Apakah Malaysia sebuah negara yang rapuh atau gagal? Di mana letak duduk kita di dunia sekarang

Walaupun berhadapan cabaran yang dihadapi banyak negara moden lainnya, daya tahan negara ini boleh diperkukuh melalui perpaduan sosial dan pengurusan ekonomi yang lebih bertanggungjawab

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Saya menulis renungan ini sewaktu di Perpustakaan British, di mana saya sedang melakukan penyelidikan saya sendiri. Saya percaya bahawa, di sebalik semua pengetahuan yang telah kita kumpulkan, kita sebagai manusia sedang menuju ke arah beberapa krisis yang tidak dapat dipulihkan. Salah satu krisisnya ialah meningkatnya bilangan negara moden yang gagal dan hampir gagal. Kenapa ia jadi begini? Bolehkah ia disemak?

Kebimbangan terkini ialah mengenai Anthropocene – zaman di mana wujudnya tamadun manusia dan aktivitinya – yang berkisar tentang kemunculan negara bangsa moden, yang boleh dikatakan telah dibentuk oleh ‘kemajuan’ manusia selama kira-kira empat abad sejak berakhirnya perang Eropah di akhir abad ke-17.

Walaupun berlaku dua perang dunia yang dahsyat, yang perang kali keduanya itu berakhir pada tahun 1945, ia tidak menyaksikan kehancuran negara moden. Sebaliknya, bentuk negara moden terus mendominasi hubungan manusia tanpa sebarang pesaing lain.

Dengan berakhirnya penjajahan Eropah, yang menyebarkan pertumbuhan negara yang merdeka secara global, dua trajektori sosio-politik utama negara moden dapat dilihat dengan jelas.

Pertama, semakin banyak kelompok serta kolektif manusia bercita-cita – seringkali berjuang – untuk menjadi negara yang berhak menentukan nasib mereka sendiri. Hari ini, PBB mempunyai rekod 193 negara anggota. Dijangkakan, lebih banyak ahli yang akan bertambah tidak lama lagi.

Aliran lain yang bertentangan pula ialah wujudnya keruntuhan dan kegagalan yang seringkali berlaku di banyak negara sedia ada.

Negara menuju kegagalan

Kegagalan sesebuah negara telah menjadi kebiasaan, apatah lagi bagi sesiapa yang sering menonton TV atau menelusuri maklumat di telefon bimbit di mana ia semakin jelas. Hanya sebilangan kecil negara yang mempunyai keistimewaan dalam mengekalkan taraf hidup yang baik untuk rakyatnya. Malah hanya sedikit yang dapat mengekalkan sistem politik yang stabil atau dapat berfungsi dengan baik.

READ MORE:  Is Malaysia a fragile or failed state? Where we stand in the world

Majoriti negara kekal miskin atau pun dikategorikan sebagai kurang maju. Ia jarang sekali stabil dari segi sosial dan politik.

Antara negara yang terkini serta sedang menuju ke ambang kegagalan termasuklah Myanmar, Sudan, Ethiopia, Somalia, Congo, Rwanda, Syria, Yaman dan Sri Lanka. Perang saudara serta kemerosotan ekonomi yang teruk telah menyumbang kepada beberapa kegagalan ini.

Malangnya, juga ada contoh di mana negara seperti Palestin, yang terpaksa bergelut untuk wujud, muncul ke dalam fikiran saya. Sebuah negara jirannya tanpa henti menceroboh dan menduduki wilayah Palestin, bertindak sewenang wenangnya tanpa sebarang hukuman.

Indeks Negara Rentan (Fragile States Indeks atau FSI) menghujahkan pandangan global tentang betapa tidak menentunya negara moden hari ini.

Indeks ini melihat penunjuk sosial seperti tekanan demografi dan kehadiran pelarian dan orang yang dipindahkan di dalam sesebuah negara. Ia juga mempertimbangkan penunjuk ekonomi seperti pembangunan tidak sekata serta kemiskinan. Penunjuk politik dan perpaduan – seperti keabsahan sesebuah negara, keadaan hak asasi manusia dan golongan elit yang berpuak puak – turut dipertimbangkan.

Indeks itu memberikan gambaran yang cukup tepat tentang kerapuhan dan kecenderungan sesebuah negara moden menuju ke arah kegagalan, walaupun ada yang berpendapat bahawa penyelidik itu sendiri mungkin mempunyai sikap berat sebelah mereka sendiri.

Laporan FSI 2023 menyatakan bahawa banyak negara Barat yang sebelum ini stabil telah menjadi lebih rapuh dengan kemunculan golongan elit yang berpuak.

Analisis terperinci memerlukan bentuk pengetahuan yang mendalam tentang negara atau negeri tertentu. Sekali gus, FSI ialah maklumat awalan yang berguna dan penting bagi membandingkan keadaan sesebuah negara di seluruh dunia.

Gambaran yang muncul tidaklah begitu menggalakkan.

READ MORE:  Is Malaysia a fragile or failed state? Where we stand in the world

Rujuklah peta haba interaktif ini yang menunjukkan keadaan daya tahan atau kerapuhan kira-kira 179 negeri di dunia hari ini di mana data FSI diperolehi.

Adakah Malaysia negara yang rapuh?

Di bahagian paling bawah senarai negeri yang paling rapuh – sekali gus menjadikannya negara yang paling padu dan berdaya tahan – ialah Norway di tempat ke-179. Finland, di tempat ke-178, adalah yang kedua paling tidak rapuh.

Klik di sini untuk melihat kedudukan semua 179 negeri.

Menariknya, Malaysia menduduki tempat ke-126 dengan cukup selesa dengan markah 53.1 (jauh di bawah markah 120 untuk tahap kerapuhan tertinggi). Singapura pula (tempat ke-165) mempunyai 25.5 mata, Indonesia (ke-102) mendapat 63.7 dan Thailand (ke-95) mendapat 66.2.

Ini bermakna Malaysia nampaknya kurang rapuh berbanding semua negara jirannya di Asia Tenggara, selain Singapura.

Grafik di bawah menunjukkan bahawa daya tahan kita telah bertambah baik sepanjang dekad yang lalu, dengan tahun 2024 kelihatan cukup menjanjikan.

Mereka yang ragu-ragu kedudukan Malaysia ini mungkin mendapati semua hal ini sesuatu yang sukar untuk dipercayai. Tetapi, dalam keseluruhan aspek, ia menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara stabil yang menunjukkan hanya sedikit tanda-tanda kegagalan.

Tidak dinafikan, isu perpaduan sosial, kemiskinan dan salah urus ekonomi memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia. Dan ya, rakyat kadangkala merasakan bahawa kerapuhan politik yang dihadapi oleh negara sebagai sesuatu yang bermasalah walaupun skornya kelihatan menggalakkan dalam indeks negara rapuh (FSI) itu.

Namun, negara ini bukanlah seburuk yang disangkakan. Bayangkan betapa seriusnya masalah di kalangan 125 negara yang lebih rapuh daripada Malaysia (yang menduduki tempat ke-126)! Namun, tiada ruang untuk kita hanya berpuas hati.

READ MORE:  Is Malaysia a fragile or failed state? Where we stand in the world

Jelas sekali, enam negeri paling rapuh dalam indeks – Somalia, Sudan, Sudan Selatan, Syria, Congo dan Yaman – ditambah beberapa lagi di bawahnya, benarlah beberapa negara yang jelas gagal. Banyak di kalangan negara lainnya dengan markah melebihi 80 mata juga adalah negeri yang gagal.

Apa yang perlu kita lakukan?

Negara moden memang banyak yang sedang dalam krisis. Berdasarkan satu indeks empirikal yang luas melihat tentang keadaan sedia ada, banyak negara sudah pasti gagal dan beberapa negara yang lain juga menuju kegagalan.

Faktor utama yang menyatukan negara ialah perpaduan sosial, manakala tekanan ekonomi yang teruk jelas merupakan punca utama kegagalan negara. Kedua-dua faktor ini berkait rapat.

Apabila masyarakat sangat berpecah dan berpuak-puak oleh elit politik yang tidak mempunyai agenda lain selain daripada terus kekal berkuasa, sesebuah negara menjadi sangat rapuh.

Apabila golongan elit menguruskan sumber ekonomi dengan teruk atau apabila kleptokrat terlalu membazir, merompak atau mempergunakan sewenang wenangnya sumber-sumber yang ada ini, keadaan menjadi matang untuk kebusukan melanda sekali gus mencetuskan kegagalan sesebuah negara.

Krisis negara moden bukanlah sesuatu yang tidak dapat diatasi. Manusia sebagai spesies mesti bertindak dari sekarang bagi mengelakkan punca kegagalan negara terus berleluasa sekali gus berusaha untuk menguatkan otot yang mengikat tubuh sesebuah negara moden.

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
20 Oktober 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Johan Saravanamuttu
Dr Johan Saravanamuttu, a long-time Aliran member, is emeritus professor at Universiti Sains Malaysia, adjunct professor at the Asia Europe Institute, University of Malaya and adjunct senior fellow at the S Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University. He believes in politics as a vocation but is frustrated that it is often the refuge of opportunists and the morally depraved
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments