
Oleh Poktang
Baru-baru ini, saya telah membaca sebuah esei ringkas karya ahli falsafah Perancis Simone Weil (1909-43) bertajuk On the Abolition of All Political Parties.
Ia sebuah bacaan yang singkat namun menggoncang batin, lalu meradikalkan lagi kepercayaan saya bahawa semua parti politik, dalam bentuknya hari ini, wajar dihapuskan.
Parti politik telah lama menjadi tiang seri sistem demokrasi moden sejak akhir Abad ke-17, sewaktu kemunculan Jacobin semasa Revolusi Perancis.
Sejak itu, parti-parti seperti Parti Konservatif di Britain dan Parti Demokrat di AS terus mencengkam landskap politik negara masing-masing, walaupun bukan lagi semestinya parti pemerintah.
Weil dengan teliti menjelaskan bahawa parti politik tidaklah sepenuhnya tanpa manfaat. Ia menawarkan struktur yang boleh mempertemukan suara rakyat dengan sistem pentadbiran negara.
Namun, manfaat ini lebih menyerupai satu ilusi yang dibentuk dengan begitu rapi – kerana kuasa selalunya berkisar di sekitar kelompok kecil elit, lazimnya yang datang daripada latar belakang bangsawan atau berpunya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Parti yang pada awalnya lahir untuk memperjuangkan suara tertindas lambat-laun berubah menjadi kelab eksklusif, tempat elit mempermainkan takhta dan kekayaan seolah-olah politik ini papan catur mereka sendiri.
Parti politik itu sendiri akhirnya menjadi entiti hidup yang bersifat parasit -menyedut tenaga rakyat, namun hanya untuk menjamin kelangsungan dirinya sendiri. Ideologi yang dulunya menjadi roh perjuangan kini hanya tinggal slogan kosong di atas kertas manifesto.
Parti menuntut kesetiaan mutlak, menekan kelainan pandangan dan menindas pemikiran bebas – semuanya atas nama “disiplin organisasi”. Kebenaran pula menjadi sesuatu yang relatif, bergantung kepada siapa yang mengucapkannya dan dari parti mana datangnya suara itu. Demokrasi yang seharusnya bersifat terbuka akhirnya berubah menjadi gelanggang propaganda.
Namun, di tengah-tengah kekeliruan dan kesuraman ini, wujud satu pengecualian yang wajar disebut – Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PSM bukan sahaja bergerak di luar kerangka politik elitis, malah ia menolak budaya pemujaan individu dan tidak menyertai perlumbaan populis. Pemimpin-pemimpinnya hidup sederhana, bekerja bersama rakyat akar umbi, dan menolak retorik demi tindakan nyata.
Dari perjuangan pekerja ladang sehingga hak perumahan untuk warga miskin kota, PSM membuktikan bahawa politik tidak semestinya bersifat manipulatif. Malah, mereka menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk mendekati politik dengan integriti, keberanian dan hati nurani yang bersih – meskipun tanpa sokongan jentera besar atau modal korporat.
Maka timbul persoalan besar: jika kita tidak lagi mahu bergantung kepada parti politik dalam bentuknya kini, apakah jalan ke hadapan?
Saya percaya perubahan ini tidak berlaku dalam sehari. Ia bermula dengan kesedaran individu – kesanggupan untuk menilai calon bukan berdasarkan parti yang diwakili, tetapi berdasarkan rekod peribadi, nilai kemanusiaan dan komitmen kepada keadilan.
Pilihan raya bukan lagi medan untuk “undi logo”, tetapi medan memilih watak yang tulen.
Kita juga boleh menyokong kumpulan advokasi bebas dan pergerakan akar umbi yang bergerak di luar sistem parti, seperti koperasi, kesatuan pekerja atau komuniti penjagaan alam sekitar.
Seterusnya, rakyat boleh mendesak agar sistem pilihan raya Malaysia memberikan ruang kepada calon bebas dan sistem perwakilan alternatif -seperti sistem undi berkadar atau kuota kawasan – yang lebih mesra kepada pendemokrasian suara minoriti.
Kita juga harus mengubah cara kita berbicara tentang politik. Politik bukan semata-mata pertikaian parlimen yang kita tonton di televisyen. Politik juga berlaku apabila kita membantu jiran yang kelaparan, apabila kita mempersoalkan ketidakadilan di tempat kerja dan apabila kita mempertahankan hak asasi manusia di ruang digital.
Dan yang paling penting, kita mesti membina budaya politik berasaskan nilai, bukan personaliti. Kita perlu menanamkan kesedaran kepada generasi muda bahawa menjadi rakyat bukanlah sekadar membuang undi setiap lima tahun, tetapi satu komitmen seumur hidup untuk memperjuangkan kehidupan yang lebih adil, mesra dan manusiawi.
Pada akhirnya, menghapuskan parti politik bukan bermaksud meninggalkan politik. Ia bermaksud membebaskan politik daripada cengkamannya – dan mengembalikannya kepada kita, rakyat biasa. Kerana demokrasi yang sejati bukan tentang siapa yang memegang kuasa, tetapi tentang bagaimana kita, bersama-sama, membina sebuah masyarakat yang lebih adil, beradab dan berjiwa.
Poktang ialah nama panggilan bagi seorang penduduk kaum minoriti di Terengganu yang berusia 20-an dan menghargai pemikiran alternatif, masyarakat yang inklusif serta nasi kerabu.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme