Sebagai seorang ibu yang menjadi suri rumah tangga, saya sering memikirkan tentang proses keibuan. Saya juga tertanya-tanya adakah saya masih seorang feminis.
Saya menangguhkan kerjaya agar saya dapat memegang tangan anak kecil saya ketika dia mengambil langkah pertamanya, ketika menguruskan cara menggunakan tandas buat pertama kali, dan mengungkapkan ayat pertamanya.
Semua ini telah membuatkan saya tertanya-tanya sama ada saya mengukuhkan nilai patriarki tradisional dengan secara tidak sengaja mengabsahkan pandangan esensialis tentang jantina dan wanita apabila saya melangkah keluar dari tempat kerja.
Jika anda tertanya-tanya apakah makna istilah ibu yang tinggal di rumah, ia tidak semestinya merujuk kepada seorang wanita yang memakai apron sepanjang hari dan sibuk menguruskan rumah dengan pembersih vakum semata-mata.
Seperti ramai ibu yang tinggal di rumah, saya tidaklah begitu terikat di rumah. Ramai di antara kami dapat keluar menikmati cahaya matahari di taman, menyanyikan lagu berulang kali di acara keramaian, dan menghadiri kelas bahasa Mandarin dan muzik bersama anak-anak kecil kami.
Ketika saya masih muda di peringkat pengajian sarjana muda, saya meneroka pelbagai teori feminis, mengkaji ketidaksamaan jantina dan penyelesaian yang berpotensi dari pelbagai sudut.
Secara amnya, bolehlah dibahaskan bahawa ketidaksamaan berpunca daripada peranan dan jangkaan masyarakat dan bukanlah perbezaan semula jadi antara lelaki dan wanita. Teori pascastrukturalisme menyokong hujah bahawa jantina adalah performatif dan bukanlah soal sifat biologi.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Menjadi seorang ibu
Walau bagaimanapun, pengkategorian ibu boleh dikatakan berbeza daripada pengkategorian wanita.
Menjadi seorang ibu adalah pengalaman yang bersikap transformatif. Kajian menjelaskan bahawa kehamilan mengubah suai cara otak berfungsi – struktur otak diubah suai bagi menyesuaikan diri seorang ibu dengan keperluan bayi yang baru lahir. Ibu menjalani proses keibuan (matrescence) apabila identiti, hormon dan keutamaan berubah, bagi menyesuaikan mereka untuk penjagaan dan pemeliharaan.
Hari ini, wanita mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan dan turut menjadi tenaga kerja.
Patriarki telah menyudutkan wanita hanya menjadi ibu sahaja, manakala gelombang feminisme awal berusaha untuk membebaskan wanita dan memberi mereka agensinya sendiri.
Tetapi nampaknya menjadi ibu kini menjadi beban yang menghalang wanita. Statistik terkini di Malaysia menunjukkan bahawa wanita muda sedang menilai semula konsep keibuan disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup dan realiti kerjaya yang memakan waktu mereka.
Ibu (dan sesetengah bapa juga) sering menyelinap keluar dari pejabat mereka pada waktu tengah hari untuk menjemput anak-anak mereka dari sekolah, seolah-olah ia adalah satu jenayah untuk berbuat demikian.
Kadangkala, para ibu menerima komen tentang bagaimana lelaki, berbanding wanita, tidak memerlukan cuti bersalin.
Keibuan dipandang enteng dalam budaya yang meraikan produktiviti dan KPI (petunjuk prestasi utama).
Tetapi keibuan bukan sekadar tentang cuti bersalin. Ia juga bukan tentang terlibat dalam wacana tentang manfaat penyusuan susu ibu atau mencari bilik penukar bayi yang sukar ditemui di hujung koridor panjang di sebarang pusat membeli-belah.
Politik menjadi ibu
Hakikatnya, keibuan boleh bersifat politik, kerana undang-undang dan pembuat dasarlah yang membentuk kehidupan kita ke arah kebaikan atau keburukan.
Di Malaysia, ibu yang bukan beragama Islam kadangkala perlu memperjuangkan hak untuk menentukan agama anak-anak mereka, dengan penukaran agama anak-anak bawah umur secara unilateral kepada Islam selepas salah seorang ibu bapa memeluk agama Islam menjadi isu yang berterusan.
Juga, pindaan perlembagaan yang diluluskan pada tahun 2024, setelah dikuatkuasakan – dijangka pada pertengahan 2026 – akan memberikan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu-ibu yang berwarganegara Malaysia.
Dengan kanak-kanak terdedah kepada media sosial dan pornografi dalam era telefon pintar dan skrin, mendesak wujudnya undang-undang yang mengawal selia syarikat media sosial adalah penting. Mulai 1 Januari 2026, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 mewajibkan platform mengurangkan kandungan berbahaya untuk pengguna kanak-kanak.
Sementara itu, melahirkan anak dalam keadaan yang mengancam nyawa ketika berlakunya perang di Asia Barat menyeru kita untuk mendukung akses kepada penjagaan kesihatan asas dan usaha ke arah keamanan. Keibuan, di samping pemeliharaan dan hubungan, bertentangan dengan maskuliniti militan yang disebarkan oleh Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth.
Hegseth mewakili keyakinan cita-cita sebuah sayap Calvinis yang tidak dikenali ramai dalam gerakan Kristian yang berakar kukuh dalam fahaman takdir – di mana semua yang berlaku dipercayai sebagai kehendak Tuhan – yang digabungkan secara berbahaya dengan maskuliniti militan dan kecintaan terhadap Perang Salib.
Imej Ketuhanan bernuansa feminin
Jelas terdapat banyak gambaran feminin tentang Ketuhanan yang dicerminkan dalam ayat-ayat yang membandingkan Tuhan dengan seorang ibu yang sedang bersalin (Yesaya 42:14), seorang ibu yang mengasuh (Yesaya 66:10–13) dan ibu ayam (Matius 23:37).
Dalam merujuk kepada “semiotik keibuan” dalam mewakili apa yang digambarkan oleh Julia Kristeva sebagai kelembutan dan kewanitaan dalam penyatuan ibu-anak pada peringkat di mana anak itu bergantung secara fizikal kepada ibunya, ahli teologi pascakolonial Wonhee Ann Joh memulihkan konsep kelembutan dan sisi feminin Ketuhanan berbanding dengan tanggapan Kristian patriarki yang milihat Tuhan hanya sebagai Bapa dan Anak Lelaki semata-mata.
Dalam teologi pembebasan Korea atau yang dikenali juga sebagai teologi Minjung, apabila bahasa tentera yang berbentuk maskulin memberi tumpuan kepada penghapusan musuh seseorang, Joh membandingkannya dengan kata “jeong” yang dianggap lebih lemah, feminin dan “tidak kemas”, namun menerima kekaburan dan kerumitan hidup.
Walaupun kata “dan” menandakan perpecahan atau pemisahan daripada sistem ketidakadilan dan penindasan, Joh berpendapat bahawa Jesus menerima jeong dalam mengubah kedua-dua perspektif sebagai mangsa dan penindas. Jeong dalam kerentanan dan penderitaan turut diberikan walaupun kepada penindas atau mereka yang tidak layak menerima belas kasihan. (Sebahagian daripada bahan ini dibincangkan dalam monograf saya yang akan datang, bertajuk Questioning and Queering Evangelical Christianity in Malaysia: Liminality, Faith, and Doubt. Buku ini menerokai bagaimana keraguan memudahkan agensi kreatif apabila golongan LGBT dan Evangelis heteroseksual membayangkan semula kepercayaan mereka dalam Malaysia yang berbilang agama dan bersifat konservatif.)
Membesarkan dan menjaga bukanlah tanda kelemahan, tetapi merupakan penyelesaian kepada kebekuan dunia yang sedang cuba bangkit daripada peperangan dan ketidaksamaan.
Hari Ibu mungkin sudah berlalu, namun proses menjadi ibu, sama ada melalui membesarkan anak-anak atau menampung dan melindungi nyawa, akan berterusan tanpa diuar-uarkan.
Marilah kita jadikannya sebuah matlamat bersama dalam mendukung dasar-dasar yang melahirkan belas kasihan bagi mencabar sistem yang mewujudkan ketidaksamaan.
Cheah Wui Jia
Editor bersama, surat berita Aliran
20 Mei 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


