yang paling teruk, kecuali berbanding dengan yang lainnya.”

Satu cara untuk membaiki defisit demokrasi adalah dengan ‘mendemokrasikan demokrasi’.

Kita boleh memperkasakan rakyat biasa melalui demokrasi penyertaan supaya mereka mempunyai lebih banyak ruang untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan dan penggubalan dasar yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka.

Penyertaan politik rakyat ini tidak seharusnya terhad kepada pengundian setiap lima tahun. Terdapat cukup ramai rakyat biasa yang boleh memberikan dapatan yang bermakna dalam membuat keputusan serta menggubal dasar yang memberi kesan kepada mereka.

Ia bukan soal hitam putih; seringkali ia merupakan sistem hibrid di mana demokrasi keterlibatan melengkapi dan menampung demokrasi perwakilan.

READ MORE:  Election 2022 beyond racial lines: Unpacking voting patterns

Ya, kita boleh melihat peningkatan dalam beberapa bentuk demokrasi keterlibatan di Malaysia sekarang.

Kita dapat lihat beberapa sesi penglibatan dengan pihak berkepentingan serta beberapa penglibatan awam dalam perundingan pra-Belanjawan.

Wakil penduduk kadangkala turut menghadiri jawatankuasa tempatan dan sesi dewan bandaran, termasuk dengan PM.

Kementerian Pendidikan baru-baru ini turut mengumumkan tinjauan kurikulum sekolah secara dalam talian. Ia telah memberi peluang kepada semua yang berminat untuk menyatakan pandangan mereka. Ini selain daripada rundingan secara bersemuka dengan ibu bapa, guru, NGO dan wakil industri.

Seringkali, ia hanya berlaku di peringkat permukaan, dan kita sendiri tidak tahu jika dapatan dan maklum balas orang ramai itu akan digunakan bagi tujuan yang bermakna atau tidak. Ia juga barangkali dilihat sebagai satu helah oleh pihak berkuasa untuk menguruskan suara-suara yang dianggap bertentangan atau untuk memperdaya rakyat supaya menganggap suara mereka dikira penting.

Apa pun, ia menyediakan sebuah asas yang membolehkan kita mengukuhkan demokrasi keterlibatan dengan lebih meluas lagi. Terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki, dari segi keterangkuman melibat demografi yang pelbagai, akses sama rata, ketelusan serta komunikasi.

Kumpulan masyarakat sivil seperti Aliran serta anggota Aliran secara individu boleh memainkan peranan penting dalam mengambil kesempatan ini untuk memperluaskan demokrasi keterlibatan. Kita boleh mendesak ruang yang lebih berkesan untuk orang ramai berkongsi pandangan mereka untuk didengari dan membantu menyalurkan pandangan tersebut ke dalam proses membuat keputusan.

Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu melibatkan diri dengan lebih mendalam tentang persekitaran politik dan melibatkan diri dengan penggubal dasar di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

Adakah kita bersedia untuk tugas itu?

Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Ogos 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments