Apa hala tuju rancangan pendidikan Malaysia yang tidak ke mana-mana

Wawasan yang berani, sistem yang rosak serta keberanian yang tiada siapa sanggup menyahutnya

AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pada bulan Januari, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan pelan pendidikan baharu untuk tahun 2026–35.

Walaupun terdapat proses penglibatan yang meluas dalam penggubalannya, tidak terasa ada hal yang baru tentangnya. Ia seakan wain lama dalam botol baharu.

Sejak pelancaran Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1988 dan janji-janji Wawasan 2020, yang dilancarkan pada tahun 1991, Malaysia telah melalui beberapa pelan pendidikan utama.

Setiap pelan gagal memberikan hasil yang memuaskan kerana perubahan sebenar dalam pendidikan tidak dapat berlaku tanpa perubahan serentak dalam persekitaran sosio-politik dan budaya yang lebih luas.

Hari ini, impian untuk menjadi sebuah negara maju, berpendapatan tinggi, dan berindustri masih tidak tercapai. Kita juga tidak mempunyai populasi warga yang cergas secara fizikal , yang dilengkapi secara akademik dan teknologi dengan kemahiran yang diperlukan. Kita juga bukanlah pemikir kritis dan kreatif dengan nilai-nilai moral dan kerohanian. Ini semua merupakan aspirasi semua pelan kita yang terdahulu.

Namun, pelan 2026–35 bertujuan untuk melakukan “transformasi bersepadu” sekali lagi bagi mewujudkan “individu holistik” yang dipandu oleh nilai-nilai moral, kewarganegaraan yang bertanggungjawab, dan perpaduan negara.

Mengapa kita mengejar matlamat yang sama dengan strategi yang sama, namun mengharapkan hasil yang berbeza?

Perancangan tidak menjadi mantera ajaib hanya kerana kita mempunyainya. Ia memerlukan ketabahan, kepintaran dan keberanian untuk menangani percanggahan sistemik yang mendalam yang belum lagi dapat diselesaikan, dan untuk menangani kecenderungan kita untuk menukar dasar secara mendadak.

Kegagalan merupakan sebuah cabaran yang perlu dihadapi, tetapi di Malaysia, kegagalan sering dilihat sebagai pengakhiran bagi sebarang usaha. Ia menghentikan sepenuhnya sesuatu.

Sebaliknya, setiap kegagalan harus dilihat sebagai sebahagian daripada siri cabaran. Kita perlu meneruskan perubahan yang kita inginkan, mengubah setiap kemunduran melalui penyesuaian semula dan melakukan pensejajaran semula sebelum kita boleh berharap untuk berjaya.

Salah satu kesilapan terbesar yang pernah dilakukan oleh negara ini ialah pembatalan dasar PPSMI untuk mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris dan ETeMS, program latihan guru yang direka untuk menyokong dasar tersebut.

Pada tahun 2003, KPM mencuba sebuah anjakan pendidikan yang penting dengan memperkenalkan PPSMI. Ia adalah strategi yang boleh meletakkan negara di landasan yang betul untuk mencapai kebanyakan aspirasi kita yang terlepas.

Dengan pembelajaran dwibahasa – malah, penguasaan pelbagai bahasa, merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab – kita boleh membuka tafsiran ilmu yang meluas. Kita boleh menguasai semua jenis pengetahuan, kemahiran dan peluang.

READ MORE:  Dasar pendidikan punca ketidaksamaan di Malaysia

Namun terdapat dua masalah.

Pertama, para guru menghadapi rintangan yang ketara, termasuk penguasaan Bahasa Inggeris yang terhad dan latihan yang tidak mencukupi, yang menjejaskan kesediaan dan keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri. Jadi, guru-guru ini menentang perubahan tersebut dan lebih suka kekal di zon selesa mereka. Mempelajari kemahiran baharu adalah sukar.

Yang kedua: ahli politik itu sendiri. Mereka tidak dapat melihat atau berfikir melangkaui pilihan raya akan datang.

PPSMI dijalankan selama hampir sedekad. Pembalikan polisi itu diumumkan pada tahun 2009. Ia kemudiannya dihentikan secara berperingkat dan digantikan sepenuhnya pada tahun 2012. Kita tertanya-tanya sama ada tamparan hebat yang dialami oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2008 mungkin mempengaruhi keputusan tersebut.

Kita lupa bahawa perubahan adalah perkara yang boleh diuruskan. Perubahan bahasa pengantar berjaya pada akhir tahun 1970-an, apabila guru sekolah beraliran Inggeris mula mengajar dalam bahasa Melayu.

Semua rancangan mempunyai masalah. Semua rancangan memerlukan pemikiran semula, pengubahsuaian dan penyesuaian semula yang menyakitkan.

Malangnya, hari ini kita meneruskan PPSMI tetapi dengan teragak-agak, melalui DLP (Program Dwi-Bahasa) di sekolah-sekolah terpilih. Kita tahu nilai pendidikan dwibahasa tetapi kita nampaknya tidak bersedia untuk memberi kepercayaan sepenuhnya kepadanya.

Kita patut meneruskannya.

Kontradiksi sistemik

Dengan strategi semasa melalui pelan ini, ada harapan untuk perubahan. Tetapi sebenarnya kita juga memerlukan budaya yang penuh integriti, ketabahan dan keperibadian untuk mengekalkannya.

Perubahan sebenar, pada akhirnya, adalah sebahagian daripada proses sistemik. Persekitaran sosio-politik dan pemikiran budaya juga mesti berubah.

Pelan tindakan sentiasa membincangkan tentang cara melahirkan individu yang beretika, tetapi kanak-kanak membesar dalam ekosistem yang sering kali secara terbuka bersifat korup.

Pelan pendidikan sering terhalang oleh kontrak perolehan yang meragukan.

Kes Rosmah Mansor – yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2022 atas tuduhan rasuah berkaitan dengan projek hibrid solar RM1.25bn untuk sekolah luar bandar di Sarawak (kesnya di peringkat rayuan masih belum selesai) – muncul di benak fikiran, antara lain.

Program tergendala apabila peralatan rosak, bangunan bocor atau runtuh , atau penyediaan perkhidmatan yang lemah – semuanya merupakan gejala budaya yang memunahkan.

READ MORE:  The education plan: Have we reached blueprint fatigue?

Kerosakan boleh sampai ke puncak. Malaysia telah melihat pemimpin dengan reputasi yang tercemar muncul dari seluruh spektrum politik. Contohnya, banyak tokoh yang disabitkan dengan kesalahan rasuah atau yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan masih dapat memegang jawatan kanan.

“Integriti” hanyalah sebuah mitos apabila kes sedemikian berulang kali berlaku. Ia menyebabkan ramai yang merasakan bahawa pelan tindakan, para guru dan buku teks tidak begitu bermakna untuk pelajar kerana kehidupan sebenar mengajar mereka nilai-nilai lain.

Kita sangat perlu mengubah persekitaran toksik ini. Tetapi semakin kita ingin melakukan pembaharuan, semakin kita seolah-olah terjerumus ke dalam lubang arnab yang sama.

Desentralisasi – dilema yang tidak berkesudahan

Sekolah mampu mengubah beberapa kegagalan, termasuk ketidakcekapan guru, apabila mereka menjadi organisasi terdesentralisasi yang diberi kuasa untuk menjadi komuniti pembelajaran kendiri dalam memantau dan mengekalkan piawaian.

Apabila kita memperkasakan guru untuk menjadi lebih baik dalam konteks masing-masing, semua orang mendapat manfaat: pelajar, pendidik, pemimpin sekolah dan juga ibu bapa.

Walau bagaimanapun, pembuatan keputusan terdesentralisasi dan kebebasan kewangan datang dengan masalah: kepercayaan.

Terlalu banyak wang di tangan ramai orang, dalam persekitaran kita sekarang, bukanlah perkara yang baik. Apabila kita menahan dana dan meletakkannya di tangan yang salah, kita menghalang aspirasi negara daripada tercapai.

Inilah dilema yang tidak berkesudahan: kita tidak boleh mempercayai pembuat dasar tempatan hanya disebabkan budaya yang telah kita ciptakan – tetapi kita tidak boleh memperbaiki budaya tersebut tanpa memperkasakan mereka.

Mendefinisikan kerangka moral kita

Pelan tindakan pendidikan kita secara konsisten membincangkan tentang nilai-nilai namun gagal mentakrifkannya. Nilai pada asasnya terbahagi kepada dua jenis: nilai yang ditakrifkan secara luaran oleh peraturan dan dogma, dan nilai yang diperoleh secara dalaman daripada refleksi, penaakulan dan empati.

Walaupun kedua-duanya perlu, pergantungan berlebihan pada peraturan luaran dari semasa ke semasa boleh menghasilkan orang yang mempunyai tingkah laku yang terkondisi dan kepercayaan yang ditetapkan. Orang-orang ini lebih cenderung untuk tidak bertoleransi terhadap soalan dan mungkin juga menolak bukti, seperti yang dilihat dalam kalangan beberapa pembela setia Najib Razak yang sudah pun disabitkan bersalah secara sah di sisi undang-undang.

Walau bagaimanapun, orang yang mempunyai nilai reflektif lebih sukar untuk dimanipulasi dan memerlukan pujukan dan bukti yang lebih meyakinkan.

READ MORE:  Why Malaysia keeps writing education plans that go nowhere

Namun ahli politik secara semula jadi lebih suka golongan yang pertama, kerana orang seperti itu mudah dimanipulasi, marah atau dibuat berasa tersinggung. Oleh itu, hari ini, kita melihat peningkatan insiden diskriminasi dan intoleransi terhadap budaya dan komuniti lain. Ia sekali gus mempersendakan aspirasi perpaduan negara yang termaktub dalam pelan tindakan pendidikan negara.

Untuk beralih ke arah pemikiran reflektif, bilik darjah memerlukan lebih banyak perdebatan, soalan terbuka dan hujah yang dipandu secara sihat , yang dilakukan secara terbuka, kritikal dan rencam.

Kita juga memerlukan elemen pendidikan rentas budaya dan agama yang tidak memihak kepada mana-mana agama atau budaya, sebagai percubaan untuk merapatkan jurang dalam masyarakat berbilang etnik kita.

Kanak-kanak perlu meneroka dan menghargai pelbagai jenis tekstur warisan berbilang etnik kita yang rencam. Mereka harus belajar bahawa tiada kumpulan etnik yang harus digeneralisasikan dan distereotaipkan secara tidak adil. Orang etnik India bukanlah golongan kicap, begitu juga orang Cina bermata sepet, dan orang Melayu bukanlah pemalas.

Ada yang berpendapat bahawa kanak-kanak mungkin memerlukan keseimbangan pengajaran agama tradisional yang berbeza di sekolah. Ini tidak semestinya bermaksud menolak asas-asas agama, tetapi menjadikannya lebih relevan dengan nilai-nilai kontemporari dan keperluan manusia.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak mungkin berlaku, kerana ada yang percaya bahawa terlalu banyak pemikiran kritis boleh menjejaskan kepercayaan agama.

Oleh itu, sebarang percubaan untuk mengubah pemikiran sebenar mungkin hanya dilakukan separuh hati, yang tidak membawa kita ke mana-mana.

Memandang ke hadapan

Negara kita tidak akan benar-benar maju jika terus bergantung pada penghasilan slogan berbentuk visi semata-mata, terutamanya jika penghasilan ini tiada komitmen, kejelasan dan kesesuaian dengan dunia sebenar.

Pelan tindakan memerlukan banyak strategi yang bermakna, tetapi jika keseluruhan sistem sosio-politik tidak berubah, semua rancangan untuk pembaharuan hanya akan menjadi sia-sia.

Untuk memastikan rancangan ini berjaya, mereka yang berkuasa perlu turun dari kerusi mewah mereka, berfikir secara rasional, menerima kegagalan dan kritikan, dan membuat pilihan yang sukar dan menyakitkan.

Atau kita hanya kekal menjadi sebuah bab kegagalan yang seterusnya dalam sejarah panjang rancangan yang mahal dan penuh angan-angan.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Mei 2026

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted