Apa yang boleh dipelajari oleh Malaysia dari ketempangan demokrasi Barat

Dari Socrates ke Trump, sejarah menunjukkan bagaimana demokrasi tertua sekalipun gagal dalam ujian yang dihadapinya.

building democracy
AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Demokrasi adalah bentuk kerajaan pemerintahan yang paling teruk kecuali dibandingkan dengan yang lain. – Winston Churchill

Perdana Menteri Britain pada zaman perang, Winston Churchill, mungkin bukan orang pertama yang mengatakan ini. Namun, dialah yang menjadikannya terkenal. Petikan itu masih menjadi tanggapan yang agak menyedihkan tentang keadaan demokrasi hari ini.

Plato adalah salah seorang pengkritik terawal demokrasi. Beliau menganggap ia adalah bentuk kerajaan pemerintahan yang lemah. Gurunya, Socrates, telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rakyat Athens. Tuduhannya: mencemarkan dewa-dewa Yunani dan merosakkan minda anak muda.

Mahkamah menyampaikan keputusannya, 280 undi berbanding 221. Socrates dijatuhkan hukuman mati dengan meminum racun hemlok.

Boleh dikatakan peristiwa beginilah yang mendedahkan kecacatan fatal dalam demokrasi: kebergantungan pada pemerintahan majoriti.

Jawapan Plato bagi ini adalah idea ‘raja-falsafah’nya. Beliau mengajukan perkara ini dalam karya klasiknya, The Republic. Pendek kata, hanya mereka yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi harus memegang peranan penting dan menjadi penjaga negara.

Aristotle, pelajar Plato, melihat jawapannya secara berbeza. Beliau mencadangkan idea politi: satu bentuk kerajaan pemerintahan yang seimbang dibina di atas kedaulatan undang-undang. Prinsip asas demokrasi ini kekal bersama kita sehingga hari ini.

Tidak syak lagi, demokrasi, dalam pelbagai bentuknya, telah menawan semangat manusia selama berabad-abad. Ia kekal sebagai salah satu ideal politik manusia yang paling progresif.

Namun, kita tidak seharusnya lupa bahawa kedaulatan rakyat bukan sahaja idea Barat semata-mata. Tanggapan bahawa kuasa akhirnya harus menjadi milik rakyat, bukan hanya golongan pemerintah, juga berakar umbi dalam banyak tradisi Afro-Asia kuno.

Kontrak sosial

Ambil asas hikayat mitos Melayu. Ia bersandar pada idea kontrak sosial di antara pemerintah dan rakyatnya. Ini boleh dilihat sebagai satu bentuk kedaulatan rakyat, walaupun ia berat sebelah terhadap golongan pemerintah.

READ MORE:  Moving beyond worry about democracy's fate: A proactive approach to elections

Sejarah Melayu ada mencatatkan perjanjian suci kesetiaan antara rakyat dan pemerintah ini. Sebagai pertukaran untuk pemerintahan yang adil dan saksama, serta untuk perlindungan, rakyat menawarkan kesetiaan mereka.

Hikayatnya menceritakan bagaimana watak mitos pemerintah, Sri Tri Buana, bersetuju untuk melindungi rakyatnya dan memastikan kemakmuran mereka. Baginda berjanji untuk tidak pernah menindas atau menghina mereka.

Sebagai balasan, Demang Lebar Daun, yang mewakili rakyat, mengikrarkan kesetiaan yang teguh untuk dirinya sendiri dan semua keturunannya. Baginda bersetuju bahawa tiada seorang pun daripada mereka akan melakukan pengkhianatan atau derhaka terhadap pemerintah.

Sumpah itu melarang pemberontakan selagi pemerintah memerintah dengan adil. Tersirat dalam perjanjian ini adalah pemahaman moral: jika seorang pemimpin memerintah secara tidak adil atau menyalahgunakan kuasanya, beliau sudah melanggar pihak lain dalam kontrak sosial.

Ini bermakna seseorang pemimpin akan kehilangan perkenan ilahi, dan bencana akan menimpa kerajaannya. Dalam erti kata lain, gagasan ini menggemakan raja-falsafah Plato, dengan satu tambahan: satu perjanjian. Ia hampir dengan idea keadilan Aristotle yang berpasak pada undang-undang.

Gagasan kontrak sosial ini kekal penting kepada pemerintahan perwakilan hari ini. Ia adalah asas demokrasi moden.

Kemerosotan demokrasi Barat

Hari ini, kita menyaksikan kemerosotan demokrasi di seluruh dunia Barat. Di sebalik kemerosotan ini terdapat kemunduran kepada nilai-nilai yang adil dan beretika. Tidak perlu pergi jauh, lihatlah populisme gasar Presiden AS Donald Trump, serta kerosakan yang telah dilakukannya terhadap norma-norma demokrasi Amerika.

Demokrasi Westminster di UK tidak menunjukkan prestasi yang lebih baik. Negara ini telah menyaksikan tujuh pertukaran perdana menteri sejak 2016.

Kira-kira 10 tahun yang lalu, ahli falsafah liberal Ronald Dworkin bertanya sama ada demokrasi masih mungkin akan berlaku di Amerika Syarikat.

READ MORE:  What the blind spots of Western democracies can teach Malaysia

Jawapannya adalah ya dengan diungkapkan secara berhati-hati. Dia menyatakannya seperti ini:

Politik Amerika berada dalam keadaan yang mengerikan. Kita tidak bersetuju, dengan keras, tentang hampir semua perkara. Kita tidak bersetuju tentang keganasan dan keselamatan, keadilan sosial, agama dalam politik, siapa yang layak menjadi hakim, dan apa itu demokrasi. Ini bukanlah perselisihan faham sivil: setiap pihak langsung tidak menghormati pihak lain. Kita bukan lagi rakan kongsi dalam pemerintahan sendiri; politik kita sebaliknya merupakan sebuah bentuk peperangan.

Dworkin berhujah bahawa jika demokrasi mestilah bertahan di AS, ia mesti menghormati hak asasi manusia dan kebebasan beragama serta bentuk kebebasan hati nurani yang lain. Ia mesti berkongsi kekayaan secara adil, supaya setiap orang mempunyai kepentingan sebenar dalam ekonomi. Yang paling penting, ia mesti menjalankan pilihan rayanya secara adil, melayan semua orang sebagai seseorang yang patut dirunding.

Dworkin memerhatikan bahawa Amerika telah gagal dalam semua perkara ini. Britain pun, katanya, tidak begitu berjaya.

Kita mungkin boleh menambah nota kaki kepada hujah Dworkin. Sedekad kemudian, demokrasi Amerika telah merosot lebih jauh. Hak asasi manusia hampir lenyap daripada dasar luar Amerika di Asia Barat.

Pengajaran untuk Malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang bercita-cita tinggi, dengan segala kekurangan dan kelebihannya. Kebanyakan saintis politik yang mengkaji Malaysia menggambarkannya sebagai sebuah negara separa demokrasi atau sebuah negara autoritarian yang lembut, bukannya sebuah negara yang berfungsi sepenuhnya. Jujurnya, kebanyakan aspek demokrasi yang sedia ada masih dalam proses pembinaan.

Selepas rusuhan 13 Mei 1969, Malaysia telah mengalami pemerintahan ‘darurat’ selama 22 bulan. Sejak itu, ia telah mengadakan 12 pilihan raya umum. Kuasa telah bertukar tangan di peringkat persekutuan dan negeri, tanpa berlaku keganasan politik. Itu adalah rekod luar biasa untuk negara yang cukup rencam ini.

READ MORE:  Pertahankan demokrasi berparlimen and hormati keistimewaan perundangan / Uphold parliamentary democracy and respect legislative privileges

Terdapat pengajaran yang boleh kita pelajari daripada demokrasi Barat yang gagal, yang telah lama dianggap sebagai model untuk Selatan Global.

Seperti yang dihujahkan oleh Dworkin, hak asasi manusia dan kebebasan asasi, terutamanya kebebasan daripada penindasan, adalah asas kepada mana-mana demokrasi. Paling penting ialah untuk mengiktiraf nilai kehidupan dan mata pencarian setiap orang.

Dalam ruang waktu yang mencabar ini, ketika demokrasi goyah, kita juga mesti berwaspada terhadap rasuah yang serius, dan pembolotan kekayaan yang semberono oleh individu dan ‘mafia korporat’, dengan mengorbankan rakyat biasa.

Juga buat mereka yang bukan warganegara, berjuta-juta pekerja migran dan pelarian ekonomi yang terpaksa menjadikan negara ini sebagai rumah mereka turut berhak mendapat tempat mencari rezeki di bawah sinaran matahari Malaysia.

Kita tidak seharusnya lupa bahawa demokrasi Athens bertahan di atas sokongan golongan hamba kelas bawahan, yang membentuk satu pertiga daripada penduduknya.

Kita juga tidak seharusnya lupa bahawa demokrasi dan kemakmuran Amerika berkembang di atas sokongan berjuta-juta rakyat Afrika yang diperhambakan, yang dikerah bekerja tanpa gaji.

Mungkin pengajaran sebenar ialah: demokrasi tidak pernah selesai, dan tugas Malaysia sekarang adalah untuk terus membinanya, bukan sekadar meniru Barat yang telah berhenti melakukan perkara yang sama.

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
10 Ogos 2026

Diterjemahkan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Johan Saravanamuttu
Dr Johan Saravanamuttu, a long-time Aliran member, is emeritus professor at Universiti Sains Malaysia and adjunct professor at the Asia Europe Institute, University of Malaya. He believes in politics as a vocation but is frustrated that it is often the refuge of opportunists and the morally depraved.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted