Apa sikap tidak acuh atau rasa angkuh yang membuatkan kita menganiayai orang lain?

Jika kita dapat melihat diri kita di dalam diri orang lain serta ‘pernah duduk bersama mereka yang patah hati’, kita pasti memahami serta menghormati antara satu sama lain dengan lebih baik

44 views
Photograph: Juan Pablo Serrano Arenas/Pexels

Di seluruh dunia, pandemik Covid berterusan. Kita melihat dengan penuh ketakutan bagaimana keadaan Covid sudah tidak terbendung di India. Kehilangan nyawa serta penderitaan azab rakyatnya sungguh dahsyat.

Apakah kita sebagai sebuah negara sudah melakukan semuanya dengan mencukupi bagi mengelakkan keadaan seperti itu terjadi di sini? Wujud kebimbangan dengan kes yang meningkat, keberkesanan pemberian vaksin Covid serta adakah rakyat mematuhi (atau tidak) sekatan, termasuklah dalam melintas sempadan serta perjumpaan besar-besaran.

Peristiwa melibatkan sikap ‘antara dua darjat’ cukup tidak membantu. Kedua-dua negara, Norway dan Thailand, sudah pun mendenda perdana menteri mereka kerana melanggar kawalan sekatan Covid. Jelas kita memerlukan sikap yang sama di sini.

Namun, rasa perikemanusiaan juga diperlukan oleh mereka yang membuat undang-undang serta mereka yang menjalankan kawalan bagi memastikan langkah berkadaran serta denda yang dikenakan tidak mengakibatkan rakyat jatuh miskin.

Walaupun Covid sudah memporak-peranda seluruh dunia, namun ada beberapa perkara yang berlaku di Malaysia yang bukan disebabkan olehnya. Beberapa perkara ini sungguh memalukan kita sebagai sebuah negara.

Hal baru-baru ini melibatkan ‘pemeriksaan mengejut haid’ merupakan sebuah penyalahgunaan serta pelanggaran privasi kanak-kanak yang tidak boleh dijustifikasi sama sekali.

Tindakan ini tidak mempedulikan langsung autonomi seorang kanak-kanak perempuan terhadap tubuh serta privasinya. Fikirkan sejenak apakah mesej daripada tindakan sebegini kepada kanak-kanak tentang apa yang boleh dilakukan orang dewasa terhadap mereka serta kesan psikologikal akibat dari perkara yang memalukan ini. Ianya seakan-akan mengejek kerajaan kita yang menandatangani Konvensyen Hak terhadap Kanak-Kanak PBB.

Kementerian Pendidikan perlu tampil ke hadapan dengan garis panduan yang jelas bagi semua sekolah, membersihkan sekolah serta guru yang dikatakan terlibat serta menghentikan terus perlakuan ini secepat mungkin.

Ianya sesuatu yang ironik saatnya pelbagai undang-undang digubal bagi mengelakkan pemangsa seksual dari memudaratkan anak kita, dengan memastikan hukuman yang lebih keras, memperkenalkan penyenaraian pesalah seksual serta melancarkan talian bantuan bagi kanak-kanak. Namun, pada masa yang sama, kita membenarkan penganiayaan untuk berlaku di institusi pendidikan.

Sebelum kemarahan kita reda, muncul tuduhan tentang seorang guru yang melakukan ‘lawak rogol’ pula muncul. Pelajar remaja yang membawa perkara ini pula kemudiannya menerima ancaman rogol dari rakan sekelas laki-laki: “Kalau aku dapat kau, aku akan cincang atau rogol kau dan hantar ke Thailand,” inilah yang dikatakan rakaman audio yang dihantar kepada pelajar remaja tersebut.

Timbalan ketua polis, yang membuat siasatan terhadap kedua-dua perkara, dilaporkan menyebut bahawa laporan kedua itu mungkin adalah berkenaan “gurauan dari rakan sekelas, yang pelajar itu tidak dapat terima”.

READ MORE:  Lindungi kebebasan bersuara dan berhimpun (Malay/English)

Sejak itu, rakan sekelasnya itu sudah meminta maaf, pihak polis menegaskan bahawa mereka mengambil hal ini secara serius, Kementerian Dalam Negeri pula menyiasat media kerana dikatakan membuat laporan salah terhadap komen timbalan ketua polis serta remaja itu pula terpaksa berhadapan dengan komen-komen lucah dari akaun Facebook.

Keseluruhan peristiwa ini adalah contoh bagaimana ‘budaya rogol’ itu wujud, misalnya mengambil ringan serangan seksual; memperleceh, memberi alasan serta menormalisasi ancaman serangan seksual; serta mengakibatkan mangsa untuk menyalahkan diri sendiri.

Apa peluang yang ada bagi mengelakkan serangan seksual (belum lagi masuk tentang keadilan serta membawa keadilan kepada mangsa serangan seksual) saatnya masyarakat berterusan menyokong ‘budaya rogol’.

Siapa yang akan memastikan mereka yang terlibat dengan budaya rogol ini akan dipertanggungjawabkan? Siapa yang akan melindungi mereka yang bersuara terhadap keganasan seksual atau lawak tidak wajar serta komen-komen melibatkan keganasan seksual?

Mesej yang tegas perlu datang dari pemimpin di seluruh negara – ahli politik, pemimpin komuniti serta lain-lain. Mereka perlu menonjolkan diri serta menolak keganasan seksual serta budaya rogol dengan tidak menyalahkan pakaian mangsa atau pun bertanya adakah mangsa menutup aurat atau tidak.

Kita juga memerlukan pemimpin lelaki untuk menampilkan diri dan memainkan peranan bagi menunjukkan seperti apakah menghormati wanita itu sebagai mereka yang setara. Adakah ianya sesuatu yang berlebih-lebihan untuk dilakukan?

Pada waktu yang sama, muncul sebuah kes melibatkan pasangan warga asing, Simon Momoh. Beliau sudah pun menjalani hukuman jel simbolik selama satu hari serta membayar denda sebanyak RM12,000 bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di mana beliau sudah pun mengaku bersalah. Beliau kemudiannya ditahan oleh pihak imigresen selama hampir 40 hari. Ketika ditahan, visa pasangannya dibatalkan serta perintah penghantaran pulang dikeluarkan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini membuat keputusan bahawa arahan ketua pengarah Jabatan Imigresen adalah salah serta secara prosedurnya tidak dibenarkan serta mengarahkan Simon agar segera dibebaskan berdasarkan perintah habeas corpus.

Keseluruhan episod ini membongkar penyalahgunaan kuasa serta prosedur oleh pihak berkuasa imigresen yang bukan sahaja melibatkan Simon semata-mata tetapi juga semua warga asing yang ditahan serta menanti untuk deportasi seperti yang dilaporkan media. Siapa yang akan memastikan pihak imigresen untuk bertanggungjawab?

Kemudiannya kita juga berdepan dengan keadaan melibatkan anggota polis. Bertahun lamanya, rakyat sudah membuat aduan berkenaan salah laku polis serta berulang kali menggesa agar ditubuhkan suruhanjaya bebas salah laku dan aduan polis (IPCMC). Namun, jika ketua polis sendiri yang mengadu wujudnya kartel polis, bagaimana rakyat pula akan merespon?

READ MORE:  Is it indifference or a sense of arrogance that enables us to abuse others?

Cerita di belakang tabir terus dimainkan media di mana wujudnya dakwaan campurtangan politik melibatkan pelantikan ketua polis yang baharu.

Sementara itu, dakwaan terhadap keganasan pihak polis juga berterusan. Kurang dari seminggu yang lalu, A Ganapathy, 40, didakwa memberitahu kepada keluarganya bahawa beliau dipukul dengan teruk menggunakan hos getah oleh pihak polis ketika di dalam tahanan, mengakibatkan beliau maut akibat kecederaan dialaminya selepas dimasukkan selama sebulan ke unit rawatan rapi Hospital Selayang. Bagaimana kita dapat memastikan perkara ini dapat disiasat?

Menyiasat dakwaan keganasan atau salah laku polis merupakan pertarungan yang sukar, jika melihat kepada inkues yang dijalankan baru-baru ini terhadap seorang lagi mangsa yang meninggal dunia dalam tahanan. Mohd Fadzrin Zaidi 29, ditemui meninggal dunia pada 22 November 2019 di dalam selnya di ibu pejabat Polis Seberang Perai Selatan.

Mengikut peguam yang mewakili arwah Fadzrin, koroner sudah menangguhkan inkues sebanyak empat kali serta menahan dokumen penting dari dikeluarkan.

Akhirnya, menerusi permohonan penilaian semula jenayah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, mahkamah memerintahkan pihak koroner untuk mendedahkan semua dokumen serta bahan yang relevan kepada inkues. Mengapa ianya begitu sukar untuk mendapatkan kebenaran dari perkara yang sudah berlaku? Apa yang dapat rakyat simpulkan dari hal sebegini?

Terdapat sebuah lagi contoh penggunaan kuasa secara sewenang-wenangnya yang dapat kita lihat apabila sebuah keluarga melakukan protes di luar Bank Negara Malaysia bagi mendapatkan campurtangan dari mereka. Bersama dengan keluarga ini adalah Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang menanggapi keadaan ini sebagai sesuatu yang tidak adil kerana bank melakukan lelongan terhadap rumah kos rendah mereka ini.

Walaupun keadaan ini akhirnya diselesaikan dengan kedua-dua pihak mencapai persetujuan di antara bank dan keluarga, namun kita perlu mempersoalkan pihak bank – apakah proses yang sepatutnya dijalankan sebelum memutuskan bagi melelong sesebuah kediaman serta apakah kawal imbang yang dilakukan bagi memastikan rundingan serta makluman berkenaan dengan nilai yang tertunggak dengan peminjam dapat dibincangkan.

Keputusan bagi melelong kediaman dengan hanya menandatangani sekeping kertas, mempunyai akibat yang cukup mengesankan bagi mereka yang hidup mati mereka bergantung kepada kediaman itu. Dengan kuasa yang luas, datang tanggungjawab yang besar dan keperluan bagi bank, pada musim Covid yang sebegini, adalah bagi memastikan golongan rentan dibantu dan tidak dipinggirkan oleh prosedur birokratik serta garis panduan yang keras.

READ MORE:  Amid plague of abuse of power, Malaysia at a crossroads

Ada juga kebimbangan lain yang perlu kita risaukan – penangkapan aktivis-artis Fahmi Reza oleh kerana senarai lagu Spotifynya yang berunsurkan “Ini Dengki Ke?” serta siasatan terhadap kartunis politikal Zunar, akibat kartun yang dilihat ‘mengapak’ cuti Thaipusam di Kedah.

Tindakan sebegini membongkar bagaimana ruang kebebasan berekspresi sedang dibungkam, termasuklah kurangnya kefahaman tentang satira politik.

Namun, tindakan membunuh diri oleh Shahzad Ahmed, 30, seorang pekerja migran akibat dari keterdesakannya kerana tidak menerima gajinya selama lima bulan, cukup mengejutkan. Berapa ramai agaknya yang berada di dalam situasi yang sama serta tidak berdaya untuk menyuarakannya.

Contoh-contoh sebegini dan banyak lagi cukup membuatkan kita patut malu sebagai sebuah negara. Mengapa? Kerana sepatutnya dalam keadaan sekarang, kita patut lebih tahu. Apakah sikap acuh atau rasa angkuh atau pun ‘besar kepala’ atau betapa istimewanya kita yang sekaligus membenarkan kita untuk menganiayai orang lain, lebih-lebih lagi mereka yang rentan? Mengapa kita begitu semberono serta bersikap cuai sesama insan?

Saatnya kita mengharungi pandemik ini sebagai seorang individu serta sebagai sebuah negara, saatnya kita cuba mencari jalan yang benar untuk maju ke hadapan bagi diri dan negara kita, kita perlu melihat diri kita di dalam diri orang lain, tidak kira jika orang lain itu berbeza kepercayaan, berbeza kelompok etnik, berbeza status kerakyatan, berbeza gender atau berbeza latarbelakang sosio ekonomi.

Dua petikan ini muncul ke dalam fikiran saya:

Compassion becomes real when we recognise our shared humanity. (Ihsan menjadi nyata saatnya kita memperakui kemanusiaan bersama.) – Pema Chondron

I am not interested if you have stood with the great, I am interested if you have sat with the broken. (Aku tidak kisah jika kalian sudah berdiri bersama dengan yang agung, aku lebih tertarik jika kalian sudah duduk bersama mereka yang patah hati.) – Sue Fitzmaurice

Jika kita dapat melakukan kesemua ini – melihat diri kita di dalam diri orang lain serta “duduk bersama mereka yang patah hati” – kita akan memahami keadaan di antara satu sama lain dengan lebih baik, melayan di antara satu sama lain dengan penuh hormat, menjadi lebih bertanggungjawab di dalam menggunakan kuasa serta membuat keputusan dan barangkali, bersama di dalam perjuangan bagi meruntuhkan semua undang-undang serta sistem yang tidak adil sekarang. 

Prema Devaraj
Editor bersama, Surat berita Aliran
3 Mei 2021

Terjemahan oleh Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments