Ramai di Malaysia, terutamanya para pendidik dan ibu bapa, cukup prihatin dengan keadaan sistem pendidikan di Malaysia.
Ia telah mencapai tahap yang mendorong salah seorang penulis Aliran, K Haridas, tertanya-tanya sama ada sistem pendidikan Malaysia menggagalkan para pelajarnya.
Cukup membimbangkan apabila kita mengetahui bahawa sebilangan besar pelajar enggan hadir untuk peperiksaan SPM. Daripada mereka yang mengambil peperiksaan, 25.9% gagal sains serta 23.2% gagal matematik. Lebih kurang 30% turut gagal mendapat sijil SPM.
Satu-satunya perkara yang boleh dibanggakan ialah “Quran dan Sunnah”, dengan kadar kelulusan 84%.
Ini membuatkan kita tertanya-tanya sama ada terlalu banyak penekanan terhadap pengajian agama dengan mengorbankan mata pelajaran utama yang lain.
Dengan dana awam berbilion ringgit dibelanjakan untuk pendidikan, adakah ini hala tuju yang dimahukan? Tampaknya, kita terus tidak dapat berbuat apa-apa selain membiarkan trajektori itu menjunam jatuh, sekali gus membawa kita kepada kemerosotan.
Awal tahun ini, menteri pendidikan mendedahkan bahawa 435,858 pelajar mengalami masalah pembelajaran membaca, menulis dan mengira – kemahiran asas hidup.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Laporan telah menyoroti beberapa isu serius. Antaranya ialah kekurangan pelaburan yang serius dalam pendidikan awal kanak-kanak, dan masalah guru yang kurang berkelayakan serta latihan mereka yang tidak mencukupi. Begitu juga dengan kurikulum yang lapuk, kaedah pentaksiran dan kekurangan sumber baharu terutama di kawasan luar bandar.
Kementerian Pendidikan mendakwa telah memperkenalkan pelbagai program dalam usahanya campur tangan bagi menangani isu ini. Tetapi masalah ini bukanlah perkara baru.
Mewakili persatuan ibu bapa guru Malaysia, PIBG Malaysia, pada tahun 1994-95, saya berdebat sengit dengan Menteri Pendidikan ketika itu Najib Razak selama lebih seminggu di program Malaysia Hari Ini (Malaysia Today) TV3, mendedahkan realiti bahawa kira-kira 20-25 % pelajar di peringkat Tingkatan 1 masih tidak boleh membaca dan menulis.
Najib menamakannya sebagai “masalah pelajar lembam”.
Kementerian itu bukan sahaja terpaksa membuka semula sekolah teknik dan vokasional tetapi perlu mengembangkannya kepada pelajar yang tidak berkecenderungan akademik supaya mereka dapat mempelajari kemahiran.
Tanpa peperiksaan kepada mereka yang akan UPSR dan PMR, apa sebenarnya yang kita lakukan? Mempromosikan ketidakcekapan kepada kedua-dua pelajar dan guru? Membenarkan kemerosotan taraf pengajaran di sekolah terus membusuk?
Perdana Menteri Sarawak Abang Johari Openg, dalam sebuah video TikTok, menyatakan rasa tidak percayanya terhadap pemansuhan peperiksaan. “Bodohkah, pintarkah, kita tidak menilai!”
Beliau mempersoalkan rasional di sebalik tindakan itu – kononnya untuk mengurangkan tekanan terhadap pelajar. “Saya fikir kita harus mendidik anak-anak anda untuk menghadapi cabaran.”
Sarawak bercadang untuk meneruskan ujian pentaksiran mengikut piawainya sendiri untuk murid Tahun 6 bagi mengukur tahap pembelajaran mereka
Bukankah kita perlu menyediakan anak-anak kita untuk menghadapi cabaran? Atau adakah kita hanya bergembira dengan sistem pendidikan universiti yang boleh menghasilkan beribu ribu graduan PhD setiap tahun?
Soalan yang lebih baik untuk ditanya kepada kerajaan persekutuan ialah: tidakkah kita menyayangi anak-anak kita? Tanpa mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Stem – sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik – apakah yang akan terjadi dengan masa depan mereka? Atau masa depan negara, tanpa penguasaan sains, teknologi dan kecerdasan buatan?
Apakah warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang? Atau adakah kita gembira dan berpuas hati dengan penanda aras yang kita ada? Adakah kita mahu merai dan bermegah dengan sistem pendidikan kita yang merosot dan hanya ‘cukup baik’ untuk Taliban?
Apa lagi, delegasi kementerian pendidikan Taliban baru-baru ini telah melawat kementerian pendidikan kita. Memandangkan keadaan sistem pendidikan kita yang menyedihkan, kami tertanya-tanya apakah yang menarik orang dari negara lain untuk belajar tentang sistem pendidikan kita.
Lawatan delegasi Taliban ini bukan sahaja mengejutkan, malah menimbulkan pelbagai persoalan. Pertama, mengapakah liputan mengenai lawatan ini dipadamkan di Malaysia? Lawatan delegasi Taliban ke beberapa universiti, sekolah dan pertemuan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia dan pendidik tidak dilaporkan pada awalnya.
Pemimpin DAP Lim Guan Eng terkejut kerana Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh daripada DAP, tidak dimaklumkan akan kehadiran mereka.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek terpaksa mencari alasan untuk meredakan kebimbangan orang ramai dengan cepat. Beliau berkata lawatan itu telah tamat dan kementeriannya hanya berkongsi pandangan mengenai pendidikan di Malaysia dengan mereka – tidak kiralah apa pun ertinya.
Menariknya, kementerian itu juga mendakwa lawatan Taliban adalah sebahagian daripada usaha menyokong pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan. Ia dijalankan di bawah bimbingan Kementerian Luar Malaysia, dengan sokongan daripada kementerian lain yang berkaitan. Di sini, kisahnya semakin menarik.
Persoalan kedua yang timbul ialah, siapa yang menjemput mereka? Sebagai permulaan, kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Afghanistan.
Kemarahan orang ramai semakin menular saatnya ada berita palsu yang cepat tular, yang mendakwa bahawa Malaysia akan menerima 3,800 pensyarah dan pelajar Taliban Afghanistan ke universiti tempatan di sini. Ia kemudian dinafikan.
Bagaimana semuanya bermula? PBB menegaskan bahawa Afghanistan adalah negara yang paling menindas terutamanya dari segi pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita dan hak mereka, menyifatkannya sebagai ‘apartheid jantina’. Ini adalah sesuatu yang Afghanistan terus janjikan tetapi tidak dihormati.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semasa mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi awal tahun lalu segera mengumumkan bahawa Malaysia bersedia membantu Afghanistan.
Pada taklimat akhbar yang menyusul, perdana menteri menunjukkan betapa bermasalahnya sikap Taliban terhadap pendidikan untuk mereka yang berjantina wanita. Dalam mempertahankan hak wanita untuk mendapat pendidikan, beliau malah mencadangkan bahawa itu terpulang kepada mereka sama ada untuk membina institusi pendidikan khusus untuk wanita.
Ini segera diikuti oleh delegasi peringkat tinggi dari Malaysia ke Kabul awal tahun ini untuk membangunkan hubungan diplomatik, agama, budaya dan ekonomi dengan Afghanistan.
Delegasi Malaysia terdiri daripada wakil dari kementerian pendidikan, hal ehwal luar negeri, pertahanan dan hal ehwal dalam negeri serta pejabat perdana menteri. Menariknya, ia diketuai oleh seorang wanita, Dr Shazelina Zainul Abidin. Mungkin ini akan dapat menyampaikan mesej bahawa wanita yang berpendidikan juga turut berkemampuan.
Jadi, delegasi Taliban yang diketuai oleh pengarah kementerian pendidikannya, Shahabuddin Saqib, ke sini bukan sahaja untuk menerima tawaran baik hati yang diberikan perdana menteri kita kepada mereka tetapi juga untuk membalas lawatan delegasi Malaysia ke Afghanistan.
Kementerian Pendidikan kemudian bermegah tentang sistem pendidikan Malaysia, mendakwa ia telah memberi gambaran kepada delegasi Taliban yang melawat tentang amalan pendidikan terbaik sebuah negara Islam moden.
Tidak ketinggalan, Abim dengan pantas menyatakan lawatan Taliban adalah satu pengiktirafan bahawa sistem pendidikan kita adalah model yang perlu dicontohi oleh negara luar.
Janganlah kita ketawa dengan semua ini!
Sarajun Hoda Abdul Hassan
Editor bersama, surat berita Aliran
15 Disember 2024
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme