Agenda Pilihan Raya Rakyat yang dikemas kini ini masih dalam proses penyediaan dan belum merupakan dokumen muktamad.
Matlamatnya mudah: membantu membentuk wacana awam menjelang pilihan raya negeri yang masih belum diadakan serta pilihan raya umum yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada awal tahun 2028.
Tujuannya adalah untuk mengalihkan wacana daripada retorik etnik dan keagamaan yang memecahbelahkan masyarakat kepada isu-isu yang paling penting bagi rakyat biasa. Kami mahu ahli politik dan parti mereka memberikan tumpuan kepada isu-isu paling mendesak yang kami rasa menjadi keprihatinan para pengundi.
Proses ini bermula dengan mengemas kini apa yang kami mahukan daripada lima perkara utama dalam Agenda Rakyat asal, yang pertama kali dilancarkan menjelang pilihan raya umum 2022. Jawatankuasa eksekutif Aliran kemudiannya mengemas kini perkara berpoin di bawah setiap tajuk dalam Agenda Rakyat versi 2022.
Pada Julai 2026 ahli-ahli Aliran di Pulau Pinang dan Lembah Klang mengadakan ‘sesi teh tarik’ di lokasi masing-masing, dengan beberapa ahli lain turut menyertai secara dalam talian. Dalam sesi tersebut, kami menambah lebih banyak idea.

Pada September 2026 ahli-ahli Jawatankuasa Aliran mengundi ke atas perkara-perkara ini untuk memilih 10 perkara yang pada pandangan kami paling penting dan paling dekat dengan keprihatinan rakyat. Perkara-perkara ini kemudiannya digabungkan dengan cadangan lain yang berkaitan.
Sepuluh tuntutan utama, berserta cadangan berkaitan, disenaraikan di bawah. Tuntutan yang tidak terpilih dalam senarai 10 teratas disenaraikan di bawah tajuk ‘Tuntutan lain’.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Beritahu kami pendapat anda di ruangan komen di bawah.
10 tuntutan utama
- Naikkan gaji minimum kepada RM2,500, semak kadar gaji minimum setiap tahun dan berikan pelepasan cukai kepada majikan. Tingkatkan kadar bayaran dan perbaik syarat pekerjaan pekerja gig.
- Desentralisasikan kuasa dan tanggungjawab pentadbiran dalam bidang pendidikan, pengangkutan, kesihatan, kebajikan dan infrastruktur kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Kembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan dan pilihan raya di peringkat kampung.
- Perbaiki sistem penjagaan kesihatan awam melalui penubuhan suruhanjaya bebas. Gandakan peruntukan kesihatan awam kepada 4% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK), tambah kakitangan dan bilangan hospital, serta berikan subsidi bagi caj hospital milik syarikat berkaitan kerajaan.
- Bangunkan ekonomi inklusif yang mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan berpendapatan rendah, pelarian, orang tanpa kewarganegaraan, pekerja migran, orang kurang upaya dan kumpulan rentan yang lain.
- Atasi jurang dalam perumahan, pendidikan dan kebajikan melalui akses yang lebih saksama kepada pendidikan universiti, sistem percukaian hartanah yang lebih adil, bantuan penjagaan kanak-kanak serta penyediaan perkhidmatan penjagaan dan sokongan untuk warga emas.
- Perkenalkan cukai progresif dan cukai kekayaan terhadap golongan terkaya bagi mengurangkan jurang kekayaan dan ketidaksamaan pendapatan yang besar.
- Perkukuh mekanisme semak dan imbang dengan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah badan bebas. Hentikan pelantikan politik ke jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan.
- Tangani polarisasi etnik dengan menggantikan sistem kuota dengan dasar tindakan afirmatif berasaskan keperluan. Hapuskan diskriminasi dan lindungi golongan minoriti agama.
- Pastikan penilaian impak alam sekitar, sosial dan trafik bagi projek yang lebih besar dijalankan secara benar-benar bebas. Ini bermakna pemaju tidak seharusnya memilih dan membayar perunding secara langsung. Batalkan projek mega dan pusat data yang tidak mampan.
- Lindungi hutan, kawasan perbukitan, laut, sungai dan kawasan tadahan air, di samping mempertahankan hak tanah masyarakat Orang Asal. Utamakan tenaga solar berbanding tenaga nuklear.
Tuntutan lain
- Mansuhkan undang-undang yang menindas, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.
- Pastikan kepelbagaian masyarakat diambil kira dalam semua proses perancangan dan penggubalan dasar.
- Bersihkan wang politik melalui penggubalan akta pembiayaan politik dan tingkatkan ketelusan kewangan syarikat berkaitan kerajaan. Wujudkan satu skim pencen tunggal untuk ahli politik. Berikan peruntukan yang sama rata kepada semua kawasan pilihan raya.
- Rombak sistem pengangkutan awam dengan menyediakan kredit perjalanan bulanan sebanyak RM88 sebagai ganti kepada subsidi bahan api. Perbaik perkhidmatan bas dan kaki lima untuk pejalan kaki.
- Bangunkan ekonomi berdaulat yang bersedia menghadapi masa depan melalui pembangunan mampan serta pengukuhan keupayaan tempatan dalam bidang sains dan kecerdasan buatan (AI), di samping mengurangkan kebergantungan pada import makanan.
- Manfaatkan sukan dan muzik sebagai wadah perpaduan masyarakat.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
18 October 2026
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


