
Oleh Nurfarhana Che Awang
“Gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah-tengah.“
“Durian dengan mentimun menggolek rosak, kena golek binasa.“
Pada hemat saya peribahasa ini sudah cukup mengartikulasikan bahawa apa sahaja konflik, kemelut atau krisis yang melibat soal dua pihak yang berkuasa; yang sentiasa menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak berdaya.
Konflik dan perebutan kuasa antara dua pihak yang berpaksi pada garis horizontal yang akhirnya genting dan menjunam jatuh menimpa rakyat. Alih tak alih rakyat sentiasa menjadi mangsa dalam apa sahaja permainan pihak yang berkuasa atau pemain politik.
Semenjak dua menjak ini, jalur politik perkauman seolah semakin galak dimainkan dan semakin menebal wujud dalam benak fikiran rakyat marhaen.
Manakan tidak, banyak insiden yang berlaku baru-baru ini di seluruh Malaysia seolah memaparkan isu jalur bangsa, kaum dan agama dimainkan secara halus dalam kalangan rakyat untuk membentuk sentimen politik kebencian dan perkauman antara kaum.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Isu-isu seperti rumah ibadat kuil, isu pakcik petai, isu penjaja jalanan digasak oleh penguasa tempatan dan kesemua isu-isu ini mengambil tempat berkisar soal bibit perkauman, ketidakadilan layanan kelas mengikut bangsa serta kemiskinan giat meniti melintas di ruang akhbar dan media sosial rakyat marhaen.
Keadaan ini memberi persoalan bahawa apakah sebenarnya yang berlaku di peringkat bawah, rakyat kehairanan dan mengartikulasikan secara generalisasi bahawa wujud kezaliman, penindasan dan ketidakadilan yang berlaku pada pucuk pimpinan negara yang mengadaikan bahawa kaum peribumi asal negara ini mengemis dan melukut di tanah air sendiri.
Sentimen ini amat berbahaya kerana ia mampu menggoncang kestabilan politik, ekonomi dan keharmonian antara kaum dan peristiwa hitam 13 Mei 1969 mungkin terjadi dan berulang kembali; kerana gelombang kemarahan rakyat mungkin menjadi tsunami besar yang boleh membinasakan negara.
Insiden-insiden ini seolah-olah sengaja dimainkan oleh sesetengah pihak atau tangan-tangan ghaib di atas sana untuk membakar sentimen-sentimen politik kebencian, agama dan perkauman dalam kalangan rakyat bagi memperlihatkan kegagalan dan kepincangan pucuk pimpinan dalam mentadbir bahtera negara.
Isu-isu jalur politik, agama, bangsa dan perkauman ini cuba digarap dan dibentuk untuk membakar sentimen api perkauman di antara rakyat; seolah cuba mengapi-apikan orang Melayu dengan kaum-kaum lain untuk bangkit menentang antara satu sama lain yang sekali gus memaparkan kegagalan pentadbiran kerajaan pada hari ini.
Apa yang mahu diperkatakan di sini bukan soal isu pentadbiran. Cuma memungkinkan satu persoalan yang hendak dilemparkan kepada pemain-pemain politik di atas sana. Apakah berbaloi menghasut, merencana plot politik kebencian, perkauman dan sentimen agama bangsa dan tanah air demi ketaksuban kuasa; sehinggakan keharmonian dan keamanan dijadikan taruhan? Ini kerana, tanah bertuah peninggalan nenek moyang ini terbentuk hasil peluh keringat dan darah perjuangan menuntut untuk suatu yang bermanfaat pada anak bangsa di kemudian hari.
Pada hemat ini, mainan jalur politik kebencian dan politik perkauman adalah tidak wajar digunakan dalam merebut kuasa. Kerana akibatnya kestabilan politik dan keamanan negara menjadi taruhan.
Apa kata wahai pemimpin negara, fokuslah pada soal takbir urus negara dan bukannya pada posisi menghasut rakyat dan menjadikan rakyat sebagai mangsa permainan catur politik anda.
Jadilah pemain-pemain politik yang matang, bertanding dan berjuang dengan adil untuk membela nasib rakyat dengan penuh kematangan. Fahamilah nilai-nilai demokrasi sebenar dan dukunglah semangat juang dengan sewajarnya. Kerana politik kebencian dan politik perkauman seharusnya tiada tempat pada Malaysia yang gemilang ini.
Sebaliknya, jadilah pemimpin atau pemain politik yang menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama agar negara dapat hentikan segala persengketaan dan Malaysia bertambah maju.
Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin untuk seluruh rakyat Malaysia.
Dr Nurfarhana Che Awang ialah ketua penyelidikan di North South Initiatives (NSI).
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme